Rizab pertukaran asing


Rizab pertukaran asing (bahasa Inggeris: Foreign exchange reserves atau Forex reserves) ialah simpanan mata wang asing dan bon yang disimpan oleh bank pusat dan pihak berkuasa kewangan. Namun istilah ini selalu digunakan bagi pertukaran mata wang asing dan emas, hak pengeluaran istimewa (SDR) dan kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Maksud yang lebih tepat ialah rizab antarabangsa rasmi atau rizab antarabangsa. Aset-aset bank pusat ini dipegang dalam pelbagai mata wang kebanyakannya dalam dolar AS, Euro, Paun UK dan Yen Jepun, dan mata wang ini digunakan untuk menjamin liabiliti iaitu pengeluaran mata wang tempatan dan deposit rizab bank-bank lain dengan bank pusat, oleh kerajaan atau institusi kewangan.

Sejarah sunting

Rizab antarabangsa rasmi, yang menjadi cara pembayaran antarabangsa rasmi, pada mulanya hanya terdiri daripada emas dan kadangkala perak. Namun di bawah sistem Bretton Woods, dolar AS menjadi mata wang rizab dan mata wang ini juga menjadi sebahagian daripada aset rizab antarabangsa rasmi sesebuah negara. Dari tahun 1944-1968, dolar AS boleh ditukarkan kepada emas melalui Sistem Rizab Persekutuan AS, tetapi selepas tahun 1968 hanya bank pusat boleh menukarkan dolar kepada emas daripada rizab emas rasmi. Selepas 1973, tiada lagi institusi atau individu boleh menukarkan dolar AS kepada emas daripada rizab emas rasmi. Sejak tahun itu, tiada mata wang utama telah ditukarkan kepada emas daripada rizab emas rasmi. Individu dan institusi sekarang perlu membeli emas di pasaran persendirian seperti komoditi lain. Walaupun dolar AS dan mata wang lain tidak lagi boleh ditukarkan kepada emas daripada rizab emas rasmi, mata-mata wang ini masih boleh berfungsi sebagai rizab rasmi antarabangsa.