Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis


Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (Bahasa Inggeris: Crisis Preparedness and Response Centre) atau CPRC merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan Kerajaan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (2005 – 2010) sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan dalam kesediaan pengurusan yang berkesan bagi menghadapi bencana, wabak, krisis dan kecemasan (Disaster, Outbreak, Crisis, Emergency – DOCE) yang berkaitan dengan kesihatan[1][1]. Perasmian CPRC dilakukan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Chua Soi Lek pada 7 Mei 2007. CPRC terletak di aras 6, Blok E10, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Pada awal penubuhannya ia lebih berfungsi sebagai pusat kesiapsiagaan dan respon  untuk menangani wabak penyakit berjangkit dan bencana. Dengan perkembangan semasa, CPRC telah meluaskan aktivitnya kepada semua jenis dan kejadian yang melibatkan kesihatan awam seperti bencana alam, “mass casualty incident”, Chemical, Biological, Radiological, Nuclear and Explosives (CBRNe), keganasan dan percubaan rampasan kuasa[1].

Fungsi sunting

CPRC bertindak sebagai penyelaras, pusat arahan dan koordinasi bagi aktiviti kesiapsiagaan dan respon terhadap kejadian wabak penyakit berjangkit, kecemasan, krisis dan bencana di peringkat kebangsaan. Selain daripada itu CPRC juga berperanan untuk merancang pembangunan sumber insan, peralatan perlindungan diri, ubat-ubatan dan vaksin agar mencukupi. Di samping itu CPRC juga menjalankan aktiviti Risk Assessment, Rapid Assessment dan Rapid Response. Ia beroperasi selama 24 jam sehari dan tujuh (7) hari seminggu. Ia wujud hanya di peringkat Kebangsaan dan peringkat Negeri sahaja manakala di daerah pusat arahan dan kawalan untuk DOCE dinamakan Bilik Gerakan[1]

CPRC berfungsi di dalam dua mod iaitu pasif dan aktif. Semasa di mod pasif, aktiviti lebih bertumpu kepada penilaian risiko, kesiapsiagaan, survelan, komunikasi risiko dan latihan. Manakala semasa di mod aktif, aktiviti CPRC lebih bertumpu kepada pusat arahan, tindakan dan koordinasi kejadian DOCE.

Mod pasif sunting

Dalam keadaan pasif, CPRC beroperasi selama 24 jam, dari jam 8 pagi ke 5 petang, operasi adalah di CPRC itu sendiri manakala selepas jam 5 petang semua panggilan akan dijawab oleh pegawai yang bertugas di atas panggilan[2].

Tugas dan tanggungjawab CPRC semasa mod pasif seperti yang di bawah:

  1. Mewujudkan polisi, garis panduan dan SOP berkaitan dengan kesiapsiagaan, tindakan cepat dan tindakan yang perlu diambil oleh berbagai pihak dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum, semasa serta selepas menghadapi DOCE.
  2. Menyelaras semua aktiviti KKM berkaitan dengan kesiapsiagaan jika berlakunya DOCE.
  3. Mewujudkan koordinasi dan kolaborasi, mengekalkan jaringan komunikasi dengan organisasi dan institusi lain, sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana.
  4. Merancang dan memastikan kewujudan sumber, sama ada tenaga manusia, latihan anggota, peralatan, peruntukan, simpanan ubat-ubatan dan vaksin serta lain-lain keperluan yang penting.
  5. Mewujudkan dan mengekalkan pusat maklumat (information centre) dan pangkalan data (database) berkaitan dengan kesiapsiagaan dan respon DOCE yang berhubung kait dengan kesihatan.
  6. Menyediakan dan menyebarkan maklumat berkaitan dengan pengurusan  kepada pihak atasan KKM dan lain-lain stakeholders untuk langkah kesiapsiagaan.
  7. Mewujudkan program latihan secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan anggota dalam menghadapi  DOCE.
  8. Menjalankan analisis risko dan analisis situasi ke atas  wabak,  krisis dan bencana yang berlaku bagi merancang aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan serta pemulihan selanjutnya.
  9. Menjalankan latihan dan simulasi DOCE.
  10. Menjalankan kajian dan aktiviti dokumentasi berkaitan dengan  DOCE.

Mod aktif sunting

Dalam keadaan mod aktif pula, CPRC masih beroperasi selama 24 jam di mana aktiviti di CPRC bergantung pada keperluan wabak dan bencana semasa cth: 7 pagi hingga 10 malam seperti semasa kejadian Banjir Besar tahun 2014. Selepas waktu tersebut, semua panggilan ke CPRC akan dijawab oleh pegawai yang bertugas di atas panggilan.

Di dalam keadaan DOCE iaitu mod aktif, tugas dan tanggungjawab CPRC adalah seperti yang di bawah:

  1. CPRC akan menyelaras semua aktiviti dan tindakan KKM yang berkaitan dengan kejadian DOCE.
  2. Menyelaras semua aktiviti kesihatan berkaitan dengan tindakan cepat dan pemulihan sebelum, semasa dan selepas berlakunya DOCE.
  3. Mewujudkan polisi, garis panduan dan SOP semasa yang baru berkaitan dengan tindakan cepat yang perlu diambil oleh berbagai pihak akibat dari ancaman yang berlaku semasa  DOCE jika diperlukan.
  4. Menyelaras semua aktiviti kesihatan berkaitan dengan tindakan cepat dan pemulihan semasa dan selepas berlakunya DOCE.
  5. Mewujudkan koordinasi dan kolaborasi, mengekalkan jaringan komunikasi dengan organisasi dan institusi lain (contoh: universiti, NGO) sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa dalam langkah menghadapi ancaman semasa  dan selepas DOCE.
  6. Menggerakkan semua sumber KKM sama ada tenaga manusia, peralatan, peruntukan, simpanan ubat-ubatan dan vaksin serta lain-lain keperluan yang penting yang diperlukan semasa berhadapan dengan DOCE.
  7. Sebagai pusat maklumat (information centre) dan pangkalan data (database) terkini berkaitan dengan DOCE yang berhubung kait dengan kesihatan awam.
  8. Sebagai pusat membuat keputusan tangkas terhadap isu-isu yang dihadapi semasa menghadapi DOCE iaitu ke arah pelaksanaan WAR Room.
  9. Menyediakan dan menyebarkan maklumat berkaitan dengan perkembangan terkini DOCE  kepada pihak atasan KKM dan lain-lain stakeholders untuk tindakan cepat.
  10. Menjalankan analisis risko dan analisis situasi ke atas  DOCE yang berlaku bagi merancang aktiviti pencegahan, kawalan dan rawatan serta pemulihan selanjutnya.
  11. Menjalankan aktiviti dokumentasi berkaitan dengan  DOCE.
  12. Sebagai pusat komunikasi risiko semasa DOCE.
  13. Bergantung kepada magnitud sesuatu  DOCE, Bahagian-Bahagian lain seperti Perubatan, Makmal, Pendidikan Kesihatan juga akan terlibat sama.
  14. Anggota CPRC semasa DOCE adalah sekretariat CPRC, manakala tindakan dan pelaksanaan sebenar semasa DOCE tersebut adalah tanggungjawab bahagian masing-masing mengikut jenis jenis insiden dan fungsi hakiki bahagian berkenaan.

Kriteria Pengaktifan sunting

Secara amnya CPRC akan diaktifkan apabila terjadinya perkara yang tersebut di bawah mengikut peringkat samada kebangsaan, negeri dan daerah.

Kebangsaan sunting

CPRC akan diaktifkan dalam kriteria-kriteria seperti berikut:-

  1. Kejadian wabak penyakit berlaku di lebih daripada satu negeri
  2. Kejadian yang mempunyai morbiditi dan mortaliti yang tinggi.
  3. Kejadian kes yang berlaku secara berkelompok (cluster)
  4. Kematian atau kejadian kes luar biasa (satu atau lebih) akibat penyakit berjangkit yang tidak diketahui pathogen penyebab.
  5. Kejadian yang ada kaitan dengan kejadian luar biasa di luar Negara
  6. Kejadian bencana alam samada semulajadi ataupun disebabkan oleh faktor manusia dalam skala yang besar
  7. Kejadian yang berkemungkinan berpunca daripada ancaman biologi (bioterrism)

Negeri sunting

CPRC akan diaktifkan dalam keadaan seperti berikut:

  1. Kejadian wabak penyakit berlaku di lebih daripada satu daerah
  2. Kejadian yang mempunyai morbiditi dan mortaliti yang tinggi.
  3. Kejadian kes yang berlaku secara berkelompok (cluster)
  4. Kematian atau kejadian kes luar biasa (satu atau lebih) akibat penyakit berjangkit    yang  tidak diketahui pathogen penyebab.
  5. Kejadian yang ada kaitan dengan kejadian luar biasa di luar negeri
  6. Kejadian bencana alam samada semulajadi ataupun disebabkan oleh faktor manusia dalam skala yang besar
  7. Kejadian yang berkemungkinan berpunca daripada ancaman biologi (bioterrism)

Bilik Gerakan Daerah sunting

Bilik Gerakan Daerah akan diaktifkan dalam keadaan seperti berikut:

  1. Kejadian wabak penyakit berlaku di lebih daripada satu lokaliti
  2. Kejadian yang mempunyai morbiditi dan mortaliti yang tinggi.
  3. Kejadian kes yang berlaku secara berkelompok (cluster)
  4. Kematian atau kejadian kes luar biasa (satu atau lebih) akibat penyakit berjangkit yang tidak diketahui pathogen penyebab.
  5. Kejadian yang ada kaitan dengan kejadian luar biasa di luar daerah
  6. Kejadian bencana alam samada semulajadi ataupun disebabkan oleh faktor manusia dalam skala yang besar
  7. Kejadian yang berkemungkinan berpunca daripada ancaman biologi (bioterrorism)

Pengoperasian sunting

Influenza A (2009) sunting

Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Negeri Perak telah mula beroperasi pada April 2009, seiringan dengan bermulanya wabak Pandemik Influenza A (H1N1). Pusat ini diaktifkan seiring dengan hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyelaras aktiviti kesihatan berkaitan dengan kesiapsiagaan, tindakan cepat dan pemulihan sebelum, semasa dan selepas sesuatu wabak penyakit, bencana dan krisis. Selain itu, pusat ini juga berfungsi untuk mengkoordinasikan tindakan, kolaborasi dan mengekalkan jaringan komunikasi dalam jabatan kesihatan, kementerian dan lain-lain agensi berkaitan di dalam atau di luar negeri Perak. Sehingga kini Bilik Gerakan ini dibuka setiap hari termasuk hari Cuti Mingguan atau hari Kelepasan Am. Sebanyak 147 wabak dikendalikan/dipantau melalui CPRC Perak pada tahun 2012[3].

Banjir di Malaysia (2019) sunting

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di Putrajaya untuk memantau keadaan banjir di seluruh Malaysia yang berlaku akhir tahun 2019. CPRC akan memberikan laporan terkini setiap hari kepada KKM berhubung jumlah mangsa banjir dan mereka yang berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) untuk membolehkan tindakan perlu dan segera diambil. CPRC akan bekerjasama dengan PPS di kawasan terjejas banjir. Pihak di PPS mempunyai input mengenai mangsa banjir yang berpindah yang boleh dikongsi dengan Pejabat Kesihatan Daerah. Input daripada PPS akan membantu KKM mengendalikan sebarang isu kesihatan sekiranya ada[4].

Pandemik COVID-19 (2020) sunting

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) untuk memantau perkembangan semasa mengenai COVID-19 dan bersiap siaga dalam menghadapi pandemik tersebut[5].

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d KKM (2015). Kementerian Kesihatan Malaysia. 2015. Pelan Pengurusan Krisis dan Bencana Peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia.Sektor Pengurusan Wabak dan Bencana, Bahagian Kawalan Penyakit
  2. ^ Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis MyHealth
  3. ^ Che Halim Abdul Rahman (2012). Laporan Tahunan 2012. Ipoh, Perak: Jabatan Kesihatan Negeri Perak. m/s. 73–74.
  4. ^ Kementerian Kesihatan aktifkan CPRC pantau keadaan banjir Berita Harian
  5. ^ Malaysia berpengalaman hadapi krisis kesihatan Selangor Kini

Pautan luar sunting