Setem adalah sebuah filem aksi komedi Malaysia 2009 keluaran Tayangan Unggul yang ditayangkan di 54 buah pawagam di Malaysia mulai 30 Julai 2009. Filem arahan Kabir Bhatia ini dibintangi Afdlin Shauki, Rashidi Ishak, Que Haidar, Vanidah Imran, Isma Yusoof, Bront Palarae, Chew Kin Wah, Sathiya dan Indi Nadarajah, dibantu oleh Datuk Aziz Sattar, Harun Salim Bachik, Diana Danielle, Adam Corrie, Richard Gardner serta penampilan istimewa Aziz M. Osman dan Datuk Jalaluddin Hassan.

Setem
Poster filem Setem
PengarahKabir Bhatia
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai
Dibintangi
SinematografiMohd Noor Mohd Kassim
Muzik olehPacai
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
30 Julai 2009 (2009-07-30)
Masa tayangan
110 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.90 juta[1]
Pecah panggungRM 1.27 juta[1]

Kebetulan temasya Festival Filem Malaysia ke-22 dilangsungkan sewaktu filem ini ditayangkan, dan dari temasya inilah filem Setem merangkul tiga anugerah (Lihat Anugerah di bawah.)[2]

Sinopsis Sunting

Templat:Spoiler Pada tahun 1849, Gabenor Melaka Lord Arthur Barring mahukan sesuatu untuk diingati oleh generasi seterusnya. Beliau melantik seorang pembuat jam untuk mencipta sekeping setem. Tetapi setem tersebut ditertawakan oleh Gabenor India kerana terdapat kecacatan padanya. Maka Lord Arthur Barring marah lalu membuang setem tersebut, yang kemudiannya dikutip oleh cucunya.

Pada tahun 2008, Charles Barring IV (Richard Gardner), seorang pewaris Lord Arthur, mengadakan sidang akhbar di kawasan peranginan A Famosa. Beliau mempamerkan warisan keluarganya, Setem Barring. Setem Barring melalui perjalanan yang panjang dan kini kembali ke bumi Melaka, di mana setem itu dihasilkan. Setem bersejarah tersebut akan dipamerkan di Muzium Melaka. Sid (Rashidi Ishak) dan Joe (Afdlin Shauki) menghadiri sidang akhbar itu, dengan tujuan mahu mencuri setem yang dianggarkan bernilai 2 juta ringgit. Sebenarnya, Pak Ramli (Datuk Aziz Sattar) yang memaksa Sid dan Joe mencuri setem itu untuk menampung kos membeli tanah tapak Rumah Harapan, rumah anak yatim yang diuruskannya. Pak Ramli memerlukan RM 500,000.00. Sid dan Joe tidak mahu, namun terpaksa melakukannya kerana budi Pak Ramli yang pernah membesarkan mereka di rumah anak yatim tersebut.

Namun, bukan sahaja Sid dan Joe yang mahukan setem itu. Piranha Lim (Chew Kin Wah), seorang ketua kumpulan kongsi gelap juga berminat; begitu juga dengan Vellu (Sathiya) yang bekerja sebagai pemandu di syarikat keselamatan yang akan membawa setem tersebut ke muzium, masing-masing merancang untuk mendapatkan setem tersebut. Oleh kerana begitu banyak perancangan yang dilakukan untuk setem tersebut, keadaan menjadi kacau-bilau. Mula-mulanya, Joe dan Sid memberanikan diri bersuhabat dengan Piranha biarpun menyedari kegagalan boleh dihukum dengan tangan dibaham ikan piranha dalam akuarium, dan dibantu oleh Lao (Adam Corrie), orang suruhan Piranha. Vellu pula mendapatkan bantuan Mani (Indi Nadarajah) yang baru keluar dari penjara untuk menyeludup setem berharga itu untuk kepentingan diri.

Sebelum memulakan operasi, Joe melimpahkan jus terhadap motosikal yang dimiliki mat rempit. Dalam cubaan pertama Joe dan Sid merampas Setem Barring dari van keselamatan yang dipandu Vellu, keadaan menjadi haru-biru sehingga berlakunya pelanggaran kereta, dan setem itu terkeluar dari van keselamatan lalu terlekat pada muka Aryanto (Isma Yusoof), seorang pendatang tanpa izin dari Indonesia, untuk dibawa balik ke rumah usang yang harus dilawatinya kemudian. Lao cedera parah dalam kemalangan, dan Afdlin secara senyap-senyap mengambil kesempatan untuk menamatkan riwayatnya di tempat kejadian. Piranha amat kesal dengan kegagalan mereka (dan kehilangan Lao) lalu memperhebatkan pencarian setem dengan menghantar Burn (Bront Palarae) bersama Joe dan Sid.

Setelah dijemput masuk oleh Marcello (Harun Salim Bachik) di petempatan usang yang diduduki PATI dari Indonesia, Aryanto menyedari setem berharga yang dibawa baliknya setelah menonton berita di TV. Justeru, Marcello cuba meleraikan keadaan secepat mungkin dengan memanggil Burn, Sid dan Joe ke mari untuk memperdagangkan setem itu, yang juga diekori Vellu dan Mani. Malangnya urusniaga tersebut dipatahkan oleh serbuan polis, sementara Joe yang menunggu di kereta diugut oleh Mani agar membantunya. Perebutan kali kedua Setem Barring menyaksikan setem tersebut terlantar pada beg Iskandar (Que Haidar), seorang pemuzik jalanan yang cacat penglihatan. Kerana penglibatan mereka dalam pemburuan setem, Vellu bersama Aryanto yang tidak banyak mengerti apa yang berlaku gara-gara setem tersebut dibawa menghadap Piranha sebagai tebusan selagi Setem Barring tidak dijumpai.

Di rumah Iskandar, kakaknya Alliya (Vanidah Imran) menjumpai setem itu agar boleh dilekat pada sampul surat yang menyimpan borang permohonan kepada klinik di Singapura yang boleh memulihkan penglihatan adiknya. Setelah tak lama mengekori Iskandar ke rumahnya dan memerhati gerak-gerinya, Sid, Burn dan Mani menunggu peluang merampas setem itu (sementara Joe terkurung dalam but kereta). Mani menyamar sebagai polis untuk menyoal Iskandar mengenai setem itu, dan setelah mendengar penjelasan Iskandar lekas dia ke peti pos untuk menghalang Alliya dari memasukkan surat.

Mani terpaksa menahan Iskandar dan Alliya dalam rumah sementara menunggu posmen datang, dan apabila posmen datang, dia membawa mereka mengejar posmen itu sambil diekori Sid dan Burn. Setibanya di pejabat pos pada waktu malam, Mani berjaya memeras posmen itu (Aziz M. Osman) untuk mengeluarkan semua suratnya agar boleh dicari setem berharga yang diburu selama ini. Bagaimanapun, Piranha sempat menghalang Mani sambil mengambil Sid, Vellu, Iskandar, Alliya dan juga Aryanto sebagai tebusan, sementara Burn melepaskan beberapa das tembakan ke arah but kereta yang mengurung Joe.

Selepas mengikat mereka berlima pada helikopter, geng Piranha meminta khidmat pakar setem untuk mengesahkan ketulenan setem. Rupa-rupanya setem itu palsu kerana kertasnya masih baru kata pakar setem, maka Piranha naik berang lalu menyuruh agar para tebusannya dibunuh serta-merta. Nasib baik Joe muncul untuk menyelamatkan mereka semua (dia dapat melindungi dirinya dengan peti peralatan sewaktu ditembak dari luar but) dan mematahkan kejahatan geng Piranha. Untuk menyelamatkan diri mereka, Joe terpaksa membakar Burn yang mengganas, manakala Piranha dan ahli-ahli gengnya yang lain melarikan diri dengan kereta Joe, sebelum diserang oleh segerombolan mat rempit (kerana Joe pernah mengenakan jus pada motosikal mereka sebelum ini).

Pada hari seterusnya, Sid, Joe, Mani, Vellu, Aryanto, Iskandar dan Alliya berpakat untuk mengajar Charles Barring IV kerana memperbodohkan rakyat dengan setem palsu itu. Di hotel, Sid berbual bersama Barring, dan maka itu dia mengetahui Barring sendiri tidak pernah melihat setem pusaka yang sebenar dan dia menuntut US$4 juta atas kehilangan setem itu. Langkah seterusnya, mereka bertujuh mengejar Barring ke KLIA sambil menyamar sebagai pelancong dan kakitangan lapangan terbang, dan menjayakan misi dengan meletakkan setem palsu dalam beg Barring agar dia boleh ditahan oleh polis.

Tak lama kemudian, setelah lama merenungkan betapa bertuahnya mereka bertujuh seandainya setem itu tulen, kemudian Sid teringat kata-kata Charles Barring itu lalu memaksudkan Setem Barring pusaka ada yang tulennya, dan setem itu mungkin sekali terletak di Melaka. Hanya Joe dan Sid yang menunjukkan minat untuk mencari setem itu, maka ke sanalah mereka menerjah. Kiri kanan mereka mencari, akhirnya mereka tiba di sebuah kedai antik yang dijaga oleh wanita bernama Suraya (Diana Danielle). Setelah ditanyakan mengenai setem pusaka itu, Suraya menunjukkan peti pencetak setem kepada mereka. Secara senyap-senyap mereka menjumpai Setem Barring yang tulen dalam peti itu, tetapi Sid membuat keputusan untuk meninggalkan setem dalam kedai tersebut. Templat:Endspoiler

Barisan pelakon Sunting

Watak utama Sunting

 
Afdlin Shauki melakonkan watak Joe dalam filem ini.
Sid (Rashidi Ishak)
Bekas penghuni rumah anak yatim Rumah Harapan yang ditugaskan mencuri Setem Barring untuk membantu membiayai pembelian tanah Rumah Harapan.
Joe (Afdlin Shauki)
rakan Sid yang pernah sebumbung dengannya di Rumah Harapan, turut membantu dalam misi merampas Setem Barring.
Piranha Lim (Chew Kin Wah)
ketua kongsi gelap berloghat utara yang digeruni ramai kerana menghukum sesiapa yang menyalahinya dengan merendamkan tangan mereka dalam tangki ikan piranha, apapun menjadi rakan suhabat Sid dan Joe dan memperalatkan mereka untuk kepentingan diri bersama Setem Barring.
Burn (Bront Palarae)
Pengikut setia Piranha yang bengis, tangkas dan hangus separuh muka kirinya sehingga terpaksa dilitupi rambut panjangnya.
Vellu (Sathiya)
Pengawal keselamatan yang ditugaskan mengangkut Setem Barring, tetapi juga hendak mencurinya kerana hendak menjadi kaya.
Mani (Indi Nadarajah)
Kawan lama Vellu baru hendak memulakan hidup baru setelah dilepaskan dari penjara sehingga dipujuk oleh Vellu untuk membantunya mencuri setem Barring.
Aryanto (Isma Yusoof)
Pendatang haram dari Indonesia yang terperangkap dalam pemburuan setem setelah terbawa balik Setem Barring ke rumah tumpangan.
Marcello (Harun Salim Bachik)
Tuan rumah kepada Aryanto yang menjemput Sid dan Burn untuk memperdagangkan setem, tetapi cedera parah setelah urusniaga dipatahkan oleh serbuan polis.
Iskandar (Que Haidar)
Pemuzik jalanan cacat penglihatan yang menjadi mangsa jenayah setelah Setem Barring jatuh dalam beg alat muziknya lalu dibawa balik.
Alliya (Vanidah Imran)
Kakak kepada Iskandar yang menemui setem itu agar boleh membiayai rawatan pemulihan penglihatan adiknya, tetapi turut memasuki perangkap pemburu setem.

Watak pembantu Sunting

Pak Ramli (Aziz Sattar)
Pemilik Rumah Harapan yang memaksa Sid dan Joe memikul tugas mencuri setem itu untuk membiayai rumah anak yatimnya.
Charles Barring IV (Richard Gardner)
Pewaris Gabenor Melaka Lord Arthur Barring iaitu pereka Setem Barring.
Adnan Hassan (Jalaluddin Hasan)
Pengacara majlis pengenalan Setem Barring di awal filem.
Lao (Adam Corrie)
Seorang pengikut Piranha yang membantu Sid dan Joe dalam cubaan pertama mencuri setem. Dia mati dicekik oleh Joe setelah cubaan gagal.

Pelakon jemputan Sunting

Posmen (Aziz M. Osman)
Dikejar sampai dapat oleh Mani kerana membawa surat yang dilekat setem buruan.
Suraya (Diana Danielle)
Penjaga kedai antik di Melaka.
Karen (Chelsia Ng)
Pembantu peribadi Charles Barring.
Meena (Kenchana Dewi)
Isteri kepada Mani.
Pengurus restoran (Azwan Ali)
Menahan gitar Joe di restoran sementara Joe mendapatkan duit, nyaris menjual gitar itu ke orang lain tetapi berjaya membelinya untuk diserahkan kepada along.
Tukang paip (David Teo)
Pelayan (Henzi Andalas)
Melayan Joe di awal filem.
Mat rempit (Soffi Jikan)
Fence (Naeim Ghalili)
Pakar setem Frank Lewis
Dijemput oleh Piranha untuk mengesahkan ketulenan setem di klimaks filem.

Penerbitan Sunting

Filem Setem merupakan kali pertama Kabir Bhatia mengarah filem komedi, selain memikul tugas sebagai penulis cerita asal dan lakon layar filem ini[3], yang mana beliau memberi tumpuan kepada empat plot cerita berasingan yang ditemukan menjadi rantaian mengejar setem pusaka.[4] Sebenarnya idea filem Setem sudah lama difikirkan sejak tahun 2002, dan pernah dikemukakan oleh Kabir kepada pihak Tayangan Unggul pada tahun 2004 tetapi syarikat tersebut ketika itu tidak bersedia untuk menghasilkannya, tetapi setelah kejayaan filem Baik Punya Cilok barulah mereka dapat melihat potensinya.[5] Mula-mula, Kabir menulis skripnya dalam bahasa Inggeris, kemudian diterjemah ke bahasa kebangsaan oleh isterinya Mira Mustaffa. Penggambaran mengambil masa 40 hari di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang dan Melaka pada awal tahun 2008. Proses pascapenerbitan pula mengambil masa setahun sehingga selesai pada bulan Mac.[5]

Kabir berkata beliau memilih tema setem kerana kepadanya, setem adalah barang bernilai yang diperbuat dari "helaian kertas kecil yang besar nilainya", ditambah lagi dengan perwatakan yang menjadikan setem itu harta buruan berbagai-bagai watak manusia. "Pokoknya, setem itu dipilih untuk membuat penonton ketawa," katanya.[5] Tambahan pula, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, penghasilan filem Setem dilakukan penuh teliti kerana buat pertama kali menggunakan format video definisi tinggi (HD). Sebelum memilih filem itu, katanya, Kabir menawarkan lima skrip berbeza kepada pihak penerbit namun mereka tertarik dengan garapan idea yang dibawakan Setem apatah lagi ia skrip pertama dihasilkan pengarah itu.[6]

Bront Palarae yang memainkan watak Burn meluahkan rasa besar hati kerana berpeluang bekerja bersama Kabir, yang mana beliau dapat menggunakan pistol. Richard Gardner yang memegang watak Charles Barring pula puas hati kerana kepelbagaian budaya dipaparkan dengan setepatnya, sekaligus menjadikan filem ini sebuah filem Malaysia yang sebenar.[5]

Tayangan perdana Setem diadakan di GSC Tropicana City Mall pada 15 Mei 2009[7], sebelum ditayangkan kepada umum di 54 buah pawagam di Malaysia dan tiga buah lagi di Brunei[6] mulai 30 Julai.

Sambutan Sunting

Hasil kutipan Sunting

Walaupun berada di tangga ke-5 pada minggu pembukaannya (30 Julai–2 Ogos)[8], namun filem Setem berjaya naik ke tangga ke-4 pada minggu seterusnya (6–9 Ogos)[9], apatah lagi berjaya mencecah RM1 juta dari hasil kutipan tiket pada dua minggu terawalnya.[10]

Setelah tamat tayangannya di pawagam, jumlah kutipan filem Setem agak memuaskan iaitu sejumlah RM 1.27 juta, biarpun tidak berjaya melitupi perbelanjaan pembikinannya sebanyak RM 1.9 juta.[1]

