Zaman purba sunting

Pada zaman purba, orang-orang Celt dan Illyria menduduki kawasan yang kini diduduki sebagai Slovenia. Empayar Rom mendirikan pemerintahannya di kawasan ini pada abad pertama, setelah 200 tahun bertempur menentang puak-puak setempat. Kota-kota Rom yang terpentinf di kawasan ini termasuklah: Celeia (kini Celje), Emona (Ljubljana), Nauportus (Vrhnika), Poetovio (Ptuj). Wilayah negara moden ini dibahagi kepada wilayah-wilayah Rom Dalmatia, Italia, Noricum, dan Pannonia.

Karantania sunting

 
Hypothetical borders of Karantania around 800

Duchy Slavika Karantania terutamanya menduduki wilayah Carinthia Austria and Carinthia Slovenia masa kini. Karantania lahir daripada saki-baki kesatuan Slavika yang terawal, iaitu Kesatuan Puak Samo.

Samo menghubungkan puak-puak Slavika Barat dan Selatan. Kesatuan ini diluaskan dari Laut Baltik ke Laut Adriatik. Tujuannya adalah untuk melindungi porang-orang Slav daripada orang Bavaria, Langobard dan Avar, tetapi lama kelamaan runtuh setelah kematian Samo (658) dan hubungan yang terputus antara penempatan Slav barat dan selatan.

Setelah berkuburnya Kesatuan Puak Samo, orang-orang Karantania menubuhkan duchy mereka di bawah panduan Knez (Pemerintah) Valuk. Pada tahun 745, Karantania menyertai kerajaan Frank sebagai negara merdeka dengan undang-undang sendirinya (consuetudo Sclavorum) serta memelihara pelantikan knez (putera) dalam bahasa Slovenia pada batu Putera (knežji kamen) sehingga tahun 1414. Sehingga tahun 1651, upacara mengangkat sumpah pemerintah dilangsungkan di Kerusi Duke (vojvodski stol) dan kemudian, sehingga tahun 1728, di dewan daerah di Klagenfurt (Celovec). Upacara pelantikan ini dihuraikan dalam buku Jean Bodin yang berjudul Six livres de la République dan adalah diketahui bahawa Thomas Jefferson mengenalinya dari buku ini.

Dominasi Jerman sunting

Sejak seawal abad ke-9, tanah-tanah yang diduduki orang Karantania, kemudiannya orang Slovenia, jatuh di tangan pemerintah bukan Karantania, termasuk penguasaan separa tetapi bersama oleh bangsawan-bangsawan Bavaria dan Republik Venice.

Orang-orang Slovenia yang tinggal di wilayah-wilayah Carinthia, Carniola dan Styria, tinggal di bawah pemerintahan dinasti Habsburg mulai abad ke-14 sehingga 1918, kecuali apabila Napoleon menjaga beberapa bahagian Slovenia dan Croatia selama empat tahun — "Wilayah-wilayah Illyria" dan rantau Prekmurje diuruskan oleh Empayar Uthmaniyyah selama kira-kira 150 tahun. Ketika kebanyakan golongan elit kawasan ini dijermankan, kaum petani kuat melawan pengaruh penjermanan dan memelihara bahasa dan budaya unik Slavika mereka. Satu langkah utama ke arah pembebasan sosial dan budaya orang-orang Slovenia berlaku ketika Reformasi, apabila Primož Trubar menerbitkan buku-buku cetakan terawal yang berbahasa Slovenia (Catechismus dan Abecedarium, 1550 di Tübingen, Jerman). Terbitan Protestan dalam bahasa Slovenia memuncak apabila keluarnya terjemahan penuh Kitab Injil (Jurij Dalmatin, Wittenberg 1584). Meskipun kebanyakan penduduk memeluk ajaran Protestan, namun rantau ini kembali ke mazhab Katolik di bawah pemerintahan Archduke Ferdinand dari Austria Tengah (memerintah 1590 - 1637), yang kemudiannya menjadi Maharaja dan meneruskan dasar-dasar yang serupa di wilayah-wilayah Habsburg yang lain.

Pada abad ke-19, para cendekiawan mengkanunkan bahasa Slovenia menjadi bahasa sastera, dan gerakan nasionalis Slovene mula dihidupkan, mual-mulanya meminta autonomi Slovene dalam lingkungan rangka Kerajaan Habsburg (lihat Slovenia Bersatu). Pada separuh kedua abad ke-19, Slovenia memperoleh autonomi pentadbiran dalam wilayah Carinthia. Wialayh-wilayah lain yang diduduki orang Slovenia menikmati konsesi budaya dan pendidikan.

Yugoslavia sunting

 
Jata Republik Sosialis Slovenia

Pada tahun 1918, selepas Perang Dunia I, orang-orang Slovene bergabung dengan orang-orang Slav selatan yang lain untuk membentuk Negeri Rakyat Slovene, Croat dan Serb (29 Oktober 1918) dan kemudiannya Kerajaan Serb, Croat dan Slovene (1 Disember 1918) di bawah Raja Peter I dari Serbia. Pada tahun 1929, Kerajaan Serb, Croat, dan Slovene dinamakan semula sebagai Kerajaan Yugoslavia. pada tahun 1941, Yugoslavia jatuh di tangan kuasa-kuasa Paksi ketika pencerobohan Yugoslavia. Setelah tumbangnya Yugoslavia, Jerman, Itali, dan Hungary masing-masing mengilhakkan bahagian-bahagian Slovenia.

Berikutan tentangan partisan Yugoslav terhadap pendudukan Jerman, Hungary, dan Itali serta penghapusan golongan pembelot, Josip Broz Tito menubuhkan Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia pada tahun 1945. Sejurus selepas berakhirnya perang, lawan-lawan politik dan ahli-ahli formasi-formasi bersenjata bukan komunis dipernjarakan dan dihukum mati, dan kebanyakan mereka dikebumikan di kubur besar-besaran yang tidak bertanda. Berikutan perpecahan Tito-Stalin tahun 1948, langkah-langkahnya kurang menindas. Slovenia membentuk republik konstituen dalam Republik Persekutuan Sosialis Yugoslavia.

Slovenia terus menjadi republik yang paling makmur dan maju di Yugoslavia sepanjang zaman komunis. Slovenia merupakan peneraju versi unik komunisme Yugoslavia.

Kemerdekaan Slovenia sunting

Kemerdekaan Slovenia direlaisasikan sebagai kesan pembubaran Yugoslavia, dan kebangkitan nasionalisme. Krisis timbul di Yugoslavia dengan pelemahan komunisme di Eropah Timur menjelang akhir Perang Dingin pada akhir 1980-an. Di Yugoslavia, parti Komunis persekutuan, yang nama rasminya Perikatan atau Liga Komunis, makin pudar dominasi ideologinya.

Pada masa yang sama, fahaman nasionalisme dan separatisme bangkit pada akhir 1980-an di seluruh Yugoslavia. Ini memang jelas berlaku di Serbia, Croatia, dan Bosnia dan Herzegovina, tetapi kurang ketara di Slovenia dan Republik Macedonia. Kebangkitan kuasa Slobodan Milošević di Serbia, dan retoriknya yang menyebelahi kesatuan semua orang Serb, dibalas dengan gerakan nasionalis di republik-republik lain, khususnya Croatia dan Slovenia. Republik-republik ini mula menggesa lebih autonomi dalam persekutuan, termasuk status gabungan dan kemerdekaan sepenuhnya pun. Nasionalisme juga bangkit dalam Liga Komunis yang masih memerintah. Maka pelemahan rejim komunis membolehkan nasionalisme melebihkan pengaruhnya dalam politik Yugoslav. Pada Januari 1990, Liga Komunis berpecah mengikut Republik individu.

Pada Mac 1989, krisis Yugoslavia makin parah setelah pengamalan pindaan-pindaan dalam perlembagaan Serbia yang membolehkan kerajaan republik Serbia menuntut semual kuasa efektif terhadap wilayah-wilayah autonomi Kosovo dan Vojvodina. Kerajaan Serbia mendakwa bahawa situasi yang sebelumnya tidak adil dalam membenarkan wilayah-wilayah ini terlibat dalam pemerintahan Pusat Serbia manakala Pusat Serbia tiada kuasa terhadap apa yang berlaku dalam kedua-dua wilayah ini. Maka, Serbia di bawah Presiden Slobodan Milošević meraih kuasa dengan tiga daripada lapan undian presiden Yugoslav. Dengan undian tambahan dari Montenegro dan, kadang-kala, Bosnia dan Herzegovina, maka Serbia mampu kuat mempengaruhi keputusan kerajaan persekutuan. Situasi ini menghadapi bantahan di republik-republik lain serta gesaan untuk pembaharuan Persekutuan Yugoslav.

Pada Kongres Luar Biasa Liga Komunis Yugoslavia ke-14, pada 20 Januari 1990, delegasi republik-republik tidak dapat mencapai kata sepakat dalam isu-isu utama dalam persekutuan Yugoslav. Akibatnya, delegasi Slovenia dan Croatia meninggalkan Kongres. Delegasi Slovenia yang diketuai Milan Kučan menggesa perubahan demokratik dan persekutuan yang lebih longgar, sementara delegasi Serbia yang diketuai Milošević, menentang cadangan itu sepenuhnya. Ini dikatakan sebagai bermulanya pengakhiran Yugoslavia.

 
Jata Republik Slovenia masa kini

Sejurus selepas itu, Slovenia dan Croatia memulakan proses ke arah kemerdekaan. Pilihan raya bebas yang pertama dijadualkan di Croatia dan Slovenia. Slovenia mengingkari ahli-ahli politik di Belgrade dengan memeluk demokrasi dan membuka masyarakatnya ke dalam lingkungan budaya, sivik, dan ekonomi kepada satu takat yang tidak diduga dalam dunia komunis.

Pada 23 Disember 1990, 88% pendduk Slovenia mengundi untuk kemerdekaan dalam satu pemungutan suara, dan pada 25 Jun 1991, Republik Slovenia mengisytiharkan kemerdekaan.

Satu peperangan dengan Yugoslavia menyusuli (27 Jun 1991 - 6 Julai 1991). Angkatan Tentera Rakyat Yugoslavia (JNA) berundur setelah Slovenia menunjukkan tentangan yang kuat terhadap Belgrade. Konflik ini mengakibatkan agak sedikit yang terkorban: 67 orang terbunuh menurut statistik yang disusun oleh Palang Merah Antarabangsa, kebanyakannya (39) ialah askar JNA.

Slovenia Moden sunting

Slovenia menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 22 Mei 1992.

Kaitan sejarahnya dengan Eropah Barat menjadikan Slovenia calon yang kuat untuk menyertai Kesatuan Eropah yang dijayakan pada 1 Mei 2004. Republik-republik Yugoslav yang lain masih terpaksa menunggu di luar Kesatuan. Beberapa minggu sebelumnya - pada Mac 2004 - Slovenia menyertai NATO.

Sempadan-sempadan Slovenia masa kini sama dengan sewaktu Republik Sosialis sebelum merdeka, namun timbulnya beberapa pertikaian sempadan antara Slovenia dan jirannya Croatia.

Matawang tolar Slovenia menjadi sebahagian Mekanisme Kadar Tukaran Eropah pada tahun 2004. Slovenia menyertai Kesatuan Kewangan Eropah dan menerima Euro sebagai matawangnya pada 1 Januari 2007 sebagai negara ahli baru pertama yang berbuat demikian.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting