Sejarah Mexico
Sebahagian siri Sejarah Mexico |
Mexico Pra-Hispanik |
Penaklukan Yucatán oleh Sepanyol |
Perang Kemerdekaan Mexico |
Campur tangan Perancis di Mexico |
Revolusi Mexico |
Mexico ialah sebuah negara di Amerika Utara yang merupakan negara bertuturkan bahasa Sepanyol yang terbesar di dunia. Sejarah Mexico bermula dengan ketibaan sejumlah penduduk orang asli yang besar pada sekitar 12,500 tahun dahulu, dengan petempatan-petempatan mungkin telah wujud seawal 20,000 tahun dahulu di sana. Kaum kerabat puak kuno ini membina sebuah tamadun yang maju dan yang berkembang pesat dari tahun 1200 SM hingga tahun 1521.
Tamadun-tamadun Pra-Columbus
suntingSejarah Mexico pra-Columbus diketahui melalui kerja-kerja ahli arkeologi kerana terdapat amat sedikit rekod tertulis yang wujud tentang orang-orang asli yang tinggal di wilayah yang kini dikenali sebagai Mexico. Kes kekecualian ialah sebilangan dokumen kebudayaan mixtec dan mexica dari zaman Pasca Klasik yang hanya baru-baru ini ditafsirkan dengan sepenuhnya.
Orang-orang asli mula membiakkan pokok-pokok jagung secara berpilih pada sekitar tahun 8000 SM. Bukti-bukti arkeologi menunjukkan bahawa terdapat ledakan barang-barang tembikar menjelang tahun 2300 SM serta permulaan perladangan jagung yang giat antara tahun-tahun 1800 SM hingga 1500 SM.
Antara tahun-tahun 1800 SM hingga 300 SM, budaya-budaya yang rumit mula dibentuk. Banyaknya matang menjadi kebudayaan-kebudayaan Mesoamerika pra-Columbus yang maju, umpamanya Olmek, Izapa, Teotihuacan, Maya, Zapotec, Mixtec, Huastec, Tarasca, "Toltec", dan Mexica (Aztek). Tamadun-tamadun ini berkembang maju selama hampir 4,000 tahun sebelum hubungan mereka yang pertama dengan orang Eropah.
Sedangkan banyak negara kota, kerajaan, dan kemaharajaan bersaing antara satu sama lain untuk kuasa dan prestij, Mexico boleh dikatakan mempunyai lima buah tamadun yang utama:
Kesemua tamudun ini, kecuali Maya yang berpecah dari segi politik, menjangkau bukan sahaja ke seluruh Mexico tetapi juga ke luar. Mereka mengukuhkan kuasa dan mempengaruhi bidang-bidang seperti perdagangan, kesenian, politik, teknologi, dan teologi. Kuasa-kuasa politik yang lain mengikat perikatan ekonomi dan politik dengan kelima-lima tamadun ini selama 3,000 tahun, dengan banyak juga yang berperang dengannya. Walaupun demikian, banyak yang mendapati diri di dalam lingkungan pengaruh kelima-lima tamadun ini.
Tamadun Olmek
suntingOlmek (1200-400 SM) bangkit di tanah pamah tropika Mexico tengah-selatan, kira-kira di Veracruz dan Tabasco kini di Segenting Tehuantepec. Di sini, mereka membina kompleks-kompleks kuil-kota di banyak tempat, termasuk San Lorenzo Tenochtitlán, La Venta, Tres Zapotes, dan Laguna de los Cerros.
Kebangkitan tamadun Olmek mungkin dibantu oleh ekologi tempatan yang terdiri daripada tanih lanar yang kaya yang setanding dengan pusat-pusat peradaban kuno yang lain seperti Mesopotamia dan Lembah Nile, dan yang menggalakkan penanaman jagung. Penduduk yang padat di kawasan ini dianggap menggalakkan kebangkitan sebuah kelas elit yang akhirnya memastikan penguasaan Olmek dan memberikan asas sosial untuk mengeluarkan artifak-artifak perlambangan yang canggih dan mewah yang mentakrifkan kebudayaan Olmek. Selepas tahun 300 SM, Olmek bergabung dengan Zapotec di Oaxaca, dan kota-kuil di Izapa (200 SM - 200 Masihi).
