Sebatian ion

(Dilencongkan dari Sebatian ionik)

Dalam bidang kimia, sebatian ion ialah sejenis sebatian kimia yang ion-ionnya disatukan di dalam sesuatu struktur kekisi oleh ikatan-ikatan ion. Ion bercas positif biasanya merupakan ion logam, manakala ion bercas negatif adalah unsur atau molekul bukan logam.

Struktur hablur natrium klorida, NaCl, sebatian ion yang tipikal. Sfera unga ialah kation natrium, Na+, manakala sfera hijau ialah anion klorida, Cl.

Ion boleh merupakan atom tunggal, sebagaimana dengan garam halus (natrium klorida), atau kumpulan-kumpulan yang lebih rumit seperti kalsium karbonat. Untuk dianggap sebagai ion, sesuatu entiti harus mempunyai cas positif atau cas negatif. Justera itu dalam sesuatu ikatan ion, satu 'pengikat' harus mempunyai cas positif dan yang lain mempunyai cas negatif. Melalui pelekatan antara satu sama lain, ion-ion itu mengatasi, atau mengatasi sebahagiannya, ketaksimbangan cas masing-masing. Ikatan ion positif kepada positif dan negatif kepada negatif tidak wujud. (Untuk analogi dunia nyata, uji kajilah dengan dua batang magnet.)

Sebatian-sebatian ion umumnya mempunyai takat lebur dan takat didih yang tinggi. Ia mempunyai kekonduksian elektrik yang baik apabila lebur atau berbentuk larutan. Sedangkan sebatian ion inorganik merupakan pepejal pada suhu bilik dan biasanya membentuk hablur, cecair ion organik semakin menarik perhatian.

Ketika sesuatu sebatian ion dinamai, nama kation dinamai lebih dahulu, diikuti oleh nama anionnya, manakala ketika sesuatu anion unsur dinamai, akhiran -ida ditambahkan pada nama unsurnya. Terdapat dua jenis kation yang biasa, iaitu Jenis I dan Jenis II. Kation Jenis 1 hanya mempunyai satu cas dan namanya disenaraikan secara mudah ketika sebatian itu dinamai. Kation Jenis II mempunyai lebih daripada satu cas dan ketika sebatian ion itu dinamai, angka Roman digunakan untuk menandakan cas kationnya. Selain itu, terdapat juga anion poliatom biasa yang lain yang tidak mempunyai akhiran pada namanya, umpamanya hipoklorit (ClO-).