Perlembagaan Jepun

undang-undang tertinggi Jepun sejak 1947

Perlembagaan Jepun (Jepun: Shinjitai: 日本国憲法 Kyūjitai: 日本國憲法, Hepburn: Nihon-Koku Kenpō) merupakan dokumen perundangan asas Jepun semenjak 3 Mei tahun 1947, sebagai perlembagaan baru Jepun selepas perang yang memperuntukkan Sistem kerajaan berparlimen serta menjamin beberapa hak-hak asasi tertentu. Syaratnya, Maharaja Jepun adalah "lambang Negara dan perpaduan rakyat" serta memainkan peranan adat istiadat sahaja tanpa memiliki kedaulatan. Perlembagaan yang juga dikenali dengan jolokan Perlembagaan Selepas Perang atau "Perlembagaan Damai" (Jepun: 平和憲法, Hepburn: Heiwa-Kenpō), juga terkenal sekali kerana penolakan hak untuk melancarkan perang seperti yang dinyatakan oleh Perkara 9, serta sedikit sebanyak juga memperuntukkan kedaulatan rakyat secara de jure berhubung dengan sistem beraja.

Perlembagaan ini digubal ketika Jepun diduduki oleh Pihak Berikat selepas Perang Dunia Kedua dengan tujuan menggantikan sistem raja mutlak berfahaman ketenteraan dan sistem monarki mutlak dengan sistem demokrasi liberal. Semenjak penerimaannya, Perlembagaan Jepun berupa dokumen tetap yang tidak dilakukan apa-apa pindaan pun semenjak penyusunannya.

Sejarah sunting

Perlembagaan Meiji sunting

 
"Titah Maharaja"

Perlembagaan Empayar Jepun 1889 (lebih dikenali sebagai "Perlembagaan Diraja" atau "Perlembagaan Meiji"), ialah perlembagaan moden pertama di negara ini yang digubal sebagai satu langkah dalam pelaksanaan Pembaharuan Meiji, dengan memperuntukkan sistem raja berperlembagaan yang seiras dengan Prusia. Justeru itu, Maharaja Jepun diperlihatkan sebagai pemerintah aktif yang banyak menggunakan kuasa politik, tetapi sebenarnya, disokong dan dikawal sepenuhnya oleh sebuah Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri yang diundi oleh Majlis Privi. Syaratnya, Perdana Menteri dan Jemaahnya tidak semestinya dipilih dari kalangan ahli-ahli terpilih dalam Diet. Menurut tatacara pemindaan biasanya, "Perlembagaan Meiji" dikaji semula sepenuhnya hingga menjadi Perlembagaan Damai pada 3 November 1946. Perlembagaan Damai berkuatkuasa semenjak 3 Mei 1947.

Perisytiharan Potsdam sunting

Pada 26 Julai 1945, para pemimpin Berikat iaitu Winston Churchill, Harry S Truman, dan Chiang Kai-Shek, mengeluarkan Perisytiharan Potsdam yang menuntut agar Jepun menyerah kalah tanpa syarat. Perisytiharan ini juga menetapkan matlamat-matlamat utama pendudukan Berikat selepas penyerahan kalah: "Kerajaan Jepun hendaklah menyingkirkan segala halangan kepada usaha membangkitkan dan mengukuhkan kecenderungan demokratik di kalangan rakyat Jepun. Kebebasan bersuara, beragama, dan berfikir, serta rasa hormat kepada hak asasi manusia hendaklah diwujudkan" (Seksyen 10). Tambahan pula, dokumen tersebut menyatakan: "Angkatan pendudukan Berikat hendaklah berundur dari Jepun sebaik sahaja objektif-objektif ini telah tercapai serta wujudnya kerajaan yang cenderung beraman dan bertanggungjawab sejajar dengan kemahuan yang bebas diungkapkan oleh rakyat Jepun" (Seksyen 12). Pihak Berikat bukan sahaja hendak menghukum atau menuntut pampasan dari musuh ketenteraan, bahkan juga perubahan asasi dalam ciri-ciri sistem politiknya. Menurut ahli sains politik Robert E. Ward: "Pendudukan ini mungkin merupakan satu operasi perubahan politik besar-besaran arahan luar yang paling menyeluruh rancangannya sepanjang sejarah dunia."

Proses draf sunting

 
Kebanyakan isi draf Perlembagaan Jepun disediakan oleh peguam AS yang berkhidmat dalam lembaga pendudukan. Gambar ini memaparkan memo rahsia yang ditulis oleh ahli-ahli lembaga mengenai perlembagaan baru.

Susnan kata-kata Perisytiharan Potsdam—"Kerajaan Jepun hendaklah menyingkirkan segala halangan ..."—dan langkah-langkah awal pasca penyerahan yang diambil oleh Douglas MacArthur selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Bersekutu (SCAP), berkata bahawa beliau sendiri ataupun orang atasannya di Washington yang berniat melaksanakan sistem politik baru di Jepun secara unilateral. Sebaliknya, mereka berhajat untuk menggalakkan kepimpinan baru Jepun agar memulakan pembaharian demokratik dengan sendirinya. Namun, pada awal tahun 1946, kakitangan MacArthur dan para pegawai Jepun berbalah mengenai isu terpentinf iaitu penulisan perlembagaan baru. Maharaja Showa (Hirohito), Perdana Menteri Shidehara Kijuro dan kebanyakan menteri jemaah teramat keberatan untuk mengambil langkah drastik iaitu menggantikan Perlembagaan Meiji 1889 dengan dokumen yang lebih liberal[1]. Pada akhir tahun 1945, Shidehara melantik Joji Matsumoto, menteri tanpa portfolio, sebagai ketua jawatankuasa cendekiaran perlembagaan terunggul untuk mencadangkan kajian semula. Cadangan Suruhanjawa Matsumoto yang diumumkan pada Februari 1946, dilihat agak konservatif sehingga ditolak terang-terangan oleh MacArthur yang kemudiannya mengarahkan orang suruhannya agar mendrafkan dokumen yang serba baru.

Kebanyakan isi dokumen baru itu dirangkakan oleh dua orang pegawai tentera kanan yang memegang ijazah perundangan, iaitu Milo Rowell dan Courtney Whitney. Perkara-perkara mengenai kesamaan sesama lelaki dan wanita dilaporkan sebagi sumbangan Beate Sirota. Biarpun kesemua pengarang dokumen ini bukan orang Jepun, namun mereka mengambil kira Perlembagaan Meiji, tuntutan para peguam Jepun, dan pandangan para pemimpin politik yang pencinta damai seperti Shidehara dan Yoshida Shigeru. Drafnya dikemukakan kepada para pegawai Jepun yang terkilan pada 13 Februari 1946. Pada 6 Mac 1946, kerajaan mendedahkan garis kasar perlembagaan akan datang kepada umum. Pada 10 April, pilihan raya umum diadakan untuk Dewan Perwakilan Diet Imperial ke-19 yang bakal mempertimbangkan usul perlembagaan. Memandangkan undang-undang pilihan raya sudah berubah, inilah kali pertama wanita Jepun dibenarkan mengundi dalam pilihan raya.

Draf MacArthur yang mencadangkan sistem perundangan ekadewan, diubah atas desakan pihak Jepun agar dijadikan perundangan dwidewan yang kedua-dua dewannya boleh diundi. Bagaimanapun, untuk hal-hal penting yang lain, gagasan yang termaktub dalam dokumen bertarikh 13 Februari itu diterima oleh kerajaan dalam usul draf sendirinya yang bertarikh 6 Mac. Ini termasuklah ciri-ciri paling menonjol dalam perlembagaan, iaitu: peranan simbolik Maharaja, kepentingan menjamin hak-hak awam dan asasi manusia, serta penolakan perang.

Penerimaan sunting

 
"Tandatangan (atas kanan) dan Mohor Diraja"
 
"Mukadimah Perlembagaan"

Dalam penerimaan dokumen baru ini, diputuskan agar Perlembagaan Meiji tidak dicabuli, sebaliknya kekalnya keberterusan undang-undang. Oleh itu, perlembagaan 1946 diterima sebagai pindaan kepada Perlembagaan Meiji selaras dengan peruntukan Perkara 73 dalam dokumen itu. Menurut Perkara 73, perlembagaan baru secara rasminya diutuskan oleh Maharaja kepada Parlimen Diraja melalui reskrip diraja yang keluar pada 20 Jun. Rangka perlembagaan itu diserahkan lalu dibincangkan sebagai Rang Undang-Undang Penyemakan Perlembagaan Diraja. Perlembagaan lama mengehendaki agar rang tersebut meraih sokongan majoriti dua pertiga dari kedua-dau Dewan Diet agar boleh digubal. Setelah kedua-dua dewan melakukan beberapa pindaan, Dewan Bangsawan meluluskan dokumen itu pada 6 Oktober; kemudian diterima dalam bentuk yang sama oleh Dewan Perwakilan pada hari keesokannya, dengan hanya lima ahli yang membangkang, dan akhirnya digubal setelah diperkenankan oleh Maharaja pada 3 November. Enam bulan kemudian, perlembagaan baru ini berkuatkuas mulai 3 Mei 1947.

Usul pindaan terawal sunting

Perlembagaan baru ini tidak mungkin digubal sebegini andai MacArthur dan orang-orang suruhannya membenarkan ahli politik dan pakar perlembagaan Jepun menyelesaikan isu ini mengikut kehendak sendiri. Difahami bahawa asal-usul asing dokumen ini menjadi titik pertikaian semenjak Jepun kembali berdaulat pada tahun 1952. Namun, pada akhir tahun 1945 hingga 1946, pembaharuan perlembagaan menjadi perbualan orang ramai, dan draf MacArthur itu kelihatan kuat dipengaruhi oleh gagasan golongan liberal Jepun tertentu. Draf MacArthur ini tidak berniat untuk melaksanakan sistem berpresiden atau persekutuan ala Amerika Syarikat, sebaliknya mengikut model kerajaan berparlimen ala British yang dipandang oleh golongan liberal sebagai alternatif terbaik kepada faham kemutlakan Eropah yang termaktub dalam Perlembagaan Meiji.

Selepas tahun 1952, golongan konservatif dan nasionalis cuba mengkaji semula perlembagaan agar berupa lebih "kejepunan", namun cubaan mereka ini gagal kerana betapa sukarnya memindanya. Apa-apa pindaan memerlukan kelulusan dua pertiga ahli kedua-dua dewan Diet sebelum dibentangkan kepada rakyat dalam bentuk pungutan suara (Perkara 96). Begitu juga, parti pembangkang yang menduduki lebih satu pertiga kerusi Diet adalah penyokong tegar kepada status quo perlembagaan. Lebih-lebih lagi, ahli-ahli parti pemerintah Parti Demokratik Liberal (LDP) mendapati perlembagaan sedia ada memanfaatkan mereka kerana mereka dapat mereka proses pembuatan dasar yang sesuai dengan kepentingan mereka dalam rangka perlembagaan. Yasuhiro Nakasone, seorang penyokong kuat semakan perlembagaan sepanjang kerjaya politiknya, juga tidak mengheboh-hebohkan isu ini ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari tahun 1982 hingga 1987.

Peruntukan utama sunting

Struktur sunting

Perlembagaan ini panjangnya lebih kurang 5,000 perkataan, terdiri daripada mukadimah dan 103 yang dikumpulkan dalam 11 bab, iaitu:

  • I. Maharaja (1–8)
  • II. Penolakan Perang (9)
  • III. Hak dan Tanggungjawab Rakyat (10–40)
  • IV. Diet (41–64)
  • V. Jemaah Menteri (65–75)
  • VI. Kehakiman (76–82)
  • VII. Kewangan (83–91)
  • VIII. Kerajaan Tempatan (92–95)
  • IX. Pindaan (96)
  • X. Undang-Undang Tertinggi (97–99)
  • XI. Peruntukan Tambahan (100–103)

Prinsip pembentukan sunting

Perlembagaan ini mengandungi pengisytiharan kukuh prinsip kedaulatan rakyat dalam mukadimahnya, yang diisytiharkan atas nama "rakyat Jepun" serta mengisytiharkan bahawa "kuasa kedaulatan terletak pada rakyat" dan

kerajaan ialah amanah suci rakyat, pihak berkuasa yang berpunca dari rakyat, yang kuasa-kuasanya digunakan oleh wakil-wakil rakyat, dan manfaat-manfaatnya dinikmati oleh rakyat.

Kenyataan ini bertujuan menafikan teori perlembagaan sebelumnya bahawa kedaulatan terletak dalam tangan Maharaja. Perlembagaan menegaskan bahawa Maharaja sekadar lambang dan baginda meraih "kedudukannya dari restu rakyat yang memegang kuasa kedaulatan" (Perkara 1). Teks perlembagaan juga menegaskan doktrin liberal hak asasi manusia. Perkara 97 menyatakan

hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan ini kepada rakyat Jepun merupakan hasil perjuangan manusia demi kebebasan sepanjang zaman; hak-hak ini telah banyak mengharungi ujian agar tidak boleh dicabuli buat selamanya untuk generasi masa kini dan akan datang.

Alat-alat kerajaan sunting

Fail:Politics Under Perlembagaan Jepun 04.png
Politik di Bawah Perlembagaan Jepun

Perlembagaan ini mengasaskan sistem kerajaan berparlimen. Maharaja melaksanakan kebanyakan peranan ketua negara tetapi peranan baginda sekadar beristiadat. Berbeza dengan raja berperlembagaan di negara lain, baginda tidak memiliki apa-apa kuasa simpanan. Kuasa perundangan terletak dalam sebuah Diet Kebangsaan dwidewan. Jika sebelum ini dewan pertuanannya terdiri daripada golongan bangsawan, perlembagaan baru ini menetapkan agar kedua-dua dewan diisi oleh pengundian secara langsung. Kuasa eksekutif dilaksanakan oleh seorang Perdana Menteri dan jemaah menteri yang bertanggungjawab kepada penguasa perundangan, manakala kuasa kehakiman diketuai oleh sebuah Mahkamah Agung.

Hak individu sunting

"Hak dan tanggungjawab rakyat" tersiar terang-terang dalam perlembagaan pascaperang. 31 daripada kesemua 103 perkaranya dikhaskan untuk menghuraikan hak dan tanggungjawab tersebut secara cukup terperinci, sebagai mencerminkan komitmen untuk "menghormati hak asasi manusia" seperti yang digariskan dalam Perisytiharan Potsdam. Walaupun Perlembagaan Meiji juga diisi seksyen yang dikhaskan untuk "hak dan tanggungjawab rakyat bangsa taklukan" yang menjamin "kebebasan bersuara, bertulis, berpenerbitan, berapat umum, dan berpersatuan", namun hak-hak ini dikurniakan "dalam batasan undang-undang". Kebebasan beragama dibenarkan "selagi tidak bercanggah dengan tanggungjawab bangsa taklukan" (semua rakyat Jepun diwajibkan mengakui ketuhanan Maharaja; sesiapa yang enggan berbuat demikian atas sebab keagamaan, misalnya penganut Kristian, boleh dituduh atas kesalahan lèse-majesté). Kebebasan-kebebasan sebegini digariskan dalam perlembagaan pascaperang tanpa syarat.

  • Kebebasan: Perlembagaan menegaskan hak rakyat untuk "dihormati sebagai individu", serta berhak untuk menikamti "kehidupan, kebebasan dan mengejar kebahagiaan" asalkan tidak mencabuli "kebajikan awam" (Perkara 13).
  • Kesamarataan: Perlembagaan menjamin kesamarataan di sisi undang-undang serta melarang diskriminasi berasaskan "hubungan politik, ekonomi atau sosial" atau "kaum, kepercayaan, jantina, darjat atau asal-usul keluarga" (Perkara 14). Hak mengundi tidak boleh ditentukan atas dasar "kaum, kepercayaan, jantina, darjat, asal-usul keluarga, pendidikan, hartanah atau pendapatan" (Perkara 44). Kesamarataan antara jantina dijamin terang-terangan berhubung perkahwinan (Perkara 24) dan pendidikan kanak-kanak (Perkara 26).
  • Larangan kebangsawanan: Perkara 14 melarang pengiktirafan bangsawan oleh negara. Gelaran kehormat boleh dikurniakan asalkan tidak bersifat keterwarisan atau mengurniakan keistimewaan.
  • Pilihan raya demokratik: Perkara 15 menetapkan bahawa "rakyat memiliki hak yang tak terpisah untuk memilih atau memecat pegawai awam", serta menjamin hak mengundi umum (untuk rakyat berusia 20 ke atas) dan undi sulit.
  • Larangan perhambaan: Dijamin oleh Perkara 18. Pengabdian paksaan hanya dibenarkan sebagai hukuman jenayah.
  • Kebebasan beragama: Walau bagaimanapun, kerajaan dilarang mengurniakan keistimewaan atau kuasa politik kepada sesebuah agama, atau mengadakan pendidikan keagamaan (Perkara 20).
  • Kebebasan berhimpun, berpersatuan, bersuara, dan berhubung secara rahsia: Semuanya dijamin tanpa syarat oleh Perkara 21 yang melarang penapisan.
  • Hak pekerja: Pekerjaan diisytiharkan sebagai hak dan kewajipan untuk bekerja mengikut Perkara 27 yang juga menyatakan bahawa "piawaian upah, waktu bekerja dan rehat, dan syarat pekerjaan lain akan ditentukan oleh undang-undang" dan melarang eksploitasi kanak-kanak. Para pekerja berhak menyertai kesatuan sekerja (Perkara 28).
  • Hak terhadap harta: Dijamin tertakluk pada "kebajikan awam". Kerajaan boleh mengambil harta untuk kegunaan awam asalkan membayar pampasan yang setimpal (Perkara 29). Kerajaan juga berhak mengenakan cukai (Perkara 30).
  • Hak untuk proses sebenar: Perkara 31 menetapkan bahawa tiada sesiapa boleh dihukum "kecuali mengikut tatacara undang-undang".
  • Perlindungan dari penahanan yang tidak sah: Perkara 33 menetapkan bahawa tiada sesiapa yang boleh ditahan tanpa waran tangkap, selain yang ditangkap in flagrante delicto. Perkara 34 menjamin habeas corpus, hak untuk guaman, dan hak untuk makluman tuduhan. Perkara 40 memaktubkan hak untuk menyaman kerajaan atas penahanan yang tidak sah.
  • Hak untuk perbicaraan adil: Perkara 37 menjamin hak untuk perbicaraan awam menghadap tribunal tidak berat sebelah dengan peguam bela serta mewajibkan akses kepada saksi.
  • Perlindungan dari menyabit salah diri sendiri: Perkara 38 menentukan agar tiada sesiapa yang boleh dipaksa memberi keterangan untuk menyabit kesalahan diri, bahawa pengakuan yang diperoleh dalam keadaan dures tidak boleh diterima, dan tiada sesiapa yang boleh disabit kesalahan berasaskan pengakuan diri semata-mata.

Peruntukan lain sunting

  • Penolakan peperangan: Mengikut Perkara 9 perlembagaan, "rakyat Jepun menolak peperangan sebagai hak kedaulatan negara serta ugutan dan penggunaan keganasan sebagai cara menyelesaikan pertikaian antarabanga selama-lamanya". Lebih-lebih lagi, perkara ini menetapkan bahawa "angkatan darat, laut dan udara, serta mana-mana potensi perang yang lain, tidak akan disimpan lagi".
  • Kajian semula kehakiman: Perkara 98 menguntukkan bahawa perlembagaan mengatasi mana-mana "undang-undang, ordinan, reskrip diraja atau mana-mana tindakan kerajaan lain" yang menyalahi peruntukannya.
  • Undang-undang antarabangsa: Perkara 98 menguntukkan bahawa "perjanjian-perjanjian yang diselesaikan oleh Jepun serta mewujudkan undang-undang antara negara wajar dipatuhi dengan taatnya". Dalam kebanyakan negara, pihak perundangan berwajib menentukan sejauh mana perjanjian yang diselesaikan oleh kerajaan dicerminkan dalam undang-undang dalam negara. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya secara teori mengikut Perkara 98, undang-undang antarabangsa dan perjanjian-perjanjian yang diratifikasi oleh Jepun secara automatik menjadi sebahagian undang-undang dalam negara.

Pindaan dan kajian semula sunting

Semenjak digubal pada tahun 1947, Perlembagaan Jepun tidak pernah dipinda sesekali pun. Perkara 96 menguntukkan bahawa pindaan boleh dilakukan pada mana-mana bahagian perlembagaan. Mula-mula, usul pindaan mesti diluluskan oleh kedua-dua dewan Diet, dengan majoriti sekurang-kurangya dua pertiga dari setiap dewan. Kemudian, usul tersebut harus diserahkan kepada pungutan suara yang mana undian majoriti mudah adalah memadai. Pindaan yang berjaya akhirnya diisytiharkan oleh Maharaja, tetapi baginda tidak boleh memveto pindaan tersebut.

Sesetengah pihak berpendapat bahawa kesukaran proses pemindaan digemari oleh para penulisnya yang berbangsa Amerika dengan harapan agar asas kerajaan yang dikenakan oleh mereka pasti sukar diubah-ubah. walaupun beigtu, bagi rakyat Jepun sendiri, apa-apa perubahan kepada perlembagaan serta penyelesaian pascaperang yang termaktub dalamnya boleh menimbulkan kontroversi yang hangat. Dari 1960-an hingga 1980-an, kajian semula perlembagaan jarang-jarang dibahaskan.[2] Pada 1990-an, akhirnya pihak berhaluan kanan dan konservatif berani melanggar beberapa pantang-larangnya,[2] misalnya akhbar Yomiuri Shimbun yang menyiarkan cadangan agar perlembagaan dikaji semula pada tahun 1994.[2] Pada zaman inilah, golongan berhaluan kanan inilah yang mendesak-desak agar perlembagaan dikaji semula, tetapi pada masa yang sama ditentang hebat oleh sebilangan besar pertubuhan dan individu[3] yang menyokong "perlembagaan damai."

Amalan jaminan hak asasi manusia sunting

Biarpun perlembagaan menjamin hak untuk dibicarakan dengan adil, namun kadar sabitan di Jepun menghampiri 99%. Dalam satu kajian, kadar sabitan dalam perbicaraan yang dipertandingkan di Jepun pada tahun 1994 mencatat 98.8%, berbanding dengan kadar seumpamanya dalam perbicaraan persekutuan Amerika Syarikat yang hanya pada 30.9% pada tahun yang sama. Rupa-rupanya kadar tinggi ini disebabkan perbelanjaan terhad untuk pendakwa raya di Jepun berbanding dengan AS, maka terpaksalah kes-kes paling kukuh yang dapat dikenakan dakwaan, tanpa bukti sikap berat sebelah hakim sebagai faktor yang jelas.[4]

Lihat juga sunting

Catatan dan rujukan sunting

  1. ^ John Dower, Embracing Defeat, 1999, pp.374, 375, 383, 384.
  2. ^ a b c http://www.fas.harvard.edu/~rijs/crrp/index.html
  3. ^ http://www.fas.harvard.edu/~rijs/crrp/web_archive/ngos.html
  4. ^ Ramseyer, J. Mark; Rasmusen, Eric (2001), "Why is the Japanese Conviction Rate So High?" (PDF), Journal of Legal Studies, 30 (1): 53–88, doi:10.1086/468111 Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  • Kishimoto, Koichi. Politics in Modern Japan. Tokyo: Japan Echo, 1988. ISBN 4-915226-01-8. Pages 7–21.
  • Library of Congress Country Study on Japan
  • "新憲法制定推進本部" (PDF). Liberal Democratic Party website. Diarkibkan daripada yang asal pada 2006-02-07. Dicapai pada February 3, 2006. Unknown parameter |dateformat= ignored (bantuan) Laman web Shin Kenpou Seitei Suishin Honbu, Parti Demokratik Liberal . Dalam bahasa Jepun.
  • Rethinking the Constitution: An Anthology of Japanese Opinion, Uleman, F. (transl), 2008, ISBN 1-4196-4165-4
  • "新憲法草案" (PDF). Liberal Democratic Party's Center to Promote Enactment of a New Constitution website. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2006-02-07. Dicapai pada 3 Feb 2006. Unknown parameter |dateformat= ignored (bantuan) Shin Kenpou Sou-an, Rangka Perlembagaan Baru. Keluaran Parti Demokratik Liberal pada 22 November 2005. Format PDF, dalam bahasa Jepun.

Rencana ini mengandungi bahan daripada Perpustakaan Kongres Pengajian Negara yang merupakan terbitan pemerintah Amerika Syarikat dalam domain awam.

Pautan luar sunting