Tamadan Olmek yang berkembang maju pada Zaman Praklasik dipercayai merupakan lelulur kepada peradaban-peradaban Mesoamerika yang kemudian.[1]
Tamadun Teotihuacan
suntingKemerosotan Tamadun Olmek mengakibatkan kekosongan kuasa di Mexico dan menyebabkan kemunculan orang Teotihuacan pada tahun 300 SM. Orang Teotihuacan mengasaskan sebuah tatacara ekonomi dan politik baru yang tidak pernah dilihat di Mexico. Pengaruhnya merentasi Mexico masuk ke Amerika Tengah, dengan dinasti-dinasti baru diasaskan di kota-kota Maya seperti Tikal, Copan, dan Kaminaljuyú. Pengaruh Teotihuacan terhadap tamadun Maya tidak boleh diperkecil: ia mengubah kuasa politik, kesenian dan ekonomi Maya.
Menjelang tahun 150, kota Teotihuacan telah berkembang menjadi metropolis benar yang pertama di apa yang kini dipanggil Amerika Utara. Kota ini mempunyai penduduk kosmopolitan yang berbagai-bagai. Kebanyakan kelompok etnik daerah di Mexico boleh didapati di kota ini, umpamanya orang Zapotec dari kawasan Oaxaca. Mereka tinggal di dalam komuniti-komuniti rumah pangsa dan memberikan sumbangan kepada kehandalan ekonomi dan kebudayaan kota.
Teotihuacan menjadi kota yang terbesar di dunia menjelang tahun 500. Seni binanya yang tersergam dan bersejarah membayangkan sebuah zaman yang baru dalam peradaban Mexico. Bagaimanapun, kuasa politiknya mula merosot pada sekitar tahun 650 SM. Walaupun demikian, pengaruh kebudayaannya dapat bertahan sehingga sekitar tahun 950 Masihi.
Tamadun Maya
suntingSezaman dengan keunggulan Teotihuacan ialah keunggulan tamadun Maya. Petempatan kaum Maya terletak berhampiran dengan sebuah cenote, lubang benam air tawar, yang membekalkan air kepada kawasan-kawasan berhampiran yang kering. Kegiatan ekonominya yang utama ialah pertanian, khususnya jagung, kekacang, lada hitam, serta juga tanaman kontan seperti kapas dan koko.
Tempoh antara tahun-tahun 250 dan 650 memperlihatkan Tamadun Maya berkembang maju dengan pesat. Sedangkan banyak negara kota Maya tidak pernah mencapai perpaduan politik yang setanding dengan tamadun-tamadun Mexico Tengah, mereka mempunyai pengaruh intelektual yang kuat ke atas Mexico. Selain daripada membina sesetengah kota yang paling canggih di benua, orang Maya telah membaharui bidang-bidang matematik, astronomi, dan tulisan hieroglif yang menjadi puncak pencapaian saintifik Mexico. Antara lain, pakar-pakarnya telah mengira kitaran bulan, menentukan waktu-waktu gerhana qamari dan matahari, serta juga mencipta sebuah sistem takwim yang lebih tepat daripada yang digunakan pada zaman ini. Bagi kaum Maya, sains dan agama saling berkait, dan menjadi teras kehidupan sehari-hari.
Gempa bumi, wabak, serangan, pemberontakan, dan kekurangan bekalan makanan mungkin bersama-sama mengakibatkan kejatuhan tamadun Maya. Apa yang jelas adalah bahawa pada tahun 900, sebilangan besar pusat istiadat Maya telah ditinggalkan dan kemudian ditenggelami oleh hutan yang tebal. Walaupun demikian, kebanyakan kawasan ini terselamat daripada dihancurkan oleh penakluk Sepanyol dan kekal sehingga ke abad ke-19.
Tamadun Toltec
suntingSerupa dengan Tamadun Teotihuacan yang muncul daripada kekosongan kuasa, Tamadun Toltec mengambil alih kuasa politik dan kebudayaan di Mexico sejak dari sekitar tahun 700. Banyak orang Toltec berasal dari gurun utara dan dirujuk sebagai orang Chichimeca dalam bahasa Nahuatl di Mexico. Mereka menggabungkan warisan gurun mereka dengan kebudayaan Teotihuacan yang maju yang kemudian menyebabkan kebangkitan sebuah empayar yang baru di Mexico.
