Sekolah Kebangsaan Jabor

Sekolah Kebangsaan Jabor atau nama ringkasnya SK Jabor merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Kampung Alor Batu Jabor. Sekolah ini terletak di dalam kedamaian suasana kehijauan pokok sawit dan jua hijauan belantara di antara sempadan Pahang dan Terengganu.

Sekolah Kebangsaan Jabor
Lokasi
Kg Alor Batu Jabor, KUANTAN, Pahang
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
Nombor sekolah+601165732422 (Email) cba4067@moe.edu.my
Kod sekolahCBA4067


Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Jabor memiliki 76 pelajar lelaki dan 62 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 138 orang. Ia mempunyai seramai 14 orang guru.

Sejarah sunting

Sekolah Kebangsaan Jabor ialah sebuah sekolah luar bandar terletak di Kampung Alor Batu, kira-kira 19 kilometer dari bandar Kuantan. Sekolah ini terletak berdekatan dengan kawasan Ladang Kelapa Sawit Guthrie dan persekitarannya amat menenangkan untuk sesi pembelajaran.

Sejarah persekolahan di Kampung Alor Batu Jabor bermula pada tahun 1949. Pada tahun tersebut, sekolah pertama masa itu terkenal dengan nama Sekolah Melayu Jabor telah dibina. Sekolah ini mula digunakan pada 2hb Februari 1950 dengan bilangan muridnya seramai 35 orang dan seorang guru iaitu En Mohd Amion bin Nik. Pada mulanya, sekolah pertama ini adalah dibawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Kemaman, Terengganu.

Oleh kerana pertambahan bilangan murid dan mengikut peredaran masa, bangunan sekolah yang diperbuat daripada kayu ini didapati tidak sesuai lagi digunakan. Cadangan telah dikemukakan oleh penduduk-penduduk kampung ini kepada pihak yang bertanggungjawab supaya bangunan sekolah yang baru dan selesa dapat didirikan.

Akhirnya terdirilah bangunan sekolah yang baru yang mengandungi 2 blok bangunan serta sebuah kantin. Bangunan baru ini mempunyai kemudahan enam bilik darjah, bilik guru besar, bilik guru, pejabat, bilik perpustakaan, setor dan bilik air. Bangunan ini mula digunakan pada 3 Oktober 1971. Pada masa itu, bilangan muridnya telah meningkat kepada 113 orang dengan lima orang guru iaitu En Mohd Nor bin Omar (Guru Besar), En Ab. Aziz bin Ab. Rahman, En Ab.Malek bin Andai, En Jamaluddin bin Salleh dan En Ibrahim bin Ali (Guru Agama). Semenjak penubuhan sekolah ini masih lagi dibawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Kemaman, Terengganu.

Memandangkan dari segi kedudukan bangunannya, Sekolah Kebangsaan Jabor yang baru ini terletak di Kampung Alor Batu, Jabor dalam Daerah Kuantan, Pahang maka Pejabat Pelajaran Terengganu telah bersetuju menyerahkannya ke bawah pentadbiran Jabatan Pelajaran Pahang. Penyerahan tersebut dibuat melalui Surat Pekeliling Bil 27 dalam PT.194/49 Pt.II bertarikh 01 Disember 1971. Urusan pentadbiran sekolah ini telah diambil alih pada 31 Disember 1971 dengan rasminya oleh Jabatan Pelajaran Pahang.

Di bawah Pentadbiran Jabatan Pelajaran Pahang, Guru Besar pertamanya ialah En Zulkarnain bin Ab. Ghani berserta 4 orang guru  iaitu En Ab.Malek bin Andai, En Teh bin Yusof, En Ab.Majid bin Long dan En Jamaluddin bin Salleh dengan bilangan muridnya juga telah meningkat kepada 125 orang. Selain daripada kemudahan-kemudahan di atas, dengan usaha pihak PIBG, sekolah ini juga telah dibekalkan dengan tenaga elektrik yang telah memberikan kemudahan dari segi pengajaran dan pembelajaran agar lebih selesa bagi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pengajaran dan pembelajaran.

Sejak daripada pembukaan sekolah, meskipun bilangan muridnya bertambah dari masa ke semasa tetapi dari segi pembangunan pelajaran murid-muridnya didapati masih ketinggalan jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain dalam Daerah Kuantan. Keadaan ini berterusan sehinggalah ke tahun 1979. Angin perubahan telah mula bertiup di sekolah ini mulai daripada 1980. Peningkatan pelajaran murid telah mula terserlah.

Atas usaha gigih Guru Besar serta guru-guru dan pihak PIBG di sekolah ini, pencapaian murid-murid amatlah menggalakkan. Peratusan murid berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR bertambah saban tahun dan semuanya telah ditawarkan ke sekolah berasrama penuh atau sekolah rancangan khas.

Pencapaian sunting

Tahun 2008 merupakan tahun SK Jabor mencatat sejarah menduduki tangga yang kelima dalam daerah Kuantan dari segi peratusan murid 5A dan dari segi peratusan murid lulus semua subjek. Seramai 7 orang murid daripada 26 orang murid telah berjaya memperoleh 5A dan peratus menguasai semua mata pelajaran ialah 88.46 peratus dengan GPS 1.75.

Alamat sunting

Sekolah Kebangsaan Jabor
Kampung Jabor, Batu Jabor
Pahang, Malaysia
Telefon : +601165732422
GPS  : 3.9213116, 103.3069911

Lagu Sekolah sunting

Berilmu dan berbakti

Hasrat kami semua

Menuntut ilmu sepanjang masa

Di Sekolah Kebangsaan Jabor.

Bekerja bersama untuk masa hadapan

Amalan agama tetap kami amalkan

Jasa guru yang diterima

Kami sanjung dan hargai

Majukan bangsa majukan negara

Itulah janji kami semua

Belajar terus belajar

Cogan kata sumpah setia

Kami anak bangsa malaysia

Mencapai wawasan negara.

Pautan luar sunting