Polemik kedudukan bahasa Melayu di Malaysia

Polemik tentang status dan kedudukan bahasa Melayu sering kali berlaku dan tidak putus-putus mengalami tamparan dan bual bicara daripada pelbagai pihak. Bahasa Melayu atau juga dikenali sebagai bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan negara tersebut yang mengikuti piawaian ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahasa Malaysia ini lebih daripada 80% kognitif dengan Bahasa Indonesia dan dituturkan secara asli oleh lebih daripada 10 juta penutur. Bahasa Malaysia dituturkan sebagai bahasa kedua oleh 18 juta orang, sebahagian besar daripada etnik minoriti negara Malaysia.[1] Namun begitu, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, jelas menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu",[2] ini membuatkan jenama bahasa Malaysia itu belum apa-apa lagi sudah dipersoalkan walaupun bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak tahun 1957. Ia juga sudah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada pembentukan Persekutuan Malaysia yang merdeka.

Namun, selepas lebih daripada 50 tahun negara tersebut merdeka, penggunaan bahasa kebangsaan masih menjadi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Paling menyedihkan apabila ada kajian menunjukkan terdapat generasi muda daripada kaum Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Malah lebih banyak jawatan negara tersebut yang antaranya memerlukan kefasihan dalam bahasa Cina dan Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam sektor swasta.[3] [4] Populasi masyarakat berbangsa Cina Malaysia mengikut keputusan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 hanya 24.6% daripada keseluruhan penduduk rakyat Malaysia berjumlah 28.3 juta orang. Sebahagian besar daripada penduduk negara tersebut iaitu 67.4% adalah daripada kalangan kaum Melayu dan Bumiputera yang rata-rata daripada mereka menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.[5]

Perundangan sunting

Dari segi undang-undang Malaysia, bahasa Melayu diperkukuhkan lagi melalui Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang menetapkan bahasa itu sebagai bahasa rasmi tunggal. Pindaan dalam Akta Perlembagaan 1971 pula menetapkan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dipersoalkan. Mereka yang berbuat demikian boleh didakwa bawah Akta Hasutan 1984. Bahasa rasmi negara itu juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu pula diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550). Akta Pendidikan menetapkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dalam semua sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi.

Seksyen 17(1) akta itu menyebut, "Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan bawah Seksyen 28 atau institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini".

Pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan pula disebut bawah Seksyen 17(2). Namun, bahasa Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Bahasa kebangsaan juga telah menjadi bahasa rasmi dalam urusan pentadbiran awam serta majlis-majlis rasmi kerajaan. Ia turut digunakan secara rasmi oleh Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

Akan tetapi, penggunaan bahasa Melayu di peringkat mahkamah belum dimartabatkan sepenuhnya. Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 (Akta 32) menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang terpakai dalam segala prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah adalah dengan bersyarat, iaitu Mahkamah boleh memerintah supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam Bahasa Melayu dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.

Negara Malaysia juga mempunyai badan perancangan bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak ditubuhkan pada 1956, DBP memainkan peranan penting terhadap kemajuan dan pembangunan bahasa kebangsaan. Demikian juga peranan penulis dan sasterawan Melayu. Sejak sebelum merdeka lagi pelbagai persatuan penulis dan sastera negara ini gigih memperjuangkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Akhbar sunting

Memang diakui kewujudan akhbar-akhbar Melayu sebelum merdeka turut menyemarakkan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyaluran maklumat yang berkesan. Walau bagaimanapun, kini telah munculnya pelbagai akhbar berbahasa Melayu seperti akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo, Sinar Harian dan lain-lain lagi. Namun ia kurang mendapat sambutan daripada ahli korporat untuk mengiklankan jawatan professional dan peluang pekerjaan serta iklan-iklan perniagaan walaupun pembaca akhbar-akhbar tersebut adalah paling ramai.[6] Berbeza dengan akhbar bahasa asing seperti The Star, New Straits Times, The Sun dan Nanyang Siang Pau, ia dilihat walaupun jumlah pembaca tidak seramai pembaca bagi akhbar berbahasa Melayu tetapi pengiklanan jawatan professional dan peluang pekerjaan serta iklan-iklan perniagaan dilihat lebih banyak dan jauh melimpah ruah berbanding akhbar berbahasa Melayu.[7]

Menurut Timbalan Pengarah ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong kesal dengan keadaan polemik kedudukan istimewa bahasa Melayu, yang mana terdapat pergolakan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang amat jelas dan tidak adil terhadap negara tersebut. Ada kelompok yang memperjuangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik dan pandangan mereka itu diberi ruang dalam akhbar tempatan yang tertentu hingga ada pula suara yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris ialah bahasa penyatuan untuk negara ini.

Sikap pengagungan bahasa Inggeris turut merendahkan martabat penggunaan bahasa Melayu. Wujudnya 'trend' penggunaan bahasa yang seolah-olah berasaskan 'stratifikasi sosial' yang mana bahasa Melayu dianggap hanya seolah-olah digunakan oleh kelompok berpendidikan rendah dan rakyat biasa, manakala kelompok atasan, elit, profesional, komuniti korporat dan mereka yang berpendidikan tinggi dari luar negara lebih mesra menggunakan bahasa Inggeris.

Prof Teo turut mendakwa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dilindungi oleh perlembagaan. Kumpulan yang ingin memperjuangkan bahasa Inggeris ini sebagai bahasa yang sesuai dan menjadi pilihan gagal membuktikan dakwaan mereka dengan kajian yang telah terbukti.

Beliau berkata bahasa Inggeris bukan lagi dianggap sebagai hanya satu bahasa sahaja tetapi kini ia ialah satu komoditi yang menguntungkan. Pulangan yang lumayan dapat diperoleh dalam industri pengajaran bahasa Inggeris.[8]

Layanan politik sunting

Demikian juga kebanyakan ahli politik Malaysia lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris atau 'bahasa campuran' termasuk ketika diwawancara media tempatan, majlis rapat rakyat, persidangan dan sebagainya. Namun yang menyedihkan hati apabila rata-rata orang yang menghadiri wawancara atau majlis tersebut ialah orang Malaysia tidak kira berbangsa apa sekalipun. Pemimpin Malaysia apabila berbicara bersama rakyat Malaysia dalam rapat rakyat seharusnya menggunakan bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan yang sepatutnya semua rakyat wajar menerimanya dengan baik.[9][10]

Kewajaran menguasai bahasa Inggeris memang tidak boleh disangkal kerana bahasa Inggeris ialah medium terbaik yang diperlukan untuk menghubungi dunia luar. Malah, wajar sekali rakyat digalakkan menguasai bahasa lain seperti bahasa Jepun, Korea, Mandarin dan Arab. Namun, elemen patriotisme terhadap bahasa kebangsaan sebagai 'Bahasa Jiwa Bangsa' perlu diterapkan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.

Sepatutnya selepas lama Malaysia merdeka, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi semakin mantap dan bukan lagi menjadi isu yang memeningkan semua pihak. Hakikatnya, ia bertitik tolak daripada sikap dan persepsi masyarakat dan kerajaan terhadap bahasa kebangsaan. Dalam bidang sosiolinguistik, sikap terhadap bahasa dianggap sebagai pendorong kepada keupayaan seseorang menguasai dan menggunakan sesuatu bahasa itu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) Malaysia lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris bagi menamakan taman perumahan, khususnya sekitar bandar utama. Tindakan mereka jelas tidak membantu memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya membuktikan minda serta tindak tanduk mereka masih terjajah walaupun Malaysia sudah lebih 53 tahun mencapai kemerdekaan. Isu ini bukan baru malah teguran dan peringatan seumpama itu sering dibuat, malangnya mereka seolah-olah tidak langsung mempedulikannya, jauh sekali mahu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum mendapatkan lesen iklan daripada PBT.[11]

Di Malaysia, penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris dalam pengiklanan dilihat lebih diutamakan berbanding penggunaan bahasa Melayu sebagai medium bahasa pengiklanan utama negara tersebut. Walaupun undang-undang telah ada namun penguatkuasaan bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang utama seperti pendidikan, perniagaan, pengiklanan dan komunikasi masih banyak tidak diendahkan dan kurang diutamakan berbanding penggunaan bahasa Inggeris.[12]

Terdapat juga usaha kerajaan Malaysia untuk membudaya kembali penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia, antaranya pada tahun 2009, kerajaan memperkenalkan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dengan matlamat memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

Menurut portal rasmi DBP, BKK adalah lanjutan kepada kempen bahasa terdahulu. Ia bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Ia kemudiannya dikenali pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK, 1987-1996), Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS,1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998). Pada 1999 ia dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dan kini dikenali sebagai BBK.

Sektor pendidikan sunting

Dalam sektor pendidikan, isu kedudukan bahasa Melayu paling hangat mendapat liputan dan buah mulut oleh pelbagai pihak bermula dari dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang mana melalui dasar ini, kabinet Malaysia telah menetapkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa perantara mata pelajaran Sains dan Matematiksemua peringkat pendidikan, dengan memulakan langkah perintisnya untuk diajar kepada pelajar Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun persekolahan 2003; namun dasar PPSMI sering menjadi isu perdebatan yang hangat semenjak dilaksanakan oleh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Banyak forum, desakan dan demonstrasi seperti Perarakan Keranda Mac 2009 telah berlangsung dengan objektif untuk memastikan dasar PPSMI dimansuhkan secepat mungkin dan mengembalikan hak-hak istimewa bahasa Melayu yang semakin nazak.

Akhirnya, kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk memansuhkan sepenuhnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2016 bagi sekolah rendah dan 2021 bagi sekolah menengah kerana pelaksanaannya telah terbukti gagal mencapai sasaran yang diinginkan. Maka dasar tersebut diganti dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman Pengarah Institut Hadhari UKM menyifatkan sebagai seorang saintis beliau amat yakin bidang sains dan teknologi perluajar dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bagi bidang sains dan teknologi hanya akan membawa padah dan ia akan membuat kesilapan yang sama yang telah dibuat oleh Barat .

Sains Barat tidak mempunyai ruang untuk agama atau kerohanian manakala Islam tidak mengekang perkembangan bidang sains malah telah membantu dalam banyak situasi. Dalam perkembangan lain, Dalam satu wawancara televisyen TV3 dalam program Soal Jawab yang disiarkan kepada umum pada jam 11.00 malam 9 November 2011, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengakui PPSMI yang dijalankan, telah menemui kegagalan dan tidak mencapai hasrat dan dasar kerajaan dalam menggunakan kaedah pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Sebaliknya beliau dilihat lebih berpendirian dalam menegakkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walau bagaimanapun dalam wawancara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjelaskan secara terperinci kesan dan nasib pelajar lepasan persekolahan yang akan melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi khususnya Malaysia, yang kini rata-rata IPT (baik IPTA dan IPTS) menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara pengajaran dan mengenepikan bahasa Melayu.

Menurut Prof Dr Awang Sariyan yang juga tokoh bahasa dan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing, China. Universiti Kebangsaan Malaysia dilihat merupakan satu-satunya IPT Malaysia yang telus dalam menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara dan pembelajaran dalam kebanyakan kursus pengajian yang ditawarkan dalam pelbagai bidang. Ia dapat dibuktikan sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi.

Manakala dalam Akta Pendidikan 1996, jelas menunjukkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Namun kini, IPTS dilihat lebih cenderung sepenuhnya mengajar pengajian ilmiah dalam bahasa Inggeris dan menidakkan hak bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah dengan begitu jelas sekali.

Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah teras IPTS, iaitu subjek Bahasa Kebangsaan, Kenegaraan Malaysia dan Pengajian Islam atau Pendidikan Moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali sesetengah IPTS seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.[13]

Dalam pelbagai usaha yang dibangunkan untuk mengangkat bahasa Melayu supaya kembali memainkan peranan utamanya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, masih terdapat juga pelbagai lekak lekuk dan ketandusan yang berlaku kerana usaha pemartabatan bahasa Melayu tidak menyeluruh malah hanya tertumpu pada sesuatu bidang atau landasan tertentu. Kekhuatiran terhadap bahasa Melayu jelas mendapat kebimbangan besar daripada pakar, pejuang dan pencinta bahasa Melayu menerusi pelbagai ketetapan yang dimeterai sepanjang sidang Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu sehingga tahun 2011.

Pendirian MAPCO sunting

Pada 1 Mac 2001, Persatuan Kolej-Kolej Swasta Malaysia (MAPCO) telah membuat kenyataan dan berpendirian bahawa kelulusan yang baik dalam Bahasa Melayuperingkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak begitu penting untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Ia disebabkan faktor bahawa kebanyakan program yang dikendalikan oleh IPTS tidak bersifat nasional dan dijalankan dengan kerjasama universiti-universiti luar negara.

Menurut Presiden MAPCO, Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, syarat yang paling utama untuk ke IPTS ialah jumlah kredit yang dimilikinya mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon. Dr. Yahaya mengatakan jika pelajar itu tidak ada kelulusan dalam bahasa Melayu pun tidak apa, kerana yang penting ialah jumlah kredit yang diperoleh pelajar mestilah bersesuaian dengan kursus yang dipohon, ini kerana kebanyakan program yang dijalankanIPTS bukannya program bersifat nasional dan ia tidak memerlukan bahasa Melayu.

Namun begitu pendirian Presiden MAPCO tersebut telah disanggah oleh pensyarah Linguistik, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan (FSKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong. Dr Teo menegaskan kerajaan bukan sahaja perlu mewajibkan pelajar mendapat kepujian (dalam bahasa Melayu), tetapi mestilah menjadikannya sebagai syarat melayakkan pelajar menerima sijil daripada mana-mana IPTS. Tambahan lagi, pelajar perlu menguasai bahasa Melayu secara merentas kurikulum dan bukan sekadar menganggapnya sebagai satu mata pelajaran yang perlu lulus dalam peperiksaan sahaja.

Dalam konteks ini, mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu perlu dinilai supaya boleh menjadi bahasa untuk mengungkapkan ilmu. Dr. Teo mendakwa kurangnya ketegasan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu juga menyebabkan pelajar dan juga guru sendiri tidak begitu mementingkan penggunaan bahasa yang betul dalam mengungkap ilmu.

Masalahnya sekarang kebanyakan kita melihat bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) itu sebagai lambang semata-mata, sama seperti terpacaknya patung. Ini adalah fahaman kolot kerana bahasa kebangsaan mesti digunakan dalam semua bidang.

- Prof. Madya Dr. Teo Kok Seong.[14]

Nasib tulisan Jawi sunting

Tulisan Jawi dan bahasa Melayu itu memang mempunyai ikatan kaitan yang amat kuat dari segi fonologi bahasa, asal usul perkataan dan penyusunan tatabahasa dan kosa kata bahasa Melayu itu sendiri. Malah kebanyakkan teks-teks kesusasteraan, hikayat dan persuratan Melayu lama serta Kedatangan dan Penyebaran IslamNusantara juga menjadikan tulisan Jawi sebagai sandaran penulisan yang sangat ideal. Menurut seorang pakar tulisan Jawi berbangsa Korea, Prof Dr Kang Kyoung Seok, daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan Jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Menurutnya, tulisan Jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti. Menurutnya, "Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?"[15]

Dalam perkembangan lain, menerusi temu bual wartawan akhbar The Star, Hariati Azizan bersama dengan Dr Ding Choo Ming, yang merupakan Felo kajian utamaInstitut Dunia Melayu dan Kebudayaan (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr Ding menyatakan terdapat lebih daripada 10,000 manuskrip Melayu lama yang ditulis dalam tulisan Jawi. Kesemua penulisan tersebut banyaknya ditulis dunia Melayu ketika kurun ke-14 hingga 19 Masihi. Antara bidang yang diketengahkan dalam manuskrip-manuskrip Jawi terdahulu meliputi bidang botani, sains dan teknologi, sejarah, politik serta termasuk panduan dan harapan dalam bentuk hiburan, pendidikan dan keagamaan.

Adalah penting untuk mempunyai pakar-pakar muda yang boleh membaca dan menterjemahkan manuskrip-manuskrip tersebut secara berterusan kerana ia penting untuk kita memahami budaya tentang orang-orang terdahulu dan sejarah awal wilayah ini. Jawi adalah kunci yang boleh membuka pintu kepada kesejahteraan dan pengetahuan.

Menurut Dr Ding lagi, kini Malaysia terdapat terlalu banyak pesaing (daripada pelbagai bahasa dan tulisan yang diguna pakai), (keadaan ini merupakan ancaman untuk memastikan kemaslahatan dan kemandirian bahasa Melayu terus terbela), apatah lagi tulisan Jawi. Menurutnya, dahulu bahasa Melayu hanya ditulis dalam tulisan Jawi. Ia bergantung kepada permintaan pasaran, keluhan yang menyifatkan penunjuk utamamana pengurangan ketara terhadap permintaan dan nilai ekonomi untuk tulisan Jawi ialah berakhirnya cetakan akhbar Jawi iaitu Utusan Melayu.

Menurut Dr Ding yang pernah menjadi penyumbang kepada kolum Jawi Utusan Zaman, Utusan Melayu mengakhiri cetakannya pada tahun 2006, kerana ketua editor ketika itu Johan Jaaffar berkata, ia tidak mempunyai nilai ekonomi. Permintaannya tidak cukup tinggi untuk memastikan pihaknya mencetak akhbar tanpa terganggu. Namun fakta sebenarnya, cetakan hanya sekitar 8000 naskah ini mengakibatkan kerugian antara RM8000 hingga RM10000 sehari, ia satu jumlah kerugian yang amat besar. [16]

Rujukan sunting

  1. ^ Ethonologue, "Standard Malay"
  2. ^ Teks PDF oleh Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Perkara 152. Bahasa kebangsaan.
  3. ^ Semakin Ramai Cina Tak Tahu Berbahasa Melayu!
  4. ^ ‘Balik China’ issue: Ridhuan Tee wants action on non-BM speakers
  5. ^ LAPORAN BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA 2010 (BANCI 2010)
  6. ^ Perebutan Pembaca Akhbar Berbahasa Melayu Tambah Sengit
  7. ^ Utusan Melayu Bakal Gulung Tikar
  8. ^ UKM-News Portal Bahasa Melayu Patut Digunakan Untuk Pengajaran Sains dan Teknologi
  9. ^ Najib visiting Sarawak(Kenyalang)-Taib Speech 02
  10. ^ Najib visiting Sarawak(Kenyalang)-Najib Speech 03
  11. ^ Martabat bahasa Melayu semakin tidak dipeduli
  12. ^ http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=1200 Rugikah Perniagaan Jika Menggunakan Bahasa Kebangsaan?
  13. ^ MStarOnline - Bahasa Melayu: Jangan tunggu nasi jadi bubur
  14. ^ UtusanOnline - Tidak perlu kelulusan baik BM untuk ke IPTS - MAPCO
  15. ^ "UtusanOnline - Pensyarah Korea bimbang tulisan Jawi semakin dilupakan". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-02-01. Dicapai pada 2012-01-29.
  16. ^ Put some pop into Jawi, Sunday Star, 19 Februari 2012, dalam kolum Focus, halaman 27, oleh Hariati Azizan.

Bacaan lanjut sunting

Pautan dalaman sunting