Pertempuran Allia

(Dilencongkan dari Pertempuran Allia (390 SM))

Pertempuran Allia tercetus pada tahun 390 SM antara Senones (puak Gaul yang menceroboh utara Itali) dan Republik Rom. Pertempuran ini berlaku di tempat pertempuan antara Sungai Tiber dan Allia yang terletak sebelas batu utara daripada Rom. Tentera Rom telah dipintas musuh sebelum kota Rom dijarah oleh Senones.

Pertempuran Allia
Sebahagian daripada Peperangan Rom-Gaul

Pertempuran Allia, hasil karya G. Surand
Tarikh18 Julai 390 SM (tradisional), 387 SM (berkemungkinan)
Lokasi
Sungai Allia, berhampiran Rome
Keputusan

Kemenangan muktamad Gaul

  • Gaul menjarah Rom
    • Kebanyakan senator dibunuh
Pihak yang terlibat
Republik Rom Gauls (Senones, Arverni...)
Komandan dan pemimpin
Tribune ketenteraan bersama kuasa konsul.[1][2] Terdapat enam orang tribune. Sumber-sumber tidak menyebut berapa bilangan yang bertempur dalam pertempuran. Brennus
Kekuatan
Dianggarkan: 15,000,[3] 24,000,[4][5] 35,000,[6] dan 40,000[7] Dianggarkan: 12,000, lebih daripada 40,000, dan 30–70,000
Kerugian dan korban
Berat Ringan

Latar belakang sunting

Asal usul tanah air Gaul masih diperdebatkan tetapi sejarawan bersetuju bahawa tanah asal mereka terletak di utara dan timur Alps iaitu antara kawasan selatan Perancis moden dan lembangan Danube. Pada penghujung kurun ke-7 SM, penduduk Gaul yang padat dan berlebihan di kawasan itu menyebabkan mereka mula mencari tanah-tanah baru. Difahamkan Gaul telah menjalankan kegiatan perdagangan dengan Yunani dan Etruscan. Terdapat sesetengah sumber kuno menyatakan bahawa wain yang diperoleh Gaul daripada Etruscan menggalakkan mereka untuk berasa yakin dengan tanggapan tanah Itali merupakan kawasan yang paling subur.

Sekitar tahun 600 SM, raja legenda Gaul iaitu Bellovesus telah memimpin beberapa jumlah suku untuk mengharungi kawasan pergunungan Alps. Mereka telah menewaskan penduduk Etruscan tempatan lalu menubuhkan beberapa buah kota antaranya Mediolanum yang kini dikenali sebagai Milan. Selama dua kurun berikutnya, puak Gaul melangkah mara ke kawasan tengah Itali sebelum mereka bertembung dengan Rom yang berkembang pesat.

Sementara itu, Lucius Junius Brutus telah menggulingkan pemerintahan raja terakhir Rom pada tahun 509 SM. Beliau dengan segeranya menerajui Republik Rom memasuki satu tempoh yang dikenali sebagai Konflik Arahan apabila Plebs bergelut menentang Patrician untuk mendapatkan kesamaan politik. Kekacauan dalaman ini berterusan selama lebih daripada 200 tahun. Pada penghujung kurun ke-5 SM, Plebs berjaya untuk menamatkan pemilihan konsul-konsul buat sementara waktu apabila konsul itu telah digantikan oleh konsul tribune. Jawatan yang baru ini mempunyai kuasa yang sama dengan kuasa konsul tetapi Plebs diberi kebenaran untuk menjawat kedudukan itu. Bilangan tribune kebiasannya berada dalam lingkungan antara dua hingga lapan orang. Rom juga memulakan amalan pelantikan diktator ketika saat-saat krisis dan pemimpin-pemimpin tentera ini berkuasa penuh ke atas republik selama tempoh enam bulan. Angkatan tentera Rom juga dilihat berbeza apabila legiun bertempur dalam bentuk phalanx hoplitus.

