Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia

buku 2020 oleh Gerakbudaya

Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia (Melayu: Kelahiran Semula: Reformasi, Tentangan dan Harapan di Malaysia Baharu) ialah sebuah buku Malaysia 2020 suntingan Kean Wong terbitan Gerakbudaya. Buku ini memuatkan tulisan dan rencana oleh pelbagai pengarang ketika pilihan raya umum Malaysia 2018 (PRU-14) dan hala tuju Malaysia selepasnya.

Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia
Umum
PenyuntingKean Wong
NegaraMalaysia
BahasaInggeris
Penerbitan
PengilustrasiShia Yih Ying
PenerbitGerakbudaya
Tarikh penerbitan
2020
Halaman212
Kawalan kewibawaan
ISBNISBN 978-967-216-581-1
OCLC1140367666

Selepas kulit depan buku ini tular di media sosial, buku tersebut mendapat kecaman kerana rekaan kulitnya yang memaparkan sebuah lambang yang mirip jata negara Malaysia yang telah diubah suai dengan perubahan yang dianggap sebagai satu penghinaan.[1] Ekoran ini, beberapa badan bukan kerajaan dan ahli politik telah membuat laporan dan menggesa tindakan tegas dikenakan kepada pihak yang berkaitan.[2] Pada 1 Julai 2020, Rebirth telah diharamkan edarannya.[3][4]

Perihal

Buku ini disunting oleh Kean Wong dan diterbitkan oleh Gerakbudaya di bawah kecetaknya iaitu Strategic Information and Research Development Centre (syarikat strategik dan pembangunan penyelidikan) pada tahun 2020. Ia dicetak dengan kulit keras serta mempunyai kod ISBN (International Standard Book Number, Nombor Buku Piawai Antarabangsa) 978-967-216-581-1.[5]

Buku ini merupakan himpunan tulisan dan rencana ketika PRU-14 serta mengkaji dan menyemak hala tuju Malaysia ketika pemerintahan Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia ke-7.[6]

Kulit depan

Kulit depan buku Rebirth memaparkan suatu lambang yang menyerupai Jata Negara Malaysia dengan lukisan seorang wanita sebagai subjek utamanya. Lukisan ini merupakan hasil karya Shia Yih Ying (lahir 1966)[7] serta pernah dipamerkan di Sarawak dan juga di suatu pameran seni di sebuah balai seni di Kuala Lumpur pada tahun 2014.[8][9]

Tengkarah

Pada 29 Jun 2020, sebanyak 21 laporan polis telah dibuat berhubung kulit depan buku terbabit yang didakwa menghina Jata Negara Malaysia dengan rekaan yang terubah suai secara tidak wajar. Kulit buku terbabit dikatakan "seolah-olah merendah-rendahkan martabat Jata Negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara". Kulit buku tersebut memaparkan sebuah lambang yang mirip dengan Jata Negara dengan menambah lukisan seorang kanak-kanak tanpa pakaian di bulan dan bintang manakala awan-awan[10] di bawah jata pula digantikan dengan seekor buaya.[11] Laporan ini susulan tularnya buku terbabit di media sosial Facebook pada hari yang sama.[1][12] Antara pihak yang membuat laporan termasuklah Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah, Puteri UMNO Malaysia, Kimma, MCA, MIC dan Ameerah PAS.[13][14][15] Ekoran hal terbabit, Chong Ton Sin selaku pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya telah memohon maaf dan menerangkan bahawa perkara tersebut "bukan disengajakan". Jelasnya lagi, gambar berkenaan merupakan lukisan yang pernah dipamerkan di Sarawak pada beberapa tahun sebelum itu.[16] Lukisan yang digunakan itu dikatakan turut dipamerkan pada pameran seni terbuka di galeri di Kuala Lumpur pada tahun 2014 serta telah dijual. Dilaporkan juga bahawa penggunaan lukisan tersebut diatur antara pelukis dan pengarang buku tersebut.[17]

Pada jam 3 petang 30 Jun,[18] sebuah serbuan polis dilakukan terhadap syarikat percetakan yang terlibat di Petaling Jaya. Hasil serbuan tersebut mendapati sebanyak 1,000 naskhah buku telah dicetak dan sebanyak 687 naskhah telah dijual secara dalam talian; 313 naskhah yang selebihnya telah dirampas oleh pihak polis. Turut dinyatakan bahawa pihak polis telah menerima sebanyak 32 laporan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.[19] Pelakar kulit depan buku terbabit turut dikenal pasti.[20]

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menyarankan agar penerbit buku tersebut menghentikan penerbitan buku tersebut atau mengubah kulit depannya.[21] Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong mengecam penggunaan lambang terbabit serta menyatakan bahawa Jata Negara sebagai antara simbol kebangsaan tidak sepatutnya diubah suai sewenang-wenangnya.[22]

Begitupun, Lawyers for Liberty (LFL) mempertahankan buku terbabit dengan menyatakan bahawa Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 hanya menghalang penggunaan Jata Negara tanpa kebenaran bertulis Menteri manakala penggunaan berseni sepertimana yang terpapar pada kulit buku terbabit tidak dihalang. LFL turut menambah bahawa seni lukis terbabit telah lama dihasilkan malah dipamerkan ketika pameran seni di Kuala Lumpur pada tahun 2014 iaitu semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). LFL turut mendakwa bahawa tengkarah yang berlangsung ini merupakan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat.[23]

Pada 1 Julai, buku tersebut telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia berdasarkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020.[3][12][24]

Pengerusi Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP) Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Muhamad Zuhaili Saiman, berkata penerbitan buku tersebut dengan perubahan tidak wajar yang dilakukan terhadap jata negara merupakan "tindakan keji dan jahat" serta "bukan isu yang remeh".[25]

Pada 16 Oktober 2023, Kean Wong direman sehari kerana menghina jata negara menerusi buku Rebirth.[26] Beliau kemudiannya dibebaskan sehari kemudian.[27]

Rujukan

  1. ^ a b "Hina Jata Negara: 21 laporan polis diterima, penulis, penerbit buku akan dipanggil". Bernama. 29 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  2. ^ BERNAMA (30 Jun 2020). "Kerajaan pandang serius hina Jata Negara". BH Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2020. Dicapai pada 2 Julai 2020.
  3. ^ a b "KDN haramkan buku mirip jata negara". Free Malaysia Today. 1 Julai 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2020. Dicapai pada 2 Julai 2020.
  4. ^ "Hina Jata Negara: KDN warta perintah larangan terhadap buku 'Rebirth'". Bernama. 2 Julai 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Julai 2020. Dicapai pada 3 Julai 2020.
  5. ^ "Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia". malaysiainstitute.anu.edu.au (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  6. ^ "Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia". gerakbudaya.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Mei 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  7. ^ "Telling Tales BY SHIA YIH YIING". chanhori.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Julai 2020. Dicapai pada 25 Julai 2020.
  8. ^ Hariati Azizan (17 Mei 2014). "Artists redefine what it means to be a woman in Malaysia today" [Seniwati memberi makna baharu menjadi seorang wanita Malaysia pada masa kini]. The Star (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2020. Dicapai pada 2 Julai 2020.
  9. ^ Hakim Hassan (1 Julai 2020). "Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia Cover Issue, Mistake Or Intentional?" [Masalah Kulit Buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia', Sengaja atau Tidak?]. therakyatpost.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  10. ^ "Jata Negara". malaysia.gov.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  11. ^ "Hina Jata Negara: KDN Mesti Segera Ambil Tindakan – Pemuda UMNO". umno.org.my (kenyataan rasmi). 29 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  12. ^ a b Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan (2 Julai 2020). "Kerajaan haramkan buku hina Jata Negara". Sinar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Julai 2020. Dicapai pada 3 Julai 2020.
  13. ^ Abdul Hadi Omar (29 Jun 2020). "Laporan polis Dewan Pemuda PAS Kedah terhadap penghina Jata Negara". berita.pas.org.my (kenyataan media). Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  14. ^ "Laporan polis Dewan Pemuda PAS Kedah berhubung buku menghina Jata Negara". berita.pas.org.my. 30 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  15. ^ "Lapor Polis Hina Jata Negara: Puteri UMNO, KIMMA, MCA, MIC, Ameerah PAS Mahu Tindakan Tegas". umno-online.my. 30 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  16. ^ Nor Azizah Mokhtar (30 Jun 2020). "Penerbit mohon maaf isu hina Jata Negara". BH Online. Foto oleh Supian Ahmad. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  17. ^ "Penerbit minta maaf cetak lukisan pernah dipamerkan di S'wak, KL jadi muka depan buku". sarawakvoice.com. 30 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  18. ^ "Hina Jata Negara: PDRM serbu syarikat penerbitan". Astro Awani. 30 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2020. Dicapai pada 2 Julai 2020.
  19. ^ "313 naskhah buku hina Jata Negara dirampas". Bernama. 30 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  20. ^ Muhammad Afham Ramli (30 Jun 2020). "Isu Jata Negara: Polis serbu syarikat, rampas 313 naskah". Sinar Online. Foto oleh Bernama. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  21. ^ "Hina Jata Negara: GERAKAN syor henti terbitan buku". Bernama. 30 Jun 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  22. ^ Bernama (30 Jun 2020). "Jata Negara tidak berdosa, kata Prof Teo Kok Seong". Malaysiakini.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 1 Julai 2020. Dicapai pada 1 Julai 2020.
  23. ^ Zaid Malek (1 Julai 2020). "No offence was committed by creators or book publishers of 'Jata Negara art-work'" [Pencipta dan penerbit buku 'seni lukis Jata Negara' tidak bersalah]. lawyersforliberty.org (kenyataan akhbar) (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Julai 2020. Dicapai pada 2 Julai 2020.
  24. ^ Rafidah Mat Ruzki (2 Julai 2020). "KDN haramkan buku hina Jata Negara". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-07-11. Dicapai pada 9 Julai 2020.
  25. ^ Mohd Azlim Zainury (1 Julai 2020). "Isu Jata Negara bukan isu kecil remeh". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-07-09. Dicapai pada 9 Julai 2020.
  26. ^ Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil (17 Oktober 2023). "Pengarang buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' direman". Harian Metro. Dicapai pada 8 November 2023.
  27. ^ Ahmad Ismadi Ismail (17 Oktober 2023). "Reman tamat, Kean Wong dibebaskan hari ini". Sinar Harian. Dicapai pada 8 November 2023.

Buku

Pautan luar