Pertempuran Idistaviso

(Dilencongkan dari Pertempuran Sungai Weser)

Pertempuran Idistaviso, kadang kala dikenali sebagai Pertempuran Minden atau Pertempuran Sungai Weser, berlaku pada tahun 16 Masihi antara legiun Rom yang dipimpin oleh pewaris dan anak angkat kepada Maharaja Tiberius iaitu Germanicus menentang puak Jermanik yang diketuai oleh Arminius. Pertempuran ini menandakan berakhirnya kempen Germanicus selama tiga tahun di Germania.

Pertempuran Idistaviso
Sebahagian daripada Perang Rom-Jermanik

Gambaran Dataran Idistaviso
Tarikh16 Masihi
Lokasi
Keputusan Kemenangan Rom
Pihak yang terlibat
Empayar Rom Puak Jermanik
Komandan dan pemimpin
Germanicus
Flavus
Chariovalda 
Arminius (WIA)
Inguiomer (WIA)
Kekuatan
8 legiun
Auxilia Gaul dan Jermanik
2 cohort Praetoria[1]
Tidak diketahui
Kerugian dan korban
Tidak diketahui Tidak diketahui

Latar belakang sunting

Pada tahun 9 Masihi, berita mengenai bencana Variana telah tersebar ke seluruh Empayar Rom. Perkara ini telah mendesak Rom untuk menghantar bantuan ketenteraan ke sempadan Gaul. Komander Rom yang berada dekat kawasan itu, Tiberius telah berarak ke arah utara menuju ke Rhine. Beliau mendapati kubu pertahanan di sana tidak dikawal. Seterusnya, beliau meletakkan garison di kubu-kubu dan meletakkan pengawal-pengawal untuk menjaga kawasan-kawasan strategik di sepanjang Rhine. Hal ini bagi menghalang sebarang percubaan yang dilakukan oleh puak Jermanik untuk menyeberangi sungai itu. Selepas beliau berjaya menyiapkan penyusunan ini, Tiberius kembali ke Rom dan meninggalkan anak angkatnya, Germanicus untuk menggalas tugas sebagai komander di kawasan itu.

Germanicus telah dilahirkan dengan nama Nero Claudius Drusus pada tahun 15 SM. Beliau merupakan anak saudara Tiberius dan saudara jauh Augustus. Bapa beliau yang juga bernama Nero Claudius Drusus telah terkorban semasa dia terjatuh daripada tunggangan kudanya pada tahun 9 SM. Senat telah mengurniakan gelaran hormat "Germanicus" kepada keluarganya sebagai tanda penghormatan kepada bapa Germanicus yang terkorban dalam pertempuran. Walaupun kekurangan pengalaman, Germanicus yang masih muda membuktikan dirinya seorang yang bijak dan terlatih. Beliau melatih dan memberikan arahan kepada tenteranya sendiri apabila situasi di Illyria bergolak pada tahun 6 Masihi. Setelah tenteranya berkumpul dan dikerah di Rom, Germanicus menempuh Laut Adriatik untuk memasuki zon perang di Illyria.

 
Patung Germanicus.

Pada saat konflik itu tercetus, ramai komander hebat Rom telah terpuruk disebabkan oleh taktik gerila pemberontak tetapi Germanicus berjaya memperoleh kemenangan. Beliau telah menakluk puak Mazaei Illyria di kala wilayah tenteranya dilanda musim sejuk. Apabila konflik diheret ke tahun 8 Masihi, Germanicus menyertai semula tenteranya dan menuju ke arah selatan untuk menguasai Splonum (di utara Montenegro), sebuah pusat perlombongan yang maju. Selepas berhadapan kesukaran untuk merebut kota itu, Germanicus seterusnya menawan Raetium dan banyak lagi kubu pemberontak pada sepanjang kempen. Selepas mencapai kejayaan itu, beliau telah diberi arahan untuk memimpin seluruh angkatan tentera Rom dek kerana beliau berjaya mengubah hala peperangan yang memberikan kelebihan kepada Rom pada tahun 9 Masihi.

