Pertempuran Carrhae

Pertempuran Carrhae tercetus pada tahun 53 SM antara Republik Rom dan Empayar Parthia dekat berhampiran kota purba Carrhae (kini Harran, Turki). Jeneral Parthia iaitu Surena secara muktamadnya telah menewaskan tentera Rom yang jauh lebih ramai di bawah pimpinan Marcus Licinius Crassus. Pertempuran tersebut dilihat sebagai pertempuran terawal dan terpenting dalam konflik antara Rom dan Parthia. Bahkan, pertempuran ini merupakan salah satu kekalahan paling teruk dihadapi oleh Rom sepanjang sejarah mereka.

Pertempuran Carrhae
Sebahagian daripada Peperangan Rom-Parthia
Tarikh6 Mei 53 SM[1]
Lokasi
Berhampiran Carrhae (Harran), utara Mesopotamia
Keputusan Kemenangan muktamad Parthia[2]
Pihak yang terlibat
Republik Rom Empayar Parthia
Komandan dan pemimpin
Marcus Licinius Crassus 
Publius Licinius Crassus 
Gaius Cassius Longinus
Surena
Silaces
Kekuatan
28,000–35,000 legiun
4,000 kavalri
4,000 infantri ringan
Jumlah: 36,000–43,000 tentera
10,000 kavalri
• 1,000 kataphract
• 9,000 pemanah berkuda
Kerugian dan korban
20,000 terkorban[3]
10,000 ditawan
38 kataphract[4]

Latar belakang sunting

Sesudah Peperangan Diadochi, Seleucus telah mendirikan empayar baru yang terbentang luas meliputi wilayah-wilayah di Asia dan bekas wilayah Empayar Achaemenid. Antara wilayah tersebut ialah Bactria dan Parthia yang menuntut untuk memiliki kuasa autonomi sendiri sebelum mereka melancarkan pemberontakan pada tahun 247 SM. Pada masa itu, Parthia menerima gelombang kemasukan puak-puak nomad yang berhijrah dari Asia Tengah. Salah seorang daripada ketua puak itu ialah Arsaces yang berasal daripada puak Parni. Kemudian pada tahun yang sama, beliau telah berjaya menyingkirkan gabenor Andragoras yang memberontak sebelum beliau menduduki bekas kawasan yang dimiliki oleh gabenor itu. Peristiwa ini menandakan permulaan dinasti Arsacid di Parthia. Dinasti ini seterusnya berdamai dengan Raja Bactria yang baru merdeka walaupun ia hanya berkadar sementara. Di samping itu, Parthia juga terselamat daripada beberapa siri kempen penaklukan semula yang dilakukan oleh Seleucus II dan Antiochus III.

 
Marcus Licinius Crassus.

Setelah itu, Parthia mula meluaskan kuasanya secara berperingkat di kala kemuncak kelemahan Seleucid. Proses itu berkembang pesat semasa pemerintahan Mithridates I yang memerintah dari tahun 171 sehingga 132 SM. Mithridates berjaya melengkapkan peralihan Parthia menjadi sebuah empayar yang kuat. Beliau juga telah merangka beberapa siri penaklukan antaranya menyerang Bactria setelah kemangkatan rajanya, Diodotus II pada 150-an SM. Media, Atropatene dan sebahagian kawasan Mesopotamia kemudiannya menjadi sasaran penaklukan beliau. Penaklukan paling getir ialah penawanan Seleucia dan Babylon apabila pemerintah Parthia menjadi orang pertama yang ditabalkan gelaran "Raja segala Raja" yang secara simboliknya merupakan gelaran Achaemenid purba dari turun-temurun.

