Sains dan teknologi di Jerman

Pencapaian sains dan teknologi di Jerman adalah penting dan usaha penyelidikan dan pembangunan merupakan satu bahagian penting ekonomi negara ini.

Jerman telah melahirkan ramai pengkaji terkemuka di dalam pelbagai bidang sains dan teknologi. Hadiah Nobel telah dianugerahkan kepada 100 orang penerima yang berasal dari negara ini.[1] Hasil kerja Albert Einstein dan Max Planck menjadi asas kepada ilmu fizik moden, yang kemudiannya dibangunkan oleh Werner Heisenberg dan Max Born.[2] Mereka ini didahului oleh ahli-ahli fizik seperti Hermann von Helmholtz, Joseph von Fraunhofer dan Gabriel Daniel Fahrenheit. Wilhelm Conrad Röntgen telah menemui Sinar-X yang dipanggil Röntgenstrahlen (Melayu: Sinar Röntgen) di dalam bahasa Jerman dan beberapa bahasa lain. Penemuannya ini menjadikannya penerima pertama Hadiah Nobel dalam Fizik pada tahun 1901.[3] Werner von Braun telah membangunkan roket angkasa lepas pertama (roket pertama melepasi 100 km sempadan ke angkasa lepas) dan kemudiannya menjadi anggota terkemuka NASA dan membangunkan roket bulan Saturn V, yang membawa kepada kejayaan Amerika Syarikat melalui Rancangan Apollo. Hasil kerja Heinrich Rudolf Hertz di dalam bidang sinaran elektomagnet adalah penting dalam pembangunan teknologi telekomunikasi moden.[4] Melalui pembinaan makmal pertama di Universiti Leipzig pada tahun 1879, Wilhelm Wundt dianggap sebagai pengasas bidang psikologi sebagai sains empirik bebas.[5] Sumbangan Alexander von Humboldt sebagai ahli sains semula jadi dan peneroka pula kemudiannya menjadi asas kepada biogeografi.

Kompleks bilik bersih yang luas untuk pengeluaran mikroelektronik di Stuttgart.

Beberapa ahli matematik terkemuka juga telah dilahirkan di Jerman, termasuklah Carl Friedrich Gauss, David Hilbert, Bernhard Riemann, Gottfried Leibniz, Karl Weierstrass dan Hermann Weyl. Jerman juga merupakan tempat kediaman banyak pereka dan jurutera terkenal seperti Johannes Gutenberg, yang mencipta mesin pencetak boleh gerak; Hans Geiger, pereka pembilang Geiger; dan Konrad Zuse, yang mula-mula mencipta komputer digital automatik.[6] Pereka, pencipta, jurutera dan usahawan seperti Ferdinand von Zeppelin, Otto Lilienthal, Gottlieb Daimler, Rudolf Diesel, Hugo Junkers dan Karl Benz telah membantu membentuk sistem kenderaan dan pengangkutan udara moden.[7][8]

Institusi-institusi kajian sains yang penting di Jerman ialah Persatuan Max Planck, Masyarakat-Helmholtz dan Persatuan Fraunhofer. Mereka mempunyai hubungan samada secara bebas atau luaran dengan sistem universiti dan menyumbang dalam jumlah yang agak besar terhadap usaha-usaha saintifik di negara ini. Anugerah berprestij Hadiah Gottfried Wilhelm Leibniz dianugerahkan kepada sepuluh orang ahli sains dan akademik pada setiap tahun. Dengan hadiah maksimum €2.5 juta bagi setiap anugerah, ia merupakan salah satu hadiah kajian tertiinggi di dunia.[9]

Rujukan sunting

  1. ^ "Semua penerima Hadiah Nobel". Yayasan Nobel. Dicapai pada 2008-09-09.
  2. ^ J. M. Roberts (2002). Sejarah Dunia Baru Penguin (dalam bahasa Inggeris). Penguin History. m/s. ms. 1014. ISBN 0141007230.
  3. ^ "Hadiah-hadiah Nobel pertama dianugerahkan". History.com. Dicapai pada 2008-09-09.
  4. ^ "Tokoh-tokoh bersejarah di dalam bidang telekomunikasi". Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa. 14 Januari 2004. Dicapai pada 2008-09-09.
  5. ^ Alan Kim (16 Jun 2006). "Wilhelm Maximilian Wundt". Ensiklopedia Falsafah Stanford. Dicapai pada 2008-09-09.
  6. ^ Horst Zuse. "Kehidupan dan Sumbangan Konrad Zuse" (dalam bahasa Inggeris). Everyday Practical Electronics (EPE) Online. Dicapai pada 2008-09-09.
  7. ^ "Automobil" (dalam bahasa Inggeris). MSN Encarta. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-10-29. Dicapai pada 2008-09-09.
  8. ^ "Zeppelin" (dalam bahasa Inggeris). Suruhanjaya Ulang tahun Ke-100 Penerbangan AS. Dicapai pada 2008-09-09.
  9. ^ "Hadiah Gottfried Wilhelm Leibniz: Ringkasan" (dalam bahasa Inggeris). Masyarakat Kajian Jerman (DFG). Dicapai pada 2008-09-09.