Ulasan Sunting

Filem Setem tidak kurang menyambut ulasan positif dari media hiburan tanahair, rata-rata memperakui keberkesanan jenaka yang dirasai oleh penonton. Keith Jonathan Deuntzer yang mengulas filem ini di tayangan perdananya untuk mStar Online berkata "Plot atau jalan penceritaan filem itu sangat mudah diikuti dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat. Gabungan Afdlin dan Rashidi Ishak serta Sathiya dan Indi Nadarajah dalam filem itu adalah faktor utama yang memberi kekuatan kepada filem itu. Que Haidar juga berjaya menjiwai wataknya sebagai seorang yang buta."[11]

Au Yeong How, juga untuk mStar, mengulas "Kabir mempunyai cara tersendiri untuk 'mempermainkan' emosi para penonton. Pengarah tersohor ini mempunyai sentuhan magis untuk memancing, mengekalkan dan mengembangkan minat para penonton melalui tempoh tayangan selama 110 minit itu. Pujian harus diberikan kepada Afdlin Shauki, Bront Palarae, Indi Nadarajah dan Sathia. Karakter-karakter mereka adalah penuh humor. Percakapan mereka, gaya pakaian, mahupun bahasa badan cukup melucukan!" Tetapi Au Yeong juga mengulas wujudnya babak tidak logik. "Misalnya, Bront Palarae masih hidup walaupun dibom. Afdlin mengelak peluru dengan menggunakan kotak mekanik ketika terperangkap dalam but kereta. Perkara remeh itu boleh diketepikan kerana penonton sudah leka dibuai keseronokan humor yang cuba dipaparkan oleh penonton."[11]

Shazryn Mohd Faizal "Setem berjaya mengetengahkan mesej yang mengutarakan tentang persahabatan yang terjalin tanpa mengira latar belakang serta kaum dan bahasa sekali gus mengangkat tema 1Malaysia yang diperjuangkan hari ini," apatah lagi "tidak perlu memaksa audiens ketawa terbahak-bahak menerusi adegan slapstick serta aksi murah pelakonnya seperti mana sesetengah filem komedi lain yang pernah diterbitkan sebelum ini.Sebaliknya, humor yang ditampilkan dalam filem ini dibangkitkan menerusi permainan watak dan karakter pemainnya serta ditambah dengan perjalanan cerita yang berjaya menggeletek penonton. Skrip yang bijak serta pengucapan dialog oleh para pendokong watak dalam filem ini menjadikan Setem begitu 'mahal'."[12]

Anugerah dan pencalonan Sunting

2009
  • Festival Filem Malaysia ke-22
    • Sinematografi Terbaik - Mohd Nor Kasim
    • Suntingan Terbaik - Faizul Mohd Noh
    • Penataan Seni Terbaik - Nazrul Asraff Mahzan

Rujukan Sunting

  1. ^ a b c Tayangan Filem Cereka Tempatan 2009, FINAS, dicapai pada 2 Januari 2010.
  2. ^ Zul Husni Abdul Hamid (10 Ogos 2009). "'Ini filem mengenai keluarga saya'". Berita Harian. Dicapai pada 10 Ogos 2009.
  3. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (18 April 2009). "@Sinepleks: Kabir Beralih Ke Filem Komedi". Berita Harian. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  4. ^ "Filem Gam Setem Kuat". Harian Metro. 20 Julai 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  5. ^ a b c d Azhariah Kamin (24 Julai 2009). "Going postal". The Star. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  6. ^ a b Zul Husni Abdul Hamid (20 Julai 2009). "Setem Cabar Kreativiti Kabir". Berita Harian. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  7. ^ ""Setem" setaraf filem komedi antarabangsa". Tupai.com.my. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  8. ^ "Charts: Week of 30 July 2009-05 August 2009". Cinema Online. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  9. ^ "Charts: Week of 06 August 2009-09 August 2009". Cinema Online. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  10. ^ Haswari Ali (11 Ogos 2009). "Setem Cecah Kutipan RM1 Juta". murai.com.my. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  11. ^ a b ""Setem" membanggakan, setaraf filem komedi antarabangsa". mStar Online. 24 Julai 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  12. ^ Shazryn Mohd Faizal (5 Ogos 2009). "Geletek Kabir Yang Menghiburkan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 14 Ogos 2009.

Pautan luar Sunting