Selepas kemangkatan Mithridates, Parthia berhadapan dengan beberapa kemelut yang berlaku serentak iaitu pencerobohan puak nomad dari timur, kekacauan dalaman dan kebangkitan semula bekas wilayah Seleucid. Walau bagaimanapun, Mithridates II menaiki takhta pada tahun 124 SM dan beliau berjaya mengimbangkan keadaan kerajaannya. Sambil menakluk semula wilayah-wilayah yang telah tumpas, raja itu juga menjalinkan hubungan perdagangan yang kukuh dengan Dinasti Han di China dan mendapatkan hak pertuanan ke atas Kerajaan Armenia. Saat kemangkatannya pada tahun 87 SM, kawasan Mesopotamia dengan teguhnya berada di bawah kawalan Parthia bersama dengan ibu kota kerajaan yang baru di sana, Ctesiphon. Namun, tempoh kemakmuran ini tidak bertahan panjang. Apabila Mihtridates III digulingkan, perselisihan dalaman telah bermula. Dengan melihat pesaingnya di timur dan barat menjadi lemah sebegini, Raja Armenia iaitu Tigranes menamatkan ketuanan Parthia ke atas kerajaannya dan beliau menceroboh wilayah-wilayah Parthia dan sisa wilayah Seleucid yang tinggal. Kawasan utara Mesopotamia jatuh ke tangan Armenia dan Empayar Seleucid yang pernah megah pada suatu ketika dahulu telah lenyap buat selama-lamanya.

Apabila Rom berjaya menamatkan ancaman dari Armenia dalam Pertempuran Tigranocerta, kejayaan ini telah membawa kepada pertembungan sempadan antara Rom dan Parthia buat kali pertama. Raja Parthia, Sinatruces telah menolak percubaan Mithridates dari Pontus untuk membentuk pakatan anti-Rom. Dasar berkecuali Parthia ini berlanjutan sehingga zaman pemerintahan anaknya, Phraates III yang juga menolak permintaan Rom untuk membantu kempen mereka menentang Pontus. Walau bagaimanapun, penetapan tidak rasmi antara Rom dan Parthia telah menghala kepada ukiran sempadan kedua-dua kerajaan ini di Sungai Euphrates. Setelah menundukkan Armenia dan Pontus, jelaslah bahawa pertikaian sempadan antara Rom dan Parthia kini tidak dapat dielakkan.

Keadaan di Rom dan Parthia sunting

 
Wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Republik Rom menjelang pertempuran di Carrhae.

Selepas berakhirnya perang saudara Sulla yang menggerunkan, keadaan politik di Rom telah didominasi oleh tiga negarawan Rom iaitu Pompey, Crassus dan Caesar pada 50-an SM. Pada tahun 59 SM, duumvirat berjaya membela tawaran Caesar untuk menjadi konsul. Caesar berjaya menguasai konsul yang bersama dengannya serta menjayakan perkara yang diinginkan oleh rakan konsulnya terhadap beliau. Perkara ini secara tidak langsung membolehkan Caesar bertugas di Gaul sebagai seorang prokonsul. Tiga tahun kemudian, ketiga-tiga negarawan Rom ini telah bertemu di Luca atas saranan Caesar untuk mengatur apa yang dikenali sebagai Triumvirat Pertama. Mereka mempunyai rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Senat dan ia pada dasarnya telah memisahkan wilayah Rom antara mereka. Caesar diberikan tempoh lanjutan selama lima tahun untuk bertugas di Gaul demi melengkapkan kempen penaklukannya. Pompey pula telah memperoleh dua wilayah di Hispania sekali gus diberi kebenaran untuk mentadbir in absentia. Akhir sekali dan paling penting, Crassus telah mendapat wilayah Syria dan mempunyai kuasa undang-undang untuk mendirikan tujuh pasukan legiun. Tambahan lagi, beliau juga mempunyai kuasa untuk melakukan peperangan dan rundingan damai tanpa perlu merujuk kepada Senat.

 
Keluasan wilayah Empayar Parthia.

