Rangkaian televisyen

Rangkaian televisyen ialah sejenis rangkaian pengedaran kandungan televisyen di mana pengendali pusat menyalurkan rancangan kepada sebilangan banyak stesen televisyen. Sehingga pertengahan 1980-an, rancangan televisyen di kebanyakan negara di dunia didominasi oleh sebilangan kecil rangkaian penyiaran. Sebilangan besar rangkaian televisyen terawal (cth. BBC, NBC atau CBS) berakar umbi dari rangkaian radio awal.

Di sesetengah negara di mana kebanyakan rangkaian menyiarkan kandungan yang seiras dari pusat ke semua stesen, justeru kebanyakan pemancar individu berfungsi sebagai "stesen pengulang" besar sahaja, maka orang ramai cenderung menyamakan maksud istilah rangkaian, saluran dan stesen dalam perbualan seharianl; cuma para penggiat industri berkenaan TV yang membezakan istilah-istilah tersebut. Dalam industri TV, adakalanya sistem peningkatan (tiering) diwujudkan di kalangan kumpulan-kumpulan rangkaian, berasaskan sama ada intisari rancangan disalurkan secara serentak dari pusat, dan sama ada kawalan utama pusat berkeupayaan teknikal dan pentadbiran untuk mengambil alih rancangan sekutu-sekutunya dalam masa nyata apabila dirasakan perlunya, terutamanya berita gempar.

Sesebuah rangkaian boleh tetapi tidak semestinya menerbitkan segala rancangan sendiri. Jika tidak, syarikat-syarikat penerbitan seperti Warner Bros. dan Sony Pictures boleh mengedarkan kandungannya kepada pelbagai rangkaian. Sering kali terdapat rancangan terbitan sesebuah syarikat penerbitan tertentu yang dipertontonkan di dua atau lebih rangkaian yang bersaingan. Begitu juga, sesetengah rangkaian mengimport rancangan televisyen dari luar negara atau memanfaatkan rancangan lama dari arkib untuk mengisi intisari rancangan.