Pertempuran Kili berlaku pada tahun 1299 antara tentera Mongol dari Kekhanan Chagatai dan Kesultanan Delhi di India. Tentera Mongol yang dipimpin oleh Qutlugh Khwaja melancarkan pencerobohan ke atas India dengan keinginan untuk menguasai kota Delhi.

Pertempuran Kili
Sebahagian daripada serangan Mongol ke atas India
Tarikh1299
Lokasi
Kili berhampiran Delhi
Keputusan Kemenangan Kesultanan Delhi
Perubahan
wilayah
Tentera Mongol diusir dari India
Pihak yang terlibat
Kekhanan Chagatai Kesultanan Delhi
Komandan dan pemimpin
Kekuatan
100,000-200,000 tentera berkuda (dakwaan Firishta) 300,000 tentera berkuda dan 2,700 gajah (menurut dakwaan Firishta, kemungkinan ada unsur tokok tambah)
Kerugian dan korban
Berat Berat

Latar belakang sunting

Kesultanan Delhi bangkit selepas kejatuhan Empayar Ghurid yang menjangkau dari Afghanistan ke Bengal. Selepas kematian Muhammad Ghori pada tahun 1206, ghulam (pengikut) beliau telah membahagikan kawasan pemerintahannya. Empayar Ghurid di India disatukan ketika zaman pemerintahan Shamsuddin Iltutmish yang berpusat di Delhi. Selama tiga kurun, kerajaan ini diperintah oleh lima dinasti Turk-Afghan yang berlainan. Pada masa yang sama, kerajaan ini bersempadan dengan Empayar Mongol di bahagian perbatasan utara.

Hubungan antara Kesultanan Delhi dan Empayar Mongol bermula pada 1220-an apabila Genghis Khan menghampiri sempadan Kesultanan Delhi semasa beliau memburu Putera Khawarezmi, Jalaluddin Mingburnu. Terdapat satu pertikaian bahawa mengapa pemimpin agung Mongol itu berhenti di sempadan India. Difahamkan kerana beliau mungkin tidak berminat untuk meluaskan kuasa ke wilayah yang baru dan tidak diketahui setelah beliau menguasai Iran, Asia Tengah dan China. Genghis Khan pulang ke timur dan meninggal dunia ketika menjalani kempen ketenteraan ke atas Tangut pada tahun 1227.

Di bawah pemerintahan Iltutmish, Kerajaan Kesultanan Delhi merupakan kerajaan terkuat di utara India. Selama beberapa dekad seterusnya, kehadiran Mongol di sempadan Kesultanan Delhi semakin meningkat. Tentera Mongol memulakan pencerobohan ke atas Punjab dan Sindh pada lewat 1230-an dan 1240-an. Kesultanan Delhi bertindak untuk meredakan keadaan dengan memberikan hadiah dan menawarkan rundingan keamanan kepada Mongol. Pada tahun 1241, tentera Mongol yang diketuai oleh Bahadur Tair menguasai kota Lahore manakala kota Multan ditawan oleh Mongol pada tahun 1245. Pada tahun 1250–an, sebahagian besar kawasan rantau Punjab berada di bawah kekuasaan Mongol.

Sultan Nasiruddin Mahmud telah dibayangi oleh wazir dan penggantinya iaitu Balban telah mengubah dasar kerajaan untuk menentang Mongol. Di bawah pemerintahan Balban, kerajaan Delhi berjaya mengukir kejayaan dengan merampas semula kota Lahore dan Multan daripada tentera Mongol. Balban meneruskan usahanya untuk menghadapi ancaman Mongol berikutnya dengan membina kubu pertahanan di kawasan sempadan yang bergunung-ganang dan ia dikawal oleh tentera Afghan. Tambahan lagi, Balban mengalu-alukan kedatangan orang Parsi, Mongol dan orang Asia Tengah yang terpaksa mencari tempat perlindungan berikutan Perang Saudara Mongol yang tercetus. Balban juga memberikan peluang kepada pelarian tersebut untuk berkhidmat dalam angkatan tenteranya sekali gus membolehkan semua tentera Delhi dapat mempelajari selok-belok taktik peperangan Mongol.