Sejak pertembungan sempadan antara Rom dan Parthia, ketegangan antara dua kuasa ini telah dijangka terus melonjak tetapi mereka sedia maklum bahawa Rom secara luarannya tampak lebih hebat. Pada tahun 57 SM, Raja Phraates yang lemah telah dibunuh oleh dua orang daripada anaknya lalu membawa kepada tempoh pergolakan di dalam kerajaannya. Dua adik beradik yang lebih tua itu tadi yang dikenali sebagai Mithridates dengan pantasnya menaiki takhta dan menggunakan gelaran Mithridates IV. Pemerintahannya tidak bertahan lama apabila beliau kemudiannya digulingkan oleh kumpulan bangsawan yang dipimpin oleh kaum aristokrat Surena sebelum adik Mithridates, Orodes ditabal menjadi raja. Terlepas daripada hukuman mati, Mithridates sebaliknya dipindahkan menjadi gabenor Media. Perkara ini terbukti sebagai satu kesilapan apabila Mithridates kemudiannya menghubungi pihak Rom untuk mendapatkan bantuan demi memulihkan kedudukannya sebagai Raja Parthia. Beliau melarikan diri ke barat untuk menyertai sekutunya itu tetapi beliau dihantar semula ke ibu kota Parthia untuk melemahkan kestabilan monarki di sana. Perang saudara tercetus di Parthia dan Rom meneroka peluang untuk merebut wilayah di timur yang makmur seperti yang dilakukan ke atas wilayah-wilayah lain.

Keadaan yang berpecah-belah ini menyaksikan Crassus yang telah mendapat wilayah Syria jelas sama sekali berusaha untuk mengulangi kejayaan kempen ketenteraan Alexander yang berjaya menundukkan musuh yang lemah. Terdapat aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh tentera Rom dengan berskala kecil di kawasan itu sebelum ketibaan Crassus di Antokiah. Parthia pula berwaspada tentang perkara yang akan terjadi sebelum mereka mula melakukan persiapan yang sewajarnya. Pemanduan penuh angkatan tentera Parthia telah dilakukan apabila mereka menanti tentera Rom memulakan langkah pertama. Setelah tentera Rom melakukannya, tentera Parthia terus mara dan menyerang sasaran.

Persiapan sunting

 
Keadaan padang pasir di Syria.

Pada pertengahan tahun 54 SM, semuanya telah bersedia dan pasukan legiun Rom turut bersiap siaga. Persoalannya kini yang perlu dijawab oleh Crassus ialah mengenai laluan yang akan digunakan oleh tentera-tenteranya. Beliau mempunyai pilihan sama ada menyerang dari Syria menuju ke arah barat Mesopotamia secara langsung ataupun mengambil laluan secara tidak langsung melalui Pergunungan Armenia lalu mara memasuki wilayah Parthia dari arah utara. Crassus telah memilih laluan pertama mungkin kerana laluan itu terus menuju ke Parthia dan paling mudah untuk dilalui. Tentera Rom kemudian menyeberangi Sungai Euphrates sekali gus memulakan Perang Rom-Parthia Pertama.

Sebaik sahaja pertempuran bermula, Crassus bertembung dengan satrap tempatan, Silaces dalam satu pertempuran. Crassus berjaya mengalahkan tentera Silaces yang jauh lebih ramai berhampiran Ichnae. Bersama dengan tenteranya yang telah bertaburan, Silaces melarikan diri sambil tercedera menuju ke istana untuk memaklumkan kepada Raja Orodes. Dengan kuasa tempatan di kawasan itu berada di dalam genggaman legiun, Crassus meletakkan garison di beberapa kota penting seperti Ichnae, Nicephorium dan Carrhae. Hampir semua kota Yunani itu tunduk kepada kekuasaan Rom secara sukarela kecuali kota Zenodotium. Kota Zenodotium telah menjemput tentera Rom untuk memasuki kota itu tetapi mereka kemudiannya dibunuh beramai-ramai. Tindakan ini telah mengundang kemarahan pihak Rom terhadap kota itu lalu mereka menjarah dan memusnahkan kota Zenodotium. Dengan kedudukannya telah terjamin, Crassus mengundurkan tentera-tenteranya ke Syria untuk menghabiskan musim sejuk sekali gus menyaksikan kempennya pada tahun 54 SM sangat dibanggakan.

