Pokok Belalai Gajah


Tumbuhan herba adalah sebahagian daripada warisan budaya Melayu kerana khasiatnya mampu menyembuh pelbagai jenis penyakit sejak zaman berzaman. Daun belalai gajah misalnya telah lama dikenal pasti mempunyai anti oksidan yang tinggi untuk mengatasi masalah kesihatan.

Secara tradisional, hanya bahagian daun belalai gajah sahaja digunakan untuk mengubati penyakit.

Daun dimakan secara mentah, sebagai sayur ataupun jus yang dicampurkan bersama jus apel, teh hijau ataupun air tebu. Ia juga kadangkala disediakan dalam bentuk minuman teh.

Daun yang kering digunakan untuk disapu pada bahagian kulit yang dijangkiti virus kayap manakala daun segar digunakan untuk merawat patukan ular tedung senduk. Ia juga digunakan untuk merawat gigitan serangga dan ruam di kulit.

Kebelakangan ini daun belalai gajah ini digunakan oleh rakyat Malaysia kononnya untuk merawat kanser. Walau bagaimanapun keberkesanan daun belalai gajah ini ke atas penyakit kanser manusia masih belum lagi dibuktikan oleh kajian klinikal.

Selain itu, terdapat juga dakwaan keberkesanan daun belalai gajah adalah di dalam rawatan penyakit diabetes, sakit sendi, ubat sakit, anti-keradangan dan juga antioksidan.

Khasiat daun belalai gajah dikatakan mampu membantu mengatasi masalah seperti kanser, buah pinggang, radang prostat, kolesterol, tekanan darah tinggi, asid urik tinggi, diabetes, mengurangkan risiko salur darah tersumbat, membuang toksin dalam badan di samping mengurangkan keletihan.

Kajian mendapati bahawa daun ini tidak mengandungi toksik, malah, mempunyai kandungan flavonoid yang tinggi, serta mengandungi pelbagai mineral yang diperlukan oleh tubuh badan, vitamin dan asid amino.

1) Anti Oksida Yang Baik sunting

Menurut kajian Jabatan Bioteknologi, Sekolah Teknologi Kesihatan, Universiti Ming Chuan, Taiwan, daun belalai gajah terbukti sebagai agen anti oksida yang baik. Fungsi anti oksida ialah mengurangkan kesan radikal bebas dalam tubuh badan.

2) Melambatkan Pertumbuhan Sel Kanser sunting

Sementara itu, kajian dari Fakulti Perubatan dan Kesihatan Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), menyatakan daun belalai gajah bukan sahaja berfungsi sebagai anti-oksida, bahkan mampu melambatkan pertumbuhan sel kanser.

3) Flavonoid sunting

Flavonoid merupakan salah satu kandungan tertinggi yang terkandung dalam daun belalai gajah ini. Kandungan ini sendiri adalah salah satu jenis antioksidan yang mampu mencegah kanser dan penyakit kardiovaskular lainnya.

4) Zat Mineral sunting

Banyak kandungan mineral penting yang terkandung dalam daun belalai gajah seperti vitamin. Lebih dari 45% terdiri daripada protein mentah dan 17 asid amino yang memberikan nilai baik bagi kesihatan.

Ia juga kaya dengan vitamin C, protein dan serat yang mampu melawan radikal bebas yang membantu dalam pencegahan kanser. Mengandungi mineral fosforus, kalsium, magnesium, dan zat besi. Daun belalai gajah juga memiliki kandungan kimia lain seperti alkaloid, saponin dan bersifat direutik.