Ronald Ridenhour
Ronald Ridenhour (6 April 1946 – 10 Mei 1998), adalah seorang askar muda yang berkhidmat dengan 11 Briged, Divisyen Americal semasa Perang Vietnam. Ridenhour memainkan peranan penting dalam memulakan penyiasatan mengenai kejadian Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai oleh askar-askar Amerika dari kompeni “C”, Batalion Pertama, Rejimen ke-20 Infantri pada 16 Mac 1968.
Setelah pulang ke Amerika Syarikat apabila menamatkan khidmat tenteranya di Vietnam, Ridenhour menulis surat kepada ramai ahli Kongres and pegawai kerajaan Amerika mendakwa akan kekejaman yang dilakukan oleh askar Amerika di Vietnam. Surat-surat yang ditulis Ridenhour memulakan siasatan yang akhirnya membawa kepada beberapa pendakwaan dan penghukuman mereka yang terlibat, termasuk Leftenan William Calley.
Ridenhour dan Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai
suntingRidenhour dikerah menyertai tentera pada bulan Mac 1967, dan menjalani latihan asas tentera dan latihan lanjutan sebagai askar payung terjun. Dia kemudiannya ditugaskan ke 11 Briged Infantri yang berpangkalan di Hawaii. Dalam bulan Disember 1967, 11 Briged Infantri dihantar bertugas di Vietnam. Ridenhour ditugaskan dengan pasukan kecil yang menjadi Pasukan Peninjau Jarak Jauh (LRRP) 11 Briged Infantri. Tetapi disebabkan kekurangan anggota, unit LRRP dibubarkan dan Ridenhour ditugaskan untuk menjadi guner di dalam sebuah unit helikopter peninjau. Separuh lagi anggota unit tersebut dihantar bertugas dengan Kompeni “C” Batalion Pertama, Rejimen ke-20 Infantri (Kompeni pimpinan Kapten Ernest Medina). Kawasan operasinya meliputi kawasan paling selatan dalam kawasan I Corps. Selepas 4 bulan, Ridenhour meminta menyertai pasukan LRRP Divisyen Americal kerana tidak sehaluan dengan Sarjan yang menjadi ketua anak kapal helikopternya.
Di Vietnam, Ridenhour bertemu semula rakan-rakannya yang ditugaskan ke Kompeni “C” 1/20 Infantri. Pada satu malam, sambil menikmati bir bersama rakannya yang sebelum itu berkhidmat dengan Kompeni “C” 1/20 Infantri, dan bercerita pengalaman perang masing-masing, Ridenhour ditanya sama ada sudah mendengar cerita mengenai “Pinkville”. Setelah disoal, kawannya menceritakan bagaimana kesemua penduduk kampung dibunuh, termasuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Jumlah yang mati tiga atau empat ratus orang.
Ridenhour merasa seperti bersubahat kerana mengetahui mengenai kejadian ini. Dia mencari mereka yang mungkin terlibat untuk mendapatkan maklumat lanjut. Di unit LRRP yang dianggotainya, 4 atau 5 orang anggotanya adalah dari Kompeni “C” 1/20 Infantri yang minta ditukarkan beberapa hari selepas kejadian di My Lai. Daripada Mike Terry, Ridenhour mula mendapat gambaran apa yang berlaku semasa Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai.
Ridenhour memerlukan seorang saksi yang melihat kekejaman yang berlaku tetapi tidak mengambil bahagian dalam kekejaman tersebut. Ridenhour bertemu Michael Bernhardt. Tetapi Kapten Ernest Medina telah terlebih dahulu memberi amaran kepada Bernhardt supaya tidak membocorkan rahsia. Permohonan Bernhardt untuk bertukar unit tidak dilayan. Bernhardt dihantar ke hadapan dengan niat supaya terkena serangan musuh. Akhirnya dia menghidapi penyakit kudis air dan melarikan diri dengan menaiki helikopter yang menghantar bekalan. Di Duc Pho, dia pergi ke rumah sakit dan terus ditahan untuk rawatan. Ridenhour berjumpa Bernhardt di Chu Lai, dan berjaya mendapatkan butiran kekejaman yang berlaku di My Lai.
Setelah pulang, Ridenhour mula menulis surat kepada 30 orang ahli Kongres Amerika pada penghujung bulan Mac 1969. Suratnya mendapat perhatian dan Jawatankuasa Perkhidmatan Tentera meminta Jabatan Pertahanan menjalankan siasatan.
Selepas Perang Vietnam, Ridenhour bekerja sebagai seorang wartawan penyiasat. Dia meninggal dunia pada 10 Mei 1998.