Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat

Sekolah Tinggi Batu Pahat telah bermula pada tahun 1914. Pada waktu itu, sekolah tersebut adalah sebuah sekolah yang merupakan sekolah Inggeris pertama di negeri Johor yang telah didirikan dengan nama Government English School (GES) di kaki Bukit Bendera, yang kini menjadi tapak bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan gelanggang tenis di Jalan Pejabat, Batu Pahat. Bangunan sekolah itu hanyalah merupakan sebuah pondok papan yang berbumbungkan atap.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Batu Pahat
Lokasi
Batu Pahat, Johor Darul Ta'zim
 Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Menengah Kebangsaan
MotoNunc Aut Nunquam (Now or Never) (Kini atau Kecewa)
Ditubuhkan1914
Nombor sekolah074341097
Kod sekolahJEB0015
Pengerusi PIBGTn. Hj. Muhammad Zahir bin Mahmood
PengetuaEn. Yazid bin Zawawi
GPK Pentadbiran dan AkademikEn. Mohammad bin Ismail
Penolong Kanan Hal Ehwal MuridEn. Mohammad Rafee bin Abd. Kahar
Penolong Kanan KokurikulumTuan Haji Norman bin Ibrahim
Map

Jumlah muridnya adalah antara 40 sehingga 50 orang sahaja. Pelajar-pelajar ini mendapat pendidikan sekolah rendah sahaja. Tenaga pengajarnya terdiri daripada empat orang guru, termasuklah Encik Samarasingam, Encik A. Auctland, Encik Alwee Jaffar. Guru besar sekolah itu pula ialah Encik Tom Newman. Beliau kemudiannya digantikan oleh Encik J. B. Hobday dan Encik L. C. Stevenson dalam tahun-tahun yang berikutnya.

Sebilangan pelajar ini memulakan persekolahan mereka hanya apabila mencapai umur 14 atau 15 tahun, kerana had minimum umur untuk bersekolah pada ketika itu masih belum ditetapkan lagi. Justeru itu pelajar-pelajarnya mempunyai umur yang berbeza-beza juga, walaupun dalam kelas yang sama. Persekolahan pada waktu itu belum diwajibkan lagi oleh pemerintah Inggeris, mengakibatkan kadar ponteng sekolah yang sangat tinggi. Keadaan begini telah memaksa guru besar pada masa itu menghabiskan sebahagian besar daripada masanya di sekolah menangkap pelajar-pelajar yang cuba ponteng sekolah. Pelajaran juga terjejas akibat masalah ini. Namun, tiada penyelesaian ditemui pada masa itu dan masalah ini terus berleluasa.

Pada tahun 1916 sebuah bangunan sekolah sementara telah dibina di Simpang Rantai, iaitu di tempat yang kini menjadi tapak kediaman (barracks) anggota keluarga polis Batu Pahat. Beberapa tahun kemudian Tuan Syed Abdul Rahman al-Kudcy telah menggantikan Encik L. C. Stevenson sebagai guru besar sekolah tersebut. Bilangan pelajar sekolah itu sudah meningkat sehingga 200 orang pada masa beliau menduduki jawatan barunya itu. Justeru itu, sebuah bangunan baru yang lebih besar dan kukuh telah dibina pada tahun 1918 dengan perbelanjaan $ 60 000.

Pembinaan Bangunan Utama STBP sunting

Bangunan baru inilah yang merupakan bangunan pejabat Sekolah Tinggi Batu Pahat yang masih wujud pada hari ini. Pelajar-pelajar yang dahulunya belajar di sekolah sementara tersebut telah dipindahkan ke bangunan baru ini menjelang bulan Januari 1919. Bangunan baru dua tingkat ini mempunyai 8 buah bilik darjah iaitu 4 buah bilik di tingkat bawah dan 4 buah kelas lagi di tingkat atas. Pentadbirannya diketuai oleh Tuan Syed Abdul Rahman al-Kudcy dari tahun 1919 sehingga tahun 1922. Mulai tahun itu bilangan pelajar sekolah terus meningkat melebihi 200 orang dan tenaga pengajar pula telah bertambah menjadi 10 orang. Pertambahan bilangan pelajar ini telah menyebabkan kesesakan bilik-bilik darjah. Oleh itu, pada tahun 1924 bilik-bilik darjah tambahan telah didirikan di belakang bangunan utama. Bangunan baru ini mengandungi 3 buah bilik makmal dan 10 buah bilik darjah. Bilik-bilik darjah tambahan ini kini dikenali sebagai Blok Cendekiawan dan memuatkan bilik-bilik Sains dan Kemahiran Hidup sekarang.

Selain itu, sebuah rumah batu besar untuk guru besar sekolah telah dibina kira-kira 100 ela daripada bangunan utama tersebut. Kini tapak asal tempat itu merupakan tapak Dewan Besar Sekolah Tinggi Batu Pahat. Kawasan di antara rumah guru besar itu diliputi oleh pokok-pokok getah pada masa itu, memaksa guru besar mengharungi hutan belukar di situ untuk bertugas di bangunan utama sekolah.

Zaman Pendudukan Jepun dan Pembaikpulihan STBP sunting

Semasa pendudukan Jepun antara tahun 1942 - 1945 di Batu Pahat, bangunan sekolah ini dan juga rumah guru besar telah dijadikan markas tentera Jepun. Selain itu beberapa buah bilik darjah telah dijadikan bilik siasatan Polis Tentera Jepun (Kempeitai). Di sinilah beratus-ratus mangsa diseksa, biasanya sehingga mati. Seksaan ini bukan kepalang lagi dan sangat menggerunkan. Mayat-mayat mangsa juga digantung pada pokok atau tempat-tempat lain di kawasan sekolah. Justeru Kempeitai amat digeruni, meningkatkan pengaruh mereka. Dikatakan bahawa roh-roh mangsa Jepun masih menghantui kawasan supiandi STBP, tetapi ini kekal sebagai khabar angin sahaja.

Setelah Jepun menyerah kalah kepada Pihak Berikat pada Ogos 1945, bangunan utama GES telah dipulangkan kepada kerajaan Inggeris, dan bangunan itu telah dijadikan sekolah kembali. Pada masa inilah timbul masalah dalam usaha-usaha memulihkan semua bangunan GES yang telah dicalar oleh peperangan. Banyak bahagian-bahagian bangunan utama yang telah rosak atau musnah dan patut diperbaiki. Namun, tugas-tugas pemulihan ini telah dilakukan oleh beberapa guru besar sekolah ini dalam tahun-tahun yang berikutnya, khususnya Encik Lee Kong Been (1945 - 1946) dan Encik W. Burton (1946 - 1948).

Zaman Selepas Pendudukan Jepun sunting

Selepas Perang Dunia II bilangan pelajar yang menuntut di GES terus meningkat naik kepada 1000 orang. Sekali lagi, bangunan baru diperlukan. Maka 3 buah bangsal atap telah didirikan di antara bangunan utama dengan rumah guru besar. Ini hanya merupakan alternatif sementara.

Pertukaran nama GES sunting

Pada tahun 1956, berikutan perkembangan yang begitu pesat sekali telah menyebabkan sekolah yang dikenali sebagai Government English School (GES) ini ditukar namanya kepada Government High School (GHS). Pertukaran nama ini dibuat kerana sejak tahun 1956 sekolah ini telah mencapai taraf sekolah menengah dalam ertikata yang sebenarnya. Sebelum ini GHS telah menyediakan pendidikan untuk pelajar-pelajar dari darjah satu (rendah) hinggalah darjah sembilan (menengah).

Kemudian pada tahun kemerdekaan, 1957, sekali lagi nama sekolah ini telah diubah menjadi High School Batu Pahat (HSBP) dan seterusnya dikenali sebagai Sekolah Tinggi Batu Pahat (STBP) sehinggalah masa kini.

Pengasasan Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar sunting

Pada tahun 1958, beberapa buah kelas menengah aliran Melayu telah dibuka di seluruh negara. Kelas-kelas ini menumpang di sekolah-sekolah menengah aliran Inggeris. HSBP telah dijadikan tumpangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Pahat (yang beraliran Melayu) bermula pada tahun 1958 dan berlanjutan sehingga 2 Januari 1961 apabila bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Pahat siap dibina dan digunakan oleh sekolah itu sendiri. Sekolah itu kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar.

Pembinaan Blok Bistari sunting

Sesuai dengan perkembangan pendidikannya, pada tahun 1962 dua buah makmal sains telah dibina untuk menjadikan jumlah makmal sains pada waktu itu 5 buah, iaitu 3 di Blok Cendekiawan dan 2 lagi di Blok Bistari, yang terletak bersebelahan dengan bangunan utama STBP.

Pembinaan Blok Amanah sunting

Pada tahun 1964 pula sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 8 buah bilik darjah dibina berdekatan dengan rumah guru besar dan menggantikan bangsal atap. Bangunan itu kini dikenali sebagai Blok Amanah.

Pembinaan Perpustakaan sunting

Mulai 12 Mei 1965, sebuah bangunan perpustakaan yang selama ini ditempatkan di tingkat bawah bangunan utama (kini bilik Bimbingan dan Kaunseling) telah dipindahkan ke bangunan barunya yang tersendiri dan terletak berdekatan dengan kantin sekolah. Bangunan ini dikenali sebagai Blok Mustika. Bangunan perpustakaan ini didirikan atas sumbangan dan usaha Persatuan Murid-Murid Tua (Old Boys Association) Sekolah Tinggi Batu Pahat. Untuk membina bangunan perpustakaan ini, pihak sekolah telah mengadakan sebuah konsert yang mempersembahkan lakonan Macbeth yang dipetik daripada hasil karya Shakespeare. Pertunjukan ini yang dikendalikan di bawah kelolaan guru besar ketika itu, K. M. Mathai diadakan pada September 1964 dengan kebenaran pihak polis No.40/64 Batu Pahat. Pertunjukan ini mempunyai matlamat mengumpulkan derma sebanyak $10 000, tetapi malangnya hasil pungutan yang sebenar hanya $5447.Setelah ditolak perbelanjaan pertunjukan, hanya $4498.15 tinggal. Ini adalah berdasarkan laporan kewangan STBP bertarikh 12 Oktober 1964.

Upacara meletakkan batu asas bangunan yang berukuran 65 kaki X 60 kaki ini dilakukan pada 21 Mac 1964. Pembinaannya dilakukan oleh Kontraktor Tan Meng Huat dari 100-1, Jalan Syahbandar Batu Pahat. Bangunan perpustakaan ini kemudiannya dirasmikan pembukaannya oleh YB Menteri Pelajaran Malaysia pada 31 Mei 1965. Petanda perasmian ini masih kelihatan di pintu masuk utama STBP.

Buku-buku perpustakaan Sekolah Tinggi Batu Pahat ini telah disumbangkan oleh banyak pertubuhan, penerbit buku dan pihak-pihak lain. Antara mereka yang terawal memberi sumbangan termasuklah :

  • The Asian Foundation, Kuala Lumpur
  • Lembaga Perusahaan Getah (Menanam Semula)
  • Anthonian Berhad, Kuala Lumpur
  • The Oxford University Press, Kuala Lumpur
  • Eastern Book Centre. Kuala Lumpur
  • Lincoln Cultural Centre Kuala Lumpur
  • Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur

Menjelang akhir tahun 1968, Perpustakaan Sekolah Tinggi Batu Pahat mempunyai kira-kira 7600 naskah buku, buku yang berbagai-bagai jenis ilmiah. Sumbangan-sumbangan terus diterima daripada pelbagai pihak untuk menambahkan lagi bilangan buku di perpustakaan ini. Pada tahun 1987, Dr. Chua Soi Lek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bandar Penggaram telah menyumbangkan $2 000 kepada perpustakaan STBP. Separuh daripada sumbangannya itu digunakan untuk membeli buku-buku ilmiah dan rujukan sementara yang separuh lagi digunakan untuk melengkapkan lekapan dan lengkapan di perpustakaan.

Memandangkan perkembangannya yang begitu pesat, pihak sekolah telah berusaha mendapat seorang Pembantu Perpustakaan. Usaha-usaha ini mengambil masa yang agak lama dan akhirnya mencapai kejayaan di mana seorang Pembantu Perpustakaan telah diperolehi dan beliau memulakan tugasnya sehinggalah hari ini. Pembantu Perpustakaan ini adalah salah seorang pekerja am sekolah ini dan telah dilantik menjadi pembantu khas perpustakaan. Beliau itu ialah En. Hamzah bin Haji Nor, yang baru-baru ini telah bersara pada tahun 1997. Serentak itu perpustakaan ini telah dilengkapkan dengan alat penghawa dingin mulai bulan April 1969. Pembekalannya dan pemasangannya telah dilakukan oleh The Borneo Co. (M) Sendirian Berhad dari No.5, Jalan Hang Jebat, Melaka. Perbelanjaannya sebanyak $10 944. Selepas itu usaha-usaha diteruskan untuk melengkapkan lagi perpustakaan ini dengan meminta sumbangan-sumbangan daripada pelbagai pihak tertentu. Antara sumbangan yang diterima itu termasuklah $5 000 daripada Menteri Besar Johor pada tahun 1979.

Pembinaan Blok Budiman sunting

Pada tahun 1968, sebuah bangsal atap telah diruntuhkan dan digantikan dengan sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 6 buah bilik darjah. Bangunan ini dinamakan Blok Budiman. Pembinaannya adalah bertepatan dengan permulaan tingkatan 6 Sastera di STBP, dan telah membolehkan STBP menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.

Pembinaan Kantin baru sunting

Pada masa yang sama, sebuah bangunan kantin yang baru dan lebih luas telah dibina untuk menggantikan bangunan kantin yang lama. Ia terletak bersebelahan bangunan perpustakaan dan masih kekal sehingga hari ini.

Pembinaan ASPUTERA sunting

Mulai tahun 1968 itu juga bilangan pelajar luar bandar yang belajar di Sekolah Tinggi Batu Pahat ini telah meningkat naik. Kebanyakan pelajar luar bandar yang melanjutkan pelajaran mereka di STBP memandangkan sekolah ini adalah High School yang pertama sekali diasaskan di dalam negeri Johor. Pelajar dari luar bandar ini menghadapi masalah tempat tinggal dan pengangkutan. Untuk membantu mereka ini, sebuah asrama telah dibina pada tahun 1969 yang boleh menempatkan 100 orang pelajar. Asrama ini dikenali dengan nama ASPUTERA (Asrama Putera Sekolah Tinggi Batu Pahat). Ia memberi kemudahan tempat tinggal kepada pelajar lelaki sahaja, khususnya pelajar tingkatan rendah (tingkatan 1 hingga 5). Bangunan asrama ini didirikan di bahagian timur kawasan sekolah, berhadapan dengan Jalan Zahrah.

Pada tahun 1995 bangunan asrama ini telah dijilat api. Kebakaran ini telah memusnahkan hampir seluruh tingkat atas bangunan tersebut, tetapi mujurnya tidak mengorbankan nyawa. Usaha-usaha pemulihan masih sedang dijalankan.

Pembinaan Blok Dedikasi sunting

Perkembangan sekolah ini tidaklah berhenti setakat ini sahaja. Masalah kekurangan bilik makmal sains mula dirasakan apabila tingkatan enam aliran sains diperkenalkan di sekolah pada tahun 1969. Untuk mengatasi kekurangan bilik makmal ini, tiga buah makmal baru telah siap dibina pada tahun 1973. Makmal ini terletak berhampiran dengan bangunan utama sekolah. Ia lebih dikenali dengan nama Blok Dedikasi. Sebahagian daripada bangunan ini dijadikan Bilik Rehat Guru yang dapat menampung 80 orang guru. Sebelum ini Bilik Guru Sekolah Tinggi Batu Pahat terletak di tingkat bawah bangunan utama, yang kini dijadikan bilik sumber.

Pembinaan surau sunting

Selain memberi pendidikan sekular kepada pelajar-pelajar Sekolah Tinggi ini, guru-guru dan pelajar-pelajar Islam telah berusaha untuk membina sebuah bangunan surau bagi memenuhi kehendak-kehendak dan keperlua rohaniah mereka. Dorongan ini semakin memuncak memandangkan pelajar-pelajar asrama terpaksa mengadakan majlis sembahyang berjemaah di bangunan astaka yang terletak tidak jauh dari bangunan asrama. Justeru sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk menyelaraskan kerja-kerja pembinaan surau berkenaan. Jawatankuasa tersebut dibentuk pada 27 April 1976 yang dipengerusikan oleh guru besar Encik Mohd. Ismail Othman. Akhirnya pada 13 Julai 1977 bangunan surau ini didirikan dengan kerjasama Tuan Kadi Batu Pahat. Perbelanjaan membinanya adalah sumbangan derma berbagai-bagai pihak. Antara pihak-pihak yang berkenaan termasuklah :- Jabatan Perdana Menteri yang memberi sumbangan sebanyak $20 000. Sumbangan ini diperolehi atas inisiatif En. Mustapha bin Mohamad, setiausaha politik Perdana Menteri ketika itu. Beliau juga merupakan bekas pelajar STBP. UMNO Bahagian Batu Pahat, yang menyumbang $3 000. Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bandar Penggaram yang menderma $1 500.

Bangunan surau ini telah siap dibina pada tahun 1977 dan telah dirasmikan pembukaannya oleh YB Dato' Musa bin Hitam, Menteri Pendidikan Malaysia pada 8 September 1979 sempena menyambut perayaan Jubli Intan STBP. Beliau juga telah memberi peruntukan sebanyak $5 000 untuk membeli hampar bagi keperluan surau sekolah ini. Hampar-hampar tersebut telah diterima melalui Pejabat Daerah Batu Pahat pada bulan Disember 1981. Selain itu YB Dato' Yusof Abdul Rahman juga turut menderma hampar kepada surau STBP.

Pembinaan Astaka sunting

Sebuah astaka telah dibina berhampiran dengan bangunan asrama sekolah (ASPUTERA), yang terletak di hujung sebelah timur Padang A sekolah. Ia dibina hasil daripada sumbangan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tinggi Batu Pahat. Pembinaannya adalah untuk tujuan memenuhi keperluan-keperluan majlis yang sering diadakan di padang, sama ada bagi peringkat daerah dan negeri mahupun untuk kegiatan peringkat sekolah sendiri. Contohnya ialah upacara pembukaan dan penutup Sukan Tahunan STBP yang lazimnya diadakan di astaka ini. Hari Kemuncak Ko-kurikulum yang baru-baru ini diadakan sempena permulaan gerakan GR 21 di STBP juga telah dirasmikan di astaka ini. Ini adalah antara beberapa kegunaan astaka STBP.

Pembinaan Dewan Baru STBP sunting

Sekolah Tinggi Batu Pahat juga mendapat kemudahan sebuah Dewan Besar untuk menampung kegiatan pelajar-pelajarnya yang semakin cergas dan juga untuk menampung majlis-majlis rasmi yang sering diadakan di sekolah ini.

Kelulusan permohonan mendapatkan Dewan ini telah diumumkan oleh YB Dato' Musa Hitam selaku Menteri Pendidikan ketika merasmikan Perayaan Jubli Intan STBP pada 8 September 1979. Mengikutnya, projek pembinaannya akan bermula pada tahun 1980 di tapak rumah guru besar STBP. Dewan ini sepatutnya siap dibina pada bulan Ogos 1982, tetapi pembinanya berjanji akan menyiapkannya menjelang bulan September 1982. Pembina tersebut berjaya menunaikan janjinya, tetapi dewan itu hanya mula digunakan secara rasminya mulai awal tahun 1983. Pengurusan Dewan Besar ini diletakkan di bawah seorang guru yang bergelar Setiausaha, dan dibantu oleh sebuah Jawatankuasa Dewan.

Kemudahan peralatan dan kelengkapannya diperolehi daripada beberapa pihak seperti YB Dato' Haji Daud Mohd. Taha yang telah menyumbangkan 236 buah kerusi plastik bernilai RM5 000. Jabatan Pendidikan Johor yang memberi peruntukan 800 buah kerusi stackable (Kerusi-kerusi ini kemudiannya diagihkan ke kelas-kelas yang kekurangan kerusi). Kemudahan alat siaraya (sistem pembesar suara) telah dapat disediakan pada tahun 1986. Ia mengandungi sebuah Mixer Amplifier jenama Peavey buatan Amerika Syarikat, model XR-600B; 2 buah speaker box, jenama Peavey, model 2420H Enclosure dan sebuah mikrofon jenama Ibanez, model Dynamic TH 300. Set pembesar suara pula dibeli daripada Syarikat Swee Lee, 03-23 Beras Basah Complex, Singapura. Peruntukan membelinya diperolehi daripada sebuah tabung.

Identiti Sekolah sunting

Lagu Sekolah sunting

Berzaman kau tegak berdiri
Jasamu diingati
Dari dulu hingga kini
Sekolah Tinggi
kau dikenali;
Kami putera dan puterimu
Penuh jiwa berbangga
Kau gemilang
Kau cemerlang
Sekolah Tinggi,
kami julang.
Kini atau kecewa
Itu moto perjuangan
Landasan kami semua;
untuk ke mercu jaya.
Kami putera dan puterimu,
Setia rela berjuang,
Setiap ketika
sepanjang masa
Sekolah Tinggi
kaulah kami.

Falsafah Sekolah Tinggi Batu Pahat sunting

Kesempurnaan Pendidikan ke Arah Sahsiah yang mantap dan matang.

Matlamat Sekolah sunting

Melaksanakan dan Menghayati Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Objektif Sekolah sunting

  1. Mempertingkatkan prestasi kecapaian akademik dan kokurikulum dari segi kuantiti dan kualiti Sekolah Tinggi Batu Pahat ke tahap yang boleh di banggakan.
  2. Mengukuhkan sikap bekerjasama dan suasana kekeluargaan di kalangan kakitangan dan pelajar-pelajar serta masyarakat.
  3. Memperteguhkan asas tradisi kepimpinan di kalangan pelajar-pelajar.
  4. Mewujudkan alam persekitaran sekolah dan iklim yang sihat.
  5. Menambah dan melengkapkan alat-alat kemudahan pelajar.

Piagam Pelanggan Sekolah Tinggi Batu Pahat sunting

  1. Membimbing pelajar dalam membentuk sahsiah yang mulia melalui pemupukan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni selaras dengan kehendak dan aspirasi negara.
  2. Mendidik pelajar dalam menghasilkan berbagai-bagai bentuk tenaga manusia yang produktif dan berinovatif ke arah pembangunan negara.
  3. Mewujudkan iklim sekolah yang bersih dan menarik.
  4. Membimbing dan mendidik pelajar dalam melahirkan anggota masyarakat yang berbudi dan berbudaya penyayang.
  5. Menggembleng tenaga seluruh anggota masyarakat sekolah sedaya upaya meningkatkan prestasi akademik dan ko-kurikulum untuk menjadi sekolah ini antara yang terbaik di dalam daerah.
  6. Bersedia menerima dan melayan anggota masyarakat yang berurusan dengan sekolah.

Pautan luar sunting