Rustam A. Sani

ahli politik dan penulis Malaysia
(Dilencongkan dari Rustam Abdullah Sani)

Rustam bin Abdullah Sani (12 Ogos 1944–23 April 2008) merupakan pensyarah sains sosial di Universti Malaya. Beliau terlibat dalam penulisan dan syair. Dalam politik, beliau ialah Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia yang kemudian bergabung menjadi Parti Keadilan Rakyat.

Keluarga sunting

Bapanya Ahmad Boestamam seorang ahli politik sebelum merdeka dan menjadi ahli Parlimen Setapak serta banyak kali ditahan/dipenjara di bawah ISA.

Pendidikan sunting

Rustam bersekolah di Sekolah Kebangsaan Behrang Hulu, Tanjung Malim (1951-1955) dan menengah Inggeris di Methodist English School, Tanjung Malim (1956-1963) dan di Victoria Institution, (1963-1964), sebelum melanjutkan pengajiannya di Universiti Malaya (1970).Beliau mendapatkan Diploma Sosiologi di Universiti Reading, England (1973) dan sarjana Pengajian Asia Tenggara di Universiti Kent, England (1975). Pada 1978, beliau memperoleh ijazah Sarjana sastera (1981) dan Sarjana Falsafah (1982) dalam bidang Sosiologi Politik di Universiti Yale. Pada 1991, beliau menyertai Program Kajian Antarabangsa tentang Penyelesaian Konflik di Universiti Uppsala, Sweden.

Kerjaya sunting

Seperti bapanya yang banyak terlibat dalam penulisan dan penerbitan akhbar, Rustam juga menjadi editor di Oxford University Press (1970-1971), Penolong Pendaftar (Akademik dan Rekod)Universiti Malaya dan pensyarah (penterjemahan) di Pusat Bahasa, Universiti Malaya dan seterusnya pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Mulai 1984, beliau menjadi Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi dan Profesor Madya di Jabatan Sains Politik di UKM. Beliau menjadi Fellow Kanan, Pengarah Penerbitan dan Ketua Editor di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Penulisan sunting

Rustam terlibat dalam puisi dan terjemahan kerana mahir bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Antaranya Gasper Ruiz, Istana Impian, cerpen dalam Shoji dari luar negara.

Beliau memenangi hadiah RM100.00 peraduan mengarang cerpen anjuran Berita Harian. Sejak 1961 hingga 1974, beliau menghasilkan 40 buah puisi yang termuat dalam antologi 'Riak-riak Kecil', DBP pada tahun 1977. 39 buah puisi ini merupakan tanggapan, kesan dan pengalaman Rustam terhadap kemanusiaan yang berpura-pura atau jujur. Nada puisinya penuh protes terhadap masyarakat yang ditulis ketika berada di Eropah dan di tanah air.

Beliau banyak terlibat dalam penyelidikan sosial dan permasalahan pendidikan. Dalam Seminar Pendidikan Umum Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1985), beliau membentangkan kertas kerja “Literasi Sains Sosial dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah: Satu Pandangan Umum”. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-IV pada Disember 1984, Rustam membentangkan kertas kerja bertajuk “Dewan Bahasa dan Pustaka : Matlamat Asalnya dan Perkembangannya Masa Kini”. Dalam Majlis Konvokesyen UKM ke-13 1985, Rustam menyampaikan Pidato Umum Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan yang diterima oleh Kassim Ahmad. Dalam majlis penganugerahan 'Tokoh Pembaca' kepada Anwar Ibrahim anjuran Majlis Kemajuan Buku Malaysia 1988.[penjelasan lanjut diperlukan]

Anugerah dan biasiswa sunting

Pada 1966, beliau menerima Oxford University Press Meritorious Service Award (OUP). Biasiswa OUP membolehkannya belajar di Universiti Malaya (1967-1970). Beliau menerima Zamalah Fulbright-Hays untuk belajar di Universiti Yale, Amerika Syarikat (1978-1981). Beliau penerima Hadiah Sastera Malaysia dalam Kategori “Esei dan Kritik” (1988-1989).