Empayar Toltec menjangkau sehingga Amerika Tengah di selatan, dan sehingga kebudayaan jagung Anasazi di bahagian barat daya Amerika Syarikat di utara. Empayar ini mengasaskan sebuah perdagangan batu firus yang kaya dengan peradaban Pueblo Bonito di Mexico Baru kini di utara. Peradaban Toltec tersebar ke kawasan Maya di Chichen Itza, dan Maya sekali lagi dipengaruhi oleh orang-orang Mexico Tengah. Sistem politik Toltek amat berpengaruh sehingga mana-mana dinasti Maya yang serius kemudian menuntut diri sebagai daripada jurai keturunan Toltec. Sebenarnya jurai keturunan Toltec yang dihargai ini kemudian mewujudkan suasana untuk tamadun asli yang terakhir di Mexico.
Tamadun Aztek (Mexica)
suntingDengan kemerosotan tamadun Toltec, termuncullah perpecahan politik di Lembah Mexico dan dalam permainan yang baru ini untuk takhta Toltec, datanglah orang luar: Mexica. Mereka merupakan orang gurun, salah satu daripada tujuh kelompok yang dahulunya merujuk kepada diri sebagai orang "Azteca," tetapi kemudian menukarkan nama mereka selepas bertahun-tahun berhijrah. Sebagai orang baru di Lembah Mexico, mereka dilihat sebagai orang kasar berbanding dengan peradaban-peradaban Nahua, umpamanya empayar Toltec yang jatuh. Walaupun orang Mexica (dirujuk sebagai Aztek oleh ahli antropologi Eropah) merupakan orang baru di penara tengah Mexico, mereka menganggap diri sebagai pewaris kepada bekas tamadun-tamadun yang berprestij, sebagaimana dengan Charlemagne terhadap Empayar Rom yang jatuh.
Pada tahun 1428, orang Mexica-Aztek mengetuai sebuah perang pembebasan terhadap pemerintah mereka dari kota Azcapotzalco yang telah menaklukkan kebanyakan orang di Lembah Mexico. Melalui taktik politik yang licik serta kemahiran bertempur yang ganas, pemberontakan mereka berjaya dan mereka menjadi pemerintah Mexico Tengah yang baru sebagai ketua Perikatan Bertiga yang terdiri daripada negara-negara kota Tenochtitlan, Texcoco, dan Tlacopan. Pada kemuncuknya, 300,000 orang Aztek mengetuai sebuah empayar-ufti yang kaya yang terdiri daripada sekitar 10 juta orang, iaitu hampir separuh daripada jumlah penduduk Mexico yang dianggarkan sebanyak 24 juta orang ketika itu. Empayar ini terbentang dari lautan ke lautan dan menjangkau ke Amerika Tengah.
Menjelang tahun 1519, Tenochtitlan, ibu kota Aztek, merupakan kota yang terbesar di dunia, dengan sekitar 350,000 orang (walaupun sesetengah anggaran menetapkan bilangannya sehingga 500,000 orang). Sebagai perbandingan, jumlah penduduk London ketika itu 80,000 orang sahaja. Tenochtitlan ialah tapak Bandaraya Mexico kini.
Empayar Aztek mencapai zaman kegemilangannya semasa pemerintahan Moctezuma II, dengan tanah jajahannya merangkumi sebahagian besar kawasan tengah dan selatan Mexico. Namun kemunculan tahi bintang pada tahun 1517 telah dianggap sebagai petanda kejatuhan empayar ini. Pada musim bunga tahun 1519, sebilangan orang putih mendarat di pesisiran pantai Teluk Mexico dengan salib-salib mereka. Bagi Moctezuma yang peka akan kepercayaan karut, kedatangan ini hanya mempunyai satu makna sahaja, iaitu kepulangan dewa Quetzalcoatl seperti yang telah dijanjikan.
Era penaklukan Sepanyol (1519-1521)
suntingBermula dengan "penemuan" Hemisfera Barat oleh Christopher Columbus (1492), penjelajah Sepanyol dan Portugis meneruskan ekspedisi mereka untuk mencari kekayaan di "Dunia Baru". Pada tahun 1519, Sepanyol menyerang tamadun-tamadun asli di Mexico dan dua tahun kemudian pada 1521, Tenochtitlan, ibu kota Aztek, ditaklukkan oleh sebuah perikatan antara Sepanyol dengan Tlaxcaltec (musuh utama kepada orang Aztek). Francisco Hernández de Córdoba menjelajah pantai-pantai Mexico Selatan pada tahun 1517, diikuti oleh Juan de Grijalva pada tahun 1518. Konkuistador (penakluk) awal yang paling penting ialah Hernán Cortés yang memasuki negara pada tahun 1519 dari sebuah kota pantai asli yang dinamainya semula sebagai "Puerto de la Villa Rica de la Vera Cruz" (Veracruz kini).
Bertentangan dengan pendapat popular, Sepanyol tidak menaklukkan seluruh Mexico semasa Cortes menaklukkan Tenochtitlan pada tahun 1521. Hanya selepas dua abad lagi, iaitu selepas Pengepungan Tenochtitlan, bahawa Penaklukan Mexico disiapkan kerana terdapat pemberontakan, serangan, dan perang yang berterusan terhadap Sepanyol oleh orang-orang asli yang lain.
Kepercayaan agama Aztek berdasarkan ketakutan bahawa alam semesta akan tamat tanpa pengorbanan manusia yang tetap. Mereka mengorbankan beribu-ribu orang untuk hari-hari istimewa. Kepercayaan ini dipercayai amat biasa dengan orang-orang Nahuatl. Supaya dapat mendapat tawanan pada masa aman, orang Aztek mencari jalan keluar dengan memulakan "perang upacara amal" atau perang bunga. Tlaxcalteca dan negara-negara Nahuatl yang lain dipaksa menyertai perang-perang ini, dan tidak menyukai merupakan sumber pengorbanan manusia yang tidak henti-henti, mereka dengan relanya menyertai tentera Sepanyol menentang orang Aztek.
Pasukan Sepanyol yang kecil yang terdiri daripada lebih kurang 600 orang yang terlatih dalam perang Eropah dan dilengkapi dengan senjata dan perisai keluli, diperkukuh oleh ribuan sekutu orang asli Indian. Penggunaan serang hendap mereka semasa upacara orang asli seperti Perayaan Huitzilopochtli membenarkan Sepanyol mengelakkan perlawanan dengan pahlawan-pahlawan asli yang terbaik dalam pertempuran langsung.
Sepanyol juga dibantu oleh cetusnya wabak cacar (salah satu daripada banyak penyakit baru yang dibawa oleh orang-orang Sepanyol dan abdi-abdi Afrikanya) pada sekitar masa itu yang membunuh beratus-ratus ribu orang Aztek. Bersama-sama dengan selesema, plag bubon, campak, sipilis dan penyakit-penyakit lain mungkin mengorbankan melebihi lapan juta orang asli yang tinggal di Mexico dalam tempoh beberapa tahun. Orang Sepanyol mendapat manfaat yang besar daripada matapelaka ini kerana gangguan struktur sosial mengakibatkan kekosongan kuasa yang dieksploitasikan oleh mereka.
Sepanyol Baru
suntingPenewasan Mexico oleh Sepanyol pada tahun 1521 menandakan permulaan Sepanyol Baru, zaman penjajah di Mexico, selama 300 tahun. Selepas kejatuhan Tenochtitlan, perang sekali-sekala selama berdekad-dekad diadakan untuk mengamankan kawasan-kawasan Mesoamerika yang lain, dengan perang-perang yang paling ganas merupakan "perang-perang Chichimeca" (1576-1606) di bahagian utara Mexico.
Majlis Hindia dan mazhab Mendecant (golongan yang hidup bergantung pada sedekah) yang bangkit di Mesoamerika seawal tahun 1524 lagi bekerja bertungkus-lumus untuk mewujudkan modal untuk kerajaan Sepanyol yang bankrup serta juga untuk menjadikan penduduk Indian beragama Katolik. Pada sepanjang tempoh penaklukan (1519 - k.k. 1600-an) dan tempoh-tempoh penjajah yang menyusul, penajaan rahib Mendecant dan proses asimilasi keagamaan menggabungkan budaya-budaya pra- Amerika-Sepanyol dengan tradisi sosio-agama Sepanyol. Budaya yang bercampur aduk ini menghasilkan sebuah negara berbilang kelompok etnik yang bergantung kepada buruh-buruh repartimiento of peseant (Republik Indian) untuk melakukan sebarang kerja yang diperlukan. Sistem feudal budaya Mesoamerika pra-Amerika-Sepanyol yang sedia ada digantikan dengan sistem gaya feudal encomienda Sepanyol yang mungkin disesuaikan daripada tradisi pra-Amerika-Sepanyol. Ia akhirnya digantikan oleh pengerahan buruh berdasarkan hutang yang menyebabkan penubuhan gerakan-gerakan pencegasan semula secara meluas. Gerakan-gerakan tersebut kemudian mencetuskan pemberontakan yang mengakhiri negara penjajah Sepanyol Baru.
Semasa zaman penjajah yang berlangsung antara tahun 1521 hingga tahun 1810, Mexico dikenali sebagai "Nueva España" atau "Sepanyol Baru" (sebagaimana yang tersebut di atas). Wilayah-wilayah yang dituntut termasuk kawasan-kawasan yang kini merupakan:
- Mexico;
- kepulauan Caribbean Sepanyol;
- Amerika Tengah sehingga Costa Rica di selatan;
- sebuah kawasan di bahagian barat daya Amerika Syarikat;
- Filipina.
Orang Sepanyol menuntut semua tanah yang mereka rentasi dan semua tanah yang dialirkan oleh sungai-sungai yang dilihat mereka. Mereka tidak menakluk atau mengembangkan sebarang wilayah yang tidak mempunyai penduduk Indian untuk dijadikan pengikut Katolik atau untuk membekalkan sumber buruh yang mencukupi. Mereka merentasi sebahagian besar Amerika Utara untuk mencari harta karun dan kemudian menuntut tanah tersebut, sesuai dengan amalan mereka. Kalau mereka tidak dapat mencarikan harta karun atau puak-puak India untuk dijadikan pengikut Katolik dan untuk diasimilasikan, mereka akan pulang ke rancho (ladang ternak) dan hacienda (ladang) masing-masing di Mexico dan kekal di sana. Hakikatnya ialah banyak peta. Orang-orang Indian yang tinggal di kawasan-kawasan yang ditaklukkan biasanya tidak diendahkan, kalau tidak dikerahkan menjadi buruh.
Kemerdekaan Mexico
suntingPada 16 September 1810, Miguel Hidalgo y Costilla, seorang paderi kariah kriolo, menyeru supaya pemberontakan (Grito de Dolores) dimulakan terhadap Sepanyol. Pada tahun 1821, Sepanyol bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Mexico.
Selama 22 tahun ketakstabilan yang teruk menyusul kemerdekaan Mexico, dengan presidennya ditukarkan sebanyak 36 kali, iaitu lebih kurang 7 hingga 8 bulan sekali pada puratanya. Pada tahun 1836, Texas memberontak terhadap kerajaan Mexico kerana penghapusan pengabdian. Para petani Texas yang kaya memerlukan abdi untuk mengerjakan ladang mereka tetapi tidak dapat memperolehnya di bawah kerajaan Mexico. Pada tahun 1845, Kongres Amerika Syarikat mengundi untuk mengilhakkan Texas dan mencetuskan Perang Mexico-Amerika, dengan askar-askar Amerika Syarikat menawan Bandaraya Mexico. Di bawah Persetiaan Guadalupe Hidalgo (1848), Mexico menyerahkan Texas, California, Utah, Colorado, dan kebanyakan New Mexico dan Arizona kepada Amerika Syarikat. Masyarakat Maya memberontak terhadap dipertuan mereka pada akhir 1840-an dan hampir berjaya menghalau mereka dari Semenanjung Yucatán. Menjelang tahun 1862, Mexico telah banyak berhutang kepada Britain, Perancis dan Sepanyol, dengan ketiga-tiga negara ini menghantar sebuah pasukan bersama untuk menuntut hutang mereka.
Campur tangan Perancis dan Empayar Mexico Kedua
suntingPerancis kemudian memutuskan untuk menjajah Mexico dan dengan itu, mencetuskan satu lagi peperangan. Pada tahun 1864, Perancis menjemput Ferdinand Maximilian dari Austria, archduke Habsburg, untuk menjadi maharaja Mexico. Pemerintahannya tamat bermandi darah dalam Pertempuran Puebla pada 5 Mei 1867 (kini diperingati sebagai Hari Kelepasan Cinco de Mayo) oleh askar-askar yang setia kepada bekas presiden Benito Juárez, seorang Zapotec dari Oaxaca. Walaupun demikian, tentera Perancis yang dianggap sebagai salah satu angkatan yang paling cekap di dunia ketika itu, akhirnya berjaya menewaskan tentera Mexico yang diketuai oleh Jeneral Ignacio Zaragoza dan mengembalikan takhta Mexico kepada Maximilian.