Walaupun berhadapan dengan pergolakan dalaman, Rom telah meraih beberapa kemenangan ke atas kerajaan jiran untuk menjamin keselamatan wilayah di sekitar kota Rom. Pada tahun 406 SM, Rom mengisytiharkan perang ke atas musuh seterunya yang juga merupakan sebuah kota Etruscan, Veii. Pada awal tahun peperangan, Rom tidak berjaya untuk mengecapi kejayaan tetapi segalanya berubah komander berpengalaman, Marcus Furius Camillus telah dilantik sebagai konsul tribune pada tahun 401 SM. Camillus berjaya menawan kota-kota yang bersekutu dengan Veii sekali gus membolehkan Rom untuk mengepung kota Veii. Pengepungan berlanjutan selama lima tahun sebelum tentera Rom yang keletihan menjulang Camillus sebagai seorang diktator pada tahun 396 SM. Beliau telah menyerang kubu kota Veii melalui sistem kumbahan sebelum berjaya menamatkan peperangan.

 
Ketua puak Gaul, Brennus dalam bentuk boneka moden.

Walaupun dilabel sebagai wira peperangan, Camillus bukanlah seorang yang terkenal antara penduduk Rom yang lain apabila beliau menghalang percubaan Plebs untuk menghuni kota Veii. Beliau juga telah memaksa tentera-tenteranya untuk menyerahkan sebahagian daripada harta rampasan kepada dewa-dewa. Ketidakpuasan hati terhadap dirinya terus bertambah apabila musuh Rom yang lain iaitu kota Falerii telah dihalang oleh Camillius untuk melakukan penjarahan sekali gus menandakan tentera Rom tidak akan memperoleh barang rampasan perang. Berdepan tuduhan merampas barang jarahan perang, Camillius telah digugurkan gelarannya sebelum beliau diusir. Menurut legenda, beliau telah berhenti di hadapan pintu gerbang kota, menghulurkan tangannya ke arah Capitol dan berdoa kepada dewa supaya menghukum Rom dengan cara sedemikian supaya mereka kembali mendapatkan khidmat Camillius semula.

Dari utara, salah satu puak Gaul iaitu Senones di bawah pimpinan Raja Brennus telah menakluk bahagian perairan timur Itali pada tahun 400 SM. Pada tahun 391 SM, mereka telah mengepung sebuah kota milik Etruscan, Clusium. Kota itu seterusnya meminta pertolongan daripada Rom. Tiga orang utusan telah dihantar oleh Rom kepada Brennus. Apabila mereka bertanya kepada Brennus akan sebab beliau mengepung Clusium, raja itu membalas beliau menyerang kota itu atas sebab yang sama tentera Rom menyerang jirannya. Utusan-utusan Rom itu berkemungkinan berasa terhina akan jawapan raja itu. Mereka kemudiannya pulang kembali ke dalam kota dan menghasut penduduk kota untuk keluar bertempur menentang Serones. Lalu, pertempuran pun tercetus dan kedua-dua pihak dilihat agak sepadan. Pada suatu masa, salah seorang daripada utusan Rom itu ikut serta membantu Clusium keluar bertempur. Brennus ternampak akan kelibatnya lalu bertindak marah akan kelakuan utusan tersebut yang mengingkari undang-undang diplomatik kuno. Pihak Gaul akhirnya berjaya menguasai Clusium sebelum mereka mara menuju ke Rom. Mereka juga mengirim surat kepada Rom memintanya untuk menghukum utusan itu tetapi telah ditolak.

Pertempuran sunting

Jarak antara Rom dan Clusium ialah lebih kurang 200 kilometer. Jadi, Serones mungkin menempuh perjalanan yang memakan masa selama sepuluh hari sekali gus memberikan peluang kepada Rom untuk menghimpunkan tentera-tenteranya. Walau bagaimanapun pada masa itu, tentera Rom tidak begitu profesional. Secara tidak langsung, perkara ini membawa kepada kemungkinan bahawa sebahagian besar rekrut tentera tersebut tidak mempunyai latihan ketenteraan. Jumlah bilangan tentera masih lagi dalam topik perbincangan dan sesetengah sumber mendakwa bilangan kedua-dua pihak telah mencecah sehingga 70,000 tentera. Dakwaan ini amat sukar untuk dibayangkan apabila satu suku dan sebuah negara kota mampu menempatkan tentera yang begitu banyak. Jadi, bilangan antara 15,000 hingga 20,000 tentera untuk kedua-dua pihak dilihat sebagai cadangan yang berasas untuk menggambarkan pertempuran ini.

Selepas mendapat berita kedatangan tentera Gaul, tentera Rom yang dipimpin oleh konsul tribune bertindak untuk keluar daripada kota dan menyeberangi Sungai Tiber. Lalu, mereka membentuk barisan yang dikenali sebagai phalanx di sebuah tempat yang dikenali sebagai Allia. Pasukan sayap kiri Rom terletak berhampiran kawasan sungai manakala pasukan sayap kanan Rom ditempatkan di atas kawasan bukit yang berkemungkinan untuk memanfaatkan kawasan tanah tinggi. Namun, perkara ini telah menyebabkan barisan tentera Rom menjadi terlalu tegang dan bahagian pusatnya menjadi lemah. Pada masa yang sama, rekrut Rom yang tidak berpengalaman telah ditempatkan di kawasan bukit.

Tentera Gaul telah mengambil posisi bertentangan dengan tentera Rom. Tentera terbaik mereka telah ditempatkan di bahagian kiri. Mereka melancarkan serangan yang melibatkan semua barisan dengan melontarkan lembing-lembing sebelum mereka terus mengikat rapat dengan tentera Rom. Sesetengah sumber telah mendakwa bahawa pedang Gaul tidak mempunyai masalah untuk membelah tombak Rom. Sebaik sahaja kedua-dua pihak ini bertembung, tentera Rom di bahagian sayap kanan mula diasak di kawasan bukit. Sementara itu, pasukan sayap kiri Rom pula telah diberi tekanan oleh tentera musuh sehingga menyebabkan mereka semua terperangkap dikelilingi kawasan sungai. Oleh kerana tentera pusat Rom terlalu lemah untuk memberikan bantuan kepada pasukan sayap lain serta tiada lagi pasukan simpanan yang tinggal, tentera Gaul akhirnya berjaya mencerai-beraikan tentera Rom kepada dua bahagian. Tidak lama kemudian, tentera Rom terus berundur. Pasukan sayap kiri Rom cuba untuk berenang menyeberangi sungai namun ramai yang lain telah lemas. Sisa tentera Rom telah melarikan diri menuju ke Veii. Keadaan yang sama menimpa pasukan sayap kanan Rom apabila mereka turut sama berundur untuk menuju ke Rom.

Penjarahan sunting

Sekurang-kurangnya separuh daripada angkatan tentera Rom telah terkorban manakala tentera Brennus hanya menghadapi sedikit angka korban. Tentera-tentera Rom yang melarikan diri dari medan perang telah mencetuskan panik di Rom. Sebahagian besar penduduk Rom telah meninggalkan kota itu manakala para pembesar dan saki-baki tentera telah berpindah ke Bukit Capitoline untuk berkubu di sana. Kejayaan Gaul dalam pertempuran itu sudah jelas telah memeranjatkan mereka. Mereka menunggu selama tiga hari sebelum melangkah masuk ke dalam kota Rom. Kejutan lain telah menanti mereka semua apabila pintu gerbang kota telah ditinggalkan tanpa dipertahankan.

