Pilihan raya kecil Chempaka 2015

Pilihan raya kecil Chempaka 2015 akan diadakan pada 22 Mac 2015 berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Chempaka, tuan guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat . Dun Chempaka merupakan satu daripada tiga Dun yang terletak di dalam Parlimen Pengkalan Chepa, dua lagi Dun ialah Pancor dan Kijang.

Pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh juga akan diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhi hukuman penjara selama 5 tahun. Jika tiada rayuan pengampunan dalam tempoh 14 hari, pilihan raya tersebut akan diteruskan.[1]

Kematian Nik Abdul Aziz

sunting

Pilihan raya ini diadakan ekoran kematian penyandangnya yang juga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2015 akibat kanser prostat tahap 4. Beliau menjadi Adun Chempaka selama 5 penggal berturut-turut .

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 2013, Nik Abdul Aziz (PAS) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi. Nik Abdul Aziz mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810 undi.

Taklimat pilihan raya

sunting

Pada 18 Feb 2015, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menetapkan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka di Kelantan pada 22 Mac 2015. Timbalan Ketua Jajahan Kota Baharu Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu, Ibrahim Mat Deris dilantik sebagai pegawai pengurus PRK DUN Chempaka dan akan dibantu oleh dua penolong pegawai pengurus pilihan raya.

Hari penamaan calon pada 10 Mac, manakala pengundian awal pada 18 Mac.Tarikh tutup untuk permohonan bagi undi pos untuk dalam negara adalah pada 12 Mac, manakala untuk permohonan undi pos bagi pengundi luar negara pada 10 Mac 2015.

PRK DUN Chempaka ini adalah pilihan raya kecil kelapan diadakan selepas PRU13 pada 5 Mei 2013. Tujuh PRK sebelum ini adalah PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai 2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang, Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk Intan, Perak (31 Mei 2104) dan PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25 Sept 2014).

Daftar pemilih yang akan diguna untuk PRK itu ialah Daftar Pemilih Induk 2013 yang digabungkan sehingga Daftar Pemilih Tambahan Suku Ketiga Tahun 2014 dan dikemas kini sehingga 12 Feb 2015. Daftar pemilih itu mengandungi 21,890 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 20,390 pemilih biasa, 1,497 pemilih awal dan tiga orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daftar pemilih akan mula dijual pada 8 Mac 2015. Para pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman web SPR atau menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Proses penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi akan diadakan di Dewan Bitara Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa, Kota Baharu. Sebanyak 10 pusat mengundi melibatkan sembilan sekolah dengan 42 saluran tempat mengundi akan diguna, manakala pengundian awal akan berlangsung di Dewan Tan Sri Hamid Bidin, Kem Pengkalan Chepa, Kota Baharu. Setakat ini keadaan semua sekolah yang dijadikan pusat mengundi untuk PRK DUN Chempaka itu adalah memuaskan dan tidak memerlukan sebarang penambahbaikan memandangkan ia tidak terlibat dengan banjir besar baru-baru ini.

Seramai 403 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dan belanjawan dianggar sebanyak RM810,000. Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuhkan yang akan diketuai oleh seorang pengawai penguat kuasa bagi setiap pasukan.

SPR akan melantik pemerhati tempatan jika ada permohonan .Mereka mungkin dari NGO dan dibenarkan untuk membuat pemerhatian di dalam pusat penamaan calon, pusat pengundian awal, pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi. SPR tidak lagi mengiktiraf mana-mana organisasi dan individu selain yang dilantik oleh suruhanjaya ini. SPR berhak menghalang sesiapa yang tidak diberi kebenaran untuk membuat pemerhatian dan pemantauan.[2]

Dolak dalik pencalonan

sunting

Barisan Nasional dan PAS dijangka akan bertanding memandangkan majoriti pengundi adalah orang Melayu. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyatakan kemungkinan tidak meletakkan calon kerana mahu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir .[3]

Keputusan

sunting
Pilihan raya kecil negeri Kelantan 22 Mac 2015: Chempaka
Pilihan raya kecil diadakan ekoran kematian penyandangnya, Nik Aziz Nik Mat.
Parti Calon Undian % ∆%
PAS Ahmad Fathan Mahmood 10,899 91.80
Bebas Sharif Mahmood 807 6.80
Bebas Fadzillah Hussin 89 0.75
Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary 51 0.43
Bebas Aslah Mamat 27 0.23
Jumlah undian 11,873 100.00
Undi rosak 140
Undi tidak dikembalikan 7
Turnout 12,020 54.91
Jumlah pengundi berdaftar 21,890
Majoriti 10,092
PAS kekal Peralihan
Sumber

"Pilihan Raya Kecil N.06 Chempaka". Election Commission of Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-09-19. Dicapai pada 2018-09-19.

"Federal Government Gazette - Notice of Contested Election - By-election of the State Legislative Assembly of N.06 Chempaka for the State of Kelantan [P.U. (B) 88/2015]" (PDF). Attorney General's Chambers of Malaysia. 10 March 2015. Dicapai pada 2018-09-19.[pautan mati kekal]

"Federal Government Gazette - Results of Contested Election and Statement of the Poll after the Official Addition of Votes for the By-election of N.06 Chempaka [P.U. (B) 150/2015]" (PDF). Attorney General's Chambers of Malaysia. 2 April 2015. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2019-12-28. Dicapai pada 2018-09-19.

Rujukan

sunting