 
Patung gangsa pahlawan Parthia yang disandarkan kepada Surena.
 
Pemanah berkuda Parthia.

Dengan mendirikan dua buah pasukan tentera, Parthia juga menjalani kempen ketenteraan pada tahun 54 SM. Orodes II mempunyai tentera di Media manakala bangsawannya pula mendirikan angkatan tentera yang kedua dari kawasan mereka masing-masing. Rancangan Orodes adalah untuk menyingkirkan Armenia daripada peperangan sementara tentera yang dipimpin oleh bangsawan pula berperanan penting melakukan persiapan pada masa ini. Komander pasukan kedua ini dikenali sebagai "Surenas". Nama tersebut sebenarnya merujuk kepada keluarga bangsawan beliau berbanding dengan nama sebenarnya yang tidak diketahui. Menurut Pluttarch, lelaki ini merupakan orang Parthia yang paling terkenal, tidak ada yang mampu menandingi ketinggian, bakat dan kecantikan peribadinya. Kaum Surenas ini juga mempunyai kuasa untuk menyerahkan mahkota kepada Raja Parthia sekali gus menandakan pengaruhnya yang besar di dalam istana. Surenas dengan segera mendirikan sebuah angkatan tentera dan mara menuju ke selatan Mesopotamia yang menempatkan kubu pemberontak Mithridates. Komander Parthia itu menyerang Seleucia dan menawannya dalam jangka masa singkat. Beliau turut berjaya menangkap Mithridates sebelum menghantarnya kepada Orodes. Tidak lama kemudian, Mithridates telah dihukum mati manakala kota-kota penting di Mesopotamia seperti Babylon dan Ctesiphon tumpas ke tangan Surenas.

Kembali ke Syria, komander Rom yang memimpin tentera-tenteranya yang tidak berpengalaman telah menghadapi kekurangan pasukan kavalri disebabkan oleh kontinjen naungan Rom dari Armenia tidak memunculkan diri. Pihak Rom akhirnya lega apabila anak Crassus, Publius tiba bersama bantuan ketenteraan seramai 1,000 tentera berkuda dari Gaul. Tentera itu telah diberi pinjam oleh Caesar semasa Publius berkhidmat bersamanya selama bertahun-tahun. Kemudian, seorang utusan Parthia telah dihantar untuk berbincang dengan Crassus sebelum kempen pada tahun 53 SM. Utusan itu menyampaikan bahawa Raja Parthia dengan bermurah hati memberi kebenaran kepada Crassus untuk berundur. Seterusnya, utusan itu ketawa dalam nada acuh tidak acuh selepas mendengar kenyataan keras Rom bahawa mereka akan memberikan jawapannya kepada utusan Parthia itu semasa di ibu kota Parthia, Seleucia. Sebagai respon, utusan itu menghulurkan telapak tangannya kepada Crassus dan berkata: "Wahai Crassus, rambut akan tumbuh di sini sebelum engkau melihat Seleucia."

Setelah menyeberangi Sungai Euphrates di Zeugma, Crassus mengambil keputusan untuk berarak menuju ke kota-kota Mesopotamia. Namun, beliau sebaliknya mara ke arah timur pada bulan Mei. Beliau tahu bahawa pasukan peninjaunya telah mengesan tentera Parthia di kawasan itu dan beliau lantas ingin mengalahkan mereka di medan dataran lapang. Apabila Rom telah menghampiri Sungai Balikh, pasukan peninjau Rom itu membuat kesilapan apabila mereka pergi menuju ke arah pasukan Surenas sebelum berlaku pertempuran yang menyebabkan angka korban tinggi di pihak Rom. Walau bagaimanapun, mereka berjaya memaklumkannya kepada Crassus yang nanti memutuskan masa untuk pertempuran.

Komposisi tentera sunting

 
Gambaran seorang tentera berkuda Gaul.

Crassus mengarahkan tenteranya untuk mempersiapkan diri dengan mengisi perut sebelum mereka meneruskan kemaraan. Pada waktu tengah hari, kedua-dua pihak akhirnya bertemu di medan lapang yang dikenali sebagai Carrhae. Tentera Rom telah dibarisi oleh tujuh pasukan legiun yang berperanan sebagai teras pasukan yang menghasilkan jumlah 34,000 legiun. Bilangan lain yang menyusul ialah seramai 4,000 auxilia dan 4,000 kavalri ringan yang mana 1,000 daripadanya merupakan pasukan kavalri dari Gaul yang diberi pinjam oleh Caesar kepada Publius.

Tentera Parthia pula sepenuhnya terdiri daripada tentera-tentera asing yang mempunyai tradisi berperang yang berbeza. Surenas tidak membawa pasukan infantrinya ke medan pertempuran. Beliau telah membina angkatan tenteranya yang boleh berhadapan dengan tentera Rom yang kuat dalam lingkungan jarak yang dekat. Seramai 9,000 tentera pemanah berkuda yang bersenjatakan busur campuran mengisi sebahagian besar tentera-tenteranya manakala 1,000 kataphract berperisai bersenjatakan tombak terdiri daripada pasukan terbaik yang disandang oleh golongan atasan dan golongan bangsawan Parthia.

Pertempuran sunting

 
Formasi tentera pada awal pertempuran.

Semasa Rom ternampak kelibat musuh, mereka menyangkakan saingan mereka itu hanya membawa jumlah tentera yang jauh lebih sedikit, lemah malahan hampir semuanya tidak mempunyai pakaian berperisai. Perkara ini sebenarnya merupakan taktik bijak Surenas yang merahsiakan angka sebenar tenteranya dengan cara menyembunyikan tenteranya yang ramai di belakang barisan tentera hadapan yang disusun lebar. Tambahan lagi, beliau telah mengarahkan pasukan katraphract untuk memakai pakaian jubah manakala pakaian perisai mereka dijadikan pakaian dalam supaya pihak musuh melihat tentera ini sebagai pasukan kavalri biasa berbanding peranan mereka yang sebenar iaitu "kesateria" berat yang mematikan.

Didorong oleh anaknya untuk pergi bertempur, Crassus berarak sehingga beliau bertembung dengan pasukan Surenas di medan pertempuran. Beliau tidak menyedari sepenuhnya akan bahaya yang bakal menyusul daripada pasukan Parthia yang sama sekali melakukan persiapan rapi. Pada mulanya, Crassus menyusun barisan tenteranya dalam susunan yang panjang dan pasukan kavalri menduduki bahagian sayap untuk mengelakkan pasukannya daripada dikepung musuh. Walau bagaimanapun, beliau mengubah fikirannya pada saat-saat akhir lalu beliau menyusun semula pasukannya dalam bentuk segi empat sebelum mereka meneruskan kemaraan. Hal ini demikian kerana untuk memantapkan semua sisi yang ada pada tentera Rom.

Kemudian, alunan gendang perang dan deringan loceng perak Parthia yang menakutkan menandakan Surenas memimpin serangan penuh melalui pasukan kavalrinya menentang pasukan Rom yang disusun dalam bentuk segi empat. Pasukan Surenas diikuti oleh tentera kataphract dan pasukan pemanah berkuda di belakang. Setelah itu, jeneral Parthia itu memberikan arahan kepada tentera kataphract supaya mencampakkan pakaian jubah yang dipakai oleh mereka secara serentak untuk mendedahkan peranan sebenar tentera itu. Taktik itu juga untuk melemahkan moral dalam kalangan tentera Rom. Setelah tidak terkesan dengan mempamerkan disiplin yang tinggi, tentera Rom mengurung dan melindungi diri mereka dengan perisai untuk menghadapi serangan musuh. Namun pada sebelum itu, kavalri Surenas telah berada di setiap sisi tentera Rom sebelum mereka mengelilinginya dengan pantas yang dilakukan oleh kumpulan pemanah berkuda Parthia manakala tentera kataraphract pula diarahkan berundur dan berkumpul semula.