Pada awal 1260-an, peperangan antara Kekhanan Chagatai dan Golden Horde telah tercetus. Hulagu Khan menyerang tentera-tentera Jochi dan ramai melarikan diri ke selatan Afghanistan di bawah jeneral Neguder. Bermula dari itu, mereka telah melakukan beberapa siri pencerobohan terhadap kawasan Punjab. Sementara itu, Balban telah mengukuhkan kedudukan kerajaannya dan melakukan dasar perluasan kuasa ke selatan India dengan menggunakan taktik peperangan Mongol. Walau bagaimanapun, beliau menerima berita mengejut apabila anak lelaki yang bakal mewarisi takhtanya, Muhammad Khan telah terkorban dalam serangan Mongol ke kota Multan. Balban menghabiskan sisa hidupnya dalam keadaan yang mengejutkan berikutan peristiwa itu sebelum meninggal dunia pada tahun 1287. Cucu Balban, Qaiqabad yang tidak mempunyai pengalaman telah menggantikan tempatnya sebagai pemerintah baru.

Sementara itu, cucu kepada Ogedei yang bernama Kaidu telah mengangkat kuasa dan menjadi musuh ketat kepada Kublai Khan. Pada tahun 1282, sebagai langkah untuk menstabilkan kerajaan dan menegaskan kedudukannya, Kaidu telah melantik Duwa, yang berasal daripada keturunan Chagatai menjadi khan (pemimpin). Mereka berdua masing-masing telah membahagikan kuasa pemerintahan di Asia Tengah. Anak pilihan Duwa yang bernama Qutlugh Khwaja telah meluaskan kuasanya ke Neguderi untuk menjadi pemimpin mereka.

Fail:Sultan Alauddin Khalji.jpg
Gambaran artis pada abad ke-20 terhadap Sultan Alauddin Khalji, penguasa Delhi.

Pada tahun 1290, Qaiqabad telah dibunuh dan takhta kerajaan dirampas oleh pengasas dinasti Khalji, Jalaludin Khalji. Sebelum beliau menjadi sultan, Jalaludin Khalji pernah menjadi panglima tentera di bawah pemerintahan Balban dan menjadi pegawai istana kepada Qaiqabad. Angkatan tentera di bawah kendaliannya sangat kuat dan cekap apabila mereka mengalahkan tentera Mongol di Punjab pada tahun 1292. Pemerintahannya mempamerkan kewibawaannya sebagai seorang pemimpin apabila beliau melakukan amal kebajikan dan suka menderma. Sikap baik dan mulia Jalaludin Khalji ini juga telah melemahkan kedudukannya apabila anak saudaranya, Alauddin Khalji membunuh bapa saudaranya sendiri sebelum merampas kuasa. Beliau merupakan seorang pemimpin yang licik dan tidak mempunyai sifat belas kasihan serta memiliki tentera yang istimewa. Pemerintahannya bermula dengan serangan ke atas kota Multan, Sindh dan Lahore yang diduduki oleh Neguderi. Panglima perang Alauddin Khalji iaitu Ulugh Khan dan Zafar Khan telah dikerah dengan jumlah ketenteraan yang lebih besar daripada tentera Mongol. Di Jaran–Manjur, Alauddin Khalji telah melakukan beberapa pembaharuan dalam ketenteraannya untuk mengukuhkan dan mempersiapkan tenteranya bagi menentang serangan Mongol.

Tentera dan pegawai yang berkhidmat di bawah Alauddin Khalji dibayar upah gaji. Di samping itu, sultan sendiri yang menawarkan diri untuk memerhati dan mengawasi tentera-tentera daripada tugasan itu dilaksanakan oleh amir. Pembaharuan dari segi ekonomi juga berjalan dengan baik. Cukai yang tinggi sehingga 50 peratus bagi setiap hasil keluaran tanaman telah dibuat. Usaha juga telah dilakukan untuk memastikan harga terus berkurang bagi menyara pendapatan tenteranya. Kedudukan sultan diperkukuhkan lagi dengan seorang perisik yang licik dan setia, Malik Kafur yang memastikan sultan tidak menjadi sasaran kepada rancangan jahat dari dalam istana.

India merupakan antara kawasan yang masih tidak ditembusi oleh tentera Mongol. Kekhanan Chagatai hanya menyasarkan India untuk meluaskan kuasanya daripada meneruskan perbalahan dengan kerajaan-kerajaan Mongol yang lain. Umumnya pada sebelum ini, tentera Mongol hanya menyerang India dengan tujuan untuk merompak dan merampas barang-barang berharga atau harta benda. Namun, serangan Mongol pada kali ini lebih serius ketika di bawah pemerintahan Duwa sehingga mengancam kedaulatan Kesultanan Delhi.

