Sekolah Raja Perempuan Taayah


Sekolah Raja Perempuan Taayah yang merupakan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Perak yang dibangunkan pada tahun 1960 di tapak yang seluasnya 9 ekar di Jalan Tambun, Ipoh. Sekolah asal bagi Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah ialah Sekolah Agama Menengah Perak, Jalan Kampung Simee, iaitu bekas Khemah Tahanan Politik.

Kemudian sekolah ini berpindah ke sekolah yang ada sekarang di Jalan Tambun, Ipoh. Kemasukan pelajar pertama bermula pada tahun 1960 iaitu seramai 80 orang pelajar dan 6 bulan kemudian seramai 80 orang pelajar lagi diterima masuk. Bangunan tahanan politik tersebut dijadikan kelas dan bangunan hospitalnya dijadikan asrama pelajar. Setelah berpindah ke tapak sekarang, para pelajar ditempatkan di Asrama Kuning. Mereka disatukan di Kelas Peralihan sebelum naik ke Tingkatan Satu pada tahun 1962.

Latar belakang sunting

Pengasas sekolah ini ialah Tan Sri Ghazali Jawi. Idea untuk mewujudkan sekolah ini tercetus apabila Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi iaitu Menteri Besar Perak ketika itu menyedari masalah ketiadaan sekolah menengah agama sebagai tempat para pelajar dari sekolah-sekolah kebangsaan/ rendah di seluruh Negeri Perak meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.

Perasmian pembukaan sekolah ini telah dilakukan dalam tahun 1962 oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Yussuf Izzudin Shah (Marhum Ghafarullah) Sultan Perak yang ke-32.

Sekolah ini mengambil nama sempena nama Raja Perempuan Perak, Raja Perempuan Ta'ayah. Penubuhan sekolah agama ini mempunyai tujuan besar untuk menyampaikan pengajaran Islam melalui sistem persekolahan kepada pelajar perempuan. Sebagai sebuah sekolah asrama, ia juga berperanan menyediakan individu-individu yang boleh melengkapkan diri sebagai seorang muslimah yang berakhlak dan bertanggungjawab kepada agama dan masyarakat. Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah atau SERATA merupakan Sekolah Menengah Agama yang mempunyai bahasa penghantar Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Sekolah ini merupakan sekolah berasrama penuh dibawah kerajaan negeri yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Perak melalui Hal Ehwal Jabatan Agama Perak. Dari tahun ke tahun, tahap perkembangan dan kemajuan SERATA semakin meningkat seperti penambahan guru, aktiviti sukan, permainan hoki dan bola jaring, tertubuhnya kumpulan nasyid, dewan sekolah dan lain-lain lagi. Lencana dan lagu sekolah telah dicipta khas oleh Y.M Raja Hisham untuk SERATA. Pada tahun 1970, jumlah pelajar bertambah seramai 400 orang. Segala aktiviti diadakan di Dewan Makan memandangkan pada masa itu Dewan Perhimpunan belum didirikan lagi.

Pada tahun 1980, kumpulan nasyid sekolah iaitu Darul Ridzuan (sekarang ini digelar Ainul Yaqin) sering mengharumkan nama sekolah sekitar tahun 1972 sehingga 1982. Pada tahun 1986,kelas Sijil Tinggi Agama ditubuhkan. Setahun kemudian, iaitu 1987 kelas Sijil Tinggi Agama telah mendapat pengiktirafan daripada Universiti Al-Azhar, Mesir. Kini, kelas STA telah ditukar menjadi Matrikulasi Al-Azhar bagi lepasan SPM.

1960 - 1969 sunting

80 pelajar kumpulan pertama ditawarkan untuk menyambung pengajian di SERATA. 6 bulan kemudian, 80 orang pelajar lagi diterima. Sebuah kawasan di Kg. Simee dijadikan kawasan sekolah dengan bangunan Kem Tahanan Politik (Tentera British) dijadikan kelas. Manakala bangunan hospital pula dijadikan asrama. Awal 1961, seramai 160 orang pelajar ditempatkan di tapak sekarang iaitu di bangunan Asrama Kuning yang kekal hingga sekarang. Pelajar juga disatukan di kelas persediaan sebelum naik ke tingkatan 1 pada tahun 1962.

Tuan Sheikh Hj. Mohd Ghazali bin Hj. Abdul Wahid merupakan Tuan Pengetua SERATA yang pertama dan beliau dibantu oleh lima orang guru; empat orang guru agama dan seorang guru akademik. Pada 1962, mogok pertama dilancarkan oleh para pelajar kerana kelemahan pihaksekolah menyediakan guru dan buku-buku pelajaran. Langkah mengatasinya ialah pihak sekolah mengambil guru sementara dan memberikan pinjaman buku-buku teks kepada pelajar.

Pada 1964, para pelajar melancarkan mogok kedua yang menuntut pihak sekolah melanjutkan pelajaran akademik ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dan pengambilan guru-guru diperbanyakkan. Persatuan dan kelab ditubuhkan buat kali pertama untuk melatih para pelajar membina kemahiran memimpin dan berdikari. Pelajar juga mula didedahkan dengan aktiviti kokurikulum. Pada dekad pertama ini , majalah rasmi sekolah diterbitkan buat julung-julung kalinya. Majalah ini dinamakan BAKTI. Aktiviti sukan pertama diperkenalkan seperi hoki, bola jaring, dan bulu tangkis. Antara bangunan awal yang terdapat di SERATA ialah bangunan pejabat, bangunan dua tingkat (sekarang dijadikan bangunan menengah rendah), dewan makan, 3 buah rumah guru, Asrama Kuning dan 6 pintu rumah pekerja. Antara tahun 1961 hingga 1962, bangunan Asrama Hijau dan Asrama Merah dibina. Ini diikuti dengan pembinaan Asrama Biru dan Asrama Putih pada 1963.

SERATA menerima kedatangan Tuan Pengetua baru iaitu Tuan Haji Salleh bin Haji Abdul Hamid pada 1968.

1970 - 1979 sunting

Pada tahun 1975, rumah Penyelia Asrama dibina memandangkan sudah terdapat 5 blok bangunan asrama. Aliran Sains Tulen mula diperkenalkan di SERATA pada tahun 1977. Dengan itu, Makmal Fizik dan Kimia dibina untuk tujuan pembelajaran. Sekolah mula mendapat pertambahan guru-guru siswazah bagi menampung masalah kekurangan guru.

SERATA menerima Tuan Pengetua baru iaitu Tuan Haji Abdullah Bin Haji Talib pada 1970. Dalam dekad ini, pelajar SERATA berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri dan seterusnya ada juga yang terpilih mewakili Malaysia sama ada dalam sukan olahraga mahupun sukan hoki.

Pada tahun 1972, kumpulan nasyid sekolah ditubuhkan dengan nama Darul Ridzuan. Mereka diundang untuk menyerikan Musabaqah Al-Quran peringkat Negeri Perak, peringkat Kebangsaan dan juga peringkat Antarabangsa. Awal 1973 hingga 1974, usul untuk membina Dewan Perhimpunan diwar-warkan bagi mengatasi masalah tempat untuk mengadakan sesuatu majlis.

Sekali lagi, jawatan Tuan Pengetua SERATA diambil alih pula oleh Tuan Haji Abdul Rahman Bin Osman pada 1978.

1980 - 1989 sunting

Dekad baru ini, Tuan Haji Osman Bin Ahmad dilantik sebagai Tuan Pengetua SERATA. Penglibatan para pelajar dalam kokurikulum boleh dibanggakan. Dengan itu, beberapa persatuan ditubuhkan lagi seperti Persatuan Agama dan Akidah, Persatuaan Pusat Sumber, PBSM, Kelab Koperasi dan sebagainya. Rumah-rumah sukan, Kelab Bola Tampar, Kelab Hoki dan Kaleb Bola Jaring juga ditubuhkan.

Pada tahun 1982 , Dewan Besar SERATA mula dibina. Pada tahun yang sama juga, Koperasi mula beroperasi. Bangunan tiga tingkat (bangunan tingkatan lima sekarang) dibina antara tahun 1987 hingga 1988.

Surau Pelajar boleh memuatkan 700 orang pelajar Pembinaan diteruskan di SERATA pada tahun 1988 iaitu dengan mendirikan surau pelajar. Ini adalah ekoran daripada kesempitan kawasan sebuah bilik di Asrama Kuning yang dijadikan surau. Dari sudut akademik pada 1987, kumpulan pertama pelajar Sijil Tinggi Agama berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar.

Detik bersejarah pada 17 Julai 1987 bersamaan 27 Zulkaedah, SERATA mengadakan sambutan Jubli Perak. Majlis ini telah dihadiri dan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbudin Shah Ibni ALmarhum Sultan Yssuf Izzudin Shah Ghafarallahu-Lah. Pada 1998, sekali lagi Sultan Perak bersama anakandanya Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak hadir ke SERATA bagi menyempurnakan 'Kursus Bahasa Arab' yang dianjurkan oleh Universiti Madinah dan Jabatan Agama Islam Perak. SERATA telah menerima Pengetua baru iaitu Puan Hajjah Halimah Binti Haji Abdul Samad pada 1995.

1990 - 2000 sunting

Pada 1992, sebuah lagi bangunan dewan makan baru dibina. Serentak dengan itu, bangunan kantin turut dalam pembinaan. Sebuah lagi bangunan tiga tingkat (bangunan tingkatan 1 sekarang) juga dibina pada tahun 1992. Demi Keperluan proses pembelajaran, sebuah bengkel KHB didirikan pada tahun 1994. Selain itu laluan berbumbung yang merentasi padang sekolah dan menghubungkan antara asrama dan sekolah dibina untuk keselesaan pelajar.

Dalam tahun 1994 juga, bangunan gimnasium SERATA siap dibina. Aktiviti kokurikulum SERATA telah dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu Unit beruniform, persatuan mata pelajaran dan kelab sukan. Pada tahun 1994, buat pertama kalinya, matapelajaran Prinsip Akaun diperkenalkan kepada pelajar menengah atas. Namun begitu, ia dimansuhkan pada tahun 1995 ekoran daripada kekurangan guru serta kewujudan 'kelas terapung'-hanya sebahagian pelajar tingkatan 5 Pengajian Islam 1 mengikuti pelajaran ini manakala selebihnya mengambil matapelajaran geografi. Pada tahun 1997, kelas Sijil Tinggi Agama ditukar kepada Matrikulasi Al-Azhar. Dalam tahun yang sama juga, kelas Pengajian Islam 2 ditukar kepada kelas Thanawi.

Pembangunan di SERATA pesat kembali dengan terbinanya sebuah bilik dobi di hadapan Asrama Kuning pada tahun 1999. Pada masa yang sama juga, sebuah bilik air umum turut dibina bersebelahan dengan bilik dobi bagi mengatasi masalah kesesakan tempat mandi di kalangan pelajar.

Sebuah Taman Refleksologi siap dibina berhampiran dengan Bilik Guru Lama pada tahun 1999. Sebuah lagi bilik air umum dibina di antara Asrama Putih dan Asrama Biru pada tahun 2000. Pada awal tahun 1999, matapelajaran Prinsip Akaun diperkenalkan semula kepada pelajar lepasan PMR bagi menggantikan matapelajaran Kesusasteraan Melayu. Dalam dekad ini, penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum adalah sangat aktif. Nama SERATA berjaya dijulang hingga ke peringkat kebangsaan misalnya dalam arena syarahan agama, tahfiz, pantun, sukan memanah dan lain-lain lagi. Selain itu, lebih banyak persatuan dan kelab-kelab baru ditubuhkan seperti Kelab Taekwando, Kelab Seni Silat, Kelab Memanah dan lain-lain lagi. Pada tahun 2000, kelas Sijil Tinggi Agama sekali lagi ditukar kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia untuk pelajar lepasan SPM 1999.

Tanggal 24 Jun 2000, SERATA telah mengadakan majlis Hari Anugerah Cemerlang serentak dengan sambutan ulangtahun yang keempat puluh dan majlis perasmian gimnasium SERATA yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Bin Ghazali yang juga merupakan anak kepada pengasas penubuhan SERATA, Tan Sri Ghazali Jawi. Majalah Sejarah Perkembangan Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah telah dilancarkan oleh Dato' Seri Tajol Rosli. Beliau juga turut meluluskan peruntukan wang sebanyak RM100,000 dalam ucapannya. Pada tahun 2000 juga, nama SERATA terpampang di dada akhbar apabila berjaya mencapai 100% pangkat satu dalam Sijil Pelajaran Malaysia 1999.

Visi sunting

Melahirkan insan cemerlang dunia dan akhirat

Misi sunting

Warga SERATA beriltizam untuk:

  • Mengamalkan tadbir urus yang cekap dan telus.
  • Melaksanakan pendidikan berkualiti bagi mencapai kecemerlangan.
  • Membangun dan membudayakan kerja berpasukan yang mantap.
  • Teks subskripMenjalin hubungan luar yang baik.

Objektif sunting

  • Membentuk pelajar beriman, berilmu dan beramal soleh.
  • Membentuk pelajar berakhlak, berdisiplin serta bertanggungjawab.
  • Melahirkan kesedaran diri, pengembangan potensi, daya kreatif dan inovatif.
  • Melahirkan pelajar yang sedia menerima perubahan, pengembangan rohani dan jasmani.
  • Melahirkan pemimpin yang berjiwa Islam dan berwibawa

Piagam Pelanggan sunting

Kami warga pendidikan Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah, Ipoh dengan penuh tekad dan iltizam akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami

  • Membentuk dan melahirkan warganegara yang selaras dengan matlamat dan Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Negara.
  • Mengurus dan mengelola segala aktiviti yang diamanahkan kepada kami secara professional dan cemerlang
  • Mengurus dan mengelola segala aktiviti yang diamanahkan kepada kami secara sedar untuk meningkatkan prestasi para pelajar
  • Membimbing para pelajar secara adil dan saksama tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mereka bagi mencapai kecemerlangan.
  • Mewujudkan perhubungan mesra, hormat-menghormati, bantu-membantu di kalangan warga pendidikan dan para ibu bapa.

Lagu Sekolah sunting

Nukafihu lil Majdi (Berjuang Demi Kegemilangan)

Menuju keunggulan cita
Mengorak ke mahligai jaya
Semai tekad bersemangat
Semarak cita mencapai hasrat

Menyemai akhlak mulia
Bertunas iman dan taqwa
Quran dan Sunnah Panduan
Sahsiah jadi teladan

Serikandi bersatu hati
Berganding dan ikrar janji
SERATA megah berdiri
Nukafihul Lil Majdi

Rujukan sunting

Pautan luar sunting