Terdapat legenda menyebut bahawa seramai sedozen aritokrat Rom mengambil keputusan untuk terus berada di kerusi forum dan kelibat mereka sama sekali telah membingungkan tentera Gaul. Kemudian, salah seorang daripada mereka telah membunuh senator sebelum tempat itu berubah menjadi sebuah tempat mandi berdarah. Percubaan Brennus untuk menguasai Capitoline telah menemui kegagalan. Jadi, tentera Gaul bertindak untuk merampas barang berharga sebelum membakar kota itu.

Oleh sebab mereka kini menghadapi kekurangan bekalan yang diperlukan untuk terus mengepung Capitoline, bahagian tentera Gaul yang ditugaskan untuk mencari bekalan makanan telah dihantar ke kawasan pedalaman. Salah satu daripada bahagian tentera yang besar itu berjaya melepasi berhampiran kota Ardea yang merupakan tempat tinggal Camillus dalam buangan. Jeneral Rom itu telah menggunakan semua talentnya untuk memujuk orang Ardea supaya menyerang askar Gaul. Pada waktu malam, kumpulan kecil tentera Camillus telah mengelilingi tentera Gaul. Mereka mula menjerit dan meniup trompet lalu membuatkan tentera-tentera musuh menjadi keliru. Camillus mengarahkan serangan segera dan tentera Gaul hanya sedikit sahaja mampu melakukan penentangan serta melarikan diri.

Khabar angin mengenai pertempuran itu telah tersebar hingga ke kota Veii yang menempatkan sebuah angkatan tentera Rom. Mereka dengan segeranya meminta Camillus untuk mengambil alih sebagai ketua arahan mereka semua. Camillus kemudiannya menolak dengan menyatakan bahawa pembesar-pembesar di Capitoline perlu melantik dirinya terlebih dahulu. Dicatatkan bahawa terdapat seorang pemuda dalam kalangan masyarakat Rom yang berjaya menghantar surat ke Capitoline dengan melepasi perondaan tentera Gaul. Saki-baki anggota Senat seterusnya bersidang dan melantik Camillus menjadi diktator. Selepas mendapat perkhabaran ini, Camillus menuju ke kota Veii bersama dengan orang Ardea dan sekutunya yang lain.

Malangnya bagi Rom apabila tentera Gaul berpeluang menjejaki utusan pemuda itu. Satu kumpulan besar tentera ini cuba untuk memanjat cenuram dan disudahkan di tembok. Terdapat legenda yang menceritakan bahawa pengawal pertahanan di sana sudah berasa berpuas hati lalu tertidur. Tentera Rom semua itu seterusnya diselamatkan oleh angsa suci yang dimiliki oleh Rumah Berhala Jino Moneta. Suara angsa-angsa itu telah mengejutkan tentera pertahanan sekali gus membolehkan mereka untuk menangkis serangan musuh.

Keadaan dilihat tidak memihak kepada Gaul. Pengepungan berlangsung selama tujuh bulan berikutnya sehingga menyebabkan mereka dilanda penyakit. Bekalan-bekalan juga semakin berkurangan apabila tentera Gaul yang memburu bekalan di kawasan pedalaman telah dikerjakan oleh Camillus. Namun, tentera pertahanan di Capitoline juga ditimpa kebuluran. Maka, kedua-dua pihak sudi untuk mengadakan rundingan. Pihak Rom berjanji untuk membayar 500 kilogram emas. Walau bagaimanapun, Gaul telah bertindak mengubah timbangan itu. Semasa tribune Rom menginginkan penjelasan, Brennus melontarkan pedangnya ke atas alat penimbang lalu ketawa dan berkata; Vae victis yang membawa maksud "malang bagi tertewas".

Kesan sunting

 
Vae victis, ilustrasi oleh Paul Lehugeur pada 1886.

Delegasi Rom kini tidak berapa setuju sekiranya mereka menerima syarat baru ini. Namun apabila perkara ini terus berlaku, Camillus memimpin tenteranya untuk memasuki kota lalu menghampiri para perunding. Beliau mengarahkan Rom untuk mengambil semula emas-emas mereka dan turut mengarahkan Gaul untuk pergi. Beliau kemudian menyatakan bahawa adat Rom dalam mempertahankan kota ini adalah dengan menggunakan besi dan bukannya emas. Brennus berasa berang akan tindakan Camillus yang mendakwa dirinya sebagai diktator. Brennus merupakan satu-satunya orang dibenarkan untuk melakukan rundingan. Seterusnya, pertempuran kecil tercetus antara kedua-dua belah pihak tetapi akhirnya, Brennus mengarahkan tentera-tenteranya untuk meninggalkan kota Rom. Beliau telah mendirikan kem tentera sejauh sepuluh kilometer daripada kota itu.

Sekali lagi, perinciannya tidak begitu jelas tetapi tentera Rom telah menyerang dan mengalahkan Gaul pada hari berikutnya. Dikatakan bahawa Brennus telah terkorban dalam pertempuran itu. Sementara itu, Camillus telah dijulang sebagai pendiri Rom kedua dan meneruskan kariernya dengan terlibat dalam banyak peperangan yang akhirnya menyumbang kepada penyusunan semula pasukan legiun.

Tentera Rom terus berperang menentang Gaul sehingga musuh Rom itu telah disokong oleh Hannibal dan lain-lain. Senones hanya berjaya ditundukkan pada tahun 283 SM. Akhirnya, Julius Caesar menakluk wilayah Gaul sekali gus menamatkan ancaman Gaul selama-lamanya. Sementara itu, penjarahan Gaul ke atas Rom telah memaksa pihak Rom untuk membina benteng-benteng pertahanan. Buat selama 800 tahun seterusnya, kota itu tidak sesekali dijarah lagi.

Catatan sunting

  1. ^ Plut. Cam. 14.4
  2. ^ Diod. 14.114.1
  3. ^ Cary & Scullard 1980
  4. ^ Diod. 14.114.3
  5. ^ Ellis 1998, p. 10
  6. ^ D.H. 13.12
  7. ^ Plut. Cam. 18.4

Rujukan sunting

Sumber kuno
  • Diodorus Siculus (1989) [c. 36–30 BC]. Library of History. Loeb Classical Library. Diterjemahkan oleh Oldfather, C. H. Harvard University Press. ISBN 978-0674993754 – melalui LacusCurtius.
  • Dionysius of Halicarnassus (1950) [c. 30–10 BC]. Roman Antiquities. Loeb Classical Library. Diterjemahkan oleh Cary, Earnest. Harvard University Press, W. Heinemann – melalui LacusCurtius.
  • Livy (1922) [c. 27–9 BC]. Ab Urbe Condita. Loeb Classical Library. 3. Diterjemahkan oleh Foster, Benjamin Oliver. Harvard University Press, W. Heinemann – melalui Perseus Project.
  • Plutarch (1914) [c. 100 AD]. "Camillus". Plutarch's Lives. Loeb Classical Library. 2. Diterjemahkan oleh Perrin, Bernadotte. Harvard University Press, W. Heinemann. ISBN 978-1236726704 – melalui LacusCurtius.
  • Polybius (1922) [c. 170–140 BC]. Histories. Loeb Classical Library. Diterjemahkan oleh Paton, W. R. Harvard University Press, W. Heinemann – melalui LacusCurtius.
  • Strabo (1917) [c. 7 BC–18 AD]. Geography. Loeb Classical Library. Diterjemahkan oleh Jones, H. L. Harvard University Press, W. Heinemann – melalui LacusCurtius.
  • Tacitus (1925) [c. 100–110 AD]. Histories. Loeb Classical Library. Diterjemahkan oleh Moore, C. H. Harvard University Press, W. Heinemann – melalui LacusCurtius.
Sumber moden

Pautan luar sunting