Pada tahun 1298, satu ketumbukan tentera Mongol telah dihantar ke India. Pada masa itu, panglima Ulugh Khan sedang berada di Gujerat semasa pencerobohan Mongol tersebut. Zafar Khan yang berada di Delhi memimpin tenteranya untuk menentang dan menewaskan tentera Mongol sebelum mereka berjaya memaksa tentera Mongol untuk berundur ke kawasan sempadan. Setelah kejayaan ini, Zafar Khan menjadi semakin popular kerana jasa dan sumbangannya. Beliau juga mula berasa curiga akan Sultan Alauddin Khalji kerana adakah sultan itu masih mengambil perhatian terhadap kesetiaannya.

Pertempuran sunting

Pada tahun 1299, Qutlugh Khwaja dan Temur Buqa mara bersama angkatan tentera seramai 50,000 hinga 60,000 infatri dan kavalri menuju ke sempadan atas arahan Duwa Khan. Jumlah angkatan tentera Mongol yang begitu besar membuktikan tujuan mereka untuk menakluki India atas dasar perluasan kuasa.

Sumber-sumber menyatakan Qutlugh Khwaja mara dengan begitu pantas dengan rancangan untuk menyerang kota Delhi secara langsung ketika tentera-tentera Delhi masih berada di Gujerat. Di Sungai Jumna, Zafar Khan bersama tenteranya telah bertembung dengan tentera Qutlugh Khwaja. Namun, tentera Zafar telah ditewaskan dalam pertembungan itu dan mereka terpaksa berundur ke Delhi. Berita kekalahan Zafar ke tangan Mongol telah mengakibatkan ribuan penduduk Delhi meninggalkan tempat tinggal masing-masing dalam keadaan ketakutan. Kebuluran, kepadatan pelarian di kota Delhi dan ketakutan kini melanda Delhi.

Sultan Alauddin Khalji telah mengadakan mesyuarat bersama dengan panglima tenteranya di dalam kota. Beliau telah dinasihatkan untuk meninggalkan kota kerana tentera Mongol terlalu ramai dan bukan lawan mereka. Namun, Sultan Alauddin percaya akan kebolehan tenteranya dan bersetuju untuk mengangkat senjata bagi bertempur dengan penceroboh Mongol. Sultan Alauddin berarak bersama dengan tenteranya sejauh 15 batu ke utara Delhi dan berentap dengan tentera Qutlugh Khwaja di Kili.

Sumber menyatakan Sultan Alauddin memiliki 300,000 tentera dan 2,700 gajah perang. Tetapi sejarawan moden menyatakan jumlah tersebut selayaknya mungkin sebanyak 70,000 tentera dan 700 ekor gajah. Tentera Alauddin masih ramai jika dibandingkan dengan jumlah tentera Mongol. Kedua-dua pihak menggunakan susunan dan formasi steppe yang sama iaitu satu pasukan tengah dan diikuti dua pasukan sayap. Sultan Alauddin memimpin pasukan tengah manakala panglima Zafar Khan memimpin sayap kanan diikuti Ulugh Khan di bahagian sayap kiri. Setiap bahagian tentera Delhi mempunyai tentera bergajah. Sama seperti tentera Mongol, tentera Delhi bergantung dengan pemanah kavalri, kavalri ringan dan kavalri berat. Bahkan, kebanyakan tentera Delhi terdiri daripada tentera berpengalaman yang berperang menggunakan taktik Mongol.

Tentera sayap kanan Delhi pimpinan Zafar Khan memulakan serangan pertama ke atas tentera Mongol untuk membalas dendam atas kekalahannya ketika pertempuran di Sungai Jumna. Beliau menyerang pasukan sayap kiri Mongol dan beliau berhasil memecahkan barisan pertama tentera musuh. Pengunduran tentera Mongol telah menggalakkan Zafar Khan untuk terus mengejar tentera Mongol sehingga ke satu medan lapang. Gerakan pasukan pimpinan Zafar yang terlalu pantas menyebabkan mereka berada jauh daripada saki baki tentera Delhi yang lain. Namun, beliau baru tersedar bahawa ini merupakan helah atau perangkap Mongol untuk mengepungnya. Noyan Taranghai mengetuai serangan hendap ke atas tentera Zafar. Seterusnya, Zafar tahu bahawa ajal semakin dekat untuk menjemputnya. Sementara itu, Sultan Alauddin tidak melakukan apa-apa usaha untuk menyelamatkan tenteranya yang bakal terkorban di tangan musuh. Walaupun dikepung, Zafar masih memberikan tentangan yang sengit dan hebat sebelum beliau akhirnya ditawan. Qutlugh Khwaja tertarik akan semangat Zafar sehinggakan beliau menawarkan Zafar untuk menyertai angkatan Mongol. Bahkan, beliau diberi tawaran untuk menjadi Sultan Delhi sekiranya mereka menang. Namun, Zafar menolak segala tawaran beliau kerana tidak mahu mengkhianati sultan. Lalu, Qutlugh Khwaja memerintahkan Zafar dihukum mati dan membunuh semua tenteranya.

