Sejarah Republik Czech

Gambaran keseluruhan komprehensif sejarah tanah Czech

Republik Czech kini cuma muncul pada 1993 selepas pemecahan Czechoslovakia. Namun sejarah tanah Czech bermula jauh lebih awal pada akhir abad ke-9 ketika ia disatukan oleh Dinasti Přemyslid. Kerajaan Bohemia adalah penguasanya, namun konflik keagamaan seperti Perang Hussit abad ke-15 dan Perang Tiga Puluh Tahun abad ke-17 sangat merosak. Kemudian tanah ini di bawah pengaruh Habsburg dan menjadi sebahagian Austria-Hungary.

Setelah jatuhnya negara ini setelah Perang Dunia Pertama, Czech dan tetangganya Slovakia bergabung dan membentuk republik merdeka Czechoslovakia pada 1918. Negara baru ini mempunyai etnik Jerman minoriti yang besar, yang menuju ke pembubaran Czechoslovakia ketika Jerman dengan sukses menganeksasi minoriti tersebut melalui Persetujuan Munich pada 1938, dan Slovakia mendapat autonomi yang lebih besar, dengan negara dinamai "Czechoslovakia". Slovakia lebih lanjut memecahkan diri lagi pada 1939 dan sisa negara Czech ini diduduki oleh Jerman.

Setelah Perang Dunia Kedua, Czechoslovakia jatuh ke dalam pengaruh Kesatuan Soviet. Pada 1968, satu serangan oleh pasukan Pakatan Warsaw mengakhiri usaha pemimpin negara ini untuk meliberalisasikan parti berkuasa dan menciptakan "sosialisme dengan sebuah muka manusia" pada Musim Bunga Praha. Pada 1989, Czechoslovakia mendapatkan kebebasan melalui Revolusi Baldu. Pada 1 Januari 1993 negara ini secara damai pecah menjadi dua, menciptakan Republik Czech dan Slovakia yang merdeka.

Republik Czech bergabung dengan NATO pada 1999 dan Kesatuan Eropah pada 2004.

Asal usul dan sejarah awal empayar sunting

Bukti kewujudan manusia di negara Czech bermula kira-kira 17,000 tahun lalu. Orang Boii iaitu suku kaum keturunan Celt di Czech dipercayai menghuni wilayah ini sekitar abad ke-3. Manakala puak Slav mula berhijrah kira-kira abad ke-5. Pada abad ke-7, pedagang Frank bernama Samo menyertai orang Slav untuk mengalahkan tentera Avar. Kemudian beliau bergabung dengan beberapa kumpulan etnik di wilayah itu lalu membentuk empayar kerajaannya. Bagaimanapun Kerajaan Samo lenyap selepas kematiannya. Pada tahun 830, Mojmir I mendirikan Kerajaan Moravia Raya dengan menyatukan tanah Bohemia, Moravia, Slovakia, selatan Poland dan barat Hungary. Namun kerajaan ini juga runtuh apabila diserang orang Magyar pada tahun 907.

Permulaan Kerajaan Czech dan Empayar Suci Rom sunting

 
Tugu Jan Hus di Prague. Beliau adalah pemimpin gerakan keagamaan dan berjasa dalam memperbaiki sistem bahasa Czech.

Puak Slav telah memusatkan seluruh tenaga untuk pembangunan Prague selama 10 abad. Semasa Dinasti Przemysl di bawah pimpinan Puteri Libuše, tanah jajahan di Bohemia, Moravia, Slovakia dan Poland diperluas. Pada tahun 1204, Kerajaan Czech mendapat kemerdekaan daripada Empayar Suci Rom. Kemudian pada awal tahun 1346, Charles IV mengambil alih dinasti Luxembourg dan menjadi Raja Bohemia. Beliau dipilih menjadi Maharaja Empayar Suci Rom pada tahun 1355. Dari situlah bermulanya zaman kegemilangan Czech manakala Prague menjadi pusat politik dan kesusasteraan empayar itu.

Reformasi Hus dan jajahan Habsburg sunting

Pada akhir abad ke-14, kemangkatan Charles IV dan wabak penyakit telah menyebabkan huru-hara di Czech. Gerakan keagamaan Paderi Jan Hus juga mendapat sokongan besar dalam kalangan masyarakat. Namun kumpulan paderi yang mengambil rasuah menghasut rakyat dan menuduh fahaman dibawa Jan Hus menggugat kedudukan Katolik. Akibatnya Jan Hus mati dibakar. Seleps itu pada tahun 1419, pengikutnya memulakan Perang Hussite dan berakhir pada tahun 1434. Pada pertengahan abad ke-15, peperangan dengan Empayar Uthmaniyyah telah menjatuhkan Czech dan Hungary. Pada tahun 1526 pula, Ferdinand I ditabal menjadi raja kepada Bohemia dan Hungary. Kemudian Ferdinand II cuba menyekat pengaruh Protestan dan mencetuskan Perang Tiga Puluh Tahun. Czech akhirnya menjadi jajahan Habsburg selama 300 tahun selepas golongan bangsawan ditewaskan dalam Perang Tiga Puluh Tahun pada tahun 1620.

Pergerakan kebangkitan nasional sunting

 
Muzium Negara Republik Czech terletak di Dataran Wenceslas dan siap dibina pada tahun 1890. Memainkan peranan penting semasa pergerakan kebangkitan dan mempamerkan artifak serta antropologi Czech.

Kesedaran semangat nasionalisme Czech dapat dilihat apabila Habsburg melaksanakan polisi kerajaan tanpa menghiraukan kepentingan budaya mereka. Pada akhir abad ke-18, cendekiawan telah menubuhkan pusat pengajian bahasa Czech dan muzium negara untuk pergerakan kebangkitan nasional. Slovakia juga berusaha untuk memberi kesedaran nasionalisme kepada bangsa sendiri dengan meluaskan pengaruh bahasanya.

Perang Dunia Pertama dan kemerdekaan sunting

Pada tahun 1867, bumi Czech dan Slovakia didominasi Empayar Austria-Hungary. Apabila percubaan menuntut kemerdekaan gagal, orang Czech dan Slovak menubuhkan Majlis Nasional Czechoslovakia ketika Perang Dunia Pertama. Usaha sama ini mendapat sokongan dunia dan kesatuan orang Czech dan Slovakia diiktiraf dalam Perjanjian Versailles 1918 yang menamatkan Perang Dunia Pertama. Pada 28 Oktober 1918, Czechoslovakia mengumumkan kemerdekaan secara rasmi dan Tomáš Masaryk dipilih sebagai Presiden pertama bersama Karel Kramář sebagai Perdana Menteri.

Perang Dunia Kedua dan pendudukan Nazi sunting

Czechoslovakia menjadi sebuah negara kuasa besar di Eropah Timur dan berkembang pesat selepas kemerdekaan. Namun kemerosotan ekonomi dunia pada tahun 1930-an merencatkan ekonominya. Dalam tahun 1938 pengaruh Adolf Hitler yang bertambah kuat menyebabkan Czechoslovakia kehilangan 38 peratus tanah kepada Jerman Nazi melalui Perjanjian Munich antara Jerman Nazi, Itali, Perancis dan England. Setahun selepas itu, Nazi menyerang Czechoslovakia. Dari Istana Prague, Hitler mengisytiharkan pendudukan Nazi di bumi negeri lindungan Bohemia dan Moravia.

Negeri merdeka ke negeri komunis sunting

Semasa Perang Dunia Kedua, Presiden Edvard Beneš menubuhkan kerajaan dalam buangan. Beliau memberikan sokongan kuat kepada parti-parti komunis Czech dalam gerakan anti-Nazi. Selepas Czechoslovakia bebas daripada pemerintahan Nazi dalam tahun 1945, Beneš cuba menghidupkan semula kerajaan republik demokratik. Bagaimanapun pengaruh Parti Komunis Czechoslovakia yang disokong Kesatuan Soviet semakin kuat dalam kabinet melalui pilihan raya tahun 1946. Pada tahun 1948, Parti Komunis merampas kuasa kerajaan dan Czechoslovakia menjadi sebuah negara komunis.

Peristiwa Musim Bunga Prague dan Revolusi Velvet sunting

 
Václav Havel membuat lawatan ke Memorial Revolusi Velvet pada tahun 2010.

Pada tahun 1968, setiausaha pertama Parti Komunis, Alexander Dubček cuba memperkenalkan pembaharuan dan kebebasan bersuara di seluruh negara. Kesatuan Soviet menganggap ia sebagai ancaman lalu melancarkan tekanan diplomatik. Akibatnya Kesatuan Soviet menghantar Pakatan Warsaw untuk menceroboh Czechoslovakia dan menyingkirkan sentimen antikomunis. Situasi ini mencetus reformasi yang dikenali Peristiwa Musim Bunga Prague. Pada 20 November 1989, lebih 200 ribu orang membuat demonstrasi di Dataran Wenceslas di bawah pimpinan Václav Havel. Revolusi Velvet yang aman berjaya menjatuhkan rejim komunis. Tiga tahun kemudian, Czechoslovakia terbahagi kepada Slovakia dan Republik Czech dengan Václav Havel menjadi Presiden pertama Republik Czech.

Rujukan sunting

  • Kang Gyung-Hyo, 2014, Kembara Khazanah Republik Czech, Batu Caves, Selangor, Anjung Taipan Sdn Bhd

Lihat juga sunting