Pertempuran Yamen (Cina ringkas: 崖门战役Cina tradisional: 厓門戰役) terjadi pada 19 Mac 1279 dan dianggap sebagai pertahanan terakhir Dinasti Song ketika menentang pencerobohan Dinasti Yuan Mongol. Walaupun kalah dalam jumlah ketenteraan secara nisbah 10:1, tentera Yuan berjaya menggunakan taktik peperangan yang bijak bagi mengalahkan dan memusnahkan tentera Song.

Pertempuran Yamen
Sebahagian daripada Penaklukan Mongol ke atas Dinasti Song

Sebuah taman di Xinhui, Jiangmen, Guangdong mengenang pertempuran Yamen
Tarikh19 Mac 1279
Lokasi
Keputusan

Kemenangan muktamad Yuan

  • Kejatuhan Dinasti Song
Perubahan
wilayah
Yuan menguasai seluruh tanah besar China
Pihak yang terlibat
Dinasti Song Dinasti Yuan
Komandan dan pemimpin
Zhang Shijie Zhang Hongfan
Kekuatan
200,000 orang kebanyakannya bukan perajurit – bangsawan dan hamba Song
1,000+ kapal
20,000 tentera Cina
50+ kapal perang
Kerugian dan korban
Sekurang-kurangnya 100,000 terkorban sama ada berjuang ataupun mati lemas Tidak diketahui

Latar belakang sunting

Pada tahun 1271, Kublai Khan mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja dan keturunannya secara perlahan-lahan diasimilasikan menjadi Cina berbanding Mongol. Beliau telah memindahkan ibu kota kerajaan ke Khanbaliq atau Dadu, yang kini dikenali sebagai Beijing. Kublai telah memperbaharui dasar ketenteraannya yang terdiri daripada sekumpulan kecil tentera Mongol serta kumpulan besar perajurit Cina.

 
Gambaran Kublai Khan sedang memburu bersama pengiringnya oleh artis Liu Guandao, kira-kira pada 1280.

Kublai memutuskan untuk melancarkan serangan ke atas Dinasti Song. Akan tetapi, beliau sedar bahawa beliau perlu mengatur satu strategi baru. Dalam pada itu, tentera Song tidak mempunyai peluang untuk mengalahkan Mongol dalam pertempuran terbuka tetapi mereka memiliki kelebihan lain iaitu mempunyai kubu pertahanan yang kukuh. Salah satu kubu tersebut ialah terdapat di kota Xiangyang yang mampu bertahan daripada serangan Mongol selama bertahun-tahun.

Kublai sedar bahawa dalam misi menunaikan impian datuknya iaitu Genghis Khan untuk menakluki China, beliau perlu menyusun semula angkatan tenteranya. 5,000 buah kapal Yuan telah dibina dan kelasi-kelasi dari utara China dan Korea yang berpengalaman telah direkrut dengan tujuan untuk menguasai sungai-sungai di China serta menyekat bantuan musuh. Angkatan tentera laut yang baru ini terdiri daripada 70,000 tentera marin yang terlatih. Kemudian, kota Xiangyang telah dikepung oleh tentera Mongol selama enam tahun namun kota tersebut terus mempertahankan kedudukannya. Penduduk kota Xiangyang tahu bahawa sekiranya kota ini jatuh ke tangan musuh, maka seluruh negara China akan ditakluk oleh Mongol. Beberapa percubaan telah dilakukan oleh pihak Song untuk memecahkan pengepungan Mongol dan meminta bantuan ketenteraan tetapi tidak berjaya. Pada masa yang sama, tentera Mongol memiliki manjanik yang telah diubah suai dan mampu melontarkan batu seberat 300 kilogram dari jarak sejauh 500 meter. Hasilnya, kubu dan tembok pertahanan kota Xiangyang berjaya dirobohkan. Kota Xiangyang rasminya jatuh ke tangan Mongol pada tahun 1273.

 
Maharaja Bing, maharaja Song terakhir.

