Perkembangan Bahasa Melayu di Malaysia

Peringkat perkembangan sunting

Dari segi kemajuan bahasa Melayu sejak tahun 1957, terdapat tiga peringkat utama perkembangannya yang, secara amnya, dapat dibahagikan mengikut dekad. [1]

Dekad lima dan enam puluhan sunting

Zaman ini merupakan tahap permulaan dalam proses pemupukan bahasa Melayu. Pada peringkat ini, masalah-masalah utama yang dihadapi adalah untuk meyakinkan rakyat terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk mengambil alih bahasa Inggeris serta untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan cekap dan berkesan. Ketika itu, terdapat sebilangan besar rakyat yang berasa ragu terhadap kemampuan bahasa Melayu dan mempersoalkan kebijaksanaan menggantikan bahasa Inggeris, satu bahasa moden, dengan bahasa yang tidak begitu maju tarafnya, iaitu bahasa Melayu. Keraguan ini dapat dibayangkan melalui dua contoh yang berikut:

  • Pengiran Othman Rauf, Menteri Tidak Berportfolio dalam Jabatan Perdana Menteri mengatakan dalam Utusan Malaysia (m.s. 12, 13 April 1979) bahawa sehingga masa itu, bahasa Malaysia masih sukar dilaksanakan di mahkamah kerana kekurangan rujukan dan kerana laporan kes dibuat dalam bahasa Inggeris.
  • Dalam Persidangan Pegawai-pegawai Kehakiman Ke-6 pada 18 Julai 1979, Ketua Hakim Negara ketika itu secara terus terang menafikan keupayaan bahasa Malaysia menjadi bahasa dalam perbicaraan di mahkamah untuk tempoh beberapa puluh tahun lagi. Beliau berkata:
Penggunaan bahasa Malaysia di mahkamah tidak mungkin boleh dijadikan universal untuk beberapa waktu, sudah tentu tidak semasa hayat saya — ada kira-kira 20 tahun lagi bagi saya hidup — dan tidak juga selepas beberapa lama saya mati.

Memandangkan bahawa kedua-dua kenyataan telah dibuat 22 tahun selepas perisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Malaysia, keadaan keraguan terhadap keupayaan bahasa Melayu pada dekad 1950-an dan 60-an jelas jauh lebih teruk.

Dekad tujuh puluhan sunting

Pada awal peringkat ini, bahasa Melayu mula digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah, sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, dan sebagai bahasa perhubungan awam. Usaha-usaha untuk melengkapkan bahasa berlipat ganda. Terdapat dua kesan daripada gejala pengintensifan penggunaan bahasa Melayu ini:

  • Dalam masa yang singkat, melalui usaha-usaha yang gigih oleh semua pihak, bahasa yang dahulu disifatkan sebagai anak tiri telah semakin luas penggunaannya.
  • Perkembangan yang terlalu pesat itu membawa kesan-kesan negatif yang mengakibatkan pencemaran bahasa.

Dekad lapan puluhan sunting

Dalam perancangan bahasa kebangsaan, tahun 1983 mempunyai implikasi penting kerana pada tahun ini, seseorang kanak-kanak Malaysia menerima seluruh persekolahannya dari darjah satu hingga ke peringkat universiti dalam bahasa Malaysia. Dalam bidang-bidang lain juga, pelaksanaan penggunaan bahasa kebangsaan telah selesai. Dapatlah dikatakan bahawa tahun-tahun 1980-an merupakan tahun-tahun kematangan bagi bahasa Melayu.

Kalau dalam tahun-tahun 1970-an, penutur-penuturnya masih meraba-meraba dalam gelap, dan istilah-istilah dan ungkapan baru masih dicari-cari, maka tahun-tahun 1980-an boleh dianggap sebagai zaman taraf kesempurnaan hampir tercapai. Istilah-istilah teknik dapat diperoleh dengan mudah. Gaya bahasa telah dikembangkan untuk membolehkan bahasa Melayu memperkatakan sesuatu dengan tepat dan sempurna. Penutur-penuturnya, terutama di kalangan generasi muda, dapat mengeluarkan fikiran dan perasaan dengan sempurna dalam bahasa Melayu.

Menjelang abad ke-21 sunting

Jalan yang akan dilalui oleh bahasa Melayu tidak akan berlainan daripada jalan-jalan yang dilalui oleh bahasa-bahasa moden lain di dunia, seperti bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia, Cina, Jepun, dan lain-lain.

Bahasa ialah alat yang digunakan oleh anggota masyarakat sebagai saluran untuk menyatakan fikiran dan perasaan. Selagi masyarakat itu aktif dan berkembang, demikian juga bahasanya. Sistem bunyinya, sistem pembentukan katanya, serta sistem frasa dan ayatnya turut menyesuaikan diri dengan apa-apa perubahan yang berlaku pada masyarakat.

Apabila bahasa Melayu sudah lama digunakan sebagai bahasa ilmiah, akan muncul ciri-ciri yang bertujuan membolehkan bahasa Melayu memperkatakan hal-hal dengan lebih abstrak, tetapi tepat dan tegas. Taraf keintelektualan ini berlaku pada semua peringkat termasuk perbendaharaan kata, tatabahasa, dan juga gaya. Penekanan juga akan diberi kepada aspek-aspek estetik. Apabila bahasa Melayu telah digunakan sedemikian lama oleh jumlah penutur yang agak besar dan apabila penguasaan masing-masing sudah mencapai taraf yang membanggakan, maka penekanan kepada aspek-aspek keindahan bahasa akan muncul secara sendiri. Bahasa Melayu sudah mencapai taraf kematangan dari segi penggunaannya.

Perkara remeh-temeh sunting

  • Bahasa Melayu pada asalnya terdiri daripada enam dan bukannya lima huruf vokal. Dalam hal ini, e taling (ĕ) telah ditiadakan pada tahun 1972 (atau 1974) sebagai suatu tolak ansur semasa berlaku penyatuan sistem ejaan bahasa Melayu-bahasa Indonesia. Penghapusan huruf vokal ini merupakan satu kelebihan kerana penulisan boleh dibuat secara mudah kerana misalnya, 'emak' (ĕmak) yang berbunyi tidak sama dengan 'enak' dieja sama sahaja. [1]
  • 'Ch' juga telah telah ditukarkan menjadi 'c', umpamanya chantik, dan 'ye' ditukarkan menjadi 'i', umpamanya ayer.
  • Perkataan ganda yang dahulu boleh disingkatkan, umpamanya kadang2, kini diharamkan dan ditulis secara penuh sebagai kadang-kadang.
  • Ia merupakan satu perkataan yang amat popular dan tidak dianggap sebagai salah sebelum dekad 70-an.

Rujukan sunting

  1. ^ "Laman web Kadayan WikiApakian". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-08. Dicapai pada 2021-07-31.

Pautan luar sunting