Pemerintahan beraja Mexico mengasaskan kerajaannya di ibu kota Bandaraya Mexico dan Istana Negara digunakan sebagai pusat kerajaannya. Maharaja Maximilian I dan permaisurinya nampak bagaimana orang-orang Mexico khususnya orang Indian diperlakukan dan berhasrat memastikan hak asasi mereka dipelihara. Mereka cenderung kepada konsep Mexico untuk rakyatnya dan tidak berpandangan seperti Napoleon III yang hanya mahu mengeksploitasi lombong-lombong yang kaya di bahagian barat laut negara.
Maharaja Maximilian I lebih menyukai penubuhan sebuah pemerintahan beraja terhad yang berkongsi kuasa dengan sebuah kongres yang dipilih secara demokratik. Bagaimanapun, pandangan ini dianggap terlalu liberal oleh puak Konservatif Mexico, manakala puak liberal sendiri enggan menerima sebarang pemerintahan beraja, lantas mengakibatkan Maximilian tidak banyak sekutu di Mexico. Juárez terus mengekalkan kerajaan persekutuannya semasa campur tangan Perancis yang memberi kuasa kepada Maximilian.
Kekalahan berulang dalam pertempuran dengan Tentera Republik, dan bantuan yang semakin merosot daripada Napoleon III, akhirnya mengakibatkan kejatuhan Maximilian. Pada pertengahan tahun 1867, Maximilian ditangkap dan dihukum mati bersama-sama jeneral-jeneralnya (Mejia, dan Miramon) oleh askar-askar yang setia kepada Presiden Benito Juárez, di Cerro de las Campanas, Querétaro. Sejak itu, Juárez mengekalkan jawatan presiden sehingga akhir hayatnya pada tahun 1872, akibat gagal jantung.
Revolusi Mexico
suntingDengan cogan kata 'Kestabilan dan Kemajuan', diktator Porfirio Díaz berjaya membimbing negara Mexico ke zaman perindustrian semasa pemerintahannya antara tahun-tahun 1878 - 1911. Namun demikian, beliau mentadbirkan negara dengan kuku besi dan mengharamkan sebarang pilihan raya bebas dan menyekat kebebasan akhbar. Kedua-dua ini, bersama-sama dengan pengawalan seangkatan tentera yang kejam, kemudian menjadi pencetus utama Revolusi Mexico (1910-1920).
Revolusi Mexico menyaksikan pemindahan kuasa antara sebilangan pemimipin yang percubaan mereka untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil kerap digagalkan oleh pergolakan yang baru. Pada asasnya, persengketaan ini berlaku antara puak liberal reformis dengan puak yang lebih radikal, umpamanya Emiliano Zapata yang berjuang untuk memindahkan tanah hacienda kepada rakyat miskin.
Dalam tempoh Revolusi Mexico yang berlangsung selama 10 tahun, antara 1.5 - 2 juta orang Mexico dijangka terkorban, iaitu lebih kurang seorang bagi setiap lapan orang Mexico. Namun di sebalik sebilangan tragedi yang berlaku, revolusi ini amat bermakna kepada rakyat Mexico kerana ia telah berjaya menghasilkan Perlembagaan Mexico 1917. Selepas revolusi ini tamat, kerajaan Mexico yang baru telah menumpukan perhatiannya terhadap pembinaan semula infrastruktur negara.
Zaman Parti Revolusi Berinstitusi (PRI)
suntingParti politik yang paling lama berkuasa di negara ini ialah Parti Revolusi Berinstitusi (PRI) yang mula menerajui kerajaan Mexico pada tahun 1934. Pada awalnya, parti ini telah memperkenalkan sebilangan rancangan yang baik seperti rancangan reformasi dan pengagihan tanah.
Pergolakan awam tercetus pada tahun 1966, apabila para mahasiswa yang marah dengan pentadbiran konservatif Díaz Ordaz telah menunjuk perasaan. Kemarahan ini diakibatkan oleh pengamalan sistem satu parti, penyekatan kebebasan bercakap, serta juga perbelanjaan kerajaan yang berlebihan. Pada tahun 1968, sebelum bermulanya Sukan Olimpik di Bandaraya Mexico, para penentang ini telah bertembung dengan tentera kerajaan, dengan kebanyakan mereka dibunuh secara beramai-ramai oleh pihak tentera.
