Pertempuran Gorjani

Pertempuran Gorjani (Bahasa Croatia: Bitka kod Gorjana, Bahasa Jerman; Schlacht bei Gorjani) atau Pertempuran Đakovo (Bahasa Hungary: Diakovári csata) merupakan pertempuran yang terjadi pada 9 Oktober 1537 di Gorjani iaitu sebuah tempat yang terletak di Slavonia (kini terletak di timur Croatia).

Pertempuran Gorjani (1537)
Sebahagian daripada Perang Seratus Tahun Croatia–Uthmaniyyah
Tarikh9 Oktober 1537
Lokasi
Keputusan Kemenangan muktamad Uthmaniyyah
Pihak yang terlibat

Empayar Rom Suci

Empayar Uthmaniyyah
Komandan dan pemimpin
Pavle Bakić  Semendireli Mehmed Pasha (Gabenor Belgrade)
Kekuatan
~24,000 8000
Kerugian dan korban
20,000 terkorban sangat sedikit

Latar belakang sunting

Selepas kegagalan Pengepungan Vienna pada tahun 1529, Sultan Sulaiman al-Qanuni kembali ke ibu kota Uthmaniyyah. Walaupun pemimpin lindungan Uthmaniyah iaitu John Zapolya berjaya memulihkan kedudukannya di Hungary, keadaan semasa di kawasannya menjadi tidak tentu dan pewaris takhta Habsburg, Ferdinand tidak merancang untuk terus berdiam diri. Menurut sumber Uthmaniyah, utusan Ferdinand telah melawat Constantinople pada tahun 1530 dan meminta Sultan Sulaiman untuk berhenti menyokong John tetapi permintaan itu ditolak. Sebagai tindak balas, Ferdinand telah menggerakkan bala tenteranya dan menyerang John lalu mencetuskan peperangan yang dikenali sebagai Perang Kecil. Tentera Habsburg berjaya mencatatkan kejayaan semasa meneruskan rentak kemaraan tetapi mereka gagal untuk menguasai ibu kota Hungary, Buda. Utusan baru telah dihantar ke kota Constantinople pada penghujung tahun 1530. Walaupun pada kenyataannya menyebut ia berbunyi lebih mendamaikan pada kali ini, tiada kata sepakat telah dicapai. Seterusnya, Sultan Sulaiman telah bersiap sedia untuk melancarkan kempen baru menentang Habsburg.

Berdasarkan sumber-sumber, sultan telah menggerakkan lebih daripada 100,000 tentera untuk serangan pada kali ini. Pasukan ini mula mara pada bulan April dan menjelang bulan Julai, banyak kubu-kubu Habsburg di Hungary telah jatuh ke tangan Uthmaniyah manakala tanah-tanah di Slovakia, Slovenia, Austria dan Croatia telah diserang. Jumlah tentera Sulaiman melebihi tentera Ferdinand sekali gus memaksa saki baki tentera Ferdinand yang lain terpaksa berundur ke Vienna. Mereka telah meninggalkan garison yang memiliki kekuatan seramai 800 orang yang dipimpin oleh bangsawan Croatia, Nikola Jurišić untuk mempertahankan kubu penting di Kőszeg. Pada masa yang sama, bagi mengelakkan konflik terbuka dengan pemimpin Protestan di Eropah semasa berjuang menentang Uthmaniyah, Ferdinand terpaksa untuk memeterai Rundingan Damai Nuremberg.

Sumber-sumber saling bercanggah antara satu sama lain mengenai Pengepungan Kőszeg tetapi pihak Uthmaniyah melihat pasukan musuh telah meninggalkan garison yang lebih besar untuk mempertahankan laluan ke Vienna. Jadi, Wazir Ibrahim Pasha dan sultan kemudiannya mengepung kota tersebut dengan menggunakan semua artileri dan taktik-taktik pengepungan mereka. Pasukan pertahanan berjaya menangkis serangan Uthmaniyah dan menolak untuk menyerah kalah. Hujan mula melanda pada awal tahun dan tentera imperial telah dibentuk di Regensburg untuk berarak ke Hungary. Justeru, Sultan Sulaiman memutuskan untuk berundur ke Constantinople.

Maharaja Charles V dan anaknya, Ferdinand sedia maklum bahawa serangan Uthmaniyah yang baru akan dilancarkan dalam masa terdekat. Jadi, mereka telah mengirim beberapa orang utusan kepada Shah Tahmasp I dari Safawiyah antara tahun 1529 dan 1533. Pengiriman utusan ini sebagai tanda untuk memperbaharui perjanjian yang pernah ditandatangani sebelum ini dengan bapa Tahmasp iaitu Shah Ismail I. Pada tahun 1533, Shah Safawiyah mula membangkitkan pemberontakan menentang Sultan Sulaiman di kawasan sempadan dan ia telah memadai untuk membawa Sultan Uthmaniyah itu menandantangani Perjanjian Constantinople dengan Habsburg. John Zapolya telah diiktiraf sebagai Raja Hungary manakala Ferdinand pula kekal menguasai bahagian barat kerajaan itu dan bersetuju membayar 30,000 gulden setiap tahun kepada Uthmaniyah sebagai tanda pembayaran ufti. Berdasarkan klausa aneh dalam perjanjian itu juga, Maharaja Charles berjanji untuk hanya menggunakan gelaran "maharaja" sahaja dalam mana-mana hal dengan Sultan Uthmaniyah.

Dengan itu, Sultan Sulaiman memulakan kempen menentang Tahmasp. Beliau telah mengirim surat kepada Shaybanid untuk menyerang Safawiyah di Asia Tengah sekali gus memaksa tentera-tentera Tahmasp berundur dari kawasan sempadan. Hal ini memudahkan pasukan Uthmaniyah menguasai ibu kota musuh, Tabriz dan kota Baghdad dengan mudah. Akan tetapi, serangan Uthmaniyah selanjutnya telah dihentikan oleh Safawiyah di kawasan Pergunungan Zagros. Tentera Uthmaniyah telah kehilangan nyawa seramai 10,000 orang saat pertempuran di sana dan Sultan Sulaiman memutuskan untuk menamatkan kempen ekoran faktor keadaan cuaca. Walau bagaimanapun, Uthmaniyah tetap memegang kawasan di Caucasus Barat, Iran dan Iraq.

Kembali ke Eropah, Ferdinand dan John saling berselisih dan berbalas dendam. Pada tahun 1537, Habsburg menyerang Uthmaniyah melalui laut dan darat. Tentera Habsburg yang memiliki kekuatan seramai 24,000 orang di bawah pimpinan Johann Katzianer telah berarak untuk menyerang wilayah Uthmaniyah dengan segera. Mereka telah berjaya merebut kota Osijek yang kini terletak di Croatia dan dianggap oleh Uthmaniyah sebagai kota penting untuk memastikan garis bekalan Uthmaniyah di kawasan itu terjamin.

Pertempuran sunting

Walaupun pasukan pertahanan Uthmaniyyah hanya memiliki kekuatan seramai 3,000 orang, kubu pertahanan di kota itu dibina dengan kukuh. Kekurangan artileri, serangan wabak dan keadaan cuaca yang buruk telah melumpuhkan proses pengepungan kota oleh Habsburg. Beberapa percubaan serangan ke atas kubu kota telah gagal dan Johann Katzianer memutuskan untuk menunggu tentera pertahanan Uthmaniyah keluar dari kota.

Perkara ini membolehkan gabenor Uthmaniyah di Belgrade, Mehmed Pasha untuk mengumpulkan satu pasukan kavalri yang mempunyai kekuatan seramai 6,000 orang dan berarak membantu kota Osijek. Butiran tidak berapa jelas tetapi berdasarkan sumber, tentera Uthmaniyah telah menyerang tentera Habsburg dari pelbagai arah di luar kota sekali gus mengheret Habsburg menanggung banyak angka korban. Namun, Habsburg berjaya memulihkan semula susunan pasukannya sebelum memberi tentangan sengit sehingga menyebabkan pasukan kavalri Mehmed Pasha berundur. Serangan awal tentera berkuda Uthmaniyah membuatkan Katzianer berfikir saki baki tentera Uthmaniyah akan tiba nanti lalu beliau memutuskan untuk meninggalkan medan pengepungan dan berundur.

Semasa berundur yang berlangsung selama beberapa hari, kavalri ringan Uthmaniyah dengan tidak putus-putus mengganggu gugat tentera Habsburg sehingga kedua-dua belah pihak ini tiba di sebuah tempat yang dipanggil Gorjani. Tentera Habsburg akhirnya melihat tentera Uthmaniyah lebih sedikit daripada seperti yang dijangka dan komandernya lalu melancarkan serangan balas. Perkara ini merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh Uthmaniyah. Mereka menggunakan helah berpura-pura berundur bagi mengheret tentera Habsburg yang pantas terjerat ke dalam perangkap sebelum mereka diserang oleh pasukan pertahanan Uthmaniyah dari kota Osijek dan pasukan kavalri sendiri daripada kedua-dua arah. Sebahagian besar unit Habsburg telah terkorban. Katzianer meninggalkan medan pertempuran manakala saki baki tentera Habsburg pula diserang dan dimusnahkan. Tentera Uthmaniyah hanya mengalami sedikit kerugian manakala angka korban yang dialami Habsburg ialah lebih daripada 20,000 orang.

Bacaan tambahan sunting

  • Jaques, Tony (2007). Dictionary of Battles and Sieges: A Guide to 8,500 Battles from Antiquity Through the Twenty-First Century. Greenwood Publishing Group. ISBN 0313335397.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Budak, Neven (2002). "Habsburzi i Hrvati - Građanski rat" [Habsburgs and the Croats - Civil war]. Kolo (3). Dicapai pada 2014-01-20.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Turnbull, Stephen (2003). The Ottoman Empire 1326 - 1699. Osprey, New York. m/s. 52.
  • Ivić, Aleksa (1914). Историја Срба у Угарској: од пада Смедерева до сеобе под Чарнојевићем (1459-1690). Zagreb: Привредникова.CS1 maint: ref=harv (link)