Portal:Politik/Rencana pilihan/3

Perang bendera antara parti politik

Pilihan raya umum Malaysia ke-13 (Tulisan Jawi: ڤيليهن راي عموم مليسيا 2013) atau juga dikenali dengan singkatan PRU-13 telah diadakan pada 5 Mei 2013 setelah parlimen dibubarkan pada 3 April tahun yang sama. Tempoh penggal parlimen mengikut Perlembagaan Malaysia ialah lima tahun sejak mula bersidang, iaitu sehingga 28 April 2013. Namun parlimen hanya akan terbubar secara automatik pada 30 April kerana 28 April ialah hari Ahad. Yang di-Pertuan Agong bagaimanapun boleh membubarkan parlimen lebih awal dengan nasihat Perdana Menteri. Bagi pilihan raya serentak seluruh negara (parlimen dan DUN), pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya 28 Mei. pilihan raya umum di negara ini menggunakan sistem undian pemenang undi terbanyak. Pilihan raya akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Walaupun daripada segi teori mana-mana negeri boleh membubarkan Dewan Undangan Negerinya secara berasingan daripada Parlimen, secara tradisinya DUN dibubarkan sekali dengan Parlimen, kecuali Sarawak.

Pada 3 April 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen menerusi ucapan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen kira-kira pukul 11.30 pagi. Beliau juga memberi jaminan sebarang perubahan kuasa sama ada di peringkat persekutuan atau negeri akan berjalan dengan aman.

Pada 10 April 2013, SPR mengumumkan bahawa tarikh penamaan calon ialah 20 April dan pilihan raya pada 5 Mei, hari Ahad. Pada awal pagi 6 Mei, Barisan Nasional secara muktamad diumumkan kekal berkuasa, dengan majoriti yang berkurang. Bagaimanapun, ia berjaya merampas kembali negeri Kedah daripada Pakatan Rakyat (PR). Walau bagaimanapun, PR memenangi undian popular buat pertama kali. (Rencana penuh...)

Rencana pilihan lain di: Wikipedia, Portal · Sunting