Pinjaman koperasi merupakan kemudahan kredit yang ditawarkan oleh koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk anggota-anggota mereka yang bekerja sebagai penjawat awam. [1]Hanya kakitangan kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) layak meminjam. Operasi dan pentadbiran kemudahan kredit ini dikawal selia oleh Akta Koperasi 1993. [2]

Ciri-Ciri Pinjaman sunting

Pinjaman koperasi di Malaysia mempunyai ciri-ciri yang berikut:

Pembayaran Balik Melalui Potongan Gaji sunting

Pembayaran ansuran bulanan adalah melalui potongan gaji secara automatik oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). [3] Kelayakan pinjaman bergantung kepada jumlah yang dapat ditolak daripada gaji peminjam tertakluk kepada syarat had potongan gaji maksima 60%. [4] Had tersebut dikuatkuasakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memastikan gaji bersih penjawat awam adalah sekurang-kurangnya 40% daripada gaji kasar. Tempoh pinjaman maksimum adalah 10 tahun (tempoh maksimum yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia). Had maksimum pinjaman kebanyakan koperasi adalah antara RM200,000 - RM250,000.

Berlandaskan Prinsip Syariah sunting

Kebanyakan skim pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh koperasi berlandaskan prinsip syariah. [5] Koperasi perlu memastikan operasi kemudahan kredit tersebut mengikut garis panduan SKM mengenai produk islamik. [6]Prinsip kewangan islamik yang digunakan adalah seperti Tawarruq dan Murabaha yang melibatkan pembelian dan penjualan komoditi secara ansuran atau bayaran tertunda. Melalui transaksi belian dan jualan, faedah (riba) yang dilarang (haram), digantikan dengan margin keuntungan yang dipersetujui antara pembeli dan penjual. [7]Kebanyakan koperasi mewajibkan peminjam membeli insurans takaful yang memberi perlindungan kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

Dana Dari Institusi Kewangan sunting

Koperasi menyediakan kemudahan kredit menggunakan sama ada dana mereka sendiri atau dana yang dipinjam. Oleh kerana modal atau dana sendiri adalah terhad, maka koperasi amat bergantung kepada pembiayaan yang konsisten dan berterusan daripada institusi kewangan. Bank komersil yang popular di Malaysia seperti Maybank, RHB Bank, Kuwait Finance House dan Ambank sedang atau pernah pada satu ketika menyumbang dana kepada koperasi.[8][9][10][11]

Syarat Mudah Lulus sunting

Berbanding dengan bank, pinjaman koperasi lebih mudah lulus kerana koperasi kurang mementingkan skor kredit peminjam. Pengutipan ansuran bulanan dilakukan secara automatik melalui potongan gaji, maka risiko gagal mengutip balik dana pinjaman adalah sangat rendah. Pemohon yang telah disenarai-hitam oleh bank kerana laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dan Sistem Kredit Tip-Off (CTOS) yang kurang memuaskan masih layak memohon pinjaman koperasi.[12]

Kontroversi sunting

Bukan semua pihak bersetuju dengan amalan pemberian kredit mudah oleh koperasi kepada anggota-anggota mereka. Antara pengkritik yang paling vokal adalah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Menurut mereka, kemudahan kredit mudah tersebut menggalakkan penjawat awam memohon pinjaman dan justeru ramai dibebankan dengan hutang jangka panjang.[13]

Tempoh Pinjaman Terlalu Lama sunting

Sebelum tahun 2013, skim pinjaman koperasi mempunyai tempoh maksima yang sangat lama iaitu 25 tahun. Dengan tempoh yang lebih lama untuk membayar hutang, ansuran bulanan akan menjadi lebih rendah. Ini bermakna pemohon boleh meminjam jumlah yang lebih tinggi. Pada bulan Jun, 2013, dalam usaha untuk mengekang peningkatan hutang isi rumah, Bank Negara menghadkan semua pinjaman peribadi kepada tempoh maksimum 10 tahun.[14][15]

Peraturan ini berjaya mengurangkan jumlah pinjaman yang diluluskan oleh koperasi dan ini menyebabkan koperasi-koperasi dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah keputusan Bank Negara tersebut. [16]Menurut Cuepacs, had tempoh 10 tahun adalah terlalu singkat dan akan menyebabkan kakitangan kerajaan yang gagal dapat pinjaman meminjam daripada ah long. Mereka mencadangkan tempoh 10 tahun dilanjutkan kepada 15 tahun. [17]Walaubagaimanapun, tempoh pinjaman maksimum 10 tahun kekal sehingga hari ini.[18]

Skim Ala Ah Long sunting

Sesetengah koperasi didapati menyalahgunakan hak memberi kemudahan kredit dan menjalankan skim pinjaman ala ah long dengan faedah yang sangat tinggi. Pada bulan Ogos 2016, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengarahkan penutupan 12 koperasi yang didapati menjalankan skim pinjaman dengan penglibatan ah long. [19]Menteri kementerian KPDNKK, Datuk Hamzah, mengumumkan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk memperkasakan Akta Koperasi 1993 demi mengawal selia aktiviti hampir 13,000 koperasi yang berdaftar di seluruh negara.[20]

Kadar Sebenar Sangat Tinggi sunting

Satu lagi kritikan adalah berkenaan kos sebenar pinjaman. Sebelum 2012, kadar untung pinjaman koperasi adalah sekitar 10% setahun dikira berdasarkan kadar tetap. Peminjam hanya menerima 81% daripada jumlah pinjaman selepas 19% ditolak untuk pelbagai yuran dan perbelanjaan termasuk komisen kepada agen. Menurut CAP, sekiranya perkiraan tersebut berdasarkan kadar efektif ke atas jumlah bersih yang diterima oleh peminjam, maka kadar sebenar adalah 24% setahun.[21]

Situasi Hari ini sunting

Dengan peningkatan bilangan koperasi yang memberi kemudahan kredit, peminjam mempunyai lebih pilihan. Persaingan di antara koperasi menyebabkan kadar untung menurun dan hari ini kebanyakan koperasi mengenakan kadar untung 4% - 7% setahun. Peratusan tunai bersih yang diterima peminjam juga meningkat kepada 90% - 95%. Ini bermakna penjawat awam yang telah disenarai-hitamkan oleh bank masih layak memohon pinjaman koperasi dengan kos yang lebih kurang sama dengan pinjaman bank. [22] [23]Kos pinjaman koperasi jauh lebih rendah berbanding dengan kadar faedah pinjaman berlesen iaitu 18% setahun. [24]

  1. ^ http://www.skm.gov.my/images/images/Garis-Panduan/GP06.pdf
  2. ^ http://www.agc.gov.my/agcportal/uploads/files/Publications/LOM/EN/Act%20502%20-%20Co-Operative%20Societies%20Act%201993.pdf
  3. ^ http://www.angkasa.coop/english/index.php/menu-styles/angkasa-salary-deduction-system
  4. ^ http://docs.jpa.gov.my/docs/pelbagai/Surat_Edaran_Prinsip_Perkhidmatan/se28122005.pdf
  5. ^ http://www.bnm.gov.my/guidelines/05_shariah/PD_Tawarruq.pdf
  6. ^ http://www.skm.gov.my/images/images/Garis-Panduan/GP07.pdf
  7. ^ http://www.pinjamanislamik.com
  8. ^ http://www.kobeta.com.my/
  9. ^ http://www.coshareonline.com/
  10. ^ http://www.ukhwah.com.my/development/ukhwah-pembiayaan/index.1.html
  11. ^ http://www.smartpinjaman.com/pakej-koperasi/idsb-ikhtiar/
  12. ^ http://koperasibank.com/personal-loans.php
  13. ^ http://www.consumer.org.my/index.php/focus/cooperative-scandals/393-co-ops-heading-for-trouble-again
  14. ^ http://www.nst.com.my/news/2016/05/147514/personal-loan-repayment-fixed-10-years-protect-consumers
  15. ^ http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/04/02/household-debt-on-the-rise/
  16. ^ http://www.thestar.com.my/news/community/2013/07/31/credit-cooperatives-upset-over-new-regulations-on-loans/
  17. ^ http://www.sinarharian.com.my/nasional/timbang-tempoh-bayaran-balik-pinjaman-peribadi-1.283228
  18. ^ http://www.thestar.com.my/news/nation/2013/09/12/bank-negara-10-yr-cap-stays/
  19. ^ https://www.utusan.com.my/berita/jenayah/12-koperasi-beri-skim-pinjaman-diarah-tutup-1.370630
  20. ^ http://www.sinarharian.com.my/nasional/skm-kaji-semula-akta-koperasi-1993-1.547762
  21. ^ http://www.consumer.org.my/index.php/focus/cooperative-scandals/390-24-interest-rate-for-co-op-loan
  22. ^ https://loanstreet.com.my/personal-loan
  23. ^ http://www.koperasimalaysia.org
  24. ^ http://54.251.120.208/doc/laws/Moneylenders_Act_1951.pdf