Senarai watak Blogger Boy
Berikut ialah keterangan watak-watak yang disaksikan dalam drama bersiri Blogger Boy terbitan Red Communications untuk 8TV.
Watak utama
suntingBudi
suntingBudiman Ahmad (Qushairi Razali) ialah seorang guru kelas tuisyen bersifat geek yang juga mengendali sebuah blog komik kehidupan dirinya dengan nama samaran "Blogger Boy". Dia tinggal dalam rumah pangsa bersama Kid dan melukis komik dalam bilik tidurnya. Atas tekanan ibunya, Budi harus mencari wanita yang sesuai dijadikan isteri dalam masa terdekat. Setelah pilihan awal ibunya iaitu Zehan berkahwin dengan lelaki lain dengan tiba-tiba, tumpuan Budi beralih kepada Nina, seorang bekas rakan sedarjah Budi yang baru balik dari luar negara. Kehidupan cinta Budi dirumitkan lagi oleh pengenalan Maya oleh ibu Budi, dan kembalinya Zehan yang baru bercerai di penghujung siri. Lama-kelamaan, Budi hidup susah senang bersama ketiga-tiga wanita ini. Segala kisah cinta dan kehidupan Budi diceritakan dalam bentuk komik dalam blog "Blogger Boy".
Selama ini, Budi merahsiakan identiti Blogger Boy daripada kawan-kawannya, tetapi ada beberapa pelajar (Andrew[1] dan Atiqah[2]) yang berjaya membongkar rahsianya kerana kelalaian Budi sendiri, mujurlah mereka berjanji untuk menyimpan rahsia.
Budi seorang yang tidak suka perempuan yang lidah bercabang atau suka berselindung, dan oleh itulah dia mudah patah hati dengan wanita. Ini terbukti apabila Nina tidak berterus terang dengan Budi mengenai tunangnya dari Australia[3], dan apabila Maya berbohong mengenai dirinya sudah ada teman lelaki[4] atau menyimpan rahsia penyakit barah otak ibunya[2]. Namun begitu, Budi tetap seorang budiman yang sedia menolong anak murid di kelas tuisyen mahupun bekas teman wanita sendiri yang kesusahan, dan juga anak yang taat kepada ibunya yang berpegang pada janjinya untuk cepat berkahwin dan mencari duit pembedahan untuk ibunya itu.
Kid
suntingTaqiyuddin (Nas-T), lebih dikenali sebagai Kid, ialah seorang penggiat penerbitan televisyen yang ghairah tetapi adakalanya lalai dalam kerjanya, apatah lagi bersikap licik dan kaki perempuan. Dalam musim pertama, apabila Nina datang untuk berdiam di rumahnya, Kid menunjukkan minat terhadap Nina tetapi akhirnya membiarkan cinta Nina dengan Budi berputik. Dalam musim kedua, Kid menonjolkan ketakcekapannya sebagai kakitangan penerbitan TV apabila gagal membuat persiapan awal untuk rancangan permainan baru sehingga memarahkan orang atasan sendiri[5], namun ini diatasi dengan kepanjangan akalnya yang mengajak Nina, Maya dan Zehan beradu dalam rancangan itu untuk merebut Budi[6]. Sifat kaki perempuan juga ada baiknya dengan memperkayakan pengetahuan Kid mengenai wanita, terutamanya apabila dia mampu mengajar kelas cinta kepada pelajar tuisyen Budi[3], serta mengesan wanita yang berniat jahat sebelum terjerat.[7]
Nina
suntingNina Koh (Julie Woon) ialah rakan karib Budi yang berkenalan sejak sekolah rendah, tetapi Budi memendam rasa jatuh hati kepadanya tanpa sempat meluahkannya sebelum Nina berlepas ke Australia untuk melanjutkan pelajaran. Nina mempamerkan sifat unik, bijak dan teguh pandangannya, jauh berbeza dari gadis segan waktu remaja dulu. Sekembalinya ke tanahair, Nina bertekad untuk mendirikan kedai gambar di sini dengan bantuan Budi dan Kid, walaupun dibantah bapanya yang bertegas bahawa anaknya itu lebih cerah masa depannya bersama tunangnya, James di Australia[8]. Budi mengambil kesempatan ini untuk memutikkan hubungan dengan Nina, tetapi putiknya berakhir setelah Budi menyedari Nina sudah bertunang[3], dan Nina akur dengan desakan bapanya untuk balik ke Australia[9]. Pada musim kedua, Nina balik ke Malaysia dua kali, iaitu sekali untuk memulakan hubungan semula dengan Budi setelah berpisah dengan James, tetapi kecewa setelah mendapat tahu Budi bersama Maya[10]; dan sekali lagi untuk mengumpul barang-barang miliknya yang tertinggal dalam rumah Budi apabila dihampakan oleh khabar Budi berbaik semula dengan Zehan, sehingga sanggup berkomplot bersama Kid dan Maya untuk memisahkan Budi daripada wanita yang tidak dipercayainya boleh menjadi teman hidup Budi itu.[11]
Maya
suntingMaya (Cheryl Samad) ialah seorang jururawat klinik yang diperkenalkan oleh ibu Budi sebagai ganti Zehan untuk ditunangi oleh Budi. Mula-mula dalam musim pertama, cubaan menyatukan hati Maya dengan Budi tidak berhasil kerana Budi masih ada hati kepada Nina. Tetapi, setelah Nina terbang ke Australia untuk bersama tunangnya, Budi memberi perhatian serius kepada Maya.[12] Bagaimanapun, hubungan Maya dengan Budi adakalanya terjejas oleh apa yang kelihatan kepada Budi sebagai sikap Maya yang berselindung. Pertama, dalam pergaduhan yang tercets gara-gara helah Zehan dalam restoran, Maya yang berang memekik dirinya sudah berpunya ke arah Budi[12], dan akhirnya menanggung akibat dengan mendapatkan seorang yang tidak dikenalinya untuk berlakon sebagai teman lelaki apabila diajak oleh Budi. Kedua, Maya mematuhi pesanan ibu Budi agar tidak mendedahkan hal penyakit si ibu kepada anaknya sendiri[13], tetapi rahsia terbongkar apabila Atiqah mencuri dengar perbualan telefon Maya.[2] Walaupun putus hubungan, Maya dan Budi masih berkawan dan dilihat bekerjasama membantu Atiqah.
Watak pembantu
suntingZehan
suntingZehan (Sabrina Hassan) ialah teman wanita Budi pada permulaan cerita dan juga pilihan pertama ibu Budi sebagai isteri, sehingga dia mengejutkan Budi dengan pernikahannya dengan lelaki lain, iaitu Shah. Setelah berkahwin, Zehan melawat Budi sekali-sekala untuk berkongsi pengalaman sebagai isteri orang. Rupa-rupanya dia mengejar harta kekayaan Shah selama ini, di samping menunaikan hajat ibu mertuanya agar melihat Shah berkahwin, tetapi Budi masih dalam hatinya.[14] Setiap kali Zehan berjumpa dengan Budi pasti menimbulkan rasa gusar dalam Nina. Dalam musim kedua, Zehan akhirnya bercerai dengan Shah lalu cuba memikat Budi semula, sambil menawarkan pembiayaan pembedahan ibu Budi[15]. Ini menyebabkan Nina menjadi semakin kecil hati dan sanggup berbuat apa sahaja untuk menjauhkan Budi daripada Zehan yang dianggap oleh Nina sebagai tidak setia dan mata duitan.
Datuk Koh
suntingDatuk Koh (Patrick Teoh) ialah bapa kepada Nina yang tegas dan membuat kehendak sendiri demi kebaikan anak perempuan tunggalnya. Budi juga mengenalinya sejak kecil kerana keluarga masing-masing pernah berjiran di Ipoh. Pada suatu hari, Datuk Koh ditimpa sakit jantung lalu dikejarkan ke hospital, di mana dia menerima dengan tenang khabar bahawa Budi bersama Nina, agar dia boleh memesan Nina baik-baik agar berpisah dari Budi dan kekal bersama James.
James
suntingJames (Craig Fong) ialah warga Australia yang diperkenankan oleh Datuk Koh sebagai tunang dan bakal suami Nina. Dia datang ke Malaysia untuk menjenguk Datuk Koh di hospital.
Atiqah
suntingAtiqah (Nad Zainal) ialah anak saudara kepada Ms Vann yang berkerusi roda akibat suatu kemalangan yang meragut nyawa ibunya, diburukkan lagi dengan ayahnya yang meninggalkan anak sendiri kepada jagaan Ms Vann. Kehilanan keluarga, masa persekolahan dan keupayaan berjalan menyebabkan Atiqah kemurungan selama bertahun-tahun; natijahnya, gadis ini nyata sukar diajar apabila Ms Vann meminta Budi untuk mengajarnya sebagai guru persendirian di rumah. Setelah bertungkus-lumus mengatasi kedegilan Atiqah yang bermacam-macam karenah, Budi kelihatan berjaya menceriakan Atiqah dengan bermain bola keranjang berkerusi roda.[16]
Namun demikian, setelah mendedahkan diri sebagai peminat setia Blogger Boy yang menggunakan nama samaran "Blogger Girl" dan membongkarkan identiti rahsia Blogger Boy di hadapan tuan empunya timangan itu sebagai cara memikat hatinya, tetapi ditolak jua, jiwanya kembali goyah sehingga hampir membunuh diri dengan melemaskan diri dalam kolam renang di halaman rumah.[17] Atiqah sempat diselamatkan di hospital dan menerima teguran keras dari Maya agar bersyukur kerana masih bernyawa dan menguatkan semangat untuk hidup.[18]
Ibu Budi
suntingIbu Budi (Liza Othman) yang memilih Zehan, kemudian Maya, sebagai bakal tunang dan isteri Budi, kerana usia dan keadaan kesihatan yang mendesaknya agar menggesa Budi berumahtangga secepat mungkin. Namun, rancangannya untuk mengahwinkan Budi dirosakkan oleh cubaan merahsiakan ketumbuhan dalam otak bersama Maya yang akhirnya dibongkarkan kepada Budi oleh Atiqah.
