Sakinah Junid

Puan Sri Datin Seri Panglima Hajjah Sakinah binti Syeikh Junid (10 Oktober 1922 - 7 September 2004) adalah Ketua Dewan Muslimat PAS dari 1963-1983.[1]

Puan Sri Datin Seri Panglima

Sakinah binti Syeikh Haji Junid
Sakinah junid.jpeg
Kelahiran(1922-10-10)10 Oktober 1922
Meninggal dunia7 September 2004(2004-09-07) (umur 81)
WarganegaraMalaysia Malaysia
Terkenal keranaKetua Dewan Muslimat PAS
Aktivisme emansipasi wanita
Parti politikPAS, kemudian UMNO
PasanganTan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Asri bin Haji Muda
Anak-anak9
IbuSariyah Haji Said
BapaSyeikh Junid Thala

Kehidupan awalSunting

Puan Sri Datin Seri Panglima Hajjah Sakinah binti Syeikh Haji Junid atau Sakinah Junid ialah isteri kepada Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Asri bin Haji Muda,[2] seorang pemimpin PAS dan Hizbul Muslimin.

Beliau berkahwin dengan Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Asri bin Haji Muda pada 15 Ogos 1947 dan mempunyai 9 orang anak, 2 orang lelaki dan 7 orang perempuan, iaitu Noor Dianauli, Husni Zaim, Ratna Inzah, Mutia Sabihah, Naliyah, Khalidah, Nasibah, Najah dan Mohd Taqiuddin.

Sakinah Junid adalah anak kepada Syeikh Junid Thala seorang ulama besar di Perak khususnya di Padang Rengas dan Sariyah Haji Said. Sakinah Junid dilahirkan di Kampung Lalang, Padang Rengas pada tahun 1922 ketika ayahnya belajar di Universiti al-Azhar di Mesir. Setelah tamat pengajiannya di Mesir, Syeikh Junid pergi ke Mekah. Pada 1925, ketika Sakinah berusia 3 tahun, dia dibawa oleh ibu dan bapa saudaranyanya ke Mekah untuk bertemu dengan ayahnya dan sama-sama menunaikan haji. Pada tahun itu juga Syeikh Junid kembali ke Padang Rengas dari Mekah, bersama isterinya Sariyah dan puteri pertamanya, Sakinah Junid.

PendidikanSunting

Beliau dihantar ayahnya belajar di Diniyah Putri yang terletak di Padangpanjang, Sumatera Barat, Indonesia yang dipimpin oleh Rahmah El Yunusiyyah yang disebut sebagai sekolah yang membentuk cara berfikir dan keperibadian tokoh melalui proses “dakwah dan tarbiah” yang akhirnya menjadikan beliau seorang pemimpin yang berkarisma.[petikan diperlukan]

AktivismeSunting

Sakinah Junid ialah suatu nama yang cukup besar dan merupakan salah seorang tokoh wanita[3] sebaris dengan nama Shamsiah Fakeh dan Tan Sri Aishah Ghani sebagai pemimpin-pemimpin wanita terawal terlibat dalam perjuangan menentang penjajahan British dan perjuangan menuntut kemerdekaan. Beliau juga merupakan antara pengasas-pengasas[4] gerakan Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Berbanding Shamsiah Fakeh dan Aishah Ghani yang dilihat sebagai pemimpin wanita dalam kelompok wanita per se, Sakinah Junid dilihat mampu mengetuai sesuatu kumpulan yang diangotai wanita dan lelaki.

Beliau mula memimpin AWAS cawangan Padang Rengas ketika usianya 23 tahun. Sebagai tokoh wanita di barisan hadapan ketika pascapemerintahan Jepun, Sakinah Junid bolehlah dikatatakan sebagai pejuang wanita pertama di Malaysia yang telah memimpin suatu kelompok pejuang lelaki dan wanita. Beliau telah mengetuai rombongan 300 orang pemuda Angkatan Pemuda Insaf (API) dan wanita AWAS berarak[5] dari Padang Rengas ke Kuala Kangsar sambil menyanyikan lagu Darah Rakyat dan Dari Barat Hingga Ke Timur dengan penuh semangat di selang-seli dengan laungan “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”. Sakinah Junid berjaya meyakinkan golongan lelaki di dalam kumpulan tersebut untuk berjalan kaki walaupun pada mulanya mereka menjadi lemah semangat untuk menghadiri perhimpunan raksasa menentang Malayan Union pada 28 Mei 1946 di Kuala Kangsar akibat tindakan pihak Inggeris yang mengharamkan kenderaan awam, lori dan kereta lembu daripada membawa mereka ke Kuala Kangsar.[6] “Kalau kamu orang lelaki tidak mahu ikut serta menentang Malayan Union, biar kami srikandi sahaja yang pergi. Kamu orang lebih baik pakai sarung di rumah”, tegas Sakinah dengan penuh “nasionalis” dan bersemangat jitu.[petikan diperlukan]

Ketokohan dan semangat perjuangan yang ditonjolkan oleh Sakinah Junid ini menyebabkan ramai pergerakan wanita dalam dan luar negara pada masa kini telah mula menyebut namanya sebagai idola kepemimpinan wanita Malaysia yang patut dicontohi. Lantas nama Sakinah mula diangkat oleh kelompok tersebut.

Penglibatan politikSunting

Beliau juga terkenal sebagai penggerak kesedaran politik dalam golongan wanita. Penglibatannya boleh diikuti daripada perjuangannya di peringkat awal di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melaui sayap wanitanya yang dinamakan Dewan Muslimat semenjak kewujudan sayap ini dalam PAS pada tahun 1953. Setelah sepuluh tahun penubuhannya, tokoh ini telah pula mengetuai sayap ini selama 20 tahun. Sakinah terkenal dengan pidatonya yang berapi dan menaikkan semangat para pendengar, beliau dikatakan sebagai seorang yang cukup berkarisma dan disegani. Beliau dikenali sebagai seorang orator wanita Malaysia yang cukup hebat.[7] Ketika berpidato, Sakinah mampu mengusik emosi pendengar dengan susunan kata-kata yang cukup indah dan berpuitis sambil diselangselikan dengan dakwah dan ayat-ayat al-Quran serta menerapkan sajak dan pantun.

Pada tahun 1947, Sakinah Junid pernah berpidato di hadapan lebih 7,000 orang yang hadir daripada rapat raksasa “Putera” di Padang Sarkas, Taiping, Perak. Beliau menghadiran fikiran kaum wanita Melayu terhadap Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1947) yang dibantah kerana tidak bertepatan dengan kemahuan rakyat Malaya yang lebih ramai. “Kalau kita mahu merdeka tentu boleh merdeka” dan “Kalau percaya kepada diri sendiri semua boleh jadi” katanya di antara lain-lain.[8] Akhirnya, rapat raksasa di Taiping berjaya. Sakinah telah memukau pendengar dengan syarahan yang berapi-api. Peristiwa ini diabadikan dalam Majalah Mastika keluaran Mac/Jun 1947 dengan tajuk "Wanita Kita di Zaman Atom".

Beliau yang kemudiannya pula turut serta mengikuti suaminya Tan Sri Datuk Asri meningalkan PAS untuk berjuang di dalam parti yang baru ditubuhkan iaitu Hizbul Muslimin (HAMIM). Sehinggalah beliau menamatkan perjuangan politiknya secara rasmi selepas menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1993 sebagai ahli biasa kerana memberikan sokongan kesinambungan perjuangannya kepada Timbalan Presiden UMNO pada masa itu iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kehidupan peribadiSunting

Menghabisi kehidupannya sebagai seorang ibu, nenek dan moyang perempuan kepada 10 orang anak, cucu-cucu dan cicitnya. Beliau yang menghidap bronkonemia akhirnya meninggal dunia pada 7 September tahun 2004 pada usia 82 tahun dan disemadikan di perkuburan orang Islam di Sungai Tangkas.

RujukanSunting

  1. ^ "Sejarah Info". Muslimat.PAS.my.org. Dicapai pada 2015-11-21.
  2. ^ "Hakikat sebuah perpaduan". Utusan Malaysia. 13 Jun 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 10 Disember 2017.
  3. ^ Mohamad, Maznah; Ng, Cecilia; Hui, tan beng (2013). Feminism and the Women's Movement in Malaysia: An Unsung (R)evolution. Routledge. m/s. 17–18. ISBN 978-1-134-18883-3.
  4. ^ Wazir Jahan Karim. "Malay Women's Movements, Leadership and Processes of Change". Int. Soc. Science Journal. 35 (4): 719–731.
  5. ^ Lai Suat Yan (2012). "The women's movement in peninsular Malaysia". Social Movement Malaysia. Routledge. m/s. 50. ISBN 978-1-136-00326-4.
  6. ^ Zinat Kausar (2006). Women in Politics: The Case of Peninsular Malaysia (dalam bahasa Inggeris). Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. m/s. 17. ISBN 9832957435.
  7. ^ SAKINAH SHEIKH JUNID: WANITA KITA DI ZAMAN ATOM
  8. ^ Majalah Mastika, Mac/Jun 1947, m/s 16