Saqifah Bani Sa'idah

rencana senarai Wikimedia

Saqifah Bani Sa'idah, atau secara ringkas Saqifah, merupakan bangunan beratap di Madinah yang digunakan oleh Bani Sa'idah, sebuah suku Khazraj. Bangunan ini merupakan salah satu tempat penting dalam sejarah Islam kerana ia merupakan tempat berkumpul para sahabat untuk melantik khalifah setelah kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. Sebaik sahaja baginda wafat, para Sahabat Ansar telah berkumpul di rumah Sa’ad bin Ubadah kerana mereka ingin mencalonkan Sa’ad bin Ubadah sebagai khalifah Nabi di dalam pertemuan di Saqifah Bani Sa’idah. Pertemuan ini sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq dan Umar bin al-Khattab yang baru sahaja selesai menziarahi jenazah Nabi Muhammad S.A.W di rumah A'isyah binti Abu Bakar. Mereka berdua beserta beberapa orang Sahabat Muhajirin segera mendatangi Saqifah Bani Sa’idah, lalu berlakulah perdebatan dan perbincangan mengenai siapakah yang sepatutnya menggantikan Nabi S.A.W di dalam memimpin umat. Kaum Ansar pada mulanya merasakan mereka berhak kerana mereka telah menolong Rasulullah S.A.W, tetapi kaum Muhajirin berhujah bahawa mereka yang lebih dahulu mendukung Rasulullah S.A.W, Baginda juga seorang Muhajirin dan Baginda telah menunjukkan Abu Bakar as-Siddiq sebagai imam solat ketika keuzurannya.

Di kalangan ahli-ahli keluarga Nabi S.A.W berpandangan bahawa yang paling berhak di kalangan Muhajirin itu ialah Ahlul Bait, kerana mereka mempunyai hubungan keluarga dengan Baginda S.A.W. Ada pula yang berpendapat bahawa jawatan khalifah adalah umum untuk Muhajirin kerana mereka berbangsa Quraisy. Bahkan, mereka berpendapat kaum Quraisy lebih dihormati sebagai pemimpin bagi orang Arab. Para Sahabat yang ikhlas dan diredhai Allah itu kemudiannya mengambil kata sepakat, setelah melakukan syura yang hangat tetapi bersikap sederhana. Mereka bersetuju jawatan khalifah dipegang oleh Muhajirin.

Perdebatan ini berlangsung selama 3 hari selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W. dengan masing-masing memperjelaskan keutamaan mereka di sisi Nabi Muhammad S.A.W. semasa baginda masih hidup.

Setelah memutuskan bahawa hak khilafah adalah hak suku Quraisy tanpa mengira Ahlul Bait atau bukan maka Abu Bakar as-Siddiq telah mencalonkan Umar bin al-Khattab dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai khalifah, tetapi Umar bin al-Khattab menolaknya, lalu mencalonkan Abu Bakar as-Siddiq. Kemudian, Umar bin al-Khattab menjadi orang yang pertama membai’ah Abu Bakar as-Siddiq, sedangkan Zaid bin Tsabit memulakan bai’ah dari kaum Ansar. Setelah itu semua Sahabat yang hadir dari kedua-dua pihak memberi bai’ah. Peristiwa ini berlaku pada Hari Isnin, 14 Rabi'ulawwal Tahun 11 Hijrah bersamaan 11 Jun Tahun 632 Masehi.

Lokasi sunting

Kawasan Saqifah Bani Sa'idah terletak di sebelah barat-laut Masjid Nabawi di Kota Suci Madinah, Arab Saudi sekarang. Beberapa rumah sahabat Bani Sa'idah terletak di dalam dan di sekitar kawasan ini seperti Sa'ad bin Mu'az dan Sa'ad bin 'Ubadah. Setelah peredaran zaman, perkampungan di kawasan ini kemudiannya ditinggalkan dan sempat dibina bangunan sebelum akhirnya dijadikan taman yang menghadap dinding sebelah barat bangunan Masjid Nabawi hasil dari pembesaran kawasan Masjid Nabawi.