Kelas Tuisyen Budi
suntingVann
suntingMs Vann (Bernice Chauly) ialah pengetua pusat tuisyen dan orang atasan Budi, dan ibu saudara kepada Atiqah yang kurang upaya dan kematian ibu (kakak Ms Vann). Walaupun berwajah tegas, namun dia seorang yang peramah dan yakin terhadap kebolehan Budi mengajar dan mengawal keadaan murid-murid kelas tuisyen yang digeruni guru-guru lain kerana semuanya berkelakuan liar, sehingga menugaskannya untuk membetulkan kelakuan anak saudara yang murung dan keras kepala di rumah.
Najwa dan Shauki
suntingNajwa dan Shauki ialah sepasang adik-beradik kembar di kelas tuisyen Budi. Tanpa diketahui Budi, Najwa selama ini memendamkan perasaan kepada Budi, sehingga dia mendapat tahu hubungan Budi dengan Nina, lalu mengugut untuk menarik diri dari kelasnya bersama Shauki.[8] Budi meredakan keadaan dengan menjelaskan bahawa dia dan Nina sekadar berkawan. Pada permulaan musim kedua, Najwa meminta Budi mencari "pen kesayangannya" yang hilang, maka Budi bertungkus-lumus sampai mengharungi kemarahan orang lain untuk mencari ganti pen yang seiras secocok dengan pen lama itu.[19]
Andrew
suntingAndrew (Daniel Henry) ialah seorang pelajar "lelaki lembut" dalam kelas Budi. Setelah menjumpai beberapa muka surat komik yang tercicir dari beg Budi, dialah watak pertama dalam siri drama yang mengetahui rahsia identiti Blogger Boy, tetapi berjanji agar tidak menghebohkan perkara tersebut kepada umum.[1] Kemudian, Andrew terpaksa menetap di rumah Budi setelah diusir oleh bapanya gara-gara terjumpa bahan lucah dalam simpanannya.[20] Setelah tak sampai seminggu merimaskan hati Budi dan Kid dengan kelakuannya, akhirnya Adrew ditemukan dengan ibu saudaranya.[21]
Rujukan
sunting- ^ a b "Penjara Jiwa". Blogger Boy. Musim 1. Episod 7. 2009-07-09. 8TV. Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah, nama "1-7" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza - ^ a b c "Niat". Blogger Boy. Musim 2. Episod 11. 2009-02-04. 8TV.
- ^ a b c "Siapa Dia Sebelum Daku". Blogger Boy. Musim 1. Episod 17. 2009-09-17. 8TV.
- ^ "Seribu Penipuan". Blogger Boy. Musim 2. Episod 5. 2009-12-10. 8TV.
- ^ "Tiga". Blogger Boy. Musim 2. Episod 18. 2009-03-25. 8TV.
- ^ "Satu". Blogger Boy. Musim 2. Episod 20. 2009-04-08. 8TV.
- ^ "Manis". Blogger Boy. Musim 2. Episod 7. 2010-01-07. 8TV.
- ^ a b "Yang Tertulis Untukku". Blogger Boy. Musim 1. Episod 4. 2009-06-18. 8TV.
- ^ "Sudah". Blogger Boy. Musim 1. Episod 20. 2009-10-08. 8TV.
- ^ "Tiada Rahsia Lagi". Blogger Boy. Musim 2. Episod 6. 2009-12-17. 8TV.
- ^ "Pancing Ikan". Blogger Boy. Musim 2. Episod 17. 2009-03-18. 8TV.
- ^ a b "Berhenti Berharap". Blogger Boy. Musim 2. Episod 2. 2009-11-19. 8TV.
- ^ "Sebenarnya". Blogger Boy. Musim 2. Episod 10. 2009-01-28. 8TV.
- ^ "Jika Diberikanku Satu Peluang". Blogger Boy. Musim 1. Episod 12. 2009-08-13. 8TV.
- ^ "In Fair Verona". Blogger Boy. Musim 2. Episod 15. 2009-03-04. 8TV.
- ^ "Di Tempatku". Blogger Boy. Musim 2. Episod 9. 2009-01-21. 8TV.
- ^ "Jatuh". Blogger Boy. Musim 2. Episod 12. 2009-02-11. 8TV.
- ^ "Bernafas Dalam Air". Blogger Boy. Musim 2. Episod 13. 2009-02-18. 8TV.
- ^ "Kembali". Blogger Boy. Musim 2. Episod 1. 2009-11-12. 8TV.
- ^ "Keliru". Blogger Boy. Musim 1. Episod 8. 2009-07-16. 8TV.
- ^ "Aku Punya Kamu". Blogger Boy. Musim 1. Episod 9. 2009-07-23. 8TV.