Istana San Anton adalah sebuah bangunan yang terdapat di Attard, Malta. Bangunan ini digunakan sebagai kediaman rasmi Presiden Malta, dan dikelilingi oleh taman-taman bunga awam dan taman-taman bunga persendirian.

Istana San Anton Adalah Kediaman Rasmi Presiden Malta

Sejarah sunting

Istana ini dibina antara tahun-tahun 1623 dan 1636, semasa pemerintahan Kesatria Malta (Knights of Malta) untuk kegunaan sebagai kediaman musim panas untuk Ketua Kesatria (Grand Master) Antoine de Paule. Semasa zaman pemerintahan British, bangunan ini menjadi kediaman rasmi Gabenor Malta.

Taman Bunga sunting

Taman bunga awam di San Anton yang dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1882 dijaga supaya berada di dalam keadaan formal, dengan laluan yang cantik, serta mempunyai banyak ukiran, kolam perhiasan dan menjadi penginapan kepada ratusan itik dan angsa. Taman bunga ini juga mempunyai tempat simpanan burung.

Terdapat banyak jenis pokok dan tanaman di sini yang didatangkan dari seluruh pelosok dunia, termasuklah pelbagai jenis pokok-pokok palma, pokok cypress, araucaria dan lain-lain jenis tumbuhan, sesetengahnya kini berumur beratus-ratus tahun. Telah menjadi tradisi bahawa mana-mana ketua negara yang mengadakan lawatan ke Malta akan menanam pokok di taman ini sebagai ingatan kepada lawatan mereka.

Taman bunga ini juga mempunyai taman tanaman pokok oren, dan pada satu ketika dahulu menjadi tradisi untuk Gabenor Malta memberikan oren-oren daripada taman bunga ini sebagai hadiah pada waktu Krismas.

Budaya sunting

Beberapa acara dijalankan di Taman Bunga San Anton, termasuk Pameran Bunga Malta, teater terbuka dan persembahan muzik dan tarian.

Dalam tahun 2005, Ratu Elizabeth II menginap di Istana San Anton semasa lawatan beliau ke Malta, sebagai Ketua Negara-Negara Komanwel dan sebagai Baginda Ratu Malta.