Selepas Illyria tunduk kepada Rom, Germanicus meraih beberapa penghargaan antaranya menjawat jawatan sebagai praetor hasil usahanya keberaniannya yang begitu besar. Sebelum konflik itu, beliau hanyalah seorang majistret kerajaan yang naif dan mempunyai bakat dalam penulisan tetapi kini beliau berubah menjadi seorang komander perang. Pencapaian ini yang dicapai oleh Germanicus sebelum beliau mengambil alih pentadbiran di Rhine selepas bencana di Teutoburg pada tahun 9 Masihi. Selepas beliau bertugas sebagai komander tentera secara singkat sambil mengukuhkan kubu pertahanan di kawasan itu, Germanicus kembali ke Rom untuk menjalankan tugasnya sebagai praetor dengan cekap.

Kempen Germanicus sunting

Pada tahun 11 Masihi, tanggungjawab untuk menguruskan ancaman puak Jermanik yang akan datang menyerang telah diamanahkan kepada Tiberius dan Germanicus. Mereka berdua melepasi sempadan Rhine dan berarak melalui Jerman. Oleh sebab kedua-dua belah pihak saling berwaspada, maka tiada pertempuran yang tercetus. Jadi pada tahun lewat tahun 11 Masihi, Germanicus pulang ke Rom. Sebaik sahaja beliau sampai ke sana pada awal tahun 12 Masihi, Germanicus telah menjadi konsul pada usia 27 tahun sekali gus menjadi salah seorang konsul termuda yang pernah dicatatkan. Selepas tempohnya sebagai konsul telah luput, Germanicus dilantik menjadi legatus Augusti pro praetore ataupun 'timbalan dan gabenor' untuk tiga wilayah di Gaul dan Germania. Jawatan tersebut merupakan jawatan yang sama disandang oleh bapanya. Tugas-tugas yang perlu dilakukan oleh Legatus baru itu termasuklah pembangunan bangsa di kawasan-kawasan baru, menjamin keamanan dan menggalakkan kepentingan ekonomi Rom di kawasan itu.

Pada lewat musim panas tahun 17 Masihi, pendiri Empayar Rom iaitu Augusutus yang berusia 75 tahun telah meninggal dunia semasa melawat Nola. Pengganti Augustus telah menjadi satu topik perbincangan yang hangat semasa pemerintahannya. Akhirnya, Tiberius telah dipilih oleh Princeps lewat untuk menaiki takhta Rom manakala Germanicus dan keluarganya telah diizinkan untuk mengguna pakai nama gelaran Caesar. Di Rom, Tiberius menggabungkan kuasa antara unit ketenteraan, senat dan aristokrasi. Sementara itu, pewaris Tiberius yang sah, Agrippa Postumus telah meninggal dunia dan Germanicus kemudiannya menjadi layak untuk memegang kedudukan itu. Pada masa itu, Tiberius berkemungkinan berasa curiga akan kuasa anak saudaranya itu dan juga risau Germanicus akan bertindak menggulingkannya. Walau bagaimanapun, kesetiaan Germanicus yang tidak berubah-ubah terhadap maharaja baru itu telah dibuktikan melalui tindakannya yang sama sekali tidak memikirkan rampasan kuasa.

Kesetiaan Germanicus diuji pada pertengahan tahun 15 Masihi apabila legiun-legiun Rom di Rhine dan Danube melancarkan pemberontakan. Mereka menunjukkan kemarahan dan tidak berpuas hati akan upah bayaran, syarat-syarat dan kekejaman centurion. Setelah mereka tidak berpuas hati dengan respon Tiberius, mereka cuba untuk mengumumkan Germanicus sebagai maharaja tetapi Germanicus segera menolak mentah-mentah. Sebaliknya, beliau mengumumkan bahawa beliau lebih rela mati daripada mengkhianati maharajanya sendiri serta mengugut untuk membunuh diri. Legiun-legiun bertindak menghalang beliau dan mereka akhirnya melakukan tolak ansur. Germanicus kemudiannya memulihkan penyatuan legiun Rom dengan menumpukan daya dan fokus mereka terhadap musuh utama.

 
Kempen ketenteraan Germanicus pada tahun 16 Masihi.