Ledakan minyak pada akhir dekad 1970-an meningkatkan hasil negara Mexico dan membiayai pelaburan-pelaburan perindustrian dan pertanian, akan tetapi lebihan minyak pada pertengahan dekad 1980-an kemudian menurunkan harga petroleum dan mengakibatkan kemelesetan Mexico yang paling buruk sejak berdekad-dekad. Kemerosotan eknonomi ini juga memperlihatkan kenaikan pertentangan politik terancang, baik daripada sayap kiri mahupun daripada sayap kanan. Gempa bumi yang besar pada September 1985 mengakibatkan kemusnahan antara AS$9-12 bilion dalam tempoh hanya sedikit melebihi tiga minit. Sekurang-kurangnya 9,000 orang terkorban dan 30,000 orang tercedera, dengan ratusan bangunan di Bandaraya Mexico termusnah, serta ribuan orang dijadikan tiada tempat berteduh.
Presiden Carlos Salinas de Gortari memulakan penggalnya pada tahun 1988 selepas sebuah pilihan raya umum yang penuh dengan perbalahan. Bagaimanapun, beliau dapat memperoleh sokongan umum selepas berjaya merundingkan semula hutang negara Mexico yang terlalu besar serta juga mengawal inflasi yang semakin meningkat. Sebuah rancangan penswastaan besar-besaran serta sebuah pasaran kewangan antarabangsa yang berkembang menyebabkan Mexico diisytiharkan oleh akhbar-akhbar antarabangsa sebagai satu contoh unggul ekonomi pasaran bebas. Puncak reformasi ekonomi Salinas harus merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 1994.
Kebimbangan bahawa NAFTA akan mengakibatkan kaum asli Mexico semakin tersisih telah mencetuskan kebangkitan Zapatista di negeri paling selatan di Chiapas. Sebaik sahaja NAFTA dikuatkuasakan, sekumpulan tentera tak bersenjata yang terdiri daripada golongan miskin telah mengejutkan Mexico apabila mereka mengambil alih bandar San Cristóbal de Las Casas dan mendesak kerajaan supaya memperbaiki keadilan sosial dan ekonomi Mexico. Namun dalam tempoh beberapa hari sahaja, gerakan yang dipanggil Ejército Zapatista de Liberación Nacional (EZLN) diusir dari bandar tersebut. Walaupun demikian, kebangkitan gerakan ini telah menyebabkan rakyat Mexico merasai pertambahan jurang ekonomi yang ketara antara golongan kaya dengan yang miskin. Sehingga ke hari ini, gerakan Zapatista masih berpengaruh, dengan Subcomandante Marcos, pemimpinnya, merupakan seorang pahlawan negara.
Pada Mac 1994, Luis Donaldo Colósio, calon pengganti Salinas, dibunuh dan penggantinya, Ernesto Zedillo, dipilih dengan 50% undi. Dalam beberapa hari sahaja selepas Presiden Zedillo memegang jawatan, mata wang peso Mexico menjunam, dan membawakan negara ini kegawatan ekonomi. Akibatnya antara lain termasuk jenayah yang berleluasa, pertambahan ketidakpuasaan terhadap kerajaan PRI, serta juga penghijrahan secara besar-besaran dari Mexico ke Amerika Syarikat. Melebihi 2.5 juta orang Mexico dianggarkan memasuki Amerika Syarikat secara haram pada tahun 1997. Namun demikian, dasar-dasar kerajaan Zedillo telah berjaya beransur-ansur memulihkan ekonomi Mexico yang meruncing sehinggakan pada akhir penggal pemerintahannya dalam tahun 2000, kuasa beli rakyat Mexico telah kembali ke tahap yang dicapai pada tahun 1994.
Berakhirnya hegemoni PRI
suntingPada tahun 2000, dalam sebuah pilihan raya yang paling bebas dan adil yang tidak pernah disaksikan sejak Revolusi Mexico, Vicente Fox, calon presiden Parti Tindakan Nasional (PAN) dan bekas presiden Coca-Cola Mexico, menewaskan Francisco Labastida, calon PRI dan pengganti Zedillo. Dengan itu, penguasaan parti PRI selama 71 tahun sekaligus ditamatkan. Walaupun demikian, parti PRI masih merupakan sebuah parti pembangkang yang utama di Mexico.
Presiden Fox telah berusaha untuk menegaskan peranan Mexico sebagai salah satu pemain antarabangsa, dan telah memberikan sokongan yang kuat kepada Amerika Syarikat sejak Peristiwa 11 September, dengan pengawasan di sempadan utara Mexico diketatkan.
Sementara itu, khabar-khabar angin tentang amalan rasuah kerajaan sekali lagi tersebar, kegiatan-kegiatan kartel dadah negara yang termasyhur terus menjadi tajuk berita, dan kadar jenayah yang melambung naik mencemari imej Mexico sebagai sebuah destinasi melancong yang dimegah-megahkan.
