Sekolah Izzuddin Shah

Sekolah Izzuddin Shah (nama rasmi sekolah mengikut nama asal sewaktu ditubuhkan dan didaftarkan di Jabatan Agama Islam negeri Perak (JAIPk) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta sering disalah tulis dan disalah sebut sebagai Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah) terletak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh (dahulu dikenali sebagai Jalan Harimau atau Tiger Lane). Sekolah ini terletak di atas sebidang tanah berkeluasan kira-kira 7 ekar dan bertentangan dengan Jabatan Veterinar Ipoh dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) di sebelah timur dan Jabatan Sains Mineral dan Geologi di sebelah tenggara dan Sekolah Menengah Teknik Persiaran Brash serta Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) di sebelah barat.

Sekolah Izzuddin Shah
(SIS)
Fail:Logo Sekolah Izzuddin Shah.png
Alamat
Jalan Sultan Azlan Shah, 31400 Ipoh Perak
Ipoh, Perak
 Malaysia
Maklumat
JenisSekolah Menengah Agama
MotoIlaa al-Ghayat al-Quswaa
الى الغاية القصوى (Arab)
(Menuju Matlamat Tertinggi)
Ditubuhkan1959
Daerah sekolahKinta Utara
PengetuaUstaz Ahmad Munawir Bin Salehuldin @ Salehuddin (2021 - sekarang)
GredTingkatan 1 - Tingkatan 6
Bilik kelasMenengah Rendah : Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Khaldun, Ibnu Nafis Menengah Atas  : Ibnu Sina, Ibnnu Rushd, Ibnu Khaldun, Ibnu Nafis
Rumah-rumahImam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam Termizi, Imam Ibnu Majah
Buku tahunanAkrab
AlumniAlumniSISTA @ PBSISTA ( Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Izzuddin Shah dan Sekolah Raja Perempuan Taayah)
Laman sesawang

Sejarah sekolah

sunting

Sekolah Izzuddin Shah (SIS) merupakan sekolah menengah agama yang pertama ditubuhkan di Malaysia berorientasikan sekolah berasrama penuh khas untuk pelajar lelaki dan menawarkan kedua-dua aliran pengajian agama berasaskan kurikulum institusi pengajian Islam terkemuka dunia iaitu al-Azhar serta kurikulum kebangsaan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ditubuhkan pada 1959, sekolah ini merupakan antara idea cetusan Menteri Besar Perak yang pertama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Tan Sri Haji Ghazali bin Jawi dan telah dinamakan sempena Ke Bawah DYMM Paduka Sultan Perak Sultan Yusuf Izzuddin Shah yang turut berkenan mencemar duli merasmikan sekolah tersebut pada tahun yang sama. Selain daripada sekolah ini, satu lagi sekolah yang mempunyai orientasi yang sama tetapi khas untuk pelajar perempuan turut didirikan setahun kemudian iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah (SERATA) dan terletak kira-kira 5 kilometer dari SIS dan berhampiran dengan kediaman rasmi Menteri Besar Perak Darul Ridzuan. Pada waktu tersebut, SIS (dan SERATA) mula membuka kelas untuk tingkatan satu dengan menerima pelajar-pelajar Melayu dari sekolah-sekolah Melayu serata Perak, khususnya di sekitar Ipoh. Kumpulan pertama pelajar SIS ini belajar sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SIS menawarkan pembelajaran sehingga kelulusan SPM dan pada awal tahun 80-an, sekolah mula menawarkan pembelajaran di tingkatan enam dengan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan menawarkan kelas tingkatan enam kepada pelajar perempuan.

Landskap sekolah

sunting

SIS mempunyai 5 blok asrama, yang menempatkan kesemua kira-kira 600 orang pelajar. Terdapat sebuah dewan besar yang dinamakan bersempena Tan Sri Ghazali bin Jawi, dan digunakan untuk acara-acara rasmi serta sebagai gelanggang sukan badminton. Selain itu juga, sekolah ini turut mempunyai sebuah perpustakaan yang dinamakan Perpustakaan Tun Datu Haji Mustapha, bersempena nama Ketua Menteri Sabah. Suatu ketika dahulu, kerajaan negeri Sabah pernah menghantar sejumlah pelajar ke sekolah ini dan Tun Datu Haji Mustapha pernah menyumbang ke arah pembangunan sekolah. Seperti lazimnya sekolah ini turut dilengkapi kemudahan seperti pejabat pentadbiran, bilik-bilik darjah, bilik guru, makmal-makmal sains, bengkel Kemahiran Hidup, makmal komputer serta turut dilengkapi dengan sebuah bilik mesyuarat, makmal bahasa, bilik audio visual, bilik PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) dan sebuah bilik seminar.

SIS juga turut mempunyai sebuah padang dan beberapa gelanggang bola tampar dan takraw. Sebuah kawasan berhampiran padang sekolah dikenali sebagai Dataran Ilmu digunakan sebagai tapak perhimpunan dan turut digunakan sebagai gelanggang sepak takraw. SIS turut mempunyai sebuah dewan makan bersebelahan kantin dan uniknya, bangunan dewan makan sekolah berbentuk huruf 'U'.

Oleh kerana sekolah ini merupakan sebuah sekolah berasrama penuh, 6 buah rumah guru yang menempatkan guru berjawatan warden turut didirikan bersama sebuah rumah Pengetua.

SIS juga turut mempunyai sebuah surau diri Jumaat yang dikenali sebagai Musolla Al-Azam. Kedua-dua solat sunat hari raya turut diadakan di sini.

Oleh kerana SIS menerima pelajar perempuan untuk belajar di tingkatan enam, pelajar-pelajar tersebut ditempatkan di asrama SERATA dan berulang-alik antara SIS dan SERATA dengan menggunakan perkhidmatan bas atau transit milik sekolah.

Pentadbiran sekolah

sunting

SIS merupakan sekolah menengah agama kelolaan kerajaan negeri dan dinaungi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perak yang dipengerusikan oleh Ke Bawah DYMM Raja Dr. Nazrin Shah dan diselia oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Barisan pentadbiran sekolah diketuai oleh seorang Pengetua, 3 orang penolong kanan, dan 4 ketua bidang.

Pentadbir Sekolah 2021

sunting

Pengetua: Ustaz Ahmad Munawir Bin Salehuldin @ Salehuddin

Penolong Kanan:

1. Puan Azyyati Binti Mohamad Azzahari (Pentadbiran)

2. Puan Shahbanun Binti Budin (Hal Ehwal Murid)

3. Puan Ramsiah Binti Ahmad Kamaldeen (Kokurikulum)

Ketua Bidang:

1. YBhg. Datin Fauziah Binti Othman (Bahasa)

2. Puan Noriah Binti Mahyudin (Sains dan Matematik)

3. Encik Hasri Bin Shahbudin (Kemanusiaan)

4. Puan Nurafifah Binti Badaruddin (Pengajian Islam)

Kemasukan pelajar

sunting

Proses kemasukan pelajar ke SIS adalah sesuatu yang unik. Calon-calon UPSR dengan khususnya dari seluruh negeri Perak yang berminat untuk memasuki sekolah ini dikehendaki mengisi borang permohonan yang boleh diisi secara dalam talian setelah keputusan UPSR diumumkan. Calon-calon yang berkelayakan akan dipanggil untuk menduduki ujian khas hafazan Al-Quran (Lisan).

Hanya calon-calon yang lulus ujian khas ini dengan aras tertentu akan dipertimbangkan untuk ditawarkan tempat ke sekolah ini. Ujian hafazan ini khas untuk kemasukan ke tingkatan satu.

Borang permohonan dalam talian ini boleh disemak melalui Laman Web Rasmi SIS di http://sekizzuddinshah.edu.my.

Bagi kemasukan ke tingkatan empat, pemohon mestilah berasal dari sekolah menegah agama atau kelas-kelas khas agama di sekolah menengah kebangsaan biasa dan mempunyai kelulusan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) termasuk Bahasa Arab Komunikasi.

Bagi kemasukan ke tingkatan enam, pemohon mestilah berasal dari sekolah menegah agama atau kelas-kelas khas agama di sekolah menengah kebangsaan biasa dan mempunyai kelulusan dalam Sijil Pelajaran Malaysia termasuk Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah.

Syarat am pengambilan pelajar ke SIS adalah seseorang pelajar yang memohon mestilah beragama Islam, bumiputera, lelaki dan mempunyai kewarganegaraan Malaysia.

Walau bagaimanapun, pelajar perempuan dibenarkan untuk memohon melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam.

Pencapaian sekolah

sunting

Dalam bidang akademik, SIS telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan tahun demi tahun. peningkatan ini diukur berdasarkan Gred Purata Sekolah atau GPS.

Pada tahun 2001, SIS telah berjaya meletakkan kedudukan dalam tangga ke-41 sekolah-sekolah terbaik seluruh Malaysia dalam SPM dengan GPS 3.21. GPS sekolah meningkat saban tahun apabila pada tahun 2006, SIS mencatatkan GPS 2.90 dan meningkat lagi pada tahun 2007 pada nilai 2.70.

Dalam bidang kokurikulum, SIS boleh berbangga dengan pencapaian sama ada di peringkat daerah, negeri, ataupun kebangsaan. Antara pencapaian yang membanggakan ialah tempat pertama pertandingan kawad kaki sempena Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak yang menyaksikan SIS unggul dalam kategori kawad kaki dan pakaian terbaik antaranya pada tahun 1999, 2001, 2002, 2003, 2004, 2005 dan 2006.[perlu rujukan]

SIS juga berjaya menjadi perintis kepada kumpulan nasyid kotemporari dengan penubuhan kumpulan nasyid Soutul Faizin (SF) pada tahun 1996.Kumpulan yang bertemakan "Irama Kontemporari Menggugah Misi" ini telah berjaya menempatkan diri ke peringkat kebangsaan bagi Pertandingan Nasyid Antidadah pada tahun 2006 dan 2007 & Pertandingan Ihtifal Ilmi Kebangsaan pada tahun 2014 dan 2015 serta memperoleh naib Johan Festival Nasyid Sekolah-Sekolah Malaysia pada tahun 2018. Pada tahun 2007 juga,kumpulan Soutul Faizin telah berjaya menjadi johan kebangsaan buat kali pertamanya.Pada tahun 2015, kumpulan Soutul Faizin berjaya mendapat naib johan. Selain itu beberapa kejayaan ko kurikulum juga telah diukir diatas memori sejarah SIS pada tahun ini. Antaranya adalah menjadi Johan bagi kategori Tilawah Al-Quran di Majlis Tilawah Al-Quran Sekolah-Sekolah Malaysia bagi tahun 2018 serta naib Johan bagi kategori Hafazan di Karnival Dakwah Sekolah - Sekolah Malaysia bagi tahun 2016.Selain itu,SIS juga muncul sebagai Johan Pesta Pantun Daerah Kinta dimana telah menobatkan pemantun SIS sebagai Pemantun terbaik bagi 2 tahun berturut-turut (1996 & 1997) dan Johan Tilawah Al-Quran di Majlis Ihtifal Ilmi Kebangsaan pada tahun 2015.

Pada tahun 2023, seorang pelajar yg bernama Ahmad Solihin berjaya mendapat 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sumber

sunting