Ramakrishna Math merupakan sebuah persaudaraan rahib yang ditubuhkan oleh Swami Vivekananda berdasarkan ajaran Sri Ramakrishna. Pertubuhan ini dianggap sebagai sebahagian daripada pergerakan reformasi Hindu yang bermula di India. Ibu pejabat Ramakrishna Math dan pertubuhan kembarnya, Ramakrishna Mission terletak di Belur Math (di Bengal Barat, India).

Pintu gerbang Belur Math

Ramakrishna Mission merupakan sayap sosial Ramakrishna Math yang terlibat dengan pelbagai aktiviti kemanusiaan dan penyebaran ajaran Ramakrishna-Vivekananda.

Kedua-dua Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission juga dikenali sebagai Ramakrishna Order atau Ramakrishna Sangha.

Setakat 2015, pertubuhan kembar ini mempunyai 179 cawangan dalam dan luar India. Di India, terdapat 46 cawangan Ramakrishna Math, 65 cawangan Ramakrishna Mission, 23 cawangan gabungan Math dan Mission. Di luar India pula, 23 cawangan Ramakrishna Math, 12 cawangan Ramakrishna Mission, dan 10 cawangan gabungan.

Kelahiran sunting

 
Belur Math, ibu pejabat Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission

Pengenalan sunting

Sejak zaman Upanishad, masyarakat Hindu telah memberikan perlindungan dan sokongan kepada golongan rahib (Saṁnyāsin) daripada suka duka dunia. Tanpa merisaukan tentang makan minum, golongan rahib dapat menjalani disiplin rohani dan mencapai kesempurnaan. Masyarakat Hindu yang prihatin tentang matlamat akhir hidup, dengan penuh dedikasi membantu sesiapa sahaja yang ingin melepaskan dunia dan menjalani kehidupan rahib demi Tuhan.

Namun, keadaan ini menerima tamparan hebat apabila masyarakat Hindu terdedah kepada pencerobohan Muslim pada 1000 Masihi diikuti dengan penjajahan Inggeris sejak tahun 1745. Akibat penindasan dan penghambaan berterusan, masyarakat Hindu seolah-olah telah hilang segala kekuatan dan kemuliaanya. Golongan berada dan berpendidikan hilang kepercayaan kepada agama Hindu dan mula mengagungkan tamadun Barat. Mereka mempersalahkan agama Hindu untuk semua kelemahan penganutnya. Rakyat biasa pula memeluk agama asing secara beramai-ramai demi melepaskan diri daripada kebuluran dan penindasan. Keadaan ini, menjejaskan hampir semua institusi agama dan masyarakat Hindu.

Bagi membangunkan semula masyarakat Hindu, beberapa pergerakan pembaharuan tumbuh di benua India. Brahma Samaj dan Arya Samaj merupakan antara pergerakan pembaharuan yang membawa kebangkitan semula dalam agama dan masyarakat Hindu. Namun, pergerakan-pergerakan ini tidak dapat memahami keperluan sebenar agama Hindu. Dalam usaha tergesa-gesa untuk memulihkan masyarakat Hindu, mereka gagal memberikan perhatian kepada evolusi penuh agama Hindu sejak beribu-ribu tahun. Mereka juga gagal memahami bahawa Sanadana Dharma dilindungi oleh Pembuat-Nya sendiri yang berjanji bahawa "Bila-bila Dharma merosot dan Adharma meningkat, maka, wahai Bharata, Aku lahir dengan badan fizikal. Demi melindungi yang baik, demi menghapuskan yang jahat, dan demi menegakkan semula Dharma, Aku lahir dari zaman ke zaman."

Demikian, wujud keperluan untuk membangkitkan semula masyarakat Hindu. Pembaharuan masyarakat Hindu perlu dilakukan dengan menggunakan kaedah-kaedah purba yang kukuh dan terbukti berhasil seperti Jñana (Ilmu rohani) dan Tapas (disiplin rohani).

Arkitek Baru sunting

Inilah tujuan kelahiran Sri Ramakrishna (1836-1886) yang lebih dikenali sebagai Sri Ramakrishna Paramahamsa. Beliau telah diterima sebagai seorang jelmaan Tuhan (Avatara), bukan sahaja oleh masyarakat Hindu orthodoks, tetapi juga oleh pelbagai bangsa di luar benua India. Dalam hidup pendeknya, Sri Ramakrishna mengamalkan disiplin rohani daripada pelbagai aspek agama Hindu dan mencapai kesimpulan bahawa semuanya membawa kepada pengalaman mistik yang sama iaitu kesedaran Brahman. Atman seperti terkandung dalam Upanishad dan sastera agama. Sri Ramakrishna juga melakukan eksperimen dengan agama-agama lain dan mencapai kesimpulan yang sama. Akhirnya, Sri Ramakrishna meringkaskan pengalamannya dengan kenyataan: "Aneka agama, aneka jalan!"

Dengan bersenjatakan Jñana dan Tapas, Sri Ramakrishna menyedari bahawa kerja pembaharuan Sanatana Dharma dan membangkitkan semula Bhārata, tanahair ilmu rohani, merupakan suatu kerja berpanjangan, Kerja ini tidak dapat dilakukan dalam jangka hayat manusia biasa. Ia memerlukan pengorbanan dan kerjasama satu kumpulan pengikut setia.

Pada 11 Disember 1885, Sri Ramakrishna berpindah ke sebuah rumah taman di No.90 Jalan Kasipur, Kolkata untuk rawatan perubatan. Sekumpulan pemuda-pemuda mengambil tugas menjaganya secara giliran. Selama itu, pemuda-pemuda ini hanya setakat berkenalan antara satu sama lain. Namun, apabila mereka bersatu untuk menjaga guru mereka, satu ikatan kasih yang kukuh wujud. Sri Ramakrishna meramalkan di sini bahawa suatu kumpulan pengikut muda, di bawah pimpinan Narendra akan melepaskan dunia, dan menjadi rahib demi menyedari Tuhan dan berkhidmat kepada dunia. Beliau juga melantik Narendra sebagai pemimpin mereka dan menuliskan arahannya: 'Kejayaan untuk Radha, Penjelmaan Cinta! Narendra akan mengajar apabila dia di luar dan di dalam India'. Apabila Narendra membantahnya, Sri Ramakrishna berkata, 'Tulang-tulangmu sendiri akan memaksamu untuk melakukannya.'[1]

Pada bulan Januari 1886, Sri Ramakrishna mengagihkan kalungan rudraksha dan kain rahib kepada sebelas orang pengikutnya. Kemudian, atas arahannya, dalam gaya rahib tradisional, pengikut-pengikut ini keluar untuk meminta Bhiksha (sedekah rahib) di kejiranan Kasipur. Apabila mereka pulang dengan kutipan Bhiksha dan memasaknya, Sri Ramakrishna sendiri memakan sedikit makanan itu. Kejadian ini menandakan bahawa Sri Ramakrishna sendiri telah merancang dan menjadikan mereka rahib.

Dalam sepucuk surat bertarikh 13 Julai 1897, Swami Vivekananda mengingatkan Swami Brahmananda: 'Semua hubungan kita berpusat di taman itu. Sebenarnya, itulah biara pertama kita.'

Di Kasipur juga, Sri Ramakrishna mengarahkan isterinya, Sri Sarada Devi untuk meneruskan dengan tugas bimbingan rohani yang telah dimulakannya. Demikian, pengikut-pengikut Sri Ramakrishna memahami bahawa Sri Sarada Devi ialah sebenarnya Sakti guru mereka. Sri Sarada Devi menerima tugas itu dan menjadi Ibu kepada pertubuhan Ramakrishna.

Pada 16 Ogos 1886, Sri Ramakrishna mengalami Mahasamadhi di Kasipur.

Biara Baranagore (1886-1895) sunting

Selepas kematian Sri Ramakrishna, Swami Vivekananda dan beberapa orang pengikut muda Sri Ramakrishna mengambil ikrar Sannyasa dan menjadi rahib. Di bawah pimpinan Vivekananda, mereka mendirikan sebuah biara di sebuah rumah usang di Baranagore pada tahun 1886.

Rahib-rahib yang menjadi pengasas persaudaraan ini ialah enam belas orang pengikut Sri Ramakrishna. Selepas mengambil ikrar Sannyasa secara rasmi, mereka mendapat nama baru seperti berikut:

 
Rahib-rahib muda di Baranagore pada 1887
Baburam - Swami Premananda (A.D.1861-1918) Nityaniranjan - Swami Niranjanananda (d. A.D.1904)
Gangadhar - Swami Akhandananda (A.D.1864-1937) Rakhal - Swami Brahmananda (A.D.1863-1922)
Gopal - Swami Advaitananda (A.D.1828-1909) Saradaprasanna - Swami Trigunatitananda (A.D.1865-1914)
Harinath - Swami Turiyananda (A.D.1863-1922) Saratchandra - Swami Saradananda (A.D.1865-1927)
Hariprasanna - Swami Vijnanananda (A.D.1868-1938) Sasibhusan - Swami Ramakrishnananda (A.D.1863-1911)
Kaliprasad - Swami Abhedananda (A.D.1866-1939 Subodhacandra - Swami Subhodananda (A.D.1867-1932)
Latu - Swami Adbhutananda (d. A.D.1920) Taraknath - Swami Sivananda (A.D.1854-1934)
Narendranath - Swami Vivekananda (A.D.1863-1902) Yogindra - Swami Yogananda (A.D.1861-1899)

Meskipun Ramakrishna Math adalah sebuah organisasi yang moden dan bebas, ia berasal daripada tradisi Puri, suatu cawangan Daśanāmī-Sampradāya yang ditubuhkan oleh Sri Sankaracharya. Sri Ramakrishna mengambil ikrar Sannyasa daripada Tota Puri pada tahun 1864. Tota Puri merupakan seorang rahib dari sebuah biara di Ludhiana berhampiran Kurukshetra.[2]

Biara Alambazar (1895-1899) sunting

Pada 12 Jun 1897, kebanyakan bahagian biara Alambazar musnah akibat gempa bumi. Oleh itu, semua penghuni biara berpindah ke rumah taman Nilambar Mukherjee di kampung Belur. Tempat itu juga terletak berdekatan dengan plot yang baru dibeli untuk mendirikan biara tetap mereka.

Rumah Taman Nilambar Mukherjee sunting

Di sini, Swami Vivekananda mula-mula mengarang dan menggubah muzik lagu Khandana Bhavabandhana pada 6 Mac 1898, ulang tahun kelahiran Sri Ramakrishna. Pada hari itu, Vivekananda sendiri dengan memainkan alatan muzik, menyanyikan lagu itu. Swami Turiyananda memainkan gendang dan beberapa orang lain memainkan alatan muzik lain.[3]

Pada hari yang lain, Vivekananda mengarang ayat suci Om Hrīm Ritam dan meminta pengikutnya untuk menyemaknya, Namun, salinan itu telah hilang dan hanya ditemui pada tahun 1904. Sejak itu, ayat suci ini juga dinyanyikan semasa sembahyang senja di semua kuil-kuil Sri Ramakrishna.

Pada 6 Februari 1898, sebuah imej Sri Ramakrishna telah ditabalkan di rumah seorang pengikut Sri Ramakrishna yang bernama Navagopal Ghosh, di Ramakrishnapur, Howrah. Selepas upacara pemujaan, sambil duduk di atas tikar sembahyang, Vivekananda mengarang secara lisan sebuah mantera mengenai Sri Ramakrishna:

'Om sthāpakāya ca dharmasya...'

'Aku tunduk pada Sri Ramakrishna, yang menegakkan semula agama,

Kebenaran semua agama terkandung di dalamnya,

Dan maka, menjadi Avatara yang terbaik.'

Biara Belur sunting

Ramakrishna Sangha berpindah ke kampusnya sendiri pada tahun 1899. Sebaik sahaja, Swami Vivekananda kembali ke India selepas kejayaannya dalam Persidangan Agama-Agama Dunia di Chicago, beliau memulakan kerja-kerja mendapatkan sebuah plot yang sesuai untuk mendirikan sebuah kuil Sri Ramakrishna dan biara untuk golongan rahib. Selepas membeli sebidang tanah di sisir sungai Ganga, Swami Vivekananda memanggil Swami Vijnanananda, seorang arkitek untuk merancang pembinaan sebuah kuil. Vivekananda mahu kuil Sri Ramakrishan menggabungkan semua ciri-ciri terbaik daripada kebudayaan Timur dan Barat selain menjadi simbol keharmonian agama. Swami Vijnanananda dengan bantuan En.Gyther, Arkitek Kerajaan melakarkan hampir tiga pelan pembinaan. Akhirnya, Swami Vivekananda meluluskan salah satu pelan itu. Namun, pembinaan kuil Biara Belur hanya sempurna pada tahun 1938 selepas Mahasamadhi Vivekananda.

Pada 14 Januari 1938, Swami Vijnanananda, Presiden keempat Ramakrishna Sangha, mengambil Ātmārāmer Koutā (bekas yang mengandungi abu suci Sri Ramakrishna) dari kuil lama dan menabalkannya di kuil baru. Sejak itu, pemujaan Sri Ramakrishna dilakukan di kuil baru.

Selain menjadi ibu pejabat Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission, biara yang dikenali sebagai Biara Belur (Belur Math) juga menjadi pusat bagi semua rahib-rahib Ramakrishna Order yang tinggal di serata India dan di luar India. Ahli-ahlinya terdiri daripada golongan rahib lelaki (Sannyasin) dan Brahmacharin.

Mengenai Biara Belur, Swami Vivekananda berkata: "Di Biara ini akan ada sebuah tempat tinggal untuk para Sadhu. Impian saya ialah untuk menukar Biara ini kepada sebuah pusat utama kerohanian dan ilmu kebudayaan. Kesaktian yang akan timbul dari tempat ini akan melanda seluruh dunia, dan menukar arah aliran kehidupan manusia ke tempat lain. Ideal-ideal yang membawa kepada keharmonian Ilmu, Iman, Yoga dan Kerja akan berputik dari sini. Hanya dengan anggukan kepala lelaki-lelaki dari Biara ini, dorongan hidup akan sampai ke pelosok terpencil dunia ini. Semua orang yang benar-benar mencari kerohanian akan berkumpul di sini kelak. Seribu idea begini timbul dalam fikiran saya." [4]

sunting

Motto pertubuhan ini ialah आत्मनो मोक्षार्थम् जगद्धिताय च (Atmano Mokshartham Jagad Hitaya Ca) yang bermaksud kesedaran Diri dan khidmat kepada dunia sejagat. Motto ini memberikan satu dimensi baru kepada kehidupan rahib tradisional. Seorang rahib, selepas mengambil ikrar rahib, memutuskan hubungan dengan keluarga dan masyarakat. Mereka hidup dengan bebas tanpa sebarang tugas untuk dunia. Namun, Vivekananda tidak membenarkan ini. Beliau mahu golongan rahib berkhidmat kepada masyarakat tanpa sebarang harapan. Oleh itu, seorang rahib Ramakrishna Sangha, harus berkhidmat untuk kebaikan dunia selain mencari kebebasan (Mukti) atau kesedaran Atman.

Selain motto ini, Swami Vivekananda juga mencipta logo Ramakrishna Sangha yang mengandungi maksud motto ini. Seekor swan sedang duduk di atas air bergelora. Matahari sedang terbit dibelakangnya. Sekuntum bunga teratai telah mekar. Seluruh gambar ini dililit oleh seekor ular. Maksud logo yang grafik ini ialah dengan gabungan seimbang atau harmoni empat yoga - iaitu bhakti yoga, jnana yoga, karma yoga dan raja yoga, seseorang boleh melakukan disiplin rohani untuk mencapai matlamat hidup. Swami Vivekananda sendiri menerangkan maksudnya begini:

Air yang bergelora dalam gambar ini menjadi simbol Karma, teratai ialah Bhakti; matahari ialah Jnana. Ular yang melilitnya menunjukkan Yoga dan Kundalini Shakti yang berbangkit. Swan pula bermaksud Paramatman (Tuhan). Oleh itu, idea gambar ini ialah dengan penyatuan Karma, Jnana, Bhakti dan Yoga, Paramatman boleh dilihat.

Ideal sunting

Matlamat utama biara ini ialah untuk melatih golongan rahib berdasarkan kepada ajaran Sri Ramakrishna. Pemuda-pemuda yang ingin menyertai kehidupan rahib, perlu mengambil ikrar Brahmacharya dan menjalani latihan di bawah rahib-rahib kanan selama hampir sepuluh tahun. Seorang Brahmacharin yang berjaya menamatkan latihan ini akan diberikan ikrar Samnyasa sekiranya mematuhi semua kelayakan.

Antara aktiviti-aktiviti harian seorang rahib dalam Ramakrishna Math ialah seperti meditasi, Japa, pembelajaran kitab suci, disiplin rohani dan mematuhi dua ikrar Samnyasa iaitu kesucian dan kemiskinan. Selain itu, pelbagai aktiviti kebajikan dan perkhidmatan sosial juga menjadi sebahagian daripada disiplin keagamaan seorang rahib.

Berbeza daripada sami-sami Hindu lain, Persaudaraan Rahib Ramakrishna mempunyai beberapa ciri-ciri unik seperti berikut:

Tidak Bersifat Sektarian sunting

Meskipun prinsip dan ideal kehidupan rahib tradisional seperti kesucian dan kemiskinan dipatuhi, persaudaraan ini mengamalkan fahaman yang luas. Seluruh sistem dan perkembangan agama dan rohani masyarakat Hindu diterima tanpa had. Malah, penganut-penganut daripada budaya asing dan agama lain juga diterima sebagai ahli. Sebenarnya, perkataan 'asing' sendiri adalah sesuatu yang asing dalam tradisi Ramakrishna-Vivekananda!

Disiplin rohani, pembelajaran dan pengajaran sunting

Sankara menekankan bahawa pengikut-pengikutnya yang menjadi ketua biara mesti mengamalkan disiplin rohani (Tapas), pembelajaran untuk memperkembangan ilmu (Jnana) dalam kehidupan mereka dan melakukan lawatan (Pravasa) demi menyebarkan Dharma. Vivekananda juga telah menetapkan bahawa semua rahib-rahib Ramakrishna mesti mematuhi tradisi ini. Sejak penubuhannya, persaudaraan Ramakrishna telah cuba untuk mengekalkan tradisi mulia ini.

Kehidupan komuniti dan etika kerja sunting

Rahib-rahib Hindu, kebiasaannya hidup bersendirian. Namun, rahib-rahib Ramakrishna hidup bersama-sama dalam biara mereka sebagai satu Sangha (pertubuhan). Ini mempunyai beberapa kelebihan seperti inspirasi yang diterima daripada pengaruh kerohanian sesama mereka; Kehidupan komuniti juga menjadi satu disiplin rohani yang dapat membantu perkembangan dan pembentukan keperibadian.

 
(Dari kiri) Swami Trigunatitananda, Swami Shivananda, Swami Turiyananda, dan Swami Brahmananda (Di bawah) Swami Sadananda

Pentadbiran sunting

Pada tahun 1901, Ramakrishna Math telah didaftarkan sebagai sebuah Amanah dan Ramakrishna Mission pula pada tahun 1909. Pentadbiran biara ini terletak di bawah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada rahib-rahib kanan. Berpusat di Belur Math, pertubuhan ini mempunyai cawangan-cawangannya di serata India. Ia mempunyai peraturan pertubuhan yang telah digubal oleh Swami Vivekananda sendiri.

Lembaga Pemegang Amanah, selepas berunding dengan rahib-rahib kanan, melantik dalam kalangan mereka seorang Presiden, seorang hingga tiga orang Timbalan Presiden, seorang Setiausaha Am dan empat orang Penolong Setiausaha.

Presiden juga dikenali sebagai 'Sanghaguru' ialah ketua tertinggi seluruh pertubuhan ini. Hanya seorang Presiden sahaja layak untuk memberikan ikrar rahib atau Samnyasa kepada sesiapa yang ingin menjadi seorang rahib di Ramakrishna Sangha. Selain Presiden, semua Timbalan Presiden juga diberikuasa untuk memberikan Mantradiksha (mantera untuk menjalani kehidupan rohani).

Ramakrishna Mission pula ditadbir oleh Badan Pentadbiran yang terdiri daripada Pemegang Amanah Ramakrishna Math. Ibu pejabat Ramakrishna Math (lebih dikenali sebagai Belur Math) juga menjadi ibu pejabat Ramakrishna Mission.

Semua urusan persuratan berhubung pentadbiran Math dan Mission adalah dialamatkan kepada Setiausaha Am yang berfungsi sebagai ketua eksekutif.

Ketua cawangan Ramakrishna Math dikenali sebagai Adhyaksha yang dilantik oleh Pemegang Amanah. Cawangan Ramakrishna Mission pula ditadbir oleh Jawatankuasa Pentadbiran yang dilantik oleh Badan Pentadbiran Ramakrishna Mission. Setiausaha Jawatankuasa ini menjadi ketua cawangan itu.

Pada tahun 1898, Swami Vivekananda melantik Swami Saradananda sebagai Setiausaha Ramakrishna Mission. Selepas mendaftarkan Surat Amanah Biara Belur pada 6 Februari 1901, Vivekananda meletak jawatan sebagai Presiden. Pada 12 Februari 1901, Swami Brahmananda dilantik sebagai Presiden dan beliau menjawat jawatan itu sehingga 1922. Selepas Mahasamadhi Brahmananda, Swami Saradananda menjadi Presiden sehingga 1934. Daripada 1934 hingga 1937, Swami Akhandananda menjadi Presiden. Swami Vijnanananda menjadi Presiden daripada 1937 hingga 1938. Swami Vijnanananda merupakan pengikut terakhir Sri Ramakrishna yang memegang pimpinan pertubuhan ini. Selepas Mahasamadhi Swami Vijnanananda, pimpinan pertubuhan ini beralih kepada generasi kedua rahib-rahib yang bukan pengikut terus Sri Ramakrishna. Kebanyakan mereka ialah pengikut-pengikut Sri Sarada Devi dan Swami Vivekananda.

Bacaan Lanjut sunting

    • Harshananda, Swami, "A Concise Encyclopedia of Hinduism", Ramakrishna Math, Bangalore (2008). Vol.3, ISBN 978-81-7907-057-4
    • Gahanananda, Swami, "Ramakrishna Mission for All", Sri Ramakrishna Math, Chennai, ISBN 81-7120-375-2
    • Prabhananda, Swami, "The Ramakrishna Movement," The Ramakrishna Mission Institute of Culture, Calcutta, (1991), ISBN 81-87332-38-7
    • Budhananda, Swami, "The Ramakrishna Movement , Its Meaning for Mankind," Advaita Ashrama, Kolkata (1980), ISBN 81-85301-56-5
    • Prabhananda, Swami, "The Early History of the Ramakrishna Movement," Sri Ramakrishna Math, Chennai (2005), ISBN 81-7823-226-X
    • Shraddhananda, Swami, "The Story of An Epoch," Sri Ramakrishna Math, Chennai, (1980), ISBN 81-7120-517-8
    • "Monasticism: Ideals and Traditions," Sri Ramakrishna Math, Chennai (1991) ISBN 81-7120-359-0
    • Report of Governing Body for 2013-2014

Pautan Luar sunting

Laman web rasmi Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission [1]

Biografi Swami Vivekananda http://hikayatvivekananda.blogspot.com

Biografi Ringkas Sri Ramakrishna http://brkmaasaranam.blogspot.com/

Vedanta Centre of Greater Washington, DC

Lihat juga sunting

Nota Kaki sunting

  1. ^ Swami Prabhananda, The Early History of the Ramakrishna Movement, ms.13
  2. ^ Swami Chetananda, Sri Ramakrishna and His Divine Play Terjemahan (2003) ms.534
  3. ^ Swami Prabhananda, The Early History of the Ramakrishna Movement, ms.432
  4. ^ Talks with Swami Vivekananda, ms. 197