Resin poliester merupakan resin tak tepu yang terbentuk daripada tindak balas asid-asid organik dwibes dan alkohol polihidrik. Resin poliester digunakan dalam sebatian acuan kepingan, sebatian acuan pukal dan toner pencetak laser. Panel dinding yang dipasang daripada resin poliester yang diperkuat dengan kaca gentian, iaitu plastik diperkuat kaca gentian, biasanya digunakan di restoran, bilik dapur, bilik air dan lain-lain tempat yang memerlukan dinding boleh cuci yang tidak memerlukan penyelenggaraan rapi.

Poliester tak tepu ialah polimer pemeluwapan yang terbentuk oleh tindak balas poliol (juga dikenali sebagai alkohol polihidrik), sebatian organik dengan berbilang kelompok berfungsi alkohol atau hidroksi, dengan asid dwibes yang tepu atau tak tepu. Poliol-poliol yang lazim digunakan adalah glikol seperti etilena glikol; asid yang digunakan pula ialah asid ftalik dan asid maleik. Air sebagai hasil sampingan tindak balas pengesteran sentiasa disingkirkan untuk melengkapkan tindak balas. Penggunaan poliester tak tepu dan bahan tambahan seperti seperti stirena mengurangkan kelikatan resin itu. Resin yang asalnya cecair itu ditukarkan menjadi pepejal oleh rantaian-rantaian rangkaian silang. Ini dilakukan dengan menghasilkan radikal bebas dalam satu ikatan tak tepu yang merambat dalam tindak balas rantaian ke ikatan-ikatan tak tepu yang lain di molekul-molekul yang bersebelahan, sekaligus menghubungkan sesama molekul itu. Radikal bebas yang asal dicetuskan dengan penambahan sebatian yang mudah mengurai kepada radikal bebas. Bahan-bahan yang digunakan pada amnya ialah peroksida organik seperti benzoil peroksida atau metil etil ketona peroksida.

Resin poliester adalah termoset dan mengawet secara eksotermik seperti resin-resin yang lain. Oleh itu, penggunaan mangkin yang berlebihan boleh menyebabkan kehangusan ataupun penyalaan sewaktu proses pengawetan, ataupun menyebabkan hasil itu merekah atau membentuk bahan yang seakan getah.