Lihat juga
suntingNota kaki
sunting- ^ Sila lihat Pengaruh Olmek pada kebudayaan-kebudayaan Mesoamerika yang lain untuk pengolahan yang lebih terperinci untuk persoalan "kebudayaan ibu/saudara".
Bacaan tambahan
sunting- Daily Life of the Aztecs, on the Eve of the Spanish Conquest , Jacques Soustelle, Percetakan Universiti Stanford, 1970, ISBN 0-8047-0721-9
- Mexico: From the Olmecs to the Aztecs, Michael Coe, Thames & Hudson, 2004, edisi ke-5, ISBN 0-500-28346-X
- 1491: New Revelations of the Americas Before Columbus, Charles Mann, Knopf, 2005, ISBN 1-4000-4006-X
- American Holocaust: The Conquest of the New World, David Stannard, Percetakan Universiti Oxford, 1993, edisi Rep, ISBN 0-19-508557-4
- Mexico Profundo, Guillermo Bonfil Batalla, Percetakan Universiti Texas, 1996, ISBN 0-292-70843-2
- Mexico's Indigenous Past, Alfredo Lopez Austin, Leonardo Lopez Lujan, Percetakan Universiti Oklahoma, 2001, ISBN 0-8061-3214-0
- American Indian Contributions to the World: 15,000 Years of Inventions and Innovations , Kay Marie Porterfield, Emory Dean Keoke, Checkmark Books, 2003, edisi buku kulit lembut, ISBN 0-8160-5367-7
- Great River, The Rio Grande in North American History, Paul Horgan, Holt, Rinehart and Winston, cetakan kembali dalam satu jilid buku kulit tebal, 1977, ISBN 0-03-029305-7
- An Archaeological Guide to Central and Southern Mexico, Joyce Kelly, Percetakan Universiti Oklahoma, 2001, ISBN 0-8061-3349-X
- The Course of Mexican History , Michael C. Meyer, William L. Sherman, Susan M. Deeds, Percetakan Universiti Oxford, 2002, ISBN 0-19-514819-3
- Skywatchers. (Versi semakan dan kemas kini bagi Skywatchers of Ancient Mexico.) Anthony Aveni, Percetakan Universiti Texas, 2001, ISBN 0-292-70502-6
- The Olmecs: America's First Civilization, Richard A. Diehl, Thames & Hudson , 2004, ISBN 0-500-02119-8
- The Broken Spears: The Aztec Account of the Conquest of Mexico , Miguel Leon-Portillo, Percetakan Beacon, 1992, ISBN 0-8070-5501-8
- Prehistoric Mesoamerica. Versi semakan Richard E. W. Adams, Percetakan Universiti Oklahoma, 1996, ISBN 0-8061-2834-8
- Michael Snodgrass, Deference and Defiance in Monterrey: Workers, Paternalism, and Revolution in Mexico, 1890-1950. Percetakan Universiti Cambridge, 2003. ISBN 0-521-81189-9
Pautan luar
sunting- Alat kira sepua "Aztec" Diarkibkan 2006-11-01 di Wayback Machine – alat kira berangka asas 20 direka di Mexico
- Laman web Astronomywebguide – memberikan maklumat tentang warisan astronomi Mexico
- Hernán Cortés: Página de relación
- Perpustakaan Universiti Brown: Tiga untuk Tiga Juta Diarkibkan 2011-05-14 di Wayback Machine – maklumat tentang Himpunan Sejarah Mexico Paul R. Dupee Jr. '65 di Perpustakan John Hay, termasuk peta-peta dan gambar foto buku-buku
- Sejarah Mexico – memberikan sejarah Mexico dari zaman kuno sehingga hari ini
- Mexico: Sejak Empayar sehingga Revolusi – pemeriksaan sejarah dan kebudayaan Mexico melalui gambar-gambar foto daripada himpunan Penyelidikan Getty yang dihasilkan antara tahun-tahun 1857 - 1923
- Perang Amerika Syarikat-Mexico – konteks politik Amerika Syarikat dan gambaran keseluruhan tentang kempen ketenteraan yang berakhir dengan Persetiaan Guadalupe Hidalgo, 1816-1848. Membekalkan pautan ke sumber-sumber tentera Amerika Syarikat
- Peradaban-peradaban di Amerika – gambaran keseluruhan peradaban Mexico