Dengan kejayaan ini, Qutlugh Khwaja bersiap sedia untuk mengalahkan Sultan Alauddin dan menakluki kerajaannya. Walau bagaimanapun pada titik ini, seluruh angkatan tentera Mongol diarahkan berundur. Hal ini mungkin kerana semasa pertempuran sengit menentang tentera Zafar, Qutlugh Khwaja sendiri mengalami kecederaan yang parah. Semasa perjalanan pulang, Qutlugh Khwaja meninggal dunia akibat kecederaan teruk dialami olehnya. Mongol telah kehilangan puteranya dan serangan ini telah gagal untuk mencapai objektifnya.

Kesan sunting

Pertempuran ini bukannya titik noktah kepada pencerobohan Mongol ke atas India. Pada tahun 1303, Noyan Taranghai melancarkan serangan ke atas India semasa Sultan Alauddin Khalji baru pulang dari ekspedisi menawan Kubu Chittor. Pertempuran tercetus di Delhi dan berlarutan selama dua bulan. Tibanya musim panas yang membahang menguji kesabaran Taranghai lalu beliau memutuskan untuk mengundurkan angkatan tenteranya.

Dari tahun 1304 hingga 1308, serangan Mongol direncanakan pada setiap tahun. Aura tentera Mongol yang tidak mengenal erti kekalahan akhirnya 'bagai bertemu buku dengan ruas'. Tentera Mongol dikalahkan dalam pertempuran yang sengit. Komander Mongol telah dihukum mati dengan cara mati dipijak dan dilenyekkan oleh gajah. Satu binaan telah dibina yang diperbuat daripada tengkorak tentera Mongol di luar kawasan kota.

Kontroversi sunting

Beberapa persoalan telah timbul bahawa mengapakah Mongol tidak dapat menjalankan ekspedisi ketenteraan dengan berkesan di India. Hal ini kerana Delhi sudah sinonim dengan taktik peperangan Mongol, pengalaman berperang, model tentera yang agak mirip serta kehadiran pelarian Mongol ke India. Malah, cuaca panas di India terutamanya ketika musim panas menjejaskan keberkesanan ekspedisi Mongol lalu merencatkan perjalanan mereka. Hal ini kerana kuda-kuda tunggangan mereka tidak dapat meragut padang rumput yang telah habis terbakar dan terhad akibat cuaca panas. Perkara ini memberi kelebihan kepada pihak Sultan Alauddin yang mana panglima perangnya setanding dengan jeneral Mongol yang lain.

Setelah Kaidu meninggal dunia pada tahun 1303, Duwa mengadakan rundingan perdamaian di Kekhanan Chagatai. Beliau telah menyatukan kelompoknya dengan menyingkirkan segala perbezaan dan melancarkan serangan serentak ke atas India. Namun, kematian Duwa pada tahun 1306 telah membawa kepada konflik dalaman di Kekhanan Chagatai. Pada tahun 1328, anak Duwa iaitu Tarmashirin melancarkan serangan utama Mongol yang terakhir ke India tetapi keputusannya tetap sama iaitu berakhir dengan kekalahan Mongol. Tarmashirin memegang tampuk pemerintahan Kekhanan Chagatai dari tahun 1331 sehingga kematiannya pada 1334. Setahun kemudian, kerajaan Ilkhanat telah jatuh dan tumbang lalu membawa kepada krisis pergolakan di Asia Tengah.

Bibliografi sunting

  • A R Fuller (1869). "Translations from the Tarikh-i-Firuz Shahi". Journal of the Asiatic Society of Bengal. XXXVIII (IV).CS1 maint: ref=harv (link)
  • Banarsi Prasad Saksena (1992) [1970]. "The Khaljis: Alauddin Khalji". Dalam Mohammad Habib and Khaliq Ahmad Nizami (penyunting). A Comprehensive History of India: The Delhi Sultanat (A.D. 1206-1526). 5 (ed. Second). The Indian History Congress / People's Publishing House. OCLC 31870180.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Kishori Saran Lal (1950). History of the Khaljis (1290-1320). Allahabad: The Indian Press. OCLC 685167335.CS1 maint: ref=harv (link)
  • Peter Jackson (2003). The Delhi Sultanate: A Political and Military History. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-54329-3.CS1 maint: ref=harv (link)

Pautan luar sunting