Percubaan jangka singkat yang dilakukan oleh tentera ringan Rom untuk menyingkirkan barisan tentera musuh telah disambut dengan serangan hujan anak panah sekali gus memaksa mereka semua kembali ke dalam kubu segi empat itu. Apabila tentera Rom tersepit antara satu sama lain, pemanah berkuda Parthia mula melepaskan tembakan anak panah ke atas kubu Rom dari semua arah. Dalam berhadapan dengan serangan itu, legiun menggunakan formasi testudo yang terkenal dengan nada yakin bahawa pakaian besi dan perisai mereka dapat mengatasi serangan anak panah musuh. Namun, anak panah berduri berduri yang luar biasa serta busur kompaun yang kuat dengan mengejutnya dapat menembusi pertahanan Rom.

Selepas pemanah berkuda Parthia mengenakan ledakan demi ledakan ke atas kubu segi empat musuh, tentera Rom mula menghadapi kerugian nyawa. Bahkan pada saat ini, Crassus masih lagi merasakan bahawa beliau mempunyai harapan walaupun dihujani serangan anak panah dari musuh. Sekali pemanah berkuda itu telah kehabisan peluru anak panahnya, beliau menjangkakan tentera berkuda musuh itu akan melakukan serangan dalam lingkungan yang dekat ataupun bertindak untuk berundur. Panglima-panglima tentera Rom kemudiannya berada dalam keadaan yang terkejut apabila Surenas kini mendedahkan bahagian paling licik dari rancangannya. Sebanyak 1,000 ekor unta yang membawa bekalan senjata yang berlambak telah dihantar ke belakang pasukan Parthia. Selagi pemanah berkuda terus dibekalkan semula oleh unta pada bila-bila masa, serangan ini terus berlanjutan tanpa berpenghujung. Sekiranya Crassus menyedari apa yang kini sedang berlaku, pastinya lebih ramai tentera Rom akan terbunuh jika mereka tidak melakukan sebarang pergerakan.

Dengan jumlah 4,000 tentera yang terdiri daripada kavalri dan legiun, Publius diarahkan untuk memimpin tentera yang berada dalam usaha untuk meloloskan diri. Kontinjen beliau melepaskan diri daripada kubu segi empat itu lalu memaksa tentera berkuda Parthia yang berada di hadapannya untuk segera berundur. Publius tidak ingin pasukannya akan kehilangan momentum semasa merencanakan serangan mengejut itu. Jadi, Publius terus memberikan asakan hebat dengan melangkah mara lebih jauh sebelum mereka terhumban ke dalam perangkap serangan hendap Surenas. Setelah tentera musuh terus berundur, Publius meneruskan kemaraan sehingga bertembung dengan tentera kataphract simpanan Parthia yang telah disusun semula lalu mereka melancarkan serangan balas. Pasukan pemanah berkuda pula kini beralih menjadi pemburu dan pengejar tentera Rom semula. Kesannya ternyata sangat memusnahkan. Semasa kavalri elit Surenas bertempur dengan tentera berkuda Rom, pemanah berkuda yang bangkit semula melepaskan tembakan ke arah tentera sayap musuh sehingga membunuh ramai legiun Rom di situ. Tentera Rom yang terselamat melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran dan melindungi diri mereka dengan perisai untuk bersiap sedia melakukan penentangan terakhir. Publius yang bersungguh-sungguh tidak mahu meninggalkan tugasannya telah mengarahkan salah seorang daripada tenteranya untuk membunuhnya. Penentangan tentera Rom dari kawasan bukit itu telah berakhir dan serangan dahsyat oleh kataraphact Parthia terhadap mereka akhirnya melenyapkan unit yang 'terpencil' itu.

