Polis Diraja Malaysia

pasukan polis kebangsaan Malaysia

Polis Diraja Malaysia (Tulisan Jawi: ڤوليس دراج مليسيا; singkatan: PDRM) ialah sebuah pasukan polis Malaysia yang terdiri daripada 111,450 orang pegawai dan anggota, dan beribu pejabat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Pasukan berseragam ini adalah unik disebabkan berbanding dengan negara lain, pertubuhan ini adalah terpusat, iaitu segala bentuk kepolisan dari polis tugas am ke perisikan adalah di bawah bidang kuasanya. Kini Ketua Polis Negara (jawatan tertinggi di PDRM) disandang oleh Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara pula disandang oleh Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

Polis Diraja Malaysia
ڤوليس دراج مليسيا
Kerajaan Malaysia
Lambang PDRM
Intisari agensi
Dibentuk25 Mac 1807; 216 tahun yang lalu (1807-03-25)
Agensi-agensi terdahulu
  • Polis Diraja Persekutuan Tanah Melayu
  • Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu
  • Pasukan Polis Malayan Union
  • Civil Affairs Police Force (Pasukan Polis Hal Ehwal Awam)
JenisKerajaan
Ibu pejabatBukit Aman, 50560 Kuala Lumpur
MotoTegas, Adil dan Berhemah
Menteri bertanggungjawab
Eksekutif Kerajaan
Dokumen penting
  • Akta Polis 1967
Laman sesawang
www.rmp.gov.my
Balai polis PDRM di Tikam Batu, Kedah.

Dalam menjaga keamanan awam, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Antara persatuan bekas polis dan tentera yang ada ialah Persatuan Bekas Polis dan Tentera Malaysia.

Rakan Cop merupakan program komuniti polis yang telah dilancarkan pada 2006. PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pasukan polis diseluruh negara termasuk empat jiran terdekatnya iaitu Kepolisian Negara Republik Indonesia,[1] Polis Diraja Thailand,[2] Polis Diraja Brunei[3], Pasukan Polis Singapura[4] Polis Kebangsaan Filipina,[5] dan Keselamatan Awam Rakyat Vietnam.[6][7]

Warga Sang Saka Biru kini telah mengharumkan nama Malaysia di seluruh dunia apabila telah diiktiraf sebagai pasukan polis yang terbaik di dunia apabila PDRM memberi pencapaian dalam menyelesaikan 73, 281 daripada 198, 622 (bersamaan 36.89 %) yang direkodkan pada tahun 2006, satu tahap yang jauh melebihi tahap piawaian Interpol iaitu 20 peratus daripada kes jenayah yang direkodkan setiap tahun. PDRM turut berjaya mengatasi piawaian antarabangsa sebayak dua kali berturut-turut, di mana pada tahun 2005, PDRM berjaya menyelesaikan 76, 284 daripada 157, 459 (48.45 %) kes jenayah yang direkodkan pada tahun tersebut.

Sejarah

 
Ibu Pejabat PDRM di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Zaman tradisional Melayu

Sistem polis boleh dilihat pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ketika ini, peranan, tugas dan tanggungjawab polis digabungkan dengan tugas-tugas ketenteraan. Sultan menjadi pusat kuasa yang mengawal sistem ini, mempunyai kuasa mutlak. Baginda juga menjadi Hakim, Ketua Agama dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera serta berkuasa mengubal undang-undang. Undang-undang terpenting pada zaman itu ialah Hukum Kanun Melaka.

Bendahara ialah orang kedua tertinggi selepas baginda Sultan. Beliau berkuasa sebagai Penasihat Sultan, Ketua Pentadbir dan boleh bertindak sebagai Panglima Perang. Tun Perak, yang bergelar Bendahara Paduka Raja pernah memimpin angkatan tentera Melaka untuk berperang.

Melalui petikan Sejarah Melayu, halaman 142-143:

Setelah siang hari, maka Sultan Alaudin pun keluar dihadap orang. Maka Bendahara dan segala orang besar-besar dan para menteri, sida-sida, bentara, hulubalang sekaliannya hadir menghadap. Maka titah sultan kepada Seri Maharaja, kerah ia Temenggung, "Adakah kawal semalam?"

Maka sembah Seri Maharaja, "Ada, tuanku." Maka titah sultan, "Kita dengar ada orang mati dibunuh orang, diatas bukit seorang, dibawah bukit seorang, dihujung jambatan seorang, jikalau demikian orang itu, Seri Maharajakah yang membunuhnya?" Maka sembah Seri Maharaja, "Tiada patik tahu, tuanku." Titah sultan, "Sia-sialah kawal Seri Maharaja, tiga orang mati tiada diketahui. Sekarang kita dengar pencuri terlalu ganas dalam negeri ini." Maka sultan pun memerintahkan memanggil Hang Isap, ia pun datang, peti itu pun dibawanya. Maka titah Sultan Alauddin kepada Hang Isap dan Hang Siak, "Apakah pemandangan engkau semalam?" Maka Hang Isap dan Hang Siak pun berceritalah akan segala peri hal ehwal semalam, semua dikatakannya.......

"Semenjak itu kawal Seri Maharaja terlalu keras. Jika bertemu dengan orang di jalan, dibunuhnya, tiada ditangkap lagi. Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri. Maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus di bahunya......."

Dari gambaran di atas, Temenggung ialah orang yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman di seluruh negeri, termasuk kawasan istana. Tugasnya untuk menangkap penjenayah, membina penjara dan melaksanakan hukuman-hukuman. Pada zaman sekarang, jawatan Temenggung seperti Ketua Polis Negara sekarang. Beliau juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga pelabuhan, menyelesaikan masalah jenayah, pasar, jalan, pekan, timbangan dan sukatan. Temenggung juga mempunyai pengawal peribadi, dikehendaki mengawasi pemeriksaan penjara, berlaku adil, mencari pengikut-pengikut yang amanah dan berunding dengan rakan-rakan sejawat.

Para Penghulu merupakan wakil sultan, juga mempunyai pasukan kawalan masing-masing. Tugas utama pasukan ini adalah memungut cukai, menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan kampung jagaannya.

Sistem kepolisan tradisional ini berubah apabila Melaka ditakluk Portugis pada 10 Ogos 1511, yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque.

Zaman kolonial

Tugas-tugas kepolisan seterusnya dilaksanakan oleh askar-askar Portugis. Menjelang tahun 1511, Melaka telah menjadi masyarakat kosmopolitan. Pihak Portugis mentadbir Melaka dengan menggunakan sistem "Kapitan".

Pada 14 Januari 1641, Empayar Portugis di Melaka berakhir dengan penaklukan Belanda di Melaka dengan bantuan askar-askar negeri Johor, ketika Portugis berperang dengan Acheh. Belanda turut memerintah Melaka dengan menggunakan sistem ketenteraan di samping mengekalkan sistem 'Kapitan' yang diperkenalkan oleh Portugis. Sebuah pasukan polis yang dinamakan 'Burgher Guard' ditubuhkan apabila penduduk Eropah bertambah dan perlunya menubuhkan sepasukan polis. Burgher Guard adalah badan yang baru dan para pegawainya terdiri daripada orang Belanda yang tinggal di Melaka. Anggota-anggota bawahannya adalah orang-orang Melaka. Pasukan ini dikawal dibawah Majlis Keadilan yang anggota-anggotanya dipilih di kalangan orang Belanda di Melaka. Penghulu meneruskan tugas-tugasnya seperti di Zaman Melayu Tradisional semasa Melaka di bawah pemerintahan Belanda.

Sistem ini seterusnya melemahkan kuasa pemerintahan raja-raja Melayu, yang sebelumnya mengamalkan kuasa mutlak.

Zaman moden

Ketika British mengambil alih Melaka pada tahun 1795, Kapten Farquhar, yang merupakan Gabenor Tentera pada masa itu membenarkan Majlis Keadilan Melaka menjelaskan fungsinya sebagai majistret di samping itu meneruskan tugas-tugas kepolisan 'Burgher Guard' yang telah terbentuk pada zaman itu.

Organisasi Polis Moden di Malaysia bermula pada 25 Mac 1807 hasil termaktubnya Piagam Keadilan (Charter of Justice) oleh penjajah Inggeris di Pulau Pinang. Sistem ini mencontohi sistem tersusun dan teratur polis British, yang dicipta oleh Sir Robert Peel pada tahun 1829.

Jawatan baru yang diwujudkan ialah High Sheriff dan Deputy Sheriff yang diberi tugas untuk mengawal keselamatan dan keamanan di Pulau Pinang. Penduduk-penduduk tempatan diambil dan berkhidmat sebagai Petty Constables dan diberi gaji. Orang-orang barat yang bertugas sebagai High Constables dikira sebagai khidmat masyarakat dan tidak diberi gaji.

James Carnegy dilantik sebagai High Sheriff yang pertama, manakala timbalannya ialah Andrew Bone.

Kebanyakan pegawai polis ketika itu adalah berbangsa British. Selepas itu organisasi ini berkembang kepada Negeri-Negeri Selat dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Pada ketika itu, organisasi polis adalah terhad kepada negeri masing-masing. Hanya selepas Perang Dunia II, satu organisasi polis tunggal dengan pentadbiran pusat yang pertama telah ditubuhkan dan dikenali sebagai "Civil Affair Police Force" (CAPF). Organisasi ini telah dibentuk di Tanah Melayu bagi menjalankan tugas-tugas kepolisan dengan diketuai H.B. Longworthy. Penjajah British terpaksa memantapkan organisasi polis selepas negara melalui anarki semasa zaman pemerintahan Jepun. Antara masalah yang berleluasa ketika itu ialah pemberontakan pihak komunis.

Konsep "Bersedia Berkhidmat" diperkenalkan oleh Pesuruhjaya Polis Tanah Melayu Sir Arthur E. Young pada 15 Disember 1952. Melalui arahannya, Arahan Pesuruhjaya Polis No. 36, tahun 1952: "Operation Service", A. E. Young menegaskan pendekatan polis terhadap orang ramai serta mewujudkan persefahaman terhadap kedua-dua pihak. Beliau juga berharap dengan konsep "Bersedia Berkhidmat" ini, pandangan negatif pasukan dapat dikikis dan sebaliknya dihormati.

Lagu Polis

Sedia Berkhidmat (lirik oleh Mohd. Zain Abu)

Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat

Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat

[Chorus]
Tanda lekat di lengan
Polis dengan pereman
Tangan bersalaman
Alamat persahabatan

Polis sedia berkhidmat
Kerna negeri dan rakyat
Hidup berbahagia aman sentosa
Polis sedia berkhidmat
Lagu: Sedia Berkhidmat

Hampir setahun selepas Hari Kemerdekaan, iaitu pada 24 Julai 1958, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abd Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamad telah berkenan mengurniakan gelaran 'Diraja' kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Upacara ini dijalankan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur. Mulai dari saat itu pasukan polis dikenali dengan nama "Polis Diraja Persekutuan" atau "The Royal Federation of Malayan Police" dan pada 1963 ditukar kepada Polis Diraja Malaysia.

Insignia

Bendera dan insignia dalam Polis Diraja Malaysia ini berlatarbelakangkan warna biru yang melambangkan rakyat jelata di negara Malaysia. Lambang ini yang seringkali dipasang pada bendera, panji-panji pasukan dan sebagainya. Di bahagian tengah bendera terdapat lambang PDRM yang berwarna perak atau putih. Lambang polis ini terdiri daripada sebilah Keris dan sebilah Parang Ilang/Kelewang yang bersilang. Di atas silangan itu terdapat pula kepala Harimau yang timbul dilingkari oleh Kalungan Bunga Padi dan di bawahnya ialah skrol dengan perkataan Polis Diraja Malaysia. Di bahagian kemuncak rangkaian bunga padi terdapat sebuah Mahkota yang mengandungi perkataan Allah di sebelah kanan dan Muhammad di sebelah kiri (dalam tulisan jawi).

Bulan dan bintang

Bulan dan Bintang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Mahkota

Mahkota melambangkan yang pasukan Polis Diraja Malaysia sentiasa menjunjung tinggi kesucian Islam dan kebesaran Allah, serta merupakan satu sanjungan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong diatas pengurniaan gelaran "Diraja" kepada pasukan. Perkataan Allah dan Muhammad melambangkan Tuhan Yang Maha Esa dan Rasulullah SAW sebagai pesuruh-Nya, juga melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara dan keimanan dalam pasukan PDRM yang sanggup berjuang demi menegakkan maruah negara, bangsa dan agama Islam serta sanggup berkorban diri.

Keris dan parang

Keris melambangkan Semenanjung Malaysia. Keris merupakan senjata yang digunakan oleh pahlawan-pahlawan dan pendekar-pendekar Melayu di zaman purbakala. Ia mula dicipta selepas bermulanya zaman logam dan asalnya direka oleh bangsa Arab sebelum menular ke seluruh Kepulauan Nusantara (terdiri daripada kepulauan Indonesia, Malaysia, Thailand, Myanmar dan Filipina) dan ia juga turut digunakan pahlawan dari empayar Hindu Majapahit yang berasal dari Indonesia (ketika itu agama Islam belum tersebar luas ke seluruh tanah Indonesia dan Malaysia) serta Siam. Parang Tradisional atau Kelewang melambangkan Negeri Sarawak dan Sabah dan ia melambang semangat kepahlawanan kedua-dua negeri yang berbilang bangsa iaitu Melanau, Orang Ulu, Dayak, Dusun, Bajau, Kadazan serta Melayu Brunei.

Kepala harimau

Kepala Harimau melambangkan kegagahan, keberanian dan semangat juang pasukan PDRM dalam menghadapi segala ancaman musuh. Sebelum ini, PDRM menggunakan kepala Singa sebagai lambang keberanian pada 16 September 1963 iaitu gelaran baru yang diberi selepas pembentukan Malaysia selepas kemerdekaan sehinggalah pada 15 Mei 1994, ia digantikan dengan kepala harimau sebagai lambang rasmi kerajaan Malaysia.

Bunga padi

Bunga padi melambangkan makanan asasi rakyat Malaysia serta kemakmuran negara.

Moto

Moto Polis Diraja Malaysia menunjukan ketinggian semangat serta keazaman anggota pasukan.

Sang Saka Biru

Itulah dia bendera PDRM (SANG SAKA BIRU), setiap warna atau warna membawa makna dan erti tersendiri, menjadi kemegahan anggota Polis.

Organisasi PDRM

 
Anggota wanita PDRM mempertunjukkan demonstrasi T-Baton.

Selain 2 jabatan yang terlibat dalam pentadbiran iaitu Jabatan Pengurusan dan Jabatan Logistik, PDRM mempunyai 5 jabatan yang terlibat dalam pencegahan jenayah iaitu Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA), Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil. Jabatan-Jabatan ini diketuai oleh pengarah-pengarah yang berpangkat Komisioner Polis (Jeneral Tiga Bintang)

Jabatan Pengurusan

Secara amnya, Jabatan Pengurusan bertanggungjawab dalam hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran PDRM. Berperanan dalam menggerakkan sistem pengurusan yang mantap sebagai pemangkin kepada kemajuan PDRM.

Fungsi
  • Perkhidmatan/Perjawatan
    • Merangkumi pengambilan, rekod perkhidmatan, pengesahan,kenaikan pangkat, pertukaran, gaji/elaun dan persaraan
  • Pentadbiran Am dan Dasar
    • Merangkumi Pentadbiran Am, Penyelidik/Pembangunan , Hal Ehwal Awam , Kebajikan, Sukan dan PERKEP
  • Latihan
    • Merangkumi pengendalian-pengandalian Kursus Asas, Kursus Pembangunan, Kursus Lanjutan di Institut Pengajian Tinggi dan Kursus Pemulihan
  • Tatatertib
    • Merangkumi bidang tugas pemantauan/tapisan, siasatan/risikan dan tindakan/kaunseling.
Cawangan
  • Pentadbiran
  • Cawangan Kebajikan
  • Bahagian Latihan
  • Cawangan Penyelidik/Pembangunan
  • Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan
  • Bahagian Hal Ehwal Awam
  • Cawangan Perhubungan Awam
  • Unit Pengambilan
  • Bahagian Istiadat
  • Cawangan Kem Komandan
  • Majlis Sukan PDRM
  • Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA)

Jabatan Siasatan Jenayah

Jabatan ini terlibat dengan dengan penyiasatan, penangkapan dan pendakwaan bagi jenayah-jenayah yang keganasan terhadap manusia (seperti pembunuhan, samun dengan senjata api, rogol dan kecederaan) dan jenayah harta benda (seperti kecurian dan pecah rumah). Selain itu jabatan ini menguatkuasakan Undang-Undang berhubung perjudian, maksiat dan kongsi gelap di Malaysia.

Misi: Membebaskan Negara dan Masyarakat Malaysia dari jenayah.

Fungsi
  • Mengendali penyiasatan dan pengesanan jenayah
  • Menangkap dan mendakwa pesalah-pesalah
  • Menguatkuasakan Undang-Undang berhubung perjudian, maksiat dan kongsi gelap
Bahagian/Cawangan
  • D1 - Bahagian Kawalan Dalaman
  • D2 - Bahagian Pendaftaran Rekod Jenayah
  • D3 - Bahagian Pencegahan ATIPSOM
  • D4 - Bahagian Operasi/Risikan/Rekod
  • D5 - Bahagian Pendakwaan/Undang-undang
  • D6 - Bahagian Bantuan Teknik
  • D7 - Bahagian Pencegahan Judi/Maksiat/Gansterism
  • D8 - Bahagian Siasatan/Perancangan
  • D9 - Bahagian Siasatan Khas
  • D10 - Bahagian Makmal Forensik
  • D11 - Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/Penderaan Kanak-kanak
  • D12 - Bahagian NCB/Interpol
  • D13 - Bahagian Databank DNA
  • D14 - Bahagian Siasatan Jenayah Terancang
  • Bahagian Urusetia

Jabatan Siasatan Jenayah diketuai oleh Komisioner Polis (CP)

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik

Jabatan ini berfungsi memerangi dadah berbahaya sebagai musuh utama negara dengan menguatkuasakan undang-undang untuk menyekat dan mengurangkan permintaan dan bekalan dadah berbahaya.

Fungsi
  • Menguatkuasakan undang-undang penyalahgunaan dan pengedaran dadah
  • Mengumpul, mengkaji, menaksir dan menyebar maklumat berkaitan dadah
  • Menyiasat kegiatan pengedar-pengedar dan sindiket-sindiket pengedaran dadah
  • Membanteras penyeludupan dadah termasuk bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah
  • Melaksanakan program pencegahan berkaitan penyalahgunaan dadah
  • Bertukar maklumat dengan agensi penguatkuasa dadah luar dan dalam negeri
  • Menyimpan rekod dan statistik berkaitan dengan pengedaran dan perkara yang berkaitan dengan dadah
  • Mengawasi kegiatan mereka yang pernah ditangkap kerana terlibat dengan kesalahan dan kegiatan sindiket pengedaran dadah
  • Menyediakan latihan kepada pegawai/anggota Jabatan Narkotik samada di dalam dan luar negeri
  • Menghadiri mesyuarat, seminar berkaitan dengan dadah samada di dalam dan di luar negeri
Cawangan-cawangan di bawah jabatan
  • Bahagian Siasatan Khas
  • Bahagian Penyelaras/Perhubungan Antarabangsa
  • Bahagian Pentadbiran
  • Bahagian Tahanan
  • Perlucutan Harta
  • Soalsiasat
  • Pakar/Bantuan Teknik
  • Rekod/Perangkaan
  • Pendaftaran
  • Bahagian Logistik
  • Petugas Lapangan Terbang

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik diketuai oleh Komisioner Polis (CP).

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam

Secara amnya, jabatan (KDN/KA) ini berperanan untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam adalah terpelihara. Jabatan ini merangkumi sebahagian besar dari operasi PDRM dari pengawalan trafik ke operasi mencari dan menyelamat.

Jabatan ini juga bekerjasama dengan pelbagai agensi lain. Misalnya dengan Angkatan Tentera Malaysia serta Angkatan Tentera/Laut dalam rondaan maritim bersama untuk mencegah jenayah lanun dan pencerobohan sempadan negara. Selain itu, mereka juga membantu Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Perusahaan Awam dalam penguatkuasaan Akta Lalulintas.

Antara cawangan-cawangan utama di bawah jabatan ini ialah;

Pasukan Anti-Pengganas

Ketika ancaman keganasan global semakin meningkat bermula dengan insiden 11 September tahun 2001 di Amerika Syarikat diikuti dengan beberapa siri pengeboman di Bali dan Jakarta, Indonesia hingga Malaysia sendiri turut merasai bahang keganasan global ini, Polis Diraja Malaysia turut mempunyai 2 kor pasukan anti-pengganas yang berperanan besar bukan sahaja membanteras keganasan bersama-sama dengan pasukan elit tentera malahan turut menangani jenayah berbahaya. Dua pasukan elit yang diperkatakan tersebut dikenali sebagai Pasukan Gerakan Khas dan Unit Gempur Marin.

Pasukan Gerakan Khas (PGK)
 
Pasukan Gerakan Khas adalah sebuah markas operasi khusus menyelaraskan Batalion 69 Komando (VAT 69) dan Unit Tindak Khas (UTK) dibawah tanggungjawab KDN/KA yang berperanan besar memerangi keganasan, jenayah berat, pengintipan, pemberontak dan lain-lain operasi khas di Malaysia. Markas ini juga berperanan membantu Cawangan Khas.

Pasukan Gerakan Khas merupakan entiti utama pasukan khusus di dalam Polis Diraja Malaysia yang terdiri daripada Batalion 69 Komando dan Unit Tindak Khas yang menjadi jentera utama pasukan ini. Kedua-dua Unit Elit ini disatukan pada tahun 1997 dan di pusatkan di Ibu Pejabat PGK di Bukit Aman. Beret merun yang menjadi kebanggaan UTK ini dipakai kepada semua pegawai dan anggota termasuk VAT 69 bagi tujuan penyeragaman. Namun, penyeragaman ini tidak bertahan lama apabila pada tahun 2003, Beret kelabu pasir dipakai semula oleh VAT 69, beret yang pernah dianugerahkan oleh Yang Dipertua Rejimen ke-22 Special Air Service British (SAS), manakala UTK masih mengekalkan beret merun mereka. Walau bagaimanapun, kedua-dua detasmen ini tetap berada dibawah kawalan induk dan seliaan Markas Pasukan Gerakan Khas yang dipimpin oleh seorang Komander berpangkat Senior Assistan Commissioner II.

Pasukan Gerakan Khas ini turut terlibat dalam beberapa siri operasi menangani keganasan di dalam Malaysia, antaranya terlibat dalam operasi ketenteraan bersama Rejimen ke-22 Komando Grup Gerak Khas Tentera Darat Malaysia menumpaskan organisasi pengganas Al-Ma'unah yang baru terbentuk di Bukit Jenalik, Sauk, Perak. Selain itu, pasukan ini turut mengharumkan nama PDRM dengan penyertaan misi pengaman PBB di Timor Leste serta operasi mencari dan menyelamat 700 pegawai dan anggota BRIMOB (Briged Mobil) Polis Indonesia (POLRI) yang hilang dan terperangkap semasa kejadian tsunami di Acheh, Indonesia pada akhir tahun 2004 yang lalu. Pasukan ini turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah membanteras jenayah berbahaya, antara reputasi terbaik PGK ialah kejayaan menumpaskan kumpulan jenayah berbahaya M16 yang terdiri daripada beberapa penjenayah berbangsa Cina termasuk ketua kumpulannya yang merupakan bekas anggota tentera Singapura, kematian ketua kumpulan Gang 13 iaitu Mat Komando serta beberapa lagi operasi yang lain. Cogankata bagi VAT 69 adalah WARISAN DARAH PERWIRA, manakala UTK ialah TANGKAS MEMBANTERAS GANAS.

Unit Gempur Marin (Ungerin)

Unit Gempur Marin merupakan sebuah unit elit anti-pengganas maritim yang baru ditubuhkan pada tahun 2006 dan beroperasi sepenuhnya pada akhir tahun 2007 yang mendapat latihan khas daripada Amerika Syarikat setelah menyedari betapa perlunya sebuah unit khas marin dalam menjaga perairan negara daripada sebarang insiden yang boleh meruntuhkan sektor ekonomi mahupun pertahanan negara. Unit yang diletakkan di bawah formasi Pasukan Gerakan Marin yang berpangkalan di Pangkalan Polis Marin Kampung Aceh, Sitiawan, Perak dan Lahad Datu, Sabah ini berperanan besar dalam menangani ancaman lanun, selain rompakan, penculikan dan rampasan kapal serta serangan pengganas di perairan negara. Pasukan elit asalnya berkekuatan 30 anggota ini dilatih oleh jurulatih SEALs Amerika di Langkawi dan Kota Kinabalu serta dibekalkan dengan persenjataan khas seperti Glock 19, MP5-Navy dan Colt M4A1 (berkemungkinan dibiayai oleh Amerika Syarikat) ini mengamalkan taktik-taktik terkini anti-pengganas maritim yang diamalkan oleh unit-unit komando tentera laut dan Marin Amerika Syarikat.

Terdapat beberapa banyak pihak termasuk media massa dan juga masyarakat menganggap mengapa pasukan ini dilatih oleh pihak asing dan tidak dilatih oleh pasukan elit tempatan daripada cabang Angkatan Tentera Malaysia, khususnya TLDM oleh PASKAL, namun disebaliknya ia juga merupakan hadiah kepada hubungan bilateral antara kerajaan Malaysia-Amerika Syarikat.

Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP/FRU)

Pasukan Simpanan Persekutuan (Bahasa Inggeris: Federal Reserve Unit) atau lebih dikenali dengan singkatan FRU merupakan sebuah pasukan yang bertindak menyuraikan sebarang rusuhan atau perhimpunan haram yang berlaku di Malaysia. Ditubuhkan pada 5 Disember, 1955 3 trup di awal penubuhannya. FRU turut terlibat dalam beberapa siri operasi menangai rusuhan berprofil tinggi, termasuk operasi menangani rusuhan perkauman pada 13 Mei 1969 serta terlibat dalam operasi bersepadu menangkap Ibrahim Libya dalam Insiden Memali di Baling, Kedah yang berakhir dengan 18 kematian termasuk Ibrahim dan 4 polis.

Pendahuluan

Pasukan Simpanan Persekutuan ( PSP ), atau Federal Reserve Units ( FRU ) yang dianggotai anggota tetap PDRM dari pelbagai pangkat, merupakan Pasukan Simpanan Ketenteraman Awam Ketua Polis Negara. Pasukan ini lengkap berdikari, boleh bergerak pantas dan dilatih khas sebagai “pasukan gempur dan kejutan”. Ianya dilatih dan dilengkapi untuk menumpas rusuhan, menyuraikan perhimpunan haram, mengawal orang ramai, membantu tugas menyelamat semasa bencana, dan penugasan khusus membantu operasi khas kepolisan.

Fungsi

Sebagai sebuah pasukan simpanan ketenteraman awam PDRM, PSP direka, dilengkap dan dilatih khusus untuk tugas-tugas menumpas dan menyuraikan rusuhan dan perhimpunan haram. Disamping itu, dengan keupayaan dan latihan yang dilengkapkan kepadanya; PSP boleh dikerahkan untuk tugas-tugas berikut :-

  • Kawalan Orang Ramai – semasa perhimpunan awam besar-besaran, seperti lawatan orang kenamaan, acara sukan, rapat umum dan perarakan; dimana ada kemungkinan tercetus keadaan ketenteraman awam,
  • Pasukan Bertindak untuk menangani dan menghadapi ancaman dan cabaran situasi “Chemical, Biological, Radiological dan Nuclear”,
  • Bantuan semasa bencana, seperti banjir, kebakaran besar, kegelinciran keretapi, tanah runtuh, pesawat terhempas, dll; untuk menyelamat nyawa, mencegah kecurian, pengusian dan kepungan kawasan terlibat,
  • Operasi Cegah Jenayah untuk membantu Ketua Polis Daerah dikawasan-kawasan tertentu yang mengalami kenaikan mendadak kadar jenayah atau kawasan yang kerap berlaku jenayah, untuk jangkamasa yang tertentu,
  • Operasi besar-besaran, seperti kepung dan mencari, saringan dan tangkapan terhadap kumpulan pelampau atau anasir kongsi gelap, rondaan intensif dan penguatkuasaan Perintah Berkurung.
Organisasi
Struktur

PSP di ketuai oleh seorang Komander, dan dibantu oleh seorang Timbalan Komander. Mereka bertanggungjawab kepada Pengarah KDN/KA. Mereka dibantu oleh beberapa orang Pegawai Turus dan keanggotaan yang diperlukan; dan dikenali sebagai kumpulan Ibu Pejabat Komander PSP. Setiap Unit PSP di ketuai oleh seorang Pegawai Pemerintah Unit. Setiap Terup PSP di ketuai oleh seorang Pegawai Penjaga Terup. Pusat Latihan PSP diketuai oleh seorang Komandan. Setiap unit dan Pusat Latihan PSP mempunyai keanggotaan untuk membantu pentadbiran dan dikenali sebagai kumpulan ibu pejabat unit.

Komposisi unit

Setiap Unit PSP mengandungi 1 kumpulan Ibu Pejabat Unit dan 3 Terup. Setiap Terup mengandungi 2 seksyen cota, 1 seksyen senapang/gas, 1 seksyen “Water Cannon”; dan komposisi kumpulan sokongan terup.

Lokasi

Sebagai pasukan yang lengkap berdikari dan mampu bergerak pantas untuk menggempur dan menangani keadaan ketenteraman awam, Unit-unit PSP di letakkan di bandar-bandar besar dan strategik seperti berikut :-

  1. Unit 1 - Kuala Lumpur
  2. Unit 2 - Johor Bahru
  3. Unit 3 - Pulau Pinang
  4. Unit 4 - Kuala Lumpur
  5. Unit 5 - Ipoh
  6. Unit 6 - Kuala Terengganu
  7. Unit 7 - Seremban # Temerloh / Maran
  8. Unit Berkuda - Kuala Lumpur
  9. Terup Wanita - Kuala Lumpur

PSP telah dianugerahkan panji-panji pada tahun 1971 dan seterusnya digantikan pada tahun 1997. Panji-panji ini dianugerahkan oleh DYMM SPB Yang diPertuan Agong sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti PSP sepanjang penubuhannya demi mengekalkan ketenteraman awam negara. Semasa majlis-majlis rasmi dimana PSP terlibat sebagai badan induk atau detasmen; seperti Kawalan Kehormatan, Malam Mes PSP atau Perbarisan sempena Hari Polis dan Hari PSP, panji-panji PSP boleh dikeluarkan dan diarak dengan arahan dan kelulusan KPN, Pengarah KDN/KA atau Komander PSP.

Unit Implimentasi C4-i

 
Anggota polis menjalankan tugas sekatan jalanraya untuk tugas pencegahan jenayah.

Unit Implemenasi C4-i (bermaksud Command, Control, Communications, Computer-Intergrated atau lebih dikenali Pusat Kawalan Komunikasi Gunasama Berkomputer) merupakan unit yang diletakkan di dalam Pusat Kawalan Polis diseluruh kontinjen polis di Malaysia. Unit ini ditugaskan melakukan pemantauan diseluruh bandar dan desa bagi tugas-tugas pencegahan jenayah. Unit ini pertama kali ditubuhkan di Bukit Aman dan Kontinjen Kuala Lumpur merupakan kontinjen pertama yang memiliki sistem ini. Unit ini dilengkapi dengan sistem CCTV yang dipasangkan diseluruh bandar dan dipantau oleh Pusat Kawalan Kontinjen dan sistem C4-i yang berupa sebuah laptop dipasangkan pada setiap kereta peronda yang beroperasi. Sekiranya berlaku kejadian jenayah dimana-mana lokasi, Pusat Kawalan Kontinjen akan menyalurkan maklumat jenayah ini kepada setiap kereta peronda, rondaan dan unit cegah jenayah yang beroperasi untuk bertindak. C-4i juga turut berperanan dan menjadi kiblat utama kepada tertubuhnya Rakan Cops pada tahun 2006 bagi mengeratkan kerjasama polis dengan masyarakat. Hasil dari penubuhan ini, kejadian jenayah di bandar-bandar utama mula berkurangan dan ini memberi banyak implikasi positif masyarakat terhadap adanya pelaksanaan C4-i serta Rakan Cops.

Cawangan Trafik

 
Polis dari cawangan trafik.

Pada tahun 1928 dan 1929, cabang lalu lintas didirikan di bandar-bandar besar, iaitu Kuala Lumpur, Ipoh dan Seremban. Di bandar-bandar besar lain, tugas mengendalikan lalu lintas diberikan kepada anggota polis biasa.

Kerana masalah lalu lintas yang semakin serius berikutan penambahan kenderaan, cawangan lalu lintas ditubuhkan di setiap negeri dan bandar-bandar besar lain secara beransur-ansur. Pada tahun 1976, cawangan lalu lintas pusat ditubuhkan di Bukit Aman. Ini bertanggungjawab untuk meninjau, merancang dan melakukan penelitian mengenai penguatkuasaan cabang lalu lintas, latihan, kejuruteraan, pengurusan rekod dan undang-undang lalu lintas.

Unit Berkuda

 
Unit Berkuda Polis.

Unit Berkuda Polis dibentuk pada tahun 1882 oleh Kapten R.S.F Walker ketika dia dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Perak. Pada awal penubuhannya, unit ini telah diberi tanggungjawab untuk menangani masalah perompak yang berleluasa di Segenting Kamunting, Perak. Pada tahun 1915, unit ini mengembangkan peranannya sebagai Pengawal Peribadi kepada DYMM Sultan Perak. Anggota-anggota Unit Berkuda Polis pada masa itu terdiri daripada anggota yang dipinjamkan dari Pasukan Malay States Guides.

Pusat Kawalan Malaysia

Pasukan Gerakan Marin

 

Pasukan Gerakan Marin (PGM) atau Polis Marin Malaysia ditubuhkan pada bulan September 1947 di Pulau Pinang. Pada awalnya ia berperanan dalam pencegahan jenayah dan penyeludupan di perairan Selat Melaka dan Pelabuhan Pulau Pinang. Kini terdapat banyak aktiviti lautan yang berkembang seperti carigali minyak, penangkapan ikan, pelancongan di pulau-pulau kecil, aktiviti bot penumpang dan sebagainya. Semuanya memerlukan pengawasan dan bantuan kepolisan dari segi perlesenan dan penguatkuasaan.

Kini PGM mempunyai keanggotaan seramai 170 pegawai kanan dan 2,376 Anggota Pangkat Rendah / Konstabel serta 56 kakitangan awam. Pasukan ini memiliki 15 buah bot ronda kelas PZ, 33 kelas PX, 68 PA/PB/PC dan 4 buah bot ronda kelas PSC/PGR/PAR. Dari dua buah pangkalan semasa ditubuhkan, kini cawangan ini mempunyai 5 pangkalan utama, 11 pangkalan kecil dan 24 pangkalan hadapan.

Peranannya pula diperluaskan bagi turut melaksanakan tugas kawalan keselamatan dan mencegah jenayah di daratan, di kawasan pulau, tasik dan juga sungai yang mempunyai penduduk dan kepentingan negara.

Unit Udara PDRM

Rencana utama: Unit Udara PDRM

Unit Udara Polis Diraja Malaysia merupakan salah satu dari elemen PDRM yang bernaung di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDN/KA). Unit ini telah di tubukan pada 19 Disember 1997 yang telah di rasmikan oleh Tan Sri Hj. Mohd Haniff bin Omar (KPN), di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Subang.Dan pada tahun 2014 Unit Udara Polis telah di tukar nama kepada Pasukan Gerakan Udara bagi meningkatkan peranan dan fungsi di dalam PDRM. Fungsi utama Pasukan Gerakan Udara PDRM adalah untuk memantau atau membuat rondaan di kawasan laut dan darat bagi kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan negara. Selain itu, ianya juga berfungsi sebagai membantu kepada agensi-agensidan cawangan-cawangan lain yang terlibat dengan penugasan keselamatan negara. Dalam penglibatan misi menyelamat, pihak PGU juga telah memberikan bantuan seperti penerbangan emergency (mercy flight) yang mana ianya menumpukan kepada misi pemindahan mangsa-mangsa banjir, bantuan kepada penduduk yang tinggal di kawasan pendalaman bagi menerima rawatan (seperti Orang Asli dan termasuk pendalaman Sabah dan Sarawak).[perlu rujukan]

Cawangan Khas

Jabatan ini adalah sayap perisikan yang bertanggungjawab untuk mengumpul risikan bagi keselamatan negara. Antara lain peranannya ialah mengumpul risikan keselamatan berkaitan dengan ancaman dari dalam dan luar negara, sebarang aktiviti subversif dan sabotaj oleh kumpulan pelampau atau individu yang boleh mengancam kestabilan negara. Seterusnya dengan memperolehi, mengolah, menilai dan mengedar maklumat serta memberi nasihat kepada jabatan-jabatan di dalam dan luar pasukan, serta pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan. Jabatan ini terbahagi kepada beberapa cawangan seperti:- Inteligen Teknikal, Inteligen Sosial, Inteligen Luar, Inteligen Politik, Inteligen Ekonomi dan Inteligen Keselamatan.

Pasukan Petugas Khas

Tarikh Penubuhan 1 Mac 2009

Misi dan Visi Mengambil pendekatan dengan mempertingkatkan kemahiran dan menyusun strategi yang mantap dalam memerangi dan membendung ancaman keganasan, Jenayah terancang, Jenayah bersindiket dan penggubahan wang haram.

Fungsi dan Peranan

  • Menjalankan tugas-tugas pengumpulan risikan dan operasi pembanterasan aktiviti kumpulan-kumpulan dan elemen-elemen keganasan serta operasi membanteras dan pengumpulan risikan terhadap kegiatan jenayah terancang, Jenayah bersindiket dan pengubahan wang haram.
  • Jabatan ini hanya wujud di Peringkat Persekutuan sahaja.

Jabatan ini bertanggungjawab di dalam menangani ancaman militan dan pengganasan baik dari dalam mahupun dari luar negara. Semenjak ditubuhkan, jabatan ini telah banyak menjalankan operasi dan berjaya menangkap sasaran yang dikehendaki oleh PDRM mahupun oleh negara asing. Jabatan ini diketuai oleh Komisioner Polis (CP).

Pegawai-pegawai berkepentingan

Pengurusan tertinggi

Pangkat Nama
Ketua Polis Negara (KPN) IGP Tan Sri Razarudin Husain
Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) DIGP Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

Pengarah Jabatan

Jabatan Pangkat Nama Pengarah
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Mohd Kamarudin bin Md Din
Cawangan Khas (C/Khas) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Haji Mohd Khalid bin Haji Ismail
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Khaw Kok Chin
Jabatan Logistik Dan Teknologi (JLT) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Seri Sahabudin bin Abdul Manan
Jabatan Pengurusan (JP) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Azmi bin Abu Kassim
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Aidi bin Ismail
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Mohd Shuhaily bin Mohd Zain
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Ramli bin Mohamed Yoosuf
Jabatan Integriti Dan Pematuhan Standard (JIPS) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Azri bin Ahmad
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pesuruhjaya Polis CP Dato' Mohd Azman bin Ahmad Sapri

Ketua polis negeri

Negeri Pangkat Nama Ketua Polis Negeri
Ketua Polis Johor Pesuruhjaya Polis CP M Kumar S. Muthuvelu
Ketua Polis Melaka Timbalan Pesuruhjaya Polis DCP Datuk Wira Haji Zainol bin Haji Samah
Ketua Polis Negeri Sembilan Timbalan Pesuruhjaya Polis DCP Dato' Ahmad Dzaffir bin Mohd Yussof
Ketua Polis Kuala Lumpur Pesuruhjaya Polis CP Dato' Allaudeen bin Abdul Majid
Ketua Polis Selangor Pesuruhjaya Polis CP Dato' Hussein bin Omar Khan
Ketua Polis Perak Pesuruhjaya Polis CP Dato' Sri Mohd Yusri bin Haji Hassan Basri
Ketua Polis Kedah Pesuruhjaya Polis CP Dato' Fisol bin Salleh
Ketua Polis Pulau Pinang Pesuruhjaya Polis CP Dato' Khaw Kok Chin
Ketua Polis Perlis Timbalan Pesuruhjaya Polis DCP Dato' Muhammad bin Abdul Halim
Ketua Polis Kelantan Pesuruhjaya Polis CP Dato' Muhamad Zaki bin Haji Harun
Ketua Polis Terengganu Timbalan Pesuruhjaya Polis DCP Datuk Mazli bin Mazlan
Ketua Polis Pahang Pesuruhjaya Polis CP Dato' Yahaya bin Othman
Pesuruhjaya Polis Sarawak Pesuruhjaya Polis CP Dato' Mancha anak Ata
Pesuruhjaya Polis Sabah Pesuruhjaya Polis CP Datuk Jauteh Dikun

Pangkat PDRM

Polis Diraja Malaysia mempunyai 17 peringkat pangkat mengikut 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor Percubaan sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.

Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 2 kumpulan utama, iaitu Pegawai Jeneral Diwartakan (ACP - IGP), dan Pegawai Diwartakan (P/INSP - SUPT).

Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub Inspektor. Pangkat Korperal sehinggalah ke pangkat Sub Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Sub Ordinat.

Pangkat setiap anggota polis umumnya dapat dikenali melalui nombor pengenalan polis. Pemegang pangkat Pegawai Kanan Polis berpangkat IGP sehingga P/INSP menggunakan 'G' sebagai pangkal, manakala pemegang pangkat Pegawai Rendah Polis berpangkat S/INSP sehingga KONST menggunakan 'RF' dan Pegawai Sokongan Polis berpangkat S/INSP/S sehingga KONST/S menggunakan 'RF/S'

Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-

Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
PEMERINTAH TERTINGGI PDRM (DIGP - IGP)
Inspector General of Police (IGP) Ketua Polis Negara (KPN)
Deputy Inspector General of Police (DIGP) Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN)
PEGAWAI KANAN POLIS (P/INSP - CP)
Commissioner of Police Pesuruhjaya Polis (CP)
Deputy Commissioner of Police Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP)
Senior Assistant Commissioner of Police Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC)
Assistant Commissioner of Police Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP)
Superintendant of Police Penguasa Polis (SP)
Deputy Superintendant of Police Timbalan Penguasa Polis (DSP)
Assistant Superintendant of Police Penolong Penguasa Polis (ASP)
Inspector of Police Inspektor Polis (INSP)
Probationary Inspector of Police Inspektor Percubaan Polis (P/INSP)
PEGAWAI RENDAH POLIS (KONST - S/INSP)
Sub Inspector of Police Sub Inspektor Polis (S/INSP)
Police Sergeant Major Sarjan Mejar (SJN/M)
Police Sergeant Sarjan (SJN)
Police Corporal Koperal (KPL)
Police Lance Corporal Lans Koperal (L/KPL)
Police Constable Konstabel (KONST)

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ "Indonesian, Malaysian police ramp up cooperation to fight transnational crimes". Xinhua News Agency. Global Times. 13 February 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.
  2. ^ "Thai, Malaysian police agree cooperation". The Nation. 14 May 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.
  3. ^ Izam Said Ya'akub (2 December 2010). "Multilateral cooperation needed to counter transnational crime". The Brunei Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.
  4. ^ "Malaysia, Singapore police to work closely in combating cybercrime". Bernama. The Borneo Post. 5 May 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.
  5. ^ "RP, Malaysia intensify joint effort vs terrorism, transnational crimes". The Philippine Star. 21 March 2002. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.
  6. ^ "Vietnam People's Police Force's 70th anniversary marked abroad". Voice of Vietnam 5. 20 August 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.
  7. ^ "Vietnam, Malaysia sign agreement on transnational crimes". Nhân Dân. 1 October 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 May 2016. Dicapai pada 12 May 2016.

Pautan luar