Tentera Kublai seterusnya meneruskan kemaraan ke selatan China. Sementara itu, Zhao Bing yang baru berusia lapan tahun telah menaiki takhta Song. Kerajaan Song telah menghantar utusan kepada Mongol untuk meminta gencatan senjata. Permintaan itu telah ditolak lalu memaksa kerabat diraja Song untuk melarikan diri bagi mencari perlindungan dengan menaiki satu armada besar. Tentera Kublai terus mara untuk menyerang kapal-kapal Song dan pertempuran tercetus di Yamen pada 19 Mac 1279.

Pertempuran sunting

Saki baki angkatan tentera laut Song ialah mempunyai 1,000 buah kapal tetapi sebahagian besar kapal itu digunakan untuk menampung rakyat jelata. Sementara itu, tentera laut Kublai memiliki 300 buah kapal perang yang dikemudikan oleh 20,000 kelasi yang berpengalaman. Pihak Kublai juga memiliki kelebihan di darat dan mempunyai bekalan lebihan.

Sesetengah tentera Song mencadangkan mereka perlu menguasai muara di teluk untuk memastikan pengunduran semua tentera mereka ke arah barat. Laksamana Song, Zhang Shijie mengabaikan cadangan ini atas alasan untuk menghalang tentera Song melarikan diri daripada pertempuran ini. Sebaliknya, beliau mengarahkan semua rumah, bangunan dan kubu di darat supaya dibakar atas alasan yang sama. Kesemua 1,000 buah kapal Song telah dirantai bersama untuk membentuk satu barisan yang melintang. Kapal maharaja Song berada di tengah barisan tersebut. Cara ini dibuat untuk mengelakkan mana-mana tentera Song melarikan diri daripada medan pertempuran dan ia jelas menunjukkan penentangan terakhir Song terhadap Mongol.

Pertempuran bermula apabila kapal-kapal Yuan membawa bahan-bahan mudah terbakar dilontarkan ke arah barisan kapal Song. Namun, pihak Song telah menjangkakan strategi Yuan lalu mengecat kapal-kapal mereka siap-siap dengan lumpur bagi mengelakkan kebakaran. Song juga memasang galah yang besar untuk menghalang kapal api Yuan menghampiri kapal-kapal mereka. Yuan telah menyekat laluan ke teluk sekali gus memaksa tentera Song memakan makanan kering dan minum air sungai buat beberapa hari. Hal ini sama sekali tidak mematahkan semangat perjuangan mereka.

Dengan melihat tentera musuh masih tidak mengalah, Yuan membahagikan empat unit kapal perang untuk melancarkan serangan daripada kesemua arah. Tentera Song tidak dapat mengubah kedudukan kapalnya kerana diikat dengan rantai. Yuan menyerang kapal musuh dari arah utara ketika air surut sebelum menyerang kapal musuh sekali lagi dari arah selatan ketika air pasang. Tentera Song masih menunjukkan keberanian untuk terus berjuang sambil mengenakan kerugian besar terhadap tentera Mongol apabila Song melakukan serangan balas anak panah.

Alunan muzik meriah dan gelak tawa dari kapal Yuan mengisi suasana bagi mengalihkan perhatian Song untuk berehat. Namun, muzik ini sebenarnya satu signal serangan Yuan. Seluruh kapal Yuan bertumpu ke arah bahagian tengah kapal Song sebelum mereka melancarkan serangan. Baki kapal Song yang lain hanya mampu melihat dan menyaksikan rakan seangkatan mereka terkorban termasuk ribuan orang awam mati. Seolah-olah tiada harapan lagi, pengiring rapat maharaja Song telah menyambar maharaja Song sebelum mereka berdua terjun ke dalam air untuk membunuh diri. Zhao Bing ialah maharaja terakhir dinasti Song.

Kesan sunting

China sekali lagi disatukan di bawah pemerintahan asing buat kali pertama iaitu Dinasti Yuan Mongol.

Sumber sunting

  • 宋史History of Song, oleh Toqto'a 脫脫 pada 1344
  • 《元史》History of Yuan, oleh Song Lian 宋濂 pada 1370