Protokol Kawalan Penghantaran

Protokol Kawalan Penghantaran (Transmission Control Protocol - TCP) merupakan salah satu protokol teras bagi Suit Protokol Internet. TCP merupakan salah satu daripada dua komponen asal bagi suit terbabit, melengkapkan Protokol Internet (IP) dan lantas keseluruhan suit biasanya dirujuk sebagai TCP/IP. TCP membekalkan khidmat pertukaran keutuhan data secara langsung di antara dua hos rangkaian, manakala IP mengendalikan pengalamatan dan penghalaan pesanan merentasi satu atau lebih rangkaian. Secara khusus, TCP membekalkan penghantaran yang tertib dan kukuh bagi strim bit dari satu atur cara pada sebuah komputer ke atur cara lain pada komputer lain. Kebanyakan aplikasi Internet utama bergantung kepada TCP, antaranya ialah World Wide Web, e-mail, dan pindahan fail. Aplikasi lain, yang tidak memerlukan perkhidmatan strim data yang kukuh, menggunakan protokol Datagram pengguna, yakni User Datagram Protocol (UDP) yang membekalkan khidmat datagram, yang menekankan pengurangan kependaman berbanding keutuhan.