Showdown 2011 merupakan musim kedua dalam siri pertandingan tarian urban berkumpulan, Showdown yang diterbitkan oleh Primeworks Studio untuk disiarkan di 8TV mulai 6 April hingga 6 Julai 2011. Seperti musim lalu yang diadakan pada 2010, Hafiz Hatim menjadi pengacara dan Joe Flizzow dan Maple Loo menjadi barisan juri utama.

Showdown 2011
PengacaraHafiz Hatim
JuriJoe Flizzow
Maple Loo
Negara asal Malaysia
Syarikat penerbitan
Primeworks Studio
Penyiaran
Saluran asal8TV
Siaran asal6 April 2011 – 6 Julai 2011
MengikutiShowdown 2010
Diikuti olehShowdown 2012
Pautan luar
Laman sesawang


Showdown 2011 dijuarai oleh kru Elecoldxhot, dengan HMC Phlow, kru yang kembali dari musim sebelumnya sebagai naib juara.

Ujibakat sunting

Sesi ujibakat diadakan di tiga lokasi di Malaysia sepanjang bulan Januari, iaitu di Kompleks Pelancongan Sarawak, Kuching pada 8 Januari 2011; Novotel Kota Kinabalu 1Borneo pada 15 Januari 2011; dan tempat letak kereta terbuka, BB Plaza, Kuala Lumpur pada 21 dan 22 Januari 2011.[1]

Kumpulan tarian (kru) yang menguji bakat harus terdiri daripada lima hingga tujuh orang peserta, tanpa had umur (asalkan yang bawah umur perlu mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga).[1] Para peserta yang layak di Kuching dan Kota Kinabalu harus pergi ke sesi ujibakat Kuala Lumpur untuk diuji lagi oleh juri utama. Berbeza dengan musim lalu, ujibakat awal tidak diadakan Semenanjung selain Kuala Lumpur.

Battle sunting

Kru-kru yang layak daripada ujibakat utama akan bertanding dalam pertandingan Battle, iaitu perlawanan menari satu lawan satu antara kru. Setiap kumpulan mesti memastikan bilangan ahlinya masih cukup dalam had lima hingga tujuh orang, jika tidak kelayakan mereka batal. Alam dari Wakaka Crew (juara Showdown 2010) dan Zero dari Giller Battle Crew diundang sebagai juri jemputan di samping Joe Flizzow dan Maple Loo.

Sesi Battle juga diadakan di tempat letak kereta terbuka BB Plaza pada 23 Januari 2011, sehari selepas uji bakat berakhir. Daripada 34 kru yang layak dari sesi ujibakat itu, 23 kru sahaja yang mara ke pusingan seterusnya.[2] Bagaimanapun, satu kru terpaksa menarik diri kerana seorang ahlinya perlu menyertai pertandingan di Jepun; peraturan Showdown membatalkan kelayakan kru jika tidak semua ahlinya dapat hadir ke peringkat Meltdown atau pusingan pertama Dance Off.

Meltdown sunting

Pusingan Meltdown terdiri daripada dua bahagian selama dua hari. Pada hari pertama, semua peserta bergilir-gilir menjalani "Blind Test" di auditorium Sri Pentas,[perlu rujukan] Bandar Utama, yang mana mereka menari atas pentas di belakang layar lutcahaya sambil diperhati dan dinilai oleh Joe Flizzow dan Maple Loo di sebelah layar yang lain yang hanya melihat bayang-bayang mereka. Dua kru telah disingkirkan di tengah-tengah persembahan mereka (Fulamak Crew, Da Last Minute Crew) kerana persembahan yang tidak memuaskan. Satu lagi kru (Centreline) terpaksa menarik diri atas kecederaan seorang ahli, dan dua lagi kru (JB Breakerz, Monster Gangz) dihantar pulang selepas sesi "Blind Test" selesai.

Pada hari keesokannya, 17 kru yang tinggal keluar dari tempat penginapan mereka (Tune Hotel Kota Damansara) seawal 3 pagi, dibawa ke pantai Sepang Goldcoast untuk latihan selanjutnya. Mereka dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut kepakaran mereka (breakdance dan street) lalu ditugaskan seorang pelatih yang berbeza dengan kepakaran mereka: Zero (pakar breakdance) dari Giller Battle Crew mengajar kumpulan street manakala Boojae (pakar street) dari Floor Fever mengajar kumpulan breakdance dengan tujuan meningkatkan kemahiran mereka. Selepas latihan tamat, mereka pergi ke Kompleks Rakan Muda Bukit Kiara[perlu rujukan] untuk membuat persembahan Meltdown terakhir di zon vert rampnya. Lima kru disingkirkan di peringkat ini: Syko Breakers, X13, 1 Reason Crew, Zoopa Fresh, dan We Taking Over.[3]

12 kru yang layak ke pusingan pertandingan sebenar ialah:

