Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj ibni Almarhum Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah Al-Haj adalah Sultan Terengganu yang ke-15. Baginda memerintah dari tahun 1979 hingga tahun 1998.


Riwayat Awal

Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1930 di Kuala Terengganu. Baginda telah berkahwin dengan seorang puteri Tengku Ampuan Bariyah bte Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah, adik bongsu kepada Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor pada tahun 1951. Sultan Mahmud merupakan sepupu dan saudara kepada Sultan Salahuddin dari Selangor.


Naik Takhta

Dua tahun kemudian selepas kemangkatan ayahandanya Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada tahun 1979. Almarhum telah ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada tahun 1981 manakala Tengku Ampuan Bariyah pula ditabalkan sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu.

Sultan Mahmud pernah dilantik sebagai kolonel Kor Armor DiRaja pada tahun 1979. Baginda merupakan sahabat rapat kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad iaitu Menteri Besar Terengganu dari tahun 1985 hingga 1999. Matlamat utama baginda ialah untuk menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri paling maju di pantai timur Semenanjung Malaysia. Baginda kemudian berangkat menunaikan fardu haji bersama Sultan Selangor, Almarhum Sultan Salahuddin pada tahun 1984.


Hobi

Hobi kegemaran baginda adalah bermain golf dan mengambil gambar fotografi. Baginda pernah mengambil gambar di setiap tempat-tempat menarik di negeri ini termasuklah Hotel Primula, Wisma Darul Iman, Istana Maziah, Masjid Tengku Tengah Zaharah, Masjid Abidin, Rantau Abang dan sebagainya.


Anak Saudara

Baginda pernah menjaga 2 orang anak saudara kandung banginda setelah kematian adik kandung baginda Tengku Mustafa Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj ibni Almarhum Al-Sultan Ismail Nasiruddin Shah Al-Haj


Mangkat

Pada 14 Mei 1998, Baginda telah kembali ke rahmatullah di Hospital Mount Elizabeth, Singapura dan diganti oleh puteranya yang juga Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Mizan sebagai Sultan Terengganu dengan gelaran Sultan Mizan Zainal Abidin. Jenazah Almarhum telah dimakamkan di sebuah makam diraja Terengganu yang baru di pekarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. Baginda adalah yang pertama dimakamkan di situ.