Seramai 15,000 tentera yang dihantar oleh Germanicus telah menyeberangi Rhine untuk memusnahkan bangsa Marsi. Beliau dengan rasa tidak belas kasihannya mengarahkan tenteranya untuk membakar dan memusnahkan semua benda dalam jarak lingkungan 50 batu di dalam kota. Sementara itu, semua penduduk musuh di kawasan itu telah dibunuh. Sesudah itu, puak Jermanik yang lain melancarkan serangan semasa tentera Rom sedang berarak pulang ke Rhine. Germanicus memimpin tentera-tenteranya untuk mencapai kemenangan sebelum beliau menuju pulang ke Rom. Berita tentang kejayaannya mematahkan pemberontakan dan menceroboh Germania telah disambut dengan kegembiraan oleh penduduk Rom bersama dengan cohort praetoria apabila sekembalinya Germanicus ke Rom. Sebagai ganjaran sumbangan khidmatnya, Germanicus diberi keistimewaan sempena kejayaannya. Kemudian, Germanicus kembali ke kawasan moden Cologne untuk merangka rancangan bagi kempen pada tahun itu.

Di seberang sungai, terdapat sebuah suku yang dikenali sebagai Chatti. Oleh sebab mereka berada hampir dengan pengaruh bandar Rom, mereka juga mempunyai petempatan pesat sendiri, terlibat dalam kempen ketenteraan yang berpanjangan serta melantik pemimpin mereka sendiri. Kuasa Chatti telah menimbulkan ancaman yang besar ke atas kepentingan Rom di kawasan itu lalu Germanicus bertindak melancarkan dua serangan berpenjuru terhadap mereka. Banyak perkampungan Chatti telah dibakar dan golongan lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang tidak terkira bilangannya telah terkorban dalam kempen yang kejam ini. Peristiwa ini telah menarik perhatian suku Cherusci, puak-puak Arminius dan sisa-sisa Marsi. Bangsa Marsi itu dengan pantasnya dikalahkan oleh Germanicus. Bahkan, tentera Rom berjaya untuk menawan isteri Arminius yang sedang hamil, Thusnelda.

Selepas mendapat berita isterinya telah ditangkap, Arminius mengumpulkan puak-puak Cherusci dan sekutunya dari puak Jermanik. Germanicus sedar bahawa beliau perlu merencanakan serangan dulu sebelum puak-puak Cherusci terlebih dahulu melancarkan serangan mereka sendiri. Germanicus merancang untuk merangka serangan dari arah tiga penjuru bagi mengepung Cherusci yang bertujuan untuk memisahkan mereka dari sekutu yang lain seperti puak Bructeri dan Angrivarii.

Terdapat dua orang komander Rom memimpin pasukan legiun di daratan manakala Germanicus sendiri memimpin serangan yang bercita-cita besar melalui Sungai Ems. Pasukan legiun tengah Rom tiba di petempatan utama Bructeri sebelum mereka memusnahkannya dan berjaya menemui Aquila yang berasal dari Legio XIX. Tiga angkatan tentera Rom kemudiannya berkumpul bersama-sama dan Germanicus menghalakan mereka menuju ke satu kawasan yang menyaksikan kehancuran pasukan legiun pimpinan Publius Quinctilius Varus. Saki-baki tentera dan peralatan Rom masih lagi terdapat di kawasan itu. Seterusnya, tentera Rom menguburkan rakan-rakan mereka yang telah terkorban dengan membina timbunan-timbunan suci yang dikenali sebagai tumulus. Semasa beliau berundur, tentera Germanicus telah diserang dengan hebat tetapi kempen pada tahun 15 Masihi dapat dikira sebagai pencapaian yang diharapkan.

Pertempuran sunting

Fasa 1: Dataran Idistaviso sunting

Pada tahun berikutnya, Germanicus mengambil keputusan untuk melancarkan serangan muktamad ke atas Arminius. Kempen yang dahsyat ini melibatkan 52,000 orang tentera dan sebanyak 1,000 buah kapal untuk berlayar melalui Sungai Ems sebelum berlabuh di bahagian kiri sungai. Pasukan legiunnya berarak ke arah timur sehingga mereka bertembung dengan tentera Jermanik di sisi bertentangan pada Sungai Weser.

 
Pertempuran yang berlangsung di Dataran Idistaviso antara legiun Germanicus dan gerombolan puak Jermanik di bawah pimpinan Arminius.