  • Blazin Squad (BSQ)
  • Borneo Crew (BRC)
  • Bounce Stepperz (BOS)
  • Dejavu Breakers (DVB)
  • EGS Monster (EGS)
  • Elecoldxhot (ECX)
  • Force 136 (FRC)
  • HMC Phlow (HMC)
  • Panic (PNC)
  • Roku Steps (RKS)
  • Soulution (SOL)
  • Stepholics (STP)

HMC Phlow pernah bertanding sebagai finalis yang tersingkir di minggu kedua terakhir dalam Showdown 2010. Salah seorang anggota Elecoldxhot, Dennis Yin, pernah menjadi naib juara So You Think You Can Dance pada tahun 2007 dan juara dalam Astro's Battleground 2007 dalam kru lain. Elecoldxhot juga pernah bertanding dalam Astro's Battleground 2008 sebagai juara dan 2009 sebagai naib juara serta menjuarai F&N Freestylz “Show Your Moves” pada tahun yang sama. Salah seorang ahli Rokusteps, Mohd Yazid Kamal Ibrahim pernah bertanding dalam Akademi Fantasia musim ketujuh.[4]

Dance Off sunting

Peringkat pertandingan meraih undian penonton Showdown 2011 akan di tempat yang baru, iaitu i-City di Shah Alam, Selangor, mulai 4 Mei 2011. Setiap malam pertandingan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama yang mana setiap kumpulan membuat persembahan tarian masing-masing mengikut giliran; bahagian kedua (Battle) yang mana empat kumpulan yang meraih undian terendah dipasangkan satu lawan satu dan berentap selama 180 saat untuk kekal dalam pertandingan, di mana dua kumpulan yang kalah dalam Battle masing-masing hanya meletakkan nasib mereka dalam tangan juri.

Talian mengundi untuk para penonton dibuka 24 jam sepanjang tempoh pertandingan kecuali ketika segmen 'Battle' pada malam pertandingan setiap Rabu. Kru yang tersingkir mesti memangkah kod SMS mereka di papan latar pentas dengan menyembur cat. Para peserta menari mengikut tema mulai minggu kedua hingga minggu kedua terakhir pertandingan, berdasarkan pilihan rawak oleh sistem yang dipaparkan di latar pentas di hujung setiap malam bertanding.

4 Mei sunting

12 kru membuat persembahan pengenalan mereka di peringkat pertandingan mengikut gaya masing-masing.

Battle:

  • Bounce Stepperz mng EGS Monster
  • Force 136 mng Borneo Crew

Tersingkir: EGS Monster

11 Mei: 80's sunting

Para kru membuat persembahan berasaskan muzik dan budaya pop 1980-an.

Juri undangan: Ning Baizura

Battle:

  • Rokusteps mng Soulution
  • Force 136 mng Blazin' Squad

Tersingkir: Soulution

18 Mei: Replicate & Represent sunting

Senarai persembahan "Replicate & Represent"

Setiap kru dikehendaki mencontohi kandungan video muzik yang ditugaskan kepada mereka, dan mereplikasi tarian dan aksi dalam video muzik terbabit dengan gaya tersendiri. Sedutan video-video terbabit turut disiarkan secara separa-separa pada skrin latar sewaktu persembahan kru masing-masing.

Juri undangan: Joe Lee (editor hiburan The Malay Mail)

Battle:

  • Bounce Stepperz mng Stepholic
  • Borneo Crew mng Dejavu Breakerz

Tersingkir: Dejavu Breakerz

25 Mei: Malaysian Hip Hop sunting

Para kru menari ikut rentak lagu hip-hop Malaysia.

Juri undangan: Lady D (dari Naughtius Maximus)

Battle
  • Rokusteps mng Borneo Crew
  • Blazin' Squad mng Force 136

Tersingkir: Borneo Crew

1 Jun: N.K.O.T.B.S.B. sunting

Para kru dikehendaki menari ikut rentak lagu New Kids on the Block dan Backstreet Boys.

Juri undangan: Damian Seet

Battle
  • Blazin' Squad mng Stepholic
  • Force 136 mng Rokusteps

Tersingkir: Stepholic

8 Jun: Rock sunting

Para kru dikehendaki menari ikut rentak lagu muzik rock. Mulai minggu ini, setiap Battle diadakan selama empat minit.

Juri undangan: Noh Hujan

Battle
  • Panic mng Rokusteps
  • Blazin' Squad mng Force 136

Tersingkir: Force 136

15 Jun: Street Flava sunting

Senarai gaya tarian "Street Flava"
Duet

Para kru dikehendaki menari dalam gaya-gaya yang tidak biasa dipersembahkan atau di luar kepakaran masing-masing, seperti yang diaturkan oleh pihak penganjur. Ini juga kali pertama setiap kru membuat persembahan secara kolaborasi (sesama dua kru) di samping menari sendiri.

Juri undangan: Linda Jasmine

Battle
  • Bounce