Rustam juga penulis kolum dan penulis rencana tentang pelbagai isu sosial, politik, dan ekonomi dalam majalah The Edge, Dewan Masyarakat dan Utusan Malaysia. Rencananya tersiar dalam New Straits Times, Business Times (Singapura), Berita Harian, dan ISEAS Trends (Singapura).

Beliau turut menulis dan mengedit jurnal dalam Akademika, Jurnal Antropologi dan Sosiologi, dan Dewan Masyarakat. Beliau juga menjadi Editor Perunding, jurnal akademik tiga bulanan, Pemikiran yang diterbitkan oleh Utusan Melayu Berhad. Beliau turut mengedit buku-buku dalam bidang sains sosial.

Kegiatan persatuan sunting

Rustam ialah salah seorang Wakil Senat, Jawatankuasa Persidangan UKM (1985-1986), panel hakim Anugerah Buku Majlis Kemajuan Buku Malaysia (1982 dan 1984), panel Hadiah Sastera Malaysia 1983/84, Ketua Editor Akademika, UKM (1976-1978), editor Jurnal Antropologi dan Sosiologi, UKM (1982 dan 1985) dan editor ilmu Masyarakat, Jurnal persatuan Sains Sosial Malaysia. Pada tahun 1998, beliau terpilih menjadi Timbalan Presiden, Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Meninggal dunia sunting

Pada 23 April 2008, Rustam A. Sani meninggal dunia di rumahnya pada usia 63 tahun kerana penyakit jantung. Rumahnya di 7519 Batu 6 3/4, Bukit Lela, Gombak, Selangor. Dua buah bukunya, iaitu Social Roots of the Malay Left dan Failed Nation? Concerns of A Malaysian Nationalist sepatutnya dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 April di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Karya puisi dan terjemahan sunting

  1. Kuala Lumpur (antologi bersama), : GAPENA, 1975
  2. Riak-riak Kecil, : DBP , 1977
  3. Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), : DBP , 1981
  4. Tinta Pena (antologi bersama), : PENA, 1981
  5. Lagu Kehidupan (antologi bersama), : DBP , 1983
  6. Bintang Mengerdip (antologi bersama), : DBP , 1984
  7. Kumpulan Puisi Malaysia/Malaysian Poetry 1975 – 1985 (antologi bersama), : DBP , 1988
  8. Puisi Baharu Melayu 1961-1986 (antologi bersama), : DBP , 1988
  9. Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), : DBP , 1991
  10. Suara Rasa/Voice From Within (antologi bersama), : Maybank, 1993
  11. Shoji  :(terjemahan) Oxford University Press, 1961
  12. Gaspar Ruiz, : Oxford University Press, 1967
  13. Ikhtisar Sejarah Islam/M.A. Rauf, : Oxford University Press, 1967
  14. Istana Impian, : Oxford University Press, 1967
  15. Sastera Baru Indonesia/A. Teeuw (bersama Asraf), : Penerbitan Universiti Malaya, 1970
  16. Pengantar Asas Statistik/Freeman Elzey (bersama Muhammad Haji Yusof), : DBP , 1983
  17. Pendidikan Tatarakyat Baru Dewan untuk Tingkatan Empat (bersama Abdul Rahman Arshad,Asraf dan Awang Sariyan) : DBP , 1977
  18. Pendidikan Tatarakyat Baru Dewan untuk Tingkatan Lima (bersama A. Rahman Arshad,, Asraf dan Awang Sariyan), : DBP , 1978
  19. Antropologi Sosiologi di Indonesia dan Malaysia: Teori, Pengembangan dan Penerapan (diedit bersama Judistira K. Garna), Bangi: Beberapa Persoalan Sosiobudaya, : ISIS Malaysia, 1992
  20. Politik dan Polemik Bahasa Melayu : UPED Sdn. Bhd., 1993
  21. Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya, : UPED Sdn. Bhd., 1993
  22. Perceiving `National Security’ (bersama beberapa sarjana Australia dan Jepun), Sydney: Academy of Social Science, Australia, 1994

Rujukan sunting