From my FB status today :

Saya ingin membuat sedikit pencerahan. Ramai yang bertanya saya kenapa saya ada gelaran pangkal "Nik" sementara Allahyarham Baba saya adalah "Wan". Ramai yang menyangka gelaran itu diambil dari sebelah Allahyarhamah Ummi saya. Allahyarhamah Ummi saya adalah saudara sepupu kepada Allahyarham baba saya. (kedua-dua ninda saya Wan Omar dan Wan Hassan adalah adik beradik bapa yang sama tetapi ibu yang berbeza)

Ninda saya Nik Zainab binti Nik Soh (ibu kepada Ummi saya) adalah dari keluarga Limbat dan juga beberapa ulama nusantara Patani yang terkenal di Malaysia. (versi Allahyarhamah Ummi saya, saya perolehi sendiri dari Allahyarham Ayahanda saudara saya, Nik Hussein Fathi)

Wan Abdullah - dipanggil Tok Ayah Lah* (ninda Baba saya) adalah piut kepada Nik Muhammad, (penasihat Istana kepada Long Seri Ibni Long Gaffar) di mana Nik Muhammad ialah anakanda kepada Tuan Halus (Reman) (dipercayai nama sebenar ....Aminah) yang berkahwin dengan Aydem (Merah) atau gelaran terkenalnya ialah "Naga Merah".

(*Tok Ayah Lah ada mengarang sebuah kitab kedukunan lama yang tertera di mukasurat hadapan keturunannya sehingga kepada Nik Muhammad dan Tuan Halus)

Gelaran "Jong" (ada yang menyebut "Juang") pada pangkal nama Aydem berasal dari nama gabungan Cina dan Thai - umpamanya Jongjaroen atau Jongrachatawiboon. Mungkin ramai yang tidak tahu, ada gelaran pada Tok Kayan (atau Tok Egot) iaitu seorang China Muslim yang bernama Lim To Khiam (pembina meriam di zaman Ratu Biru) sebagai "Panyalimpanun" (satu adaptasi dari nama China kepada nama Thailand)

Pertukaran dari "Nik" kepada "Wan" amat terkenal di kalangan keluarga Limbat (contohnya Tuan Lembut) disebabkan penyamaran untuk mengelak dari buruan Siam ketika itu. Aydem adalah asalnya pembesar Thailand (versi lisan arwah baba saya)

Ada 2 versi yang saya terima, bahawa Aydem mempunyai kaitan rapat dengan keluarga Ayuthia (yang dipercayai berkaitan dengan pula dengan satu keluarga yang melarikan diri dari Langkawi (untuk keselamatan, tidak dapatlah saya dedahkan sumber ini tetapi ianya dari Thailand) dan versi kedua ialah Aydem adalah seorang mualaf yang prihatin terhadap perjuangan Raja Reman (versi lisan dari Allahyarham Baba saya yang disahkan ketika itu oleh ayahanda angkatnya iaitu Allahyarham Dato Seri Amar Di Raja Nik Mustapha Fathil bin Nik Mahmud (anakanda kepada Dato Perdana Menteri Nik Mahmud) - juga mempunyai kaitan persaudaraan menerusi moyang saya, Wan Mas (bonda kepada Wan Omar)

Perkara ini juga telah disahkan oleh Tokoh Sejarah Nusantara Ustaz Wan Saghir (cucunda Syeikh Wan Ahmad Fathani) semasa perjumpaan di rumah saya (Lundang) pada tahun 1989 dan juga Allahyarham Guru saya iaitu Tuan Guru Ustaz Ahmad bin Che Din - yang juga keturunan dari Reman menerusi Raja Bakar. Kemudiannya Christopher Buyers, penulis sisilah dunia yang terkenal iaitu Royal Ark juga telah mengesahkan kisah Tuan Halus menerusi satu email yang dihantar kepada salah seorang keturunan Reman. Namun, dalam satu email yang dihantar oleh Christopher Buyers kepada saya sendiri menerusi email bahawa silsilah Thailand tidak dapat dipaparkan (sehingga kini - boleh dirujuk pada "laman web" royal ark) atas sebab-sebab "keselamatan". Beliau seolah-olah "takut" untuk menyentuh "silsilah Patani" tetapi saya faham apa sebabnya.

Namun kedua-dua versi mempunyai persamaan, bahawa Aydem dan Tuan Halus dipercayai bertanggungjawab melarikan keluarga Tuan Lembut diikuti oleh Long Gaffar menerusi 3 jalan, (1) sebuah terowong rahsia, (2) jalan lautan (3) jalan daratan. Aydem dan Tuan Halus telah melarikan diri ke Machang, Kelantan dan dipercayai mereka disemadikan di Machang Lama, Kelantan.

Di sana mereka telah mendapat seorang putera yang dinamakan Nik Muhammad yang kemudiannya dijadikan penasihat kepada Long Seri Ibni Long Gaffar. (juga dari versi Allahyarham Baba saya)

Penukaran "Wan" kembali kepada "Nik" dalam adik beradik saya adalah rancangan asal ibubapa saya yang mengetahui silsilah sebenar keluarga kami.

Untuk pengetahuan ramai, saya telah berusaha membina silsilah keluarga saya dari usia semuda 14 tahun. Bukanlah satu perjalanan yang mudah untuk sesiapa sahaja yang ingin menerokai bidang pembuatan silsilah. Saya akui terdapat sedikit konflik fakta antara saya dan beberapa saudara-mara lain tetapi walaupun ujian DNA mempunyai ralatizinnya, keputusan ujian berkenaan mempunyai kebarangkalian yang tinggi)

Jadi kalau orang bertanya kepada saya, adakah saya ini Kerabat Long Gaffar, atau apakah saya ini Kerabat Raja Jembal dan seumpamanya, sebenarnya saya adalah keturunan Reman dan juga Ayuthia.

Wallahi, Wabillaahi, Watallahi, inilah yang terbaik yang telah saya dapat dari Arwah Baba saya dan ramai lagi saudara mara samada masih hidup ataupun telah tiada.

Al-Fatihah.