Ponteng adalah istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Istilah tersebut digunakan bagi kes ketidakhadiran yang berpunca daripada keinginan pelajar itu sendiri, dan bukannya kes-kes yang "dimaafkan" seperti sakit, kemalangan dan sebagainya. mengikut sekolah, tetapi biasanya diterangkan secara jelas di dalam peraturan sekolah.Ponteng juga merujuk tidak datang ke sekolah tanpa alasan yang tertentu

Ponteng juga merujuk kepada pelajar yang menghadiri sekolah tetapi tidak menghadiri kelas, sama ada salah satu kelas, beberapa kelas ataupun kesemua kelas dalam satu-satu hari.

Di sesetengah sekolah, pelajar yang ponteng akan hilang kelayakan untuk tamat sekolah ataupun menerima jam kredit bagi kelas yang tidak dihadiri, sehinggalah kekurangan tersebut diisi melalui tahanan kelas, denda ataupun kelas gantian dan gantung sekolah.

Punca gejala ponteng sunting

  1. Suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi, seperti pembinaan arked permainan video, kafe siber atau pusat membeli-belah berhampiran sekolah
  2. Pengaruh media elektronik
  3. Kurangnya kasih sayang serta pemantauan daripada ibu bapa
  4. Pengaruh rakan sebaya
  5. Persekitaran sekolah yang kurang kondusif serta dibebani tekanan, umpamanya guru yang terlalu garang

Menangani pelajar ponteng sunting

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia amat memandang serius akan gejala ponteng sekolah, memandangkan gejala ini seterusnya akan membawa kepada permasalahan sosial yang lebih teruk seperti gejala maksiat dan samseng remaja. Oleh itu, di beberapa tempat seperti di Lembah Klang, Polis Diraja Malaysia menempatkan beberapa anggota polis bagi memantau kawasan tumpuan remaja bagi mengesan pelajar ponteng, dan sekiranya pelajar yang didapati ponteng tertangkap maka ibu bapa berkemungkinan akan dikenakan tindakan.

Untuk membolehkan penguatkuasaan larangan ponteng dapat dilaksanakan secara menyeluruh, orang ramai diseru agar melaporkan kepada polis sekiranya terserempak dengan pelajar yang ponteng sekolah.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan juga turut mengambil inisiatif bagi menangani gejala ponteng dengan menyertakan syarat remaja berpakaian seragam sekolah tidak boleh memasuki premis mereka sebagai salah satu syarat bagi mengeluarkan lesen bagi kafe siber dan arked permainan video.

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan suasana persekolahan yang kondusif serta tidak menekan pelajar untuk menarik minat pelajar agar terus menghadiri kelas. Guru-guru juga disaran supaya bersikap ramah serta tidak terlalu garang dengan pelajar.

Paling penting, ibu bapa seharusnya memainkan peranan bermula dari akar umbi bagi mencegah anak-anak mereka daripada ponteng sekolah. Mereka seharusnya memerhatikan gerak-geri anak mereka, dengan siapa anak mereka berkawan, kerap menghubungi pihak sekolah serta memeriksa beg sekolah anak mereka sebagai bukti sama ada anak-anak mereka menghadiri sekolah atau tidak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mempercayai anak-anak mereka kerana sikap terlalu memanjakan anak sudah tentunya bakal memakan diri sendiri kelak.

Rujukan sunting

Pautan Luar sunting