Kembali kepada pertempuran utama, Crassus perlu membuat keputusan. Beliau mempunyai pilihan sama ada berundur lalu meninggalkan anaknya yang akan terkorban ataupun mengarahkan semua tenteranya untuk mara dengan harapan dapat menyelamatkan dirinya. Beliau akhirnya memilih pilihan yang kedua. Mereka tidak berjaya melakukannya apabila gempulan debu dan pukulan gendang perang sama sekali telah menarik perhatian Rom. Tentera Rom juga bertumpu ke arah tombak musuh yang telah mencacakkan kepala Publicus. Dengan pandangan yang mengerikan, moral tentera Rom akhirnya berkecai. Surenas kemudiannya mengatur taktik kegemarannya lagi. Tentera karaphract melancarkan serangan dan tentera Rom yang bertahan bertindak mengukuhkan barisan pertahanan. Pemanah berkuda Parthia yang mengelilingi musuh terus melepaskan serangan anak panah sekali lagi membuatkan ramai tentera Rom perlahan-lahan terkorban. Serangan ini berterusan dan berakhir apabila subuh telah berlabuh.

Pada waktu malam, tentera Parthia berundur dan mendirikan kem berhampiran meninggalkan tentera Rom di belakang yang hanya tinggal 20,000 tentera daripada 40,000 jumlah asal kekuatan mereka serta ramai daripadanya telah tercedera. Crassus yang lumpuh sambil diselubungi kesedihan dan kehilangan membuatkan dua pegawai tentera yang terselamat iaitu Cassius dan Octavius memimpin tentera-tentera lain yang terselamat menuju ke kota Carrhae. Tentera Rom yang menghadapi kesukaran untuk berjalan kerana tercedera tanpa belas kasihan telah ditinggalkan di belakang. Semasa berarak, rasa panik kadangkala menguasai mereka sekali gus memaksa mereka berbaris untuk menghadapi pertempuran semula sebelum suasana tenang kembali mendamaikan keadaan. Akhirnya, tentera Rom tiba di kota Carrhae dan dibawa masuk ke dalam kota itu yang menampung 15,000 tentera.

Selepas berakhirnya subuh, tentera Parthia bertindak membunuh 4,000 tentera Rom yang tercedera dan ditinggalkan di belakang. Tentera Parthia kemudiannya meneruskan pencarian Crassus. Surena tidak akan membiarkannya terlepas walaupun beliau sendiri tidak tahu di mana dia berada. Akhirnya, mereka mendapati Crassus berada di dalam kota Carrhae lalu Surena terus menuju ke kota itu. Namun, beliau kemudiannya ternampak kelibat Crassus yang sedang melarikan diri ke kawasan bukit. Crassus kemudiannya ditemui dan dibunuh dengan hina oleh Parthia setelah beliau tertipu dengan rundingan damai palsu.

Kesan sunting

Selepas kematian Crassus dan kehancuran tenteranya yang membawa kepada pergolakan politik di Rom, keadaan ini telah mencetuskan perpecahan antara Pompey dan Caesar. Hanya satu bahagian tentera Crassus yang berjaya pulang dengan selamat ke Syria yang dipimpin oleh Gaius Cassius Longinus. Longinus merupakan seorang yang merancang pembunuhan Caesar pada tahun 44 SM.

Surena telah menyebabkan kekalahan terburuk Rom dalam jangka masa 150 tahun. Sebagai ganjaran yang sesuai atas khidmatnya, Orodes II telah memerintahkan Surena untuk dikenakan hukuman mati atas sebab pengkhianatan. Walaupun Parthia meraih kemenangan pertamanya dalam konflik dengan Rom, peperangan antara dua kuasa besar ini terus berlanjutan sehingga berkurun-kurun berikutnya.

Catatan sunting

  1. ^ CARRHAE on Encyclopedia Iranica
  2. ^ Iranica "Surena’s extraordinary victory had enormous consequences. It halted Roman expansion, gave Mesopotamia back to the Parthians, and consolidated the Euphrates as the boundary between the two powers. It placed Persia on an equal footing with Rome, making them political rivals for the next seven centuries"
  3. ^ Plutarch's Lives: Crassus, Perseus tufts
  4. ^ name=plut

Pautan luar sunting

Hanya terdapat dua rekod lama tentang pertempuran:

Laman lain: