Pertabalan Sultan Kedah ke-29

Pertabalan Sultan Kedah ke-29 diadakan pada 22 Oktober 2018 di Istana Anak Bukit bagi menabalkan Sultan Sallehuddin sebagai Sultan Kedah ke-29 berikutan kemangkatan sultan sebelum baginda iaitu Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, paduka kakanda baginda pada bulan September 2017. Pertabalan ini merupakan pertabalan Sultan Kedah yang pertama kali diadakan sejak 59 tahun yang lalu.

Pertabalan Sultan Kedah ke-29
Tarikh22 Oktober 2018 (2018-10-22)
LokasiIstana Anak Bukit, Kedah
Hadirin

Latar belakang sunting

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat pada 11 September 2017 lalu Raja Muda Kedah, Tunku Sallehuddin diangkat sebagai Sultan Kedah ke-29 berikutan kemangkatan paduka kakanda baginda. Setelah itu, baginda telah dikurniakan beberapa darjah kebesaran dari negeri-negeri di Malaysia serta pemasyhuran Raja Muda dan Sultanah yang baharu.

Sebelum pertabalan sunting

Lima acara utama menuju pertabalan berkenaan ialah Istiadat Meletak Kerja di Balai Besar pada 20 September, Istiadat Ziarah Makam di Makam Diraja Langgar (5 Oktober), Istiadat Siram Tabal di Istana Anak Bukit (14 Oktober), Istiadat Perbarisan dan Perarakan di Dataran Balai Besar (20 Oktober) dan disusuli Istiadat Pertabalan di Istana Anak Bukit pada 22 Oktober.[1]

Istiadat Meletak Kerja sunting

Istiadat Meletak Kerja ialah istiadat pertama bagi memohon limpah perkenan Sultan untuk istiadat pertabalan baginda dan istiadat ini diadakan di Balai Besar, Kedah pada 20 September.[2]

Istiadat Ziarah Makam sunting

Istiadat Ziarah Makam ialah istiadat bagi membaca doa ke hadapan 11 Almarhum Sultan dan Almarhumah paduka bonda baginda.[3]

Istiadat Siram Tabal sunting

Istiadat Siram Tabal disempurnakan di Dataran Kepala Tanjung, Istana Anak Bukit pada 14 Oktober dengan menyirami air mata air dan air zamzam ke atas Sultan dan Sultanah Kedah.[4]

Istiadat Perbarisan dan Perarakan Kehormat sunting

Istiadat Perbarisan ialah istiadat bagi mengarak Sultan Kedah yang bakal ditabal dengan menaiki bahtera diraja yang bergelar Bahtera Layang Emas dari Dataran Wisma Darul Aman sehingga Dataran Medan Bandar bagi istiadat perarakan kehormat.[5]

Pertabalan sunting

Istiadat bermula dengan perarakan masuk pegawai-pegawai yang membawa Cogan Agama, Cogan Alam, Cokmar, Pedang, Tombak dan Lembing, Juru-juru iring tentera dan polis didahului oleh Datuk Paduka Seri Maharajalela, Ketua Istiadat Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah Shahbuddin. Pada keberangkatan masuk Kebawah Duli-Duli Tuanku ke Balairung Seri, bacaan selawat telah dilafazkan lalu paluan nobat dimainkan. Baginda berdua selepas itu berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan pembawa-pembawa alat kebesaran Diraja serta juru-juru iring mengambil tempat. Dato' Paduka Ketua Istiadat kemudiannya mengadap baginda dan memohon limpah perkenan untuk memulakan istiadat dan Datuk-Datuk Bergelar membawa masuk peralatan pertabalan dan diletak di meja khas. Peralatan pertabalan itu terdiri daripada al-Quran, Watikah Kebawah DYMM Tuanku Sultan, Surat Perisytiharan, Surat Sumpah Diraja, Keris Kerajaan, Puan Sirih, Tengkolok Emas, Kendi Emas, Benian (sebuah peti yang mengandungi barang-barang berharga yang melambangkan kekuasaan dan kekayaan Sultan Kedah) dan Bekas Perasap Kemeyan.

Mufti Kedah Dato' Sheikh Fadzil Awang diiringi Datuk Setia Jaya dan Datuk Murshid DiRaja selepas itu memimpin bacaan doa serta membaca lapan kalimah ayat dari Surah Ali Imran, Ayat 26. Ketua Istiadat mengadap baginda Sultan dan mempersembahkan al-Quran dan baginda menerima, mengucup dan meletakkan al-Quran itu di tempat khas.

Dato' Seri Mukhriz selepas itu membacakan Watikah Perisytiharan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah dan Dato' Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan skrol Watikah Sumpah Jawatan untuk dibaca baginda Sultan. Selesai pembacaan watikah itu, Dato' Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda untuk mempersembahkan Keris Kerajaan. Keris Kerajaan melambangkan "kebesaran kedaulatan dan kekuasaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku". Sultan Sallehuddin kemudiannya mengambil Keris Kerajaan, menghunus serta mengucup dan meletaknya di meja khas.

Dato' Paduka Ketua Istiadat selepas itu membuat pengumuman: “Dengan Izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah ditabal sebagai Sultan Negeri Kedah Yang Ke-29” Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin yang disusuli laungan, “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali diikuti oleh para hadirin yang hadir. Nobat kemudiannya dipalu disusuli tembakan meriam 21 das dan Payung Istiadat dikembangkan dan setelah paluan nobat itu, lagu negeri Kedah Allah Selamat Sultan dimainkan.

Sebaik Sultan Sallehuddin berangkat bersemayam semula di atas singgahsana, Raja Muda Kedah mempersembahkan ucapan sabda tahniah bagi mewakili kerabat diraja dan selepas itu Menteri Besar mengambil giliran memberikan ucapan tahniah bagi mewakili kerajaan dan rakyat. Sebaik tamat, Sheikh Fadzil sekali lagi memimpin bacaan doa dan selepas itu Dato' Paduka Ketua Istiadat mengadap baginda dan mempersembah maklum memohon limpah perkenan untuk menamatkan istiadat.

Hadirin dan hadirat sunting

Para ahli kaum kerabat diraja Negeri Kedah Darul Aman dan wakil Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berkenan berangkat mencemar duli ke istiadat pertabalan. Menteri Besar Kedah serta Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Kedah turut menghadiri pertabalan ini.[6]

Mengikut urutan keberangkatan masuk dan ketibaan ke Balairung Seri:

Selepas pertabalan sunting

Pesta Rakyat telah diadakan di Taman Jubli Emas bagi meraikan pertabalan yang telah diadakan.

Rujukan sunting

  1. ^ Jamillah Abdullah (5 September 2018). "Lima acara utama sempena pertabalan Sultan Kedah yang ke-29, 22 Okt". Utusan Online. Dicapai pada 17 Oktober 2018.
  2. ^ "Istiadat letak kerja sempena pertabalan Sultan Kedah bermula". Berita Harian. 20 September 2018. Dicapai pada 27 Oktober 2018.
  3. ^ "Sultan dan Sultanah Kedah berangkat ke Istiadat Ziarah Makam". BERNAMA. 5 Oktober 2018. Dicapai pada 27 Oktober 2018.
  4. ^ "Sultan, Sultanah Kedah berkenan sempurnakan istiadat Siram Tabal". Utusan Online. 14 Oktober 2018. Dicapai pada 27 Oktober 2018.
  5. ^ "50,000 banjiri Alor Setar saksikan perarakan, perbarisan diraja". Utusan Online. 20 Oktober 2018. Dicapai pada 27 Oktober 2018.
  6. ^ "Sultan Sallehuddin selamat ditabal Sultan Kedah". Harian Metro. 22 Oktober 2018. Dicapai pada 23 Oktober 2018.