Perkhidmatan Bas Mini Kuala Lumpur

Perkhidmatan Bas Mini Kuala Lumpur atau Bas Mini merupakan antara pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di Malaysia, merangkumi kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Bas-bas berkenaan dicat dengan warna asas merah jambu berserta jalur putih pada bahagian tepi, serta mempunyai muatan sekitar 20-30 penumpang, berikutan saiznya yang kecil. Bas kerkenaan beroperasi berasaskan sistem komisen, dengan pengusaha perkhidmatan dibayar mengikut jumlah kutipan tambang.

Bas Mini Kuala Lumpur yang ditamatkan perkhidmatannya telah dipamerkan di Muzium Negara.
Keadaan dalam Bas Mini

Perkhidmatan bas mini dihentikan mulai 1 Julai 1998 serta digantikan dengan perkhidmatan bas Intrakota dan kemudiannya, Bas rapidKL pada tahun 2005.

Sejarah ringkas sunting

Perkhidmatan bas mini bermula pada 23 September 1975 di bawah Kementerian Pengangkutan. Pada masa itu, bas mini beroperasi pada pelbagai laluan mengikut warna bas masing-masing (biru-putih, kuning-putih, merah-putih, ungu-putih dan hijau tua-putih). Bas mini berkenaan bertanggungjawab mengendalikan sehingga hampir enam puluh laluan berbeza. Tiga syarikat utama (Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd, Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd) memonopoli kebanyakan laluan bas sementara pengusaha yang lebih kecil dibenarkan beroperasi di tempat tertentu sahaja.

Pada tahun 1975, semasa bas mini diperkenalkan sebagai satu bentuk perkhidmatan, tambang bas asalnya cuma 40 sen. Kemudian pada tahun 1991, tambang dinaikkan ke 50 sen dan dua tahun kemudian, tambang dinaikkan lagi kepada 60 sen. Bas mini tidak mempunyai jadual waktu tetap. Sebaliknya, perkhidmatan dijalankan berasaskan komisen di mana pengusaha dibayar mengikut bilangan trip serta kutipan tambang dalam sehari. Kadang-kadang, untuk bersaing dengan pengusaha lawan, pemandu mungkin akan melencong daripada laluan asal sehingga menyusahkan penumpang.

Pada tahun 1990, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Paduka Rahmah Osman, menetapkan warna piawai bas mini kepada "merah jambu" dan putih. Pada 1 Julai 1998, perkhidmatan bas mini dihentikan di bandar raya Kuala Lumpur.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting