Raja Abdullah bin Raja Jaafar
Raja Abdullah bin Raja Jaafar (Jawi: راج عبدالله بن راج جعفر) adalah seorang pembesar Selangor pada zaman Sultan Muhammad Shah, pengusaha bijih timah, pemilik Sungai Klang dan pengasas Kuala Lumpur.
Orang Besar Daerah Klang Raja Abdullah bin Raja Jaafar | |
---|---|
![]() Salinan cap mohor Raja Abdullah yang tertera 1265 sanah Raja Abdullah bin Almarhum Raja Jaafar | |
Kelahiran | Raja Abdullah 1825[1] |
Meninggal dunia | 1869 (umur 44) Dalam pelayaran di Selat Melaka |
Tempat ditanam | Ketapang, Melaka |
Pekerjaan | Saudagar bijih timah |
Pasangan |
|
Anak-anak |
|
Ibu |
|
Bapa | Raja Jaafar bin Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau Raja Ali |
Saudara |
|
Keluarga | Upu Daeng lima bersaudara |
Latar belakang
suntingNama beliau ialah Raja Abdullah bin Raja Jaafar bin Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau ke-5 Raja Ali bin Yang di-Pertuan Muda Johor-Riau ke-3 Daeng Kemboja bin Daeng Parani bin Daeng Rilaga.[3] Beliau berasal daripada keluarga diraja Melayu-Bugis kerajaan Johor-Riau.
Di antara tahun 1834 hingga 1836, Lukut baharu sahaja tamat persengketaan antara orang Melayu dan orang Cina.[4][5] Pada ketika itulah Raja Abdullah telah mengikuti bapanya Raja Jaafar dan abangnya Raja Jumaat untuk datang ke Lukut dan memajukan lombong bijih timah di kawasan tersebut. Dianggarkan beliau tiba di Lukut sekitar tahun 1835.[6]
Pada tahun 1836, Sultan Muhammad Shah telah berangkat ke Lukut dan baginda telah membina hubungan yang baik dengan keluarga Raja Jaafar. Baginda mengisytiharkan Lukut sebagai sebahagian dalam daerah Selangor dan melantik Raja Jumaat, putera Raja Jaafar sebagai wakil pemerintahan baginda di Lukut. Dalam tahun 1839, Sultan Muhammad telah menikahkan puteri baginda yang bernama Tengku Senai dengan Raja Jumaat, manakala Raja Abdullah dinikahkan dengan anak saudara baginda bernama Raja Khalijah binti Raja haji ibni al-Marhum Sultan Ibrahim Shah.
Pemilik Sungai Klang
suntingPada tahun 1839, Sultan Muhammad Shah telah menyerahkan lembah Sungai Klang kepada putera sulung baginda iaitu Raja Sulaiman tetapi didapati Raja Sulaiman tidak bersungguh-sungguh berikhtiar untuk mendapatkan hasil yang banyak dari daerah Klang. Selepas Raja Sulaiman mangkat, Sultan Muhammad telah menyerahkan daerah lembah Sungai Klang itu kepada menantu saudara baginda iaitu Raja Abdullah, bukannya diserahkan kepada Raja Mahadi, putera Almarhum Raja Sulaiman. Raja Mahadi tidak berpuas hati dan berpendapat bahawa beliaulah sepatutnya mewarisi daerah Klang tetapi hak beliau telah diketepikan begitu sahaja.
Surat kuasa dari Sultan Muhammad Shah kepada Raja Abdullah yang bertarikh 1850 menyatakan:
Cap mohor:
Al-Mutawakkil bi al-Mulku al-Haqq al-Mubin al-Sultan Muhammad hua ijdar al-Muwarithin ibni al-marhum al-Sultan Ibrahim sanah 1231
Bahawa inilah kita Sultan Muhammad ibni al-marhum Sultan Ibrahim negeri Selangor dengan sekalian daerah takluknya. Bahawa inilah kita menyatakan maka hendaklah diketahui oleh sekalian mereka yang dibawah perintah kita atau lain-lain negeri, kita nyatakan ada satu sungai namanya Kelang, jajahan Selangor juga, maka sekarang itu sungai kita berikan kepada anak kita Raja Abdullah ibni Raja Jaafar, Riau, serta dengan daerah takluknya. Adalah pemberian kita itu boleh berkekalan sampai kepada anak cucunya, boleh kuasa dan mempusakai itu sungai serta sekalian takluknya. Dan boleh dia buat apa-apa sukanya atau dijualkan itu sungai atau dirosakkan. Maka tiada boleh kita perduli sekali-kali dan tiada boleh saudara kita atau anak kita atau orang besar-besar kita mendakwa di belakang harinya kepada anak kita Raja Abdullah ini. Dengan putih hati kita memberikan itu sungai dengan sekalian daerah takluknya kepada anak kita Raja Abdullah. Sah dengan nyatanya adalah cap kita tanda kita di atas satar ini adanya. Sanat 1266.
Kemudian setelah Sultan Muhammad Syah mangkat pada tahun 1857 dan digantikan pula dengan Sultan Abdul Samad, baginda mengukuhkan lagi hak pemilikan lembah Sungai Klang ke atas Raja Abdullah dengan memberikan surat kuasa kepada beliau pada tarikh 18 September 1864.
Surat kuasa tersebut menyatakan:
Cap mohor:
Al-Mutawakkil bi al-Mulku al-Haqqu al-Mubin al-Sultan Abdul Samad hua ijdar al-Muwarithin ibni al-marhum Tengku Abdullah al-Marhum al-Sultan Ibrahim sanat 1275.
Di dalam Langat kepada tarikh sanah 1281 dan kepada enam belas haribulan Rabi'ul akhir hari khamis jam pukul satu siang. Bahawa dengan sesungguhnya kita Yang di-Pertuan Sultan Abdul Samad ibni akhi al-marhum Sultan Muhammad, Selangor, telah menyatakan dengan sebenar-benarnya, maka hendaklah diketahui sekalian mereka daripada fasal Sungai Kelang itu serta dengan sekalian daerahnya, maka sekarang sudahlah jadi pemberian kita kepada saudara kita Raja Abdullah ibni Raja Jaafar, Riau, dari sebab dengan usahanya ia membuka itu sungai, maka boleh jadi negeri. Syahdan lagi pada zaman bapak kita Sultan Muhammad dahulu pun sudah memberikan juga kepada saudara kita Raja Abdullah itu sungai. Maka sekarang kita ganti kerajaan bapak kita di dalam negeri Selangor demikian itu juganya pemberian kitalah itu sungai kepada saudara kita Raja Abdullah hingga sampai kepada anak cucunya mempusakai tempat itu dengan suci ikhlas hati kita memberikan itu sungai. Maka tiada boleh dakwa dakwi di belakang harinya. Jika dibinasakannya sekalipun atau dijualnya maka tiada boleh sekali-kali kita perduli atau waris-waris kita mendakwinya. Adalah cap kita di atas ini adanya.
Pengasas Kuala Lumpur
suntingPada tahun 1857, setelah Raja Abdullah diangkat oleh Sultan Muhammad Shah sebagai Orang Besar Daerah Klang, Raja Abdullah pun bermesyuarat dengan abangnya Raja Jumaat, dan mereka bersetuju untuk menjalankan perusahaan membuka lombong bijih timah. Raja Abdullah dengan membawa buruh Cina seramai 87 orang dari Lukut telah memudiki Sungai Klang mencari tempat yang baik bagi membuka lombong. Raja Abdullah dan buruh Cina yang dibawanya itu telah sampai ke bahagian hulu Sungai Klang dan mendarat di suatu tempat yang dipilih oleh Raja Abdullah, iaitu di tebing persimpangan Sungai Klang dan Sungai Gombak, dan tempat itu disebut Lumpur. Dari situ Raja Abdullah dengan orang-orangnya berjalan terus ke darat dan sampai ke tempat yang kemudiannya disebut Ampang dan tempat itulah yang telah dipilih oleh Raja Abdullah dan beliau telah mengerahkan orang-orangnya menebas hutan di situ untuk membuka lombong bijih timah. Perlu diberi perhatian bahawa Raja Abdullah adalah individu yang bertanggung jawab memilih tempat di tebing persimpangan Sungai Klang dengan Sungai Gombak itu untuk mendarat dan membuka lombong bijih timah di Ampang; apabila lombong di Ampang telah dibuka kawasan di tempat yang dipilih, Raja Abdullah telah mendirikan kedai-kedai atap tempat menjual barang keperluan bagi pekerja lombong di Ampang, dan tempat itu juga dijadikan pangkalan turun naik ke Klang melalui Sungai Klang, sehinggakan kawasan itu mempunyai penduduk yang ramai dan kemudiannya terkenal dengan nama Kuala Lumpur. Oleh sebab itu, Raja Abdullah adalah seorang yang selayaknya diangkat sebagai pengasas Kuala Lumpur.[7]
Berkenaan Raja Abdullah adalah pengasas Kuala Lumpur ini diakui oleh orang yang pernah hidup sezaman dengan beliau iaitu Wan Muhammad Amin bin Wan Muhammad Sa'id, Dato' Amar Diraja Penghulu Istiadat Selangor. Dato' Wan Muhammad Amin menyatakan di dalam buku karangannya Kenang-kenangan Selangor:[8]
Maka adapun Raja Abdullah ini telah memperoleh kuasa memerintah di dalam Kelang dan juga berkuasa memasukkan orang-orang Cina untuk membuka pekerjaan lombong timah di Ulu Kelang dan menjadikan bandar Kuala Lumpur, tetapi Raja Abdullah duduk di dalam Kelang di Pengkalan Batu juga adanya.
Konflik dan krisis
suntingPada tahun 1866, Raja Abdullah melantik dua orang saudagar Singapura bernama W.H. Reed dan Baba Tan Kim Cheng menjadi pemungut cukai rasmi di daerah Klang, dan di seluruh kawasan yang di bawah kekuasaan Raja Abdullah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Kanching dan Ampang. Menurut adat, anak-anak raja dibebaskan dari membayar cukai. Adat kebiasaan telah dihapuskan kerana ketamakan kedua-dua pemungut cukai tersebut.
Pada waktu peraturan cukai yang baru dilaksanakan, Raja Mahadi berada di Melaka kerana berniaga; walaupun Raja Mahadi tersinggung kerana tidak dilantik sebagai Orang Besar daerah Klang, namun beliau akur dengan keputusan Sultan. Daripada seorang kerabat diraja yang hidup mewah, beliau terpaksa mencari nafkah dengan berniaga membawa barang-barang dagangan dari Negeri-negeri Selat untuk dijual di Klang dan di sekitar kawasan pelombongan Kuala Lumpur.
Apabila Raja Mahadi kembali ke Selangor kira-kira sebulan setelah peraturan itu berjalan, Raja Mahadi membawa dua peti candu untuk dijualkan kepada pelombong-pelombong Cina di Kuala Lumpur. Beliau telah diminta untuk membayar cukai sebanyak $100. Beliau enggan membayar cukai tersebut hingga menyebabkan dagangannya dirampas. Raja Mahadi merasa bahawa orang yang telah menduduki jawatannya secara tidak sah menurut adat, telah bertindak melampaui batas.
Pada suatu hari dalam tahun 1866 juga, telah berlaku perkelahian di antara orang Sumatera terutama orang Batu Bara dengan orang Bugis dalam kubu Dato' Bandar Yasih di Kuala Lumpur. Dato' Bandar Yasih adalah pengikut Raja Abdullah yang dibawanya dari Riau. Ketua orang Bugis dalam perkelahian ini dikenali sebagai Suliwatang dan seorang lagi Wak Si Galah. Ketua orang Batu Bara itu pula bernama Muhammad Akib, dibantu oleh adiknya bernama Nonggok (beliaulah yang kemudiannya dijadikan Dato' Dagang, dan setelah menunaikan haji memakai nama Haji Muhammad Tahir). Dalam perkelahian itu orang Batu Bara dan orang Bugis telah saling berbunuhan. Orang Bugis lebih ramai daripada orang Batu Bara. Seorang orang Batu Bara bernama Panchik Rasul telah mati dibunuh orang Bugis. Orang Bugis juga ramai yang luka parah ditikam oleh Nonggok.
Muhammad Akib dan adiknya Nonggok telah mengadu kepada Raja Abdullah dan menuntut supaya orang Bugis dihukum kerana telah melakukan pembunuhan tetapi tuntutan itu tidak dipedulikan oleh Raja Abdullah. Lalu Muhammad Akib telah pergi berjumpa Raja Mahadi mengadukan kejadian yang telah berlaku itu, mereka menyatakan kesanggupan kepada Raja Mahadi untuk membantu berperang melawan Raja Abdullah. Maka terbukalah hati Raja Mahadi untuk menyambut seruan perang tersebut.
Raja Mahadi dengan mudah telah mendapat sokongan dari anak-anak raja yang selama ini tidak berasa senang dengan pemungutan cukai yang dikenakan ke atas mereka. Tidak lama kemudian dengan sokongan orang-orang Sumatera di pendalaman Sungai Klang yang telah mengangkat senjata, Raja Mahadi mengepung kubu Orang Besar Klang (Gedung Raja Abdullah) dan mengusir Raja Abdullah. Raja Abdullah dan pengikut-pengikutnya sangat dibenci orang ketika itu, dan pemberontakan Raja Mahadi itu merupakan pemberontakan yang popular sehingga dalam masa singkat sahaja Raja Abdullah telah dapat dikalahkan. Dengan sendirinya Raja Mahadi menjadi Orang Besar Klang serta menguasai seluruh kawasan penguasaan Raja Abdullah.
Pada tahun 1867, Sultan Abdul Samad terpaksa mengakui Raja Mahadi sebagai Orang Besar Klang dengan syarat setiap bulan Raja Mahadi hendaklah membayar $500 dari cukai yang dipungut dari daerahnya kepada baginda. Tetapi Raja Mahadi kerana terlalu mabuk dengan kemenangannya, dan dalam masa yang singkat menjadi orang yang paling berpengaruh di Selangor telah tidak mengendahkan syarat baginda. Anak-anak Raja Abdullah pula tidak henti-henti mendesak baginda supaya menyingkirkan Raja Mahadi. Oleh Kerana kedudukan baginda terlalu lemah kerana baginda tiada askar dan hanya dirajakan menurut adat sahaja sedangkan kuasa pemerintahan ada ditangan para pembesar, maka baginda tidak berdaya untuk memaksa Raja Mahadi supaya membayar cukai yang telah ditetapkan, dan tidak dapat berbuat apa-apa dengan desakan anak-anak Raja Abdullah.[9][10]
Meninggal dunia
suntingPada awal tahun 1869, Raja Abdullah yang terhalau dari Klang telah dua tahun menetap di Melaka. Ketika beliau dalam pelayaran ke Singapura beliau telah jatuh sakit dan telah dibawa berlayar kembali ke Melaka dan akhirnya meninggal dunia di Ketapang, Melaka.[11]
Legasi
sunting- Gedung Raja Abdullah[12]
- Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur
- Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah
Rujukan
sunting- ^ https://www.geni.com/people/Raja-Abdullah-Raja-Jaafar/6000000002511265425
- ^ Raja Ali Haji (1998). Tuhfat al-Nafis (dikaji dan diperkenalkan oleh Virginia Matheson Hooker). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 42 & 482
- ^ Rosiswandy bin Mohd Salleh (2019). Sejarah Lukut: Kegemilangan Sebuah Pemerintahan Melayu Abad Ke-19. Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia. m/s 38
- ^ A. Talib bin Hj. Ahmad (1986). Perang Saudara di Selangor 1868 - 1873. Kuala Lumpur: Pustaka Antara. m/s 4
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Seri Kembangan, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 52
- ^ Ahmad Farhan bin Abdullah @ Zakaria (2018). Malaysia Dari Segi Sejarah (Dato' Ungku Pinang Tunggal, Dato' Penggawa dan Raja Abdullah: Tokoh Pengasas Lembangan Hulu Sungai Klang - Kuala Lumpur). Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. m/s 33
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Seri Kembangan, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 56
- ^ Wan Muhammad Amin (2020). Kenang-kenangan Selangor (Dikaji dan diperkenalkan oleh Mardiana Nordin). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. m/s 5
- ^ A. Talib bin Hj. Ahmad (1986). Perang Saudara di Selangor 1868 - 1873. Kuala Lumpur: Pustaka Antara. m/s 7-19
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Seri Kembangan, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 65-66
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Seri Kembangan, Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 75
- ^ https://www.heritage.gov.my/en/gedung-raja-abdullah-kelang-selangor.html