Pertempuran Kirchholm

(Dilencongkan dari Pertempuran Kircholm)

Pertempuran Kircholm (27 September 1605 atau 17 September dalam Takwim Julius yang digunakan di negara-negara Protestan) merupakan salah satu pertempuran utama dalam Perang Poland-Sweden. Pertempuran ini ditentukan dalam masa 20 minit melalui serangan besar-besaran kavalri Poland-Lithuania iaitu Hussar.[5] Pertempuran ini berakhir dengan kejayaan muktamad tentera Poland-Lithuania dan ia telah dikenang sebagai satu kemenangan besar yang dicapai oleh kavalri Poland-Lithuania.

Pertempuran Kirchholm
Sebahagian daripada Perang Poland-Sweden (1600-1611)
Kirholm 1605 I.JPG
Pertempuran Kirchholm karya Pieter Snayers (1630)
Tarikh 17 September 1605 (O.S.)
27 September 1605 (N.S.)
Lokasi Kircholm, kawasan moden Salaspils, Latvia
Hasil Kemenangan muktamad Poland–Lithuania
Pihak yang terlibat
Komanwel Poland–Lithuania
Duci Courland
Sweden Sweden

Disokong oleh
Tentera upahan Jerman, Scotland dan Belanda
Komander
Jan Karol Chodkiewicz Charles IX dari Sweden
Kekuatan
3,600:[1]:64

1,000 infantri
2,600 kavalri
5 buah meriam

10,868:[2]:64

2,500 kavalri
8,368 infantri
11 buah meriam

Korban
100 terkorban,
200 tercedera[3]:65
7,600–8,000 terkorban, ditahan dan melarikan diri[4]

Latar belakangSunting

Poland dan Lithuania memasuki satu pakatan pada tahun 1385 bagi menghalang percubaan terakhir yang dilakukan oleh Kesateria Teuton untuk menguasai kawasan Baltik. Usaha itu membuahkan hasil semasa tercetusnya Pertempuran Grunwald. Kedua-dua kerajaan tersebut berusaha menghapuskan ancaman Teuton sehinggalah pada tahun 1561 apabila sisa-sisa Kesateria Teuton di Livonia dipaksa untuk menandatangani Perjanjian Vilnius. Dengan perjanjian itu, ia membolehkan Poland dan Lithuania mendominasi Baltik. Menerusi Kesatuan Lublin pada tahun 1569, kedua-dua buah kerajaan ini bersatu menjadi sebuah entiti yang dikenali sebagai Komanwel Poland-Lithuania. Persekutuan ini bercorakkan raja elektif dan merupakan salah satu kerajaan terkuat di Eropah.

Sweden merupakan sebahagian daripada Kesatuan Kalmar tetapi golongan aristokrasi Sweden yang dipimpin oleh Gustav Vasa berusaha untuk membebaskan Sweden. Hasil pimpinan beliau, Sweden memenangi perang kemerdekaannya menentang Denmark dan Norway antara tahun 1521 dan 1523. Gustav I diangkat menjadi raja dan menubuhkan dinasti barunya. Beliau juga telah memimpin sebuah reformasi gereja yang telah menjadikan Sweden berpegang kepada ajaran Lutheranisme. Walau menghadapi pergelutan dengan pedagang Hansa dan Gereja Katolik, beliau berjaya mengukuhkan ekonomi kerajaan dan membina sebuah angkatan tentera yang moden. Pada tahun 1561, Sweden memperoleh kawasan asing pertama di luar negara Sweden dan Finland apabila Estonia Utara menjadi negeri naungan Sweden semasa Perang Livonia. Kehadiran Sweden di Baltik telah meletakkan perbatasan antara Sweden dengan Komanwel Poland-Lithuania dan Rusia.

Pada tahun 1587, pewaris takhta Sweden iaitu Sigismund Vasa telah menjadi pemerintah Komanwel Poland-Lithuania yang baru. Oleh kerana Sigismund merupakan seorang yang unggul, pelantikannya bukanlah satu kejutan. Bangsawan Poland menggangap beliau sebagai satu taruhan yang meyakinkan apabila peperangan menentang Rusia kemungkinan akan menyusul. Pada tahun 1592, Raja John III telah mangkat dan Sigismund ditabalkan menjadi Raja Sweden yang baru hanya selepas dua tahun kemudian. Sigismund memberi jaminan bahawa beliau akan menghormati Lutheran dan memerintah atas keizinan parlimen. Malangnya, beliau gagal menunaikan janjinya. Golongan aristokrat Sweden yang diketuai oleh bapa saudara Sigismund, Charles melancarkan pemberontakan menentang beliau pada tahun 1597. Raja Sigismund gagal untuk mendapatkan bantuan dari Parlimen Poland dan beliau terpaksa merekrut tentera upahan peribadi. Pada tahun 1598, beliau mendarat di Sweden bersama dengan tentera upahan Jerman, Poland dan Hungary. Walaupun mencapai beberapa kejayaan awal, kekalahan beliau dalam Pertempuran Stångebro memaksanya untuk melarikan diri ke Poland. Akhirnya, Charles dilantik untuk memegang takhta Sweden pada tahun 1600.

Mulai saat itu, kesemua dasar Sigismund mengelilingi hasratnya untuk merebut kembali Sweden. Beliau bersungguh-sungguh untuk memperoleh sokongan dari golongan aristokrat Poland dan beliau berjanji kerajaannya akan mendapatkan kawasan Estonia Utara daripada Sweden. Perkara ini telah membawa kepada peperangan kedua-dua kerajaan ini. Charles mendarat di Estonia bersama dengan jumlah tentera seramai 15,000 orang semasa tentera Poland sibuk berperang dalam Perang Hartawan Moldavia. Pada masa itu, Estonia dipertahankan oleh lebih kurang 5,000 tentera. Tentera Sweden dengan pantasnya menguasai seluruh Estonia dan mara ke Livonia. Nampaknya Hetman Lithuania, Jan Karol Chodkiewicz dan Canselor Poland, Jan Zamoyski telah dipanggil semula dari Moldavia pada tahun 1601. Chodkiewicz bersama dengan pasukan tenteranya berjaya memenangi pertempuran sengit yang pertama menentang Sweden berhampiran Kokenhausen dan angka kematian tentera Sweden telah mencecah seramai 3,000 orang. Pasukan tentera pimpinan Zamoyski terdiri daripada lebih 12,000 orang dan mereka juga mara ke kawasan pertempuran tersebut bagi mengasak tentera Charles sehingga memaksa tentera musuh berundur serta merta. Kebanyakan tanah yang diduduki oleh Sweden telah ditakluk semula oleh Poland dengan hanya beberapa buah kota sahaja yang tinggal. Masalah terbesar untuk Poland ialah mereka merasakan ancaman dari selatan lebih membimbangkan dan mengabaikan Sweden yang telah mempersiapkan angkatan tentera baru untuk memperbaharui semula serangan mereka.

Zamoyski dan tenteranya telah dihantar pulang ke Moldova manakala Chodkiewicz bersama tenteranya tidak menerima sebarang upah mahupun bantuan ketenteraan. Serangan Sweden kedua ini bermula pada tahun 1605. Empat pasukan tentera Sweden yang berlainan telah mendarat di Estonia dan Livonia lalu mengancam kota yang terkenal, Riga. Panglima tentera Poland iaitu Chodkiewicz cuba untuk mengganggu dan memecahkan organisasi pasukan musuh tetapi beliau akhirnya berundur di atas asakan dan tentangan musuh yang hebat. Riga kini dikepung baik dari laut dan darat. Dengan menguasai kota pelabuhan strategik itu, Sweden boleh memotong ke kawasan Livonia dan kehilangan kota itu sama sekali memberi tamparan besar kepada Poland. Jadi, tentera Chodkiewicz telah berarak ke Riga untuk mengasak tentera Sweden dan mencabar musuh untuk berhadapan dengan pasukannya. Chodkiewicz tiba di Kirchholm pada 26 September 1605. Charles dimaklumkan tentang kemaraan tentera Poland dan beliau bercadang untuk melakukan serangan mengejut ke atas semua tentera Chodkiewicz. Semasa malam 27 September, Charles bergerak bersama dengan tenteranya sepanjang 17 kilometer menuju ke Kirchholm.

PertempuranSunting

 
Jan Karol Chodkiewicz dalam kancah Pertempuran Kirchholm.

Sebaik sahaja matahari terbit, pasukan tentera Sweden berbaris di tanah tinggi menghadap tentera Poland-Lithuania di atas bukit yang bertentangan. Angkatan tentera Sweden mempunyai 10,700 tentera yang terdiri daripada 8,200 infantri dan 2,500 kavalri serta ditambah dengan sebelah buah meriam. Raja Charles sendiri memimpin tenteranya dan beliau menyusun tenteranya kepada empat barisan yang masing-masing mempunyai infantri dan kavalri. Barisan pertama Sweden memiliki tujuh unit infantri manakala barisan ketiga pula memiliki enam buah unit infantri. Dua baki barisan mempunyai tambahan enam dan lima unit kavalri masing-masing yang terletak di barisan kedua dan keempat. Meriam-meriam ditempatkan di antara barisan kedua dan barisan ketiga. Setiap unit tersebut mempunyai beratus-beratus orang askar. Charles tahu bahawa tentera berkuda Hussar Poland akan memecahkan barisan tenteranya dengan mudah. Beliau berharap ia juga akan memecahkan momentum musuh sekali gus memudahkan beliau melancarkan serangan balas bersama dengan kavalrinya. Barisan tentera Sweden yang ketiga dan keempat telah diarahkan untuk membantu pasukan hadapan yang akan terdedah dengan percubaan serangan dari musuh.

Jan Karol Chodkiewicz mempunyai 4,000 orang tentera dan 3,000 kavalri. Kebanyakan kavalrinya terdiri daripada tentera hussar. Beliau telah menempatkan tentera-tenteranya di posisi yang dikenali sebagai "Old Polish Order" yang menumpukan pasukan sayap kiri. Di situ, beliau mempunyai 1,300 kavalri bersama dengan 400 tentera hussar sambil dilindungi oleh dua buah meriam yang terletak di tebing Sungai Daugava. Selain itu, beliau memiliki tentera pusat yang terdiri daripada 1,000 orang infantri yang digelar Hajduk, 300 tentera hussar, 300 penunggang kuda dan lima senapang ditempatkan untuk membantu mereka. Di bahagian kanan, 600 tentera hussar, 100 tentera Cossack dibentuk menjadi empat barisan. Sementara itu, sisa tentera hussar seramai 200 orang diletakkan sebagai simpanan. Apabila pertempuran akan bergema dan kelebihan diperoleh Poland di bahagian kiri, rancangan mereka untuk memberi tekanan kepada Sweden supaya berundur dari kawasan sungai dan mengheret musuh menuju ke medan lapang yang sesuai bagi tentera hussar untuk melancarkan serangan. Tentera Poland memiliki kelebihan dari sudut jumlah tentera yang besar manakala tentera Sweden telah penat dan letih kerana berarak dari tempat yang jauh serta tidak bersetuju atas rancangan untuk bertahan dari serangan tentera hussar musuh.

 
Selepas Pertempuran Kirchholm karya January Suchodolski.

Chodkiewicz mengharapkan Charles akan menyerang pasukannya lalu beliau mengarahkan barisan pusatnya melakukan taktik berpura-pura berundur. Charles tidak ingin melepaskan peluang untuk memusnahkan tentera Poland membuatkan beliau mengarahkan tenteranya untuk melancarkan serangan. Tentera Sweden ingin memberi asakan dan tekanan kepada musuh sehingga ia berundur ke sungai. Maka, pasukan kavalri Sweden dari barisan kedua telah bergerak ke bahagian sayap kanan. Apabila infantri Sweden tiba di kawasan lereng bukit yang menempatkan tentera-tentera Poland, mereka telah diserang oleh artileri dan kavalri Poland. Pasukan sayap kanan Charles kelihatan tidak sedar dan perasan apabila semasa pertempuran tercetus, tentera Sweden diserang oleh kavalri musuh dari arah belakang. Serangan mengejut ini telah memisahkan perhubungan antara tentera hadapan dan tentera belakang Sweden lalu membuatkan mereka tidak dapat saling membantu antara satu sama lain. Artileri Sweden pula menghadapi masalah untuk melepaskan tembakan dan dibimbangkan ledakan artileri tersebut mengena pasukan sendiri.

Sementara itu, pasukan sayap kiri Sweden digesa untuk bertempur manakala tentera Poland yang menunggu di situ dengan penuh semangat bagi membolehkan tentera musuh menuju ke kawasan tanah yang kering. Semasa kesemua tentera Sweden telah diheret ke situ, Chodkiewicz mengarahkan pasukan simpanannya mara membantu pasukan sayap kanan dan melewati musuh dari arah belakang. Tentera Sweden terus diasak dan diserang habis-habisan oleh kavalri Poland. Di bahagian pusat, tentera Sweden berundur perlahan-lahan tetapi pasukan sayap kiri Sweden terjerumus ke dalam kancah pertempuran semasa berundur menyebabkan mereka telah kehilangan formasi. Separuh daripada tentera Charles telah dikepung musuh manakala tentera Poland terus mengejar tentera Sweden yang sedang berundur sehingga menuju ke kem mereka di Riga.

KesanSunting

 
Tugu peringatan Pertempuran Kirchholm di Salaspils, Latvia.

Pertempuran ini jelas memperlihatkan kemenangan besar diraih oleh Jan Karol Chodkiewicz. Pasukan pimpinannya telah kehilangan nyawa seramai 100 orang dan 200 tercedera sementara tenteranya juga telah membunuh dan menawan kira-kira 8,000 tentera Sweden. Sisa tentera Sweden telah meninggalkan Pengepungan Riga dan mereka kemudiannya sama ada belayar pulang ke Sweden atau berundur ke kubu-kubu mereka. Walaupun memperoleh kejayaan, Jeneral Chodkiewicz gagal untuk memanfaatkan kemenangan ini. Hal ini menyebabkan tentera-tenteranya yang tidak diupah melancarkan pemberontakan dan pergi meninggalkannya. Beliau terpaksa merekrut tentera-tentera upahan yang kecil dan mengupahnya sendiri. Perang antara kedua-dua kerajaan ini akhirnya tamat dengan tergantung pada tahun 1611 setelah kematian Raja Sweden, Charles. Kedua-dua kerajaan ini tidak mendapat sebarang tanah baru dan peperangan ini telah membawa kepada konflik yang lebih dahsyat pada masa akan datang.

CatatanSunting

  1. ^ name=Frost
  2. ^ name=Frost
  3. ^ name=Frost
  4. ^ name="barkman">Bertil C:son Barkman, Kungl. Svea Livgardes Historia, bd. II: 1560–1611. Victor Pettersson (1939).
  5. ^ name="brzezinski"

Pautan luarSunting

  • Winged Hussars, Radoslaw Sikora, Bartosz Musialowicz, BUM Magazine, 2016.