Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kenangan

Lencana SMK Seri Kenangan Segamat (SUKSES)

Sejarah sunting

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan Segamat, sebuah sekolah yang tersergam indah terletak di pekan kecil Batu Anam dan kurang 20 kilometer dari Bandar Segamat. Idea penubuhan sekolah ini tercetus apabila Tuan Haji Kassim Bin Md Noh ingin mewujudkan sebuah sekolah elit untuk anak-anak Segamat. Nama SMK Seri Kenangan Segamat diambil bersempena nama sebuah kampung yang terdapat di sekitar sekolah ini iaitu Kampung Kenangan, Batu Anam.

Bangunan sekolah mula dibina pada tahun 2002 dan siap dalam masa 2 tahun. Sesi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) mula dilaksanakan pada Januari 2005 dengan 256 orang pelajar dan 18 orang guru menjadi penghuni pertama SMK Seri Kenangan Segamat. Pelajar-pelajar dipilih melalui keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2004 dengan memperolehi keputusan 5A dan 4A 1B. Encik (sekarang Tuan Haji) Yusof Bin Embot menjadi Pengetua pertama mengemudi bahtera pentadbiran sekolah.

Majlis Penyerahan Surat Membuka Sekolah Baru disempurnakan oleh Tuan Haji Ali Bin Ismail, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor pada ketika itu pada 3 Januari 2005. Majlis ini membuka lembaran baru bagi pendidikan di daerah Segamat khususnya dan di negeri Johor amnya bagi memberikan persaingan yang lebih sihat antara sekolah-sekolah lain.

Infrastruktur dan kemudahan di SMK Seri Kenangan Segamat juga setaraf dengan Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Selain mempunyai bangunan akademik, Makmal Sains, Makmal Kemahiran Hidup dan surau, sekolah ini mempunyai trek balapan yang sesuai untuk acara-acara sukan dan seringkali digunakan untuk acara sukan peringkat daerah dan negeri.

SUKSES menerima penganugerahan Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK) Fasa 7 dengan kebitaraan Bahasa Melayu dalam bidang akademik dan Inovasi dan Rekacipta dalam bidang bukan akademik pada 5 April 2013. Penganugerahan ini telah diterima oleh En Jamil Sajuri, Pengetua SMK Seri Kenangan daripada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia di Putrajaya. SUKSES..

Pencapaian Akademik sunting

Pencapaian akademik pada usia sekolah yang baru berusia setahun jagung amat membanggakan. Anak sulung SMK Seri Kenangan Segamat menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan apabila seramai 54 orang mendapat keputusan semua A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 dan menduduki tempat kedua di daerah Segamat. PMR 2007 juga menyaksikan sekolah tersenarai sebagai antara 10 sekolah yang mendapat keputusan 100 peratus lulus di negeri Johor. Nur Ezzati Binti Mohd Sobran diangkat sebagai Pelajar Terbaik PMR Negeri Johor pada tahun yang sama.

Pencapaian akademik semakin menunjukkan peningkatan apabila sekolah tersenarai sebagai sekolah menengah harian terbaik peringkat kebangsaan untuk PMR 2009.

Pencapaian Kokurikulum sunting

Pencapaian kokurikulum juga tidak menghampakan. Pelbagai pertandingan dimenangi sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun kebangsaan. Antaranya tempat pertama Pertandingan Dramatari Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan, pemenang hadiah utama dan pemenang kategori Persembahan Terbaik Pertandingan Eco Youth Toyota, Anugerah Merit Pertandingan Rekacipta Muda Peringkat Kebangsaan, dan diumumkan antara 15 koperasi terbaik bertaraf 4 bintang dalam menjayakan Sambutan Hari Koperasi Sekolah.

Rujukan & Pautan sunting

  1. Laman web SUKSES
  2. Laman peminat Facebook : Komuniti SUKSES
  3. Twitter SUKSES
  4. Youtube SUKSES
  5. Sasar 500 sekolah kluster menjelang 2015 : Utusan Malaysia, 6 April 2013
  6. Pengetua SMKSK Batu Enam bersara : Utusan Malaysia, 8 November 2011