Radiotelefon ialah sejenis sistem telekomunikasi untuk pemancaran perbualan melalui radio. Sistem radiotelefon tidak perlu saling berhubung dengan rangkaian telefon "talian tetap" awam. Istilah "radiotelefon" biasanya memaksudkan penggunaan spektrum radio di mana adalah penting untuk membezakan jenis pemancaran dari radiotelegraf, isyarat video atau sebagainya. Di mana sistem radio dua hala diaturkan untuk perbualan atau pendengaran di stesen bergerak, dan di mana ia boleh saling berhubung dengan sistem telefon bersuis awam, sistem ini boleh memberikan khidmat telefon mudah alih.

Perbandingan saiz penghantar terima mudah alih radio amatur, telefon bimbit, dan kotak mancis.

Telefon bimbit sunting

Sistem telefon radio bimbit membolehkan unit bergerak mendapat nombor telefon mengikut yang membolehkan capaian dari rangkaian telefon umum, namun sesetengah sistem memerlukan pengendali membuat panggilan ke stesen bergerak. Sistem telefon radio bimbit sebelum kedatangan perkhidmatan selular mengalami kekurangan saluran yang boleh dipakai, kesesakan dan kos pengendalian yang amat tinggi.


Mod operasi sunting

Telefon biasa yang berasaskan talian tetap membolehkan kedua-dua pengguna bercakap dan mendengar secara serentak; sebenarnya terdapat dua saluran terbuka antara kedua-dua pengguna hujung ke hujung sistem itu. Dalam sistem radiotelefon, bentuk fungsi sebegini yang dikenali sebagai dupleks penuh, memerlukan sistem radio untuk memancar dan menerima secara serentak di dua saluran yang berasingan, sehingga membazir lebar jalur serta mendatangkan masalah teknikal. Walau apapun, inilah kaedah komunikasi suara yang paling menyelesakan pengguna, dan kini digunakan dalam telefon bimbit dan pernah digunakan dalam IMTS yang lama.

Kaedah fungsi radiotelefon yang paling umum ialah operasi simpleks yang membolehkan seorang bercakap dan seorang lagi mendengar secara berselang-seli. Jika saluran tunggal digunakan, kedua-dua hujung bergilir-gilir memancarkan isyarat padanya. Kedua-dua hujung perbualan boleh didengari oleh orang lain yang memasang telinga. Fungsi dwifrekuensi memecahkan komunikasi kepada dua saluran berasingan, tetapi hanya satu saluran digunakan sekali. Pengguna di hujung mendapat pengalaman yang sama seperti frekuensi simpleks tetapi pemasang telinga dengan satu penerima boleh mendengari sebelah perbualan sahaja.

Pengguna menekan suis khas pada pemancar apabila ingin berbual—ini dipanggil suis "tekan untuk cakap" atau PTT (press to talk). Biasanya, suis itu terpasang di sisi mikrofon atau mana-mana kedudukan yang lebih jelas dilihat pada peranti. Pengguna boleh menggunakan kata kod yang khas seperti "over" untuk menandakan pemancaran tamat.

Teknologi sunting

Radiotelefon boleh beroperasi di sebarang frekuensi yang diperuntukkan kepadanya mengikut lesen, biasanya dalam jalur 60 hingga 900 MHz. Ia boleh menggunakan skema-skema pemodulatan yang ringkas seperti AM atau FM, ataupun teknik-teknik yang lebih kompleks seperti pengekodan digital, spektrum rebak, dan sebagainya. Syarat-syarat pelesenan untuk jalur tertentu biasanya menetapkan jenis modulasi yang hendak digunakan. Misalnya, radiotelefon jalur udara yang digunakan untuk komunikasi udara ke bumi antara juruterbang dan pengawal beroperasi di jalur VHF dari 118.0 hingga 136.975 MHz, dengan menggunakan modulasi amplitud.

Penerima radiotelefon biasanya direka mengikut piawaian yang amat tinggi, dan biasanya dibuat dalam reka bentuk superhet penukaran berganda. Begitu juga, pemancar direka secara teliti untuk mengelakkan gangguan yang tidak diingini, dan berciri output kuasa dari puluhan miliwatt hingga lebih kurang 50 watt untuk unit bergerak, dan beberapa ratus watt untuk stesen pangkal. Saluran berbilang lazimnya disediakan dengan menggunakan pensintesis frekuensi.

Alat penerima biasanya dilengkapi litar squelch untuk memotong output audio daripada penerima apabila tiadanya pancaran untuk didengari. Ini berbeza dengan penerima siaran yang selalu tidak memerlukannya.


Lihat juga sunting

Rujukan sunting

Petikan
Bibliografi
  • Bruce, Robert V. Bell: Alexander Bell and the Conquest of Solitude. Ithaca, New York: Cornell University Press, 1990. ISBN 0-8014-9691-8.
  • Carson, Mary Kay (2007). "8". Alexander Graham Bell: Giving Voice To The World. Sterling Biographies. 387 Park Avenue South, New York, NY 10016: Sterling Publishing Co., Inc. m/s. 76–78. ISBN 978-1-4027-3230-0. OCLC 182527281.CS1 maint: location (link)