Kedua-dua pihak mengambil barisan masing-masing di kawasan yang terdapat sebuah terusan yang mempunyai suatu harungan tetapi tidak pula ada suatu jambatan. Germanicus memutuskan untuk tidak menyeberangi sungai yang akan mengundang bahaya kepada tenteranya. Jadi, beliau membuat satu rancangan. Sementara majoriti tenteranya berada bersama-sama di tepi sungai, Germanicus memimpin unit kavalri sayap kiri dan sayap kanan diketuai oleh Sertinius dan Aemilius untuk mengumpan infantri Jermanik di bahagian sayap. Kemudian, kavalri elit Bavaria yang diketuai oleh Chariovalda merempuh jantung pasukan musuh. Unit kavalri Bavaria berjaya menembusi barisan hadapan tentera Arminius dan hampir menerobos menuju ke arah pemimpin musuh. Namun, Arminius pernah berhadapan dengan tentera Rom beberapa tahun sebelumnya ketika di Teutoburg dan beliau amat biasa dengan taktik-taktik yang berbeza ini. Beliau juga telah memasang perangkap sendiri.

Pada masa itu, kavalri Arminius yang berasal dari puak Cherusci segera keluar dari kawasan hutan lalu mengepung tentera-tentera Chariovalda sebelum membunuh komander bagi tentera musuh itu. Tentera-tentera Chariovalda mula bercerai-berai dalam serangan mengejut itu tetapi dua pasukan sayap mereka yang lain bertindak mengubahkan hala serangan untuk membantu rakan seperjuangan mereka. Usaha ini lantas berhasil dan hanya sebahagian kecil daripada unit kavalri yang terperangkap itu tadi berjaya menyelamatkan diri. Setelah melihat rancangan awalnya menemui kegagalan, Germanicus mendendangkan pengunduran dari kawasan sungai kembali ke kem mereka.

Komander Rom itu menginginkan kempen menentang Ariminius dengan lebih lanjut tetapi beliau tidak yakin akan semangat dan moral tentera-tenteranya. Beliau kemudian menjadi yakin semula akan kemampuan tentera-tenteranya selepas cemuhan daripada pahlawan-pahlawan Jermanik telah dibalas oleh ejekan legiun Rom yang bengis. Legiun Rom juga menjerit kembali supaya mereka bersungguh-sungguh merebut semula tanah yang telah diduduki dan isteri-isteri mereka sebagai rampasan perang. Apabila tentera-tenteranya yang bersemangat telah berjaya meyakinkan Germanicus, beliau sekali lagi keluar berarak untuk bertempur menentang musuh di Dataran Idistaviso.

Tentera Germanicus terdiri daripada auxilia Gaul dan Jermanik serta pemanah pejalan kaki di barisan hadapan. Barisan itu diikuti oleh empat buah pasukan legiun dan dituruti oleh Germanicus sendiri serta dua cohort Praetoria dan sesetengah pasukan kavalri terpilih. Kemudian, empat buah pasukan legiun, tentera bersenjata ringan, sebahagian pemanah berkuda dan sisa cohort sekutu telah datang menyusul.

Tentera infantri Arminius daripada suku Angrivarii dan Cherusci mula mendaki cerun bukit dan melancarkan serangan deras apabila menuruni bukit ke arah barisan hadapan tentera Rom bagi memulakan kancah pertempuran. Selepas menyaksikan infantri Jermanik melakukan serangan, Germanicus mengarahkan pasukan kavalrinya yang dipimpin oleh Sertinius untuk menyerang tentera sayap dan pasukan belakang Arminius sementara infantrinya yang lain belum tiba masanya untuk dilepaskan buat sementara waktu. Beliau menunggu sehingga pasukan kavalri melakukan pertembungan lalu mengarahkan pasukan auxilia dan pasukan legiun pertamanya untuk mara menyerang infantri Jermanik. Apabila legiun Rom melontarkan pilum, tentera musuh dengan pantasnya mula mengalami kerugian sebelum akhirnya beralih untuk melarikan diri.

Walau bagaimanapun, Arminius sendiri bersama barisan kedua pahlawan Jermanik melancarkan serangan ke arah pemanah Rom yang terdedah sebelum mereka dibantu oleh cohort Rom. Arus pertempuran kini beralih menentang Jermanik sama seperti yang ditimpa oleh tentera Rom pada tujuh tahun yang lalu apabila mereka ternyata terkorban di sana. Tiada tahanan perang yang dibawa manakala Arminius berjaya melarikan diri.

Fasa 2: Benteng halangan Angrivarii sunting

 
Fasa kedua pertempuran di Idistaviso antara Germanicus dan Arminius.

Selepas kejayaan itu, Germanicus membina sebuah tugu kemenangan. Perkara ini menimbulkan kemarahan puak Jermanik sehingga mereka ingin berperang sekali lagi. Arminius bersama majlis puak-puak mengambil keputusan untuk berundur ke wilayah Angrivarii bagi melakukan persiapan untuk menghadapi pertempuran seterusnya. Pahlawan-pahlawan di wilayah itu telah mendirikan sebuah benteng halangan antara kawasan paya dan hutan. Arminius berhasrat untuk mengumpan tentera Rom supaya menyasarkan serangan ke arah halangan itu manakala kavalri Cherusci dan infantri yang lain akan memimpin satu serangan hendap. Namun, perisik Germanicus telah melihat puak-puak Jermanik membangunkan kubu pertahanan mereka. Jadi, Germanicus merancang satu strategi sebagai tindak balas.

Germanicus membariskan tentera-tenteranya di hadapan halangan yang mana beliau sendiri memimpin pasukan sayap kanan di bentuk muka bumi yang sukar sambil dilindungi oleh cohort Praetoria. Sementara itu, Lucius Seius Tubero memimpin pasukan sayap kiri di kawasan tanah yang lebih rendah dan landai. Pertempuran tercetus apabila pasukan sayap kiri Rom melakukan serangan terhadap benteng pertahanan musuh. Tentera Rom berdepan dengan kesukaran tetapi tentera Jermanik juga bergelut sehingga bantuan ketenteraan disalurkan kepada mereka. Pada masa yang sama, pasukan kavalri Rom di bahagian sayap kanan bertempur menentang tentera Jermanik yang menyorok di dalam kawasan hutan. Hal ini demikian kerana Germanicus sudah sedia maklum akan kehadiran musuh yang terdapat di kawasan itu. Malangnya, mereka masih ditimpa kerugian nyawa dan angka korban. Dalam usaha untuk melemahkan pihak musuh, tentera Rom yang terdiri daripada pemanah, pelontar dan artileri melepaskan serangan masing-masing menghujani kubu pertahanan musuh.

Germanicus memutuskan bahawa inilah masanya untuk mara bersama pasukan cohort Praetoria menghampiri kawasan cenuram yang berada di hadapan halangan pertahanan musuh. Selepas berlangsungnya pertempuran sengit, formasi elit Rom berjaya memecahkan halangan musuh lalu menghalakan kemaraan ke arah timur untuk menyerang tentera Cherusci yang menyorok di dalam hutan dari arah belakang. Dalam pertarungan yang menggerunkan ini, Germanicus sendiri telah membunuh ramai tentera musuh untuk menyemarakkan semangat tentera-tenteranya dalam merebut kemenangan. Sesudah berjam-jam pertempuran terjadi, tentera Rom menyingkirkan musuh dari medan pertempuran manakala saki-baki pemimpin Jermanik bertindak untuk melarikan diri.

Kesan sunting

Penderitaan psikologi Rom daripada bencana Teutoburg akhirnya dapat ditebus tetapi Tiberius memutuskan bahawa kempen penaklukan Germania tidak mendatangkan keuntungan lalu memanggil Germanicus untuk pulang ke Rom. Germanicus sekali lagi dijulang sebagai wira dan memperoleh kedudukan konsul pada tahun 18 Masihi. Kemudian, beliau telah dihantar ke Asia dan menyusun atur wilayah di sana. Namun, beliau meninggal dunia yang disebabkan oleh sama ada wabak penyakit atau diracun pada tahun 19 Masihi. Situasi yang sama berlaku di Jerman apabila Arminius menganggap Rom sebagai musuh yang aktif bertindak memerangi puak-puak Jermanik yang lain. Arminius akhirnya dibunuh oleh musuh daripada puaknya sendiri yang merasakan beliau menjadi semakin berkuasa.

Catatan sunting

  1. ^ Tacitus (1876). The Annals (From the Passing of the Divine Augustus), translated by Alfred John Church and William Jackson Brodribb. 2.16   Rencana ini mengandungi teks dari sumber yang berada dalam domain awam.

Pautan luar sunting