Senarai Hokage

Hokage (火影; "Bayang Api") adalah gelaran yang diberikan kepada ketua ninja di kampung Konoha. Secara amnya, mereka adalah ninja terhebat di kampung mereka; walaupun kebiasaannya penerapan ideologi, sumbangan-sumbangan dan penglibatan mereka terhadap Konoha menjadi faktor yang menyumbang kepada pemilihan mereka sebagai Hokage.

Setakat ini sudah terdapat tujuh ninja yang telah dilantik sebagai Hokage di Konoha.

Setelah dilantik menjadi Hokage, mereka akan ditempatkan di sebuah bangunan bernama Pejabat Hokage; di mana di bahagian belakang bangunan tersebut terdapatnya sebuah Monumen Hokage iaitu bongkah gunung yang telah diukir dengan wajah-wajah Hokage. Pada permulaan siri ini, hanya terdapat empat wajah Hokage sahaja. Akan tetapi, sejak permulaan bahagian kedua ke semua wajah Hokage telah siap diukir pada permukaan gunung tersebut.


Hokage PertamaSunting

 
Harashima selaku Hokage Pertama

Hashirama Senju (千手柱間, "Senju Hashirama"), atau Shodai Hokage (初代火影) atau "Hokage Pertama" adalah pengasas kepada kampung Konoha, abang kepada Tobirama Senju atau Nidaime atau "Hokage Kedua", datuk kepada Tsunade atau Godaime dan Nawaki.

Hashirama amat terkenal dengan kebolehannya untuk menggunakan teknik Mokuton (木遁, "Gaya Lepas Sifat Kayu"), satu kebolehan Kekkei Genkai yang menggabung dua teknik iaitu Doton (土遁, "Gaya Lepas Sifat Tanah") dan Suiton (水遁, "Gaya Lepas Sifat Air") bagi menghasilkan"kayu".

Latar belakangSunting

Hashirama sebenarnya adalah ketua kepada Senju Ichizoku (千手一族, "Klan Senju"), yang merupakan sebuah kuasa besar dalam era peperangan dan klan ini juga merupakan salah satu diantara dua klan terkuat yang wujud ketika berlakunya Perang Dunia Ninja Pertama; menjadi pesaing utama kepada Uchiha Ichizoku (うちは一族, "Klan Uchiha") yang diketuai oleh Madara Uchiha. Persaingan di antara kedua-dua klan ini sangat hebat sehinggakan apabila sesuatu pihak mengupah klan Senju, maka satu pihak lagi pasti akan mengupah klan Uchiha dan begitulah sebaliknya. Setelah terlibat dengan banyak siri peperangan, klan Senju telah mengemukakan satu perjanjian damai kepada puak Uchiha. Kedua-dua klan tersebut bersetuju dengan perjanjian tersebut dan kemudiannya bersatu untuk membentuk sebuah kuasa ninja terkuat yang tergolong dalam senarai Lima Kuasa Ninja Terbesar dan penyatuan mereka itu telah membentuk sebuah kampung ninja yang diberi nama Konohagakure.

Fail:Logo senju clan.jpg
Logo klan Senju

Tidak lama kemudian, Madara telah mengambil keputusan drastik dengan meninggalkan kampung Konoha atas alasan perbalahan yang berlaku berkaitan dengan polisi dan perundangan dalam pentadbiran kampung Konoha. Madara tidak mendapat sokongan daripada klannya sendiri (pada asalnya Madara tidak setuju dengan perjanjian damai tersebut) dan semua ahli klannya menggelar Madara sebagai "raksasa" kerana tindakannya mengambil mata Sharingan milik adiknya dianggap sebagai satu tindakan mementingkan diri. Konflik ini bertambah runcing dan kemudiannya mencetuskan pertarungan di antara Hashirama dan Madara yang berlaku di Lembah Akhir, di mana Hashirama berjaya menewaskan Madara. Untuk memperingati pertarungan tersebut, dua buah tugu gergasi yang menyerupai Hashirama dan Madara telah dibina berdekatan dengan kawasan air terjun di situ.

Hokage Pertama kemudiannya telah berjaya mengawal beberapa makhluk berekor yang mana kemudiannya telah diagih-agihkan kepada beberapa kampung ninja yang lain sebagai tanda perdamaian dan bertujuan untuk mengimbangi kuasa ketenteraan di antara mereka. Ketika Hashirama menjadi Hokage, dia telah mengalahkan Kakuzu yang mendapat arahan daripada Takigakure untuk membunuhnya. Bagaimanapun, peperangan masih berlaku di kebanyakan tempat. Memikirkan nasib yang bakal menimpa kampung Konoha di masa hadapan, Hokage Pertama dan Hokage Kedua mula melatih Hiruzen Sarutobi (猿飛ヒルゼン, "Sarutobi Hiruzen") yang bakal menjadi Sandaime (三代目火影, "Hokage Ketiga") kelak. Tiada fakta yang tepat mengenai punca kematian Hashirama namun dipercayai Hashirama meninggal dunia akibat faktor usia. Pucuk kepimpinan yang dipegang oleh Hashirama kemudiannya diturunkan kepada adiknya, Tobirama untuk menjawat jawatan sebagai Hokage Kedua.

PersonalitiSunting

Hashirama mempunyai perwatakan yang tenang, baik hati, penyayang dan mempunyai sifat kesetiaan yang tinggi. Dia menganggap ke semua penduduk di Konoha sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya sendiri dan cuba menerapkan prinsip tersebut agar menjadi asas kepada keperibadian dalam diri semua ninja Konoha. Dia juga digambarkan sebagai seorang yang pintar dan berpandangan jauh. Hal ini demikian kerana tindakan Hashirama melatih Hiruzen yang bertujuan mempersiapkan Hiruzen sebagai pemimpin masa hadapan ketika itu. Dia adalah orang pertama yang percaya bahawa semua ninja kampung Konoha harus menunjukkan sikap prihatin kepada satu sama lain dan sesiapa yang dipilih menjadi Hokage seharusnya bersedia untuk menggadaikan nyawanya untuk menjaga keamanan kampung agar menjadi teladan kepada semua penduduk.

PenglibatanSunting

Bahagian I: Babak Penaklukan KonohaSunting

Hokage Pertama dan Hokage Kedua pernah dibangkitkan semula oleh Orochimaru dengan menggunakan Kuchiyose: Edo Tensei (口寄せ・穢土転生, "Seruan: Teknik Hidup semula") bagi digunakan ketika cuba menangani Hokage Ketiga sewaktu percubaan untuk menakluk Konoha bersama ninja-ninja dari Sunagakure dan Otogakure. Hashirama berasa sedih kerana terpaksa berlawan dengan muridnya sendiri namun Orochimaru telah menggunakan satu teknik pengunci untuk memadam memorinya secara paksaan. Ketika pertarungan berlangsung, Hashirama menunjukkan kombinasi yang baik dengan adiknya, Tobirama dan telah memaksa Hokage Ketiga untuk menyeru Enma untuk membantunya. Hokage Pertama telah menunjukkan kehebatan teknik Elemen Kayu dan taijutsu yang dimilikinya. Kemudiannya, roh dan jiwa Hashirama serta Tobirama telah dikunci oleh Hokage Ketiga ke dalam perut "Dewa Maut". Sebelum kesemua roh dan jiwanya disedut masuk ke dalam perut "Dewa Maut", dia telah meminta maaf kepada anak muridnya di atas semua masalah yang telah ditimbulkan.

Bahagian II: Babak Sasuke dan SaiSunting

Terdapat satu pendedahan bahawa Orochimaru telah melakukan satu eksperimen yang melibatkan sel Hokage Pertama; di mana dia telah menyuntik sel tersebut ke dalam badan 60 orang yang dijadikan subjek uji kaji. Hal ini demikian kerana Orochimaru berhasrat untuk menguasai teknik istimewa Hokage Pertama iaitu Elemen Kayu yang mampu mengawal bijuu. Proses ini kemudiannya berjaya terhadap uji kaji yang bernama Tenzo (kemudiannya diberikan nama samaran Yamato). Namun, Orochimaru telah kehilangan rekod ujian tersebut sewaktu melarikan diri daripada Hokage Ketiga dan dia tidak mengetahui bahawa salah seorang daripada subjek-subjek uji kaji tersebut telah terselamat.

KeupayaanSunting

Hashirama telah dinobatkan oleh seluruh dunia shinobi ketika itu sebagai Dewa Shinobi sewaktu era kegemilangannya (walaupun bukan yang terhebat di dalam sejarah). Setiap ninja di kampung Konoha serta termasuklah Madara dan klannya sangat menghormati Hokage Pertama (ini adalah kerana hanya Madara dan klannya mampu menandingi kehebatan Hokage Pertama).

Kehebatannya terbukti apabila dia berjaya menewaskan Madara yang menggunakan kuasa makhluk berekor terkuat iaitu Kyuubi dalam beberapa siri pertarungan antara mereka. Ini dianggap sebagai satu pertempuran paling dahsyat kerana Madara merupakan pengguna Mangekyou Sharingan yang abadi, sejenis bentuk sempurna bagi mata Mangekyou Shraingan. Hanya dengan menewaskan Kyuubi yang dikawal oleh Madara sudah cukup untuk membuatkan Hashirama digelar sebagai seorang shinobi terulung kerana Hokage Keempat sendiri terpaksa mengorbankan dirinya dengan menggunakan teknik terlarang iaitu teknik Shiki Fuujin menewaskan Kyuubi meskipun beliau dianggap sebagai seorang ninja yang pintar dan memiliki kekuatan yang hebat. Bagaimanapun, sebenarnya kebolehan Hokage Pertama menggunakan teknik Elemen Kayu yang membolehkannya mengawal dan mengunci Kyuubi sebagaimana yang dilakukan oleh Madara. Hashirama juga pernah menewaskan Kakuzu yang merupakan salah seorang ahli Akatsuki suatu ketika dahulu. Ketika Hashirama dibangkitkan oleh Orochimaru untuk digunakan bagi melawan anak muridnya sendiri iaitu Hokage Ketiga, dia telah memperlihatkan skil dan teknik yang menakjubkan meliputi semua aspek yang diperlukan bagi seorang ninja. Sebagai contoh, dia mampu menggunakan taijutsu sehebat Hokage Ketiga. Menurut fakta, Hokage Ketiga adalah antara pakar taijutsu yang hebat dalam dunia shinobi. Hashirama juga mampu menggunakan genjutsu yang kuat sehinggakan tidak mampu dielakkan oleh Hokage Ketiga meskipun Hokage Ketiga sendiri merupakan seorang pengguna genjutsu.Sewaktu pertarungannya dengan Madara juga menunjukkan dia mampu menggunakan teknik seruan dan pengguna pelbagai senjata ninja yang hebat; mampu menyeru pelbagai senjata menggunakan skrol.

Hokage Pertama terkenal kerana kebolehan menggabungkan teknik doton (tanah) dan teknik suiton (air) bagi menghasilkan perubahan baru yang dinamakan mokuton bagi menghasilkan Elemen Kayu. Hokage Pertama menukarkan chakranya kepada "sumber nyawa" dan membolehkannya mencipta pokok yang mampu tumbuh dengan saiz gergasi, memanipulasikannya kepada pelbagai bentuk dan menggunakannya ketika bertempur. Ada yang mengatakan bahawa kebolehannya tersebut telah digunakan untuk mencipta infrastruktur dan asas kepada pembentukan kampung Konoha. Kebolehan tersebut sememangnya satu perkara yang unik mengenai dirinya kerana adiknya sendiri yang juga merupakan Hokage Kedua iaitu Tobirama dan cucunya sendiri iaitu Tsunade tidak memiliki kebolehan untuk menggunakan Elemen Kayu meskipun mereka berdua mempunyai kebolehan memanipulasikan chakra pada di peringkat tertinggi.

Hanya Yamato, satu-satunya bayi yang selamat selepas digunakan dalam eksperimen haram yang dilakukan oleh Orochimaru yang terselamat dan memiliki kebolehan unik ini setelah disuntik dengan sel Hokage Pertama. Yamato menyatakan bahawa penggunaan teknik Eleman Kayu yang dimilikinya terlalu jauh jika mahu dibandingkan dengan teknik Elemen Kayu yang dimiliki Hokage Pertama. Bagaimanapun, Yamato terbukti masih mampu menggunakan teknik asas Elemen Kayu dengan baik sekali. Keupayaan Hokage Pertama yang sangat dikagumi oleh Orochimaru adalah keupayaannya mengawal Elemen Kayu dan kuasa semulajadi di persekitarannya tanpa sebarang masalah. Melalui kebolehan ini, ia membolehkan Hokage Pertama mempengaruhi makhluk berekor dengan mengawal dan menekan kuasa chakra bijuu-bijuu tersebut. Menurut Madara, satu ketika dahulu Hokage Pertama memiliki beberapa ekor bijuu yang berada di bawah kawalannya yang kemudiannya diserahkan kepada beberapa kampung ninja besar untuk mengimbangi kuasa di antara mereka. Kebolehan dan kuasa mengawal bijuu ini ditingkatkan lagi dengan bantuan oleh sebentuk rantai yang diperbuat daripada kristal yang mengandungi chakra namun bagaimana ia berfungsi masih tidak diketahui.

Hashirama juga diketahui mempunyai pelbagai ilmu pengetahuan serta diketahui menggunakan banyak jutsu-jutsu yang mana ia telah menyimpannya di dalam skrol miliknya sendiri dan telah diwariskan kepada Hokage Ketiga.

TriviaSunting

  • Rantai yang asalnya dipakai oleh Tsunade kemudian diberikan kepada Naruto, sebenarnya milik asal Hokage Pertama.
  • Walaupun diketahui Hokage Pertama memiliki kebolehan hebat dalam penggunaan teknik Elemen Kayu tetapi dia lebih banyak menggunakan teknik taijutsu ketika bertarung dengan Hokage Ketiga selepas dibangkitkan oleh Orochimaru.
  • Dikatakan bahawa kebolehan Hokage Pertama untuk mengawal bijuu adalah diinspirasikan oleh kebolehan Madara untuk mengawal Kyuubi di mana ia dianggap sebagai salah satu cara bagi mengatasi kebolehan Madara tersebut.

Hokage KeduaSunting

Fail:Nidaime.jpg
Tobirama selaku Hokage Kedua

Tobirama Senju (千手扉間, "Senju Tobirama") juga digelar sebagai Hokage Kedua (二代目火影, "Nidaime Hokage") atau "Bayang Pawaka Kedua". Dia merupakan adik kepada Hashirama atau "Hokage Pertama", nmerupakan datuk saudara kepada Tsunade dan Nawaki. Seperti abangnya, dia juga merupakan sebahagian daripada anggota klan Senju Ichizoku (千手一族, "Klan Senju"). Selain itu, Tobirama juga pernah menjadi guru dan ketua pasukan kepada Pasukan Tobirama yang telah dibubarkan. Tobirama sangat terkenal dengan kebolehannya untuk menggunakan teknik Suiton (水遁, "Gaya Lepas Sifat Air") berperingkat tinggi tanpa perlu berada di tempat yang berhampiran dengan sumber air.

Latar belakangSunting

Tobirama merupakan adik kepada Harashima dan merupakan salah seorang ahli klan Senju Ichizoku. 80 tahun sebelum bermulanya era masa kini yang jauh lebih moden, dunia sedang bergolak dengan perang dan klan ninja tidak lain hanya berfungsi sebagai suatu kuasa askar atau pembunuh upahan. Oleh kerana abangnya, klan Senju seringkali diupah untuk melakukan sesuatu tugas dan ini menyebabkan pihak mush mengupah satu lagi klan iaitu Uchiha Ichizoku (うちは一族, "Klan Uchiha") selaku pesaing atau seteru mereka. Namun begitu, Hashirama akhir berpendapat bahawa peperangan adalah sesuatu tindakan yang tidak menguntungkan dan telah bertindak membuat satu perjanjian damai dengan klan Uchiha. Walaupun Madara Uchiha menyetujui perkara tersebut, namun atas desakan seluruh ahli klannya membuatkan dia terpaksa akur dengan melanggar perjanjian damai tersebut.

Persepakatan di antara klan Senju dan klan Uchiha membuat pakatan dengan ketua feudal di Negara Api dan Tobirama bersama abangnya; Hashirama dan Madara telah mengasaskan Konohagakure. Mereka telah mencadangkan dan membantu agar setiap negara memiliki kampung ninja mereka sendiri dan ini mengakibatkan banyak klan-klan kecil yang lain bergabung membentuk suatu pakatan. Perkara ini telah mengakibatkan peperangan mula berkurangan dan akhirnya tamat. Namun, keupayaan kuasa ketenteraan setiap dari mereka masih dikekalkan melalui pembentukan lima negara ninja terbesar selepas tamatnya peperangan dunia ninja pertama. Namun begitu, masih berlaku sedikit pertelingkahan dalaman di antara klan Senju dan klan Uchiha. Selepas pertarungan besar yang berlaku antara Hashirama dan Madara, penduduk Konoha beranggapan bahawa semua ini berpunca daripada Klan Uchiha yang cuba melakukan pemberontakan. Namun begitu, Hashirama tidak mempedulikan semua tanggapan buruk terhadap klan Uchiha yang diberitakan kepadanya.

Tobirama merupakan individu yang membentuk pasukannya sendiri iaitu Pasukan Tobirama yang terdiri daripada Hiruzen Sarutobi yang bakal menjadi Hokage Ketiga, Homura Mitokado dan Koharu Utatane yang kemudiannya menjadi dua orang penting selaku penasihat khas di dalam pentadbiran Konoha.

Peperangan kadangkala masih tercetus dan memikirkan perkara ini tiada penghujungnya, Hashirama telah menyerahkan gelaran Hokage kepada Tobirama yang kemudiannya menyandang gelaran Hokage Kedua (Tobirama kemudiannya menyerahkan gelaran tersebut kepada anak muridnya; Hiruzen Sarutobi untuk menjadi Hokage Ketiga) .

Setelah menjadi Hokage, Tobirama telah menyerahkan satu jawatan khas kepada klan Uchiha sebagai tanda kepercayaannya. Tobirama menyerahkan kuasa mentadbir Pasukan Polis Konoha. Bagaimanapun, (menurut Madara) ini adalah bertujuan untuk menutup tujuan sebenar yang mahukan klan Uchiha menjauhi urusan pentadbiran di Konoha dan meletakkan mereka di bawah pengawasan yang ketat melalui unit ninja khas dibawah kuasa Hokage iaitu ANBU.

Seperti abangnya, Tobirama juga seorang yang setia kepada Konoha dan berpegang kepada prinsip kekuatan hanyalah untuk keamanan. Tobirama meninggal dunia selepas terlibat dengan pertempuran antara pasukannya dengan 20 orang jonin kampung Kiri yang diketuai oleh duo Ginkaku dan Kinkaku. Demi menyelamatkan nyawa shinobi muda Konoha yang bakal menjadi pemimpin di masa hadapan, dia rela menjadi umpan dan kemudiannya telah mengorbankan diri di dalam peperangan tersebut dan meminta murid kesayangannya iaitu Hiruzen Sarutobi untuk menjawat jawatan Hokage Ketiga.

Bahagian ISunting

Babak penaklukan KonohaSunting

Tobirama dan abangnya; Harashima telah "dihidupkan" semula oleh Orochimaru menggunakan Kuchiyose: Edo Tensei (口寄せ・穢土転生, "Seruan: Teknik Hidup semula") bagi tujuan menentang Hokage Ketiga sewaktu percubaan untuk menakluk Konoha bersama ninja-ninja dari Sunagakure dan Otogakure. Sama seperti dirasai oleh abangnya Hashirama, dia turut berasa sedih kerana terpaksa berlawan dengan muridnya sendiri namun Orochimaru telah menggunakan satu teknik pengunci untuk menghilangkan memori mereka berdua. Ketika pertarungan berlangsung, Tobirama menunjukkan kerjasama yang erat dengan abangnya; Hokage Pertama dan telah memaksa Hokage Ketiga untuk menyeru Enma untuk membantunya. Hokage Kedua telah menunjukkan kehebatan teknik Suiton dan taijutsu yang dimiliknya. Kemudiannya, roh dan jiwanya telah dikurung oleh Hokage Ketiga ke dalam perut "Dewa Maut", bersama dengan roh dan jiwa abangnya; Hokage Pertama. Sebelum ke semua roh dan jiwanya disedut masuk ke dalam perut "Dewa Maut", dia telah meminta maaf kepada bekas muridnya di atas semua masalah yang telah ditimbulkan.

Babak sampingan animasiSunting

Ketika siri animasi sampingan Negara Teh disiarkan (Tea country filler arc), telah dinyatakan oleh seorang bekas ninja Jonin Konoha iaitu Rokusho Aoi bahawa Tobirama memiliki sebilah pedang tenaga yang boleh dimasukkan dengan sesuka hati ke dalam hulunya dipanggil Pedang Dewa Petir (雷神の剣, "Raijin no Ken") atau "Pedang Raijin".

Anak murid Aoi, Morino Idate mencuri pedang tersebut dan menyerahkan pedang itu kepada Aoi dengan harapan dia dapat menjadi seorang Chunin. Aoi mendakwa bahawa pengguna "Pedang Raijin" akan kebal dalam mana-mana pertarungan. Namun, ia telah dibuktikan salah apabila pedang tersebut boleh dipatahkan dan dimusnahkan seperti pedang yang biasa seperti yang ditunjukkan dalam bahagian akhir babak sampingan siri animasi tersebut akibat serangan Rasengan dan Chidori yang masing-masing dilakukan oleh Naruto dan Sasuke.

KeupayaanSunting

Hokage Kedua amat dikenali kerana kebolehannya menggunakan teknik Suiton iaitu Teknik Gaya Lepas Sifat Air dan mampu menghasilkan pelbagai jutsu hebat tanpa memerlukan dirinya berada berdekatan dengan sebarang sumber air. Namun begitu, terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa Hokage Kedua mengumpulkan wap-wap air disekitarnya bagi menjana ke semua teknik yang digunakan. Hal ini perlu diberi perhatian sekiranya ini merupakan suatu yang benar, maka ia melibatkan suatu kawasan yang besar bagi menyerap wap-wap air tersebut sekiranya ingin menghasilkan air yang banyak. Jika hal ini benar-benar berlaku, kemampuan Tobirama boleh dianggap sebagai satu keupayaan yang hebat sama seperti kebolehan menghasilkan teknik air dengan baik walaupun tidak mempunyai sumber air yang banyak.

Kebolehannya dalam menggunakan teknik Suiton di peringkat yang tinggi diperhebatkan lagi dengan kebolehannya untuk menggunakan teknik tersebut tanpa perlu mengunakan tanda ikatan tangan yang kompleks. Contohnya; Gaya Lepas Sifat Air: Letupan Naga Air secara umumnya memerlukan sebanyak 42 kombinasi tanda ikatan tangan (kombiansi terbanyak pernah dilihat dalam siri Naruto), namun Tobirama hanya memerlukan hanya satu bentuk ikatan tangan sahaja untuk menghasilkan teknik yang sama, menyerupai kebolehan yang hanya dikuasai oleh shinobi dari kampung Kabus.

Ketika pertarungan dengan Hokage Ketiga, Tobirama juga memperlihatkan kehebatannya dalam pertempuran jarak dekat seperti Taijutsu dan Genjutsu (animasi sahaja) dan berpasangan dengan serasi bersama abangnya; Hokage Pertama. Di dalam babak animasi ketika pertarungan bersama Hokage Ketiga, Tobirama telah menunjukkan keupayaannya untuk memanipulasikan air bagi menghasilkan teknik letupan air dan serangan air yang berbentuk "sesungut" untuk menjatuhkan pihak lawan.

TriviaSunting

  • Tobirama adalah adik kepada Hokage Pertama iaitu Hashirama dan bertindak sebagai penasihat Hashirama ketika abangnya menjadi Hokage.
  • Tobirama dan Hashirama merupakan guru kepada Hokage Ketiga iaitu Sarutobi Hiruzen.
  • Bergelar datuk saudara kepada TSunade (Hokage Kelima) dan adiknya Nawaki.

Hokage KetigaSunting

Fail:Sarutobi.jpg
Sarutobi selaku Hokage Ketiga

Hiruzen Sarutobi (猿飛ヒルゼン, "Sarutobi Hiruzen") adalah Hokage Ketiga (三代目火影, "Sandaime Hokage") yang juga dikenali sebagai "Bayang Pawaka Ketiga". Nama beliau diambil bersempena nama Sarutobi Sasuke yang bermaksud "melompat seperti monyet" dan ini diperkuatkan lagi dengan keboelhannya untuk menyeru Raja Monyet Enma. Hokage Pertama juga turut menggelarkan Sarutobi sebagai "Monkey" (サル, Saru). Pada asalnya, Masashi Kishimoto ingin mengaitkan Sarutobi dengan tema "anjing" tetapi dia melihat idea tersebut sebagai suatu yang "pelik". Kebanyakkan aspek dan perwatakan yang dimiliki Sarutobi diambil daripada kisah dongeng Cina iaitu "Pengembaraan ke Barat". Raja Monyet Enma yang diseru olehnya juga memiliki banyak persamaan dengan Sun Wu Kong (Raja Monyet) dan senjata yang digunakan oleh Sarutobi juga seakan-akan senjata yang dimiliki oleh raja monyet tersebut iaitu sebatang tongkat sakti.

Hiruzen Sarutobi merupakan bekas murid kepada pasangan adik-beradik terkenal daripada klan Senju iaitu Hashirama Senju serta Tobirama Senju. Berikutan kehebatan dan kemampuan yang dimiliki oleh bekas guru-gurunya, maka tidak hairanlah Hiruzen dikenali sebagai 'Profesor' ketika masih hidup. Kemampuan Hiruzen juga tidak boleh dipandang rendah meskipun beliau dianggap sebagai Hokage yang paling lemah dalam kalangan Hokage yang pernah ada dalam Konoha. Hiruzen memiliki kemampuan yang baik dalam menguasai teknik elemen-elemen asas seperti air, angin, api dan sebagainya. Sewaktu Perang Dunia Ninja ke-4, meskipun dihidupkan kembali dalam teknik Edo Tensei, Hiruzen memperlihatkan kebolehannya dengan mengeluarkan teknik yang melibatkan 5 elemen asas dengan serentak tanpa sebarang masalah.

Semasa Konoha di bawah pemerintahannya, Hiruzen sangat menjaga kebajikan Naruto meskipun pada awalnya Naruto dilihat seperti tidak dihiraukannya. Hal ini demikian kerana Hiruzen berasa sangat terhutang budi terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh Hokage Keempat iaitu Namikaze Minato dan isterinya, Uzumaki Kushina sewaktu peristiwa serangan Kyuubi di Konoha yang akhirnya menyaksikan Uzumaki Naruto kehilangan kedua ibu bapanya. Bagi Hiruzen, apa yang dilakukan oleh Hokage Keempat dan isterinya itu adalah satu bentuk semangat cintakan kampung yang sangat tinggi. Selain itu, demi menjalankan amanah yang ditinggalkan Hokage Keempat kepada dirinya, Hiruzen mengarahkan Naruto menggunakan nama klan ibunya iaitu Uzumaki pada hadapan namanya bagi mengelakkan identiti dirinya yang merupakan anak kepada Hokage Keempat dari terbongkar. Hal ini demikian kerana Hokage Keempat merupakan seorang pahlawan kampung Konoha yang memiliki ramai musuh sekaligus dikhuatiri mampu mengancam nyawa Naruto sekiranya identiti anaknya itu terbongkar.

Hokage KeempatSunting

Nama sebenar beliau ialah Namikaze Minato atau dikenali sebagai Yondaime. Isteri beliau ialah Uzumaki Kushina. Minato juga dikenali sebagai 'Kilat Kuning Konoha' (Konoha no Kiiroi Senkō). Hal ini kerana beliau mampu pergi ke sesuatu tempat dengan sekelip mata. Beliau ialah seorang ninja yang amat berani dan telah mengurung Kyuubi dalam Naruto. Beliau merupakan ninja yang paling mahir dan pintar sewaktu eranya di Konoha dan negara Api. Sebelum mengurung Kyubi dalam tubuh Naruto, Yang Keempat mengatakan bahawa dia tidak mahu Naruto dilihat sebagai bekas atau wadah menyimpan semangat Kyuubi tetapi sebagai wira yang menyelamatkan Konoha daripada kemusnahan. Permintaan ini tidak dikabulkan dan sukar diterima oleh penduduk kampung terutama mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat tragedi amukan Kyuubi. Beliau merupakan anak murid kepada Jiraiya dan guru kepada Hatake Kakashi, Uchiha Obito dan Rin.

Yondaime mempunyai banyak persamaan dengan Naruto. Mereka berdua memiliki rambut berwarna kuning dan kumpulan darah yang sama (B). Ini kerana Minato sebenarnya adalah ayah kepada Naruto bersama isterinya yang berasal dari negara yang bergolak (Uzumaki Kushina)tetapi personalitinya jauh berbeza daripada Naruto. Beliau seorang yang tenang dan tegas seperti yang dikatakan oleh gurunya Jiraiya. Naruto lebih menyerupai sifat ibunya manakala rupanya lebih kepada ayahnya. Uchiha Itachi pernah memberi gelaran kepada Naruto sebagai 'pewaris' Yondaime. Sewaktu Jiraiya menolak Naruto ke dalam gaung supaya Naruto boleh menyeru kuasa Kyuubi, Jiraiya berkata, "Maafkan saya, Yang Keempat". Setakat ini, sejarah hidup dan hubungan kekeluargaan dengan mana-mana watak Hokage Keempat tidak pernah didedahkan.

Yondaime telah mencipta beberapa teknik yang hebat seperti 'Hiraishin no Jutsu, 飛雷神の術' (Jurus Dewa Guruh Terbang) dan 'Rasengan'. Jurus terakhir tersebut sebenarnya belum lengkap; Yondaime berusaha untuk menggabungkan jurus ini dengan elemen chakranya tetapi tidak berkesempatan kerana telah terkorban setelah mengurung Kyubi dengan Shiki Fuujin.

Sebelum kematiannya, Hokage Keempat sempat memberikan sebahagian chakra miliknya kepada Naruto untuk diletakkan pada teknik pengunci Kyuubi yang ada pada tubuh Naruto. Hal ini demikian kerana sekiranya Kyuubi mencuba untuk merosakkan pengunci tersebut, Minato akan bangkit dalam diri Naruto untuk menolong Naruto mengatasi masalah tersebut.

Hokage KelimaSunting

Tsunade - Hokage Kelima

Tsunade ialah cucu kepada Hokage Pertama iaitu Hashirama Senju dan bekas anak murid kepada Hokage Ketiga iaitu Hiruzen Sarutobi. Tsunade dan bekas rakan sepasukannya, Jiraiya dan Orochimaru dikenali sebagai 'Tiga Lagenda' (Tensai Sannin). Gelaran Sannin tersebut diberikan kepada mereka bertiga oleh ketua kampung Hujan (Amegakure) iaitu Salamander Hanzou semasa peperangan dunia ninja ketiga kerana kekuatan mereka bertiga yang tidak habis melawan Hanzou dan mereka juga tidak tumpas. Gelaran 'puteri' selalu digunakan bersama dengan nama Tsunade oleh penduduk di Konoha.

Salah satu harta milik Tsunade yang bernilai ialah rantai yang dahulunya dimiliki oleh datuk Tsunade. Rantai tersebut dikatakan cukup mahal untuk membeli tiga buah gunung, seperti yang pernah dikatakan oleh Jiraiya. Pada ulang tahun kelahiran adiknya, Nawaki yang ke-12, Tsunade menghadiahkan rantai tersebut kepadanya dengan harapan Nawaki akan berjaya mencapai impiannya untuk bergelar Hokage. Keesokan harinya, Nawaki terkorban dalam satu pertarungan dan rantai tersebut dipulangkan kepada Tsunade. Hari berganti hari, Tsunade jatuh cinta dengan seorang shinobi Konoha bernama Dan yang juga bercita-cita untuk menjadi seorang Hokage. Sebagai tanda sokongan dan cintanya kepada Dan, Tsunade menghadiahkan rantai milik datuknya kepada Dan. Malangnya, Dan juga terkorban dalam peperangan dan sekali lagi menyaksikan kepulangan rantai tersebut kepada Tsunade.

Kematian Nawaki dan Dan meninggalkan impak yang sangat besar kepada Tsunade; kematian Dan dan kegagalan Tsunade untuk menyelamatkan nyawanya menyebabkan Tsunade menghidap hemofobia (takut akan darah). Orang ramai juga mula mempercayai bahawa sesiapa yang memiliki rantai Tsunade akan berdepan maut dan dianggap telah disumpah. Maka, Tsunade turut hilang kepercayaan terhadap gelaran Hokage dan menganggap hanya orang bodoh sahaja yang mahukan gelaran tersebut. Tsunade kemudiannya meninggalkan Konoha bersama-sama dengan anak saudara Dan, Shizune.

Tsunade memiliki kekuatan yang luar biasa. Kebolehan ini ialah hasil daya mengawal chakra Tsunade yang amat tinggi. Dengan mengumpul dan melepaskan chakra sebaik sahaja menyentuh sesuatu objek, dia boleh meningkatkan kekuatan fizikalnya sehingga mampu memecahkan batuan besar. Dia juga merupakan ninja perubatan yang mahir dan dapat merawat kecederaan parah yang selalunya akan membawa maut kepada mangsa. Tsunade telah mencipta 'Sōzō Saisei, 創造再生' (Kelahiran Semula Genesis), satu teknik yang membolehkan Tsunade menjana dan memulihkan semua luka pada penggunanya dengan membebaskan chakra yang dikumpulkan dalam tanda pada dahinya. Tetapi, jurus ini akan memendekkan jangka hayat Tsunade menyebabkan jurus ini hanya digunakan pada saat-saat kecemasan.

Walaupun dalam usia 50an, jurus 'Henge no Jutsu, 変化の術' (Teknik Peniruan) yang digunakan oleh Tsunade menyebabkannya kelihatan berumur di sekitar 20 tahun. Transformasi ini agak berbeza dengan transformasi biasa kerana perubahan fizikal pada Tsunade nampaknya kekal dan tidak dibengkalai apabila Tsunade dicederakan dalam pertarungan. Tsunade juga adalah seorang kaki judi yang selalu bernasib buruk. Maka, dia juga digelar 'Legenda Kaki Judi Teruk' kerana kemenangan yang sering diraih oleh pemain lawan. Apabila Tsunade benar-benar bernasib baik, dia melihat perkara tersebut sebagai alamat yang tidak baik. Biasanya, perkara yang tidak baik akan berlaku selepas itu. Simbol pada baju di bahagian belakang bermaksud judi (賭) memandangkan Tsunade suka berjudi pada masa lapangnya.

Hokage KeenamSunting

Kakashi Hatake (はたけカカシ, Hatake Kakashi) ialah seorang shinobi dari Kampung Konoha. Dia menerima Sharingan daripada bekas rakan sepasukannya, Obito Uchiha, semasa dia masih muda, menyebabkan dia digelar Ninja Peniru Kakashi (コピー忍者のカカシ, Kopī Ninja no Kakashi) dan Kakashi Sharingan (写輪眼のカカシ, Sharingan no Kakashi). Bakat, kemahiran serta keupayaan Sharingan yang dimilikinya menjadikannya sebagai salah seorang ninja yang dikenali di kampungnya, serta sangat digeruni di seluruh pelosok dunia ninja. Dia kemudian dilantik sebagai pemimpin Kumpulan 7, di mana dia menggunakan pengalaman yang dimilikinya untuk melatih anak muridnya untuk menjadi ninja yang berkemahiran dengan kaedah tersendiri. Tidak lama selepas tamat Perang Dunia Shinobi Keempat, Kakashi dilantik sebagai Hokage Keenam (六代目火影, Rokudaime Hokage; harfiah: "Bayang Pawaka Keenam") sebelum akhirnya bersara dan menyerahkan jawatannya kepada anak muridnya, Naruto Uzumaki.

Hokage KetujuhSunting

Naruto Uzumaki (うずまきナルト, Uzumaki Naruto) ialah seorang shinobi dari Kampung Konoha, merupakan pewaris terkini bagi Asura Ōtsutsuki, serta merupakan protagonis utama bagi anime Naruto. Dia menjadi jinchūriki ketiga Kurama sejak dilahirkan, satu takdir yang menyebabkan dia dipinggirkan oleh penduduk kampung Konoha sepanjang zaman kanak-kanaknya. Setelah menyertai Kumpulan 7 dibawah pimpinan Kakashi Hatake, Naruto bekerja keras untuk diakui oleh orang-orang kampung Konoha di samping mencapai impiannya untuk menjadi Hokage dan melangkaui Hokage terdahulu. Beberapa tahun seterusnya, Naruto menjadi seorang ninja berkebolehan yang disanjung sebagai wira, tidak kira dari kalangan penduduk kampung Konoha mahupun dunia shinobi amnya. Matlamat lain Naruto selain menjadi Hokage adalah menyelamatkan sahabat serta rakan sepasukannya Sasuke Uchiha, yang mengalami Sumpahan Kebencian, serta mencapai keamanan dunia sebagaimana yang diwasiatkan kepadanya oleh guru Sanninnya Jiraiya. Selepas tamat Perang Dunia Shinobi Keempat, Naruto berjaya mencapai kesemua matlamatnya dan seterusnya menjadi Hokage Ketujuh (七代目火影, Nanadaime Hokage; harfiah: "Bayang Pawaka Ketujuh"), di samping mengahwini Hinata Hyuga dan dikurniakan dua orang anak.

SumberSunting

  • Buku Data Rasmi Pertama (秘伝・臨の書キャラクターオフィシャルデータBOOK, Buku Watak Rasmi)
  • Buku Data Rasmi Kedua (秘伝・闘の書キャラクターオフィシャルデータBOOK, Hiden: Tō no Sho Character Buku Watak Rasmi)
  • Buku Data Mini Hero Jump ke-2 (秘伝・翔の書オフィシャルキャラクターデータBOOK mini, Hiden: Shō no Sho Buku data mini rasmi)
  • Buku panduan anime dan manga Naruto (秘伝・翔の書オフィシャルキャラクターデータBOOK mini, Hiden: Shō no Sho Buku data mini rasmi)
  • Diambil secara terus daripada babak manga dan episod anime Naruto.