Persatuan Penggiat Industri Nasyid

Persatuan Penggiat Industri Nasyid (PIN) Ditubuhkan sejak 2006 tetapi usaha penubuhannya telah berjalan sejak sedekad sebelumnya ketika irama nasyid daripada Kumpulan Raihan memberikan ledakannya dalam industri muzik tempatan. Objektifnya juga adalah untuk mengumpulkan semua penggiat industri dalam satu wadah bagi merapatkan hubungan silaturahim, interaksi dan membantu dalam hal ehwal kebajikan ahli serta membimbing kumpulan nasyid baru.

Persatuan ini membuka penyertaan kepada semua yang terlibat dalam industri sama ada di depan tabir (artis) mahupun di belakang tabir tidak sahaja pencipta lagu/lirik malah wartawan, jurugambar, pereka grafik dan yang berkaitan. Dengan motto Hiburan Mendidik Insan Sejagat tujuan utama penubuhannya adalah untuk menaikkan industri sebagai medan dakwah dan mesej hiburan alternatif kepada khalayak.

Yuran pendaftaran keahlian ialah RM25 sementara yuran tahunan ialah RM20 dan ketika ini PIN mempunyai kira-kira 100 ahli antaranya hampir kebanyakan kumpulan dan penyanyi nasyid kontemporari.PIN juga menawarkan khidmat-khidmat pengurusan dan penganjuran acara yang dikendalikan melalui nasyeed.com. nasyeed.com turut mempunyai studio rakaman, studio latihan, penyewaan sistem audio visual dan penataan cahaya selain kerja-kerja grafik dan penerbitan laman web.

Nasyid hari ini bukan lagi sebuah komuniti kecil dalam bidang seni dan hiburan tempatan sebaliknya telah berkembang menjadi satu industri sejak lebih sedekad lalu. Ia bermula dengan kehadiran kumpulan Raihan yang meledakkan irama itu dalam arena arus perdana. Kemudian beberapa kumpulan nasyid popular lain muncul dengan mengetengahkan irama kontemporari yang selari dengan kehendak pasaran semasa. Anjakan itu nyata bukan sahaja mewarnai dunia nasyid tempatan malah turut membawa para penyanyinya mengembara ke beberapa benua termasuk Eropah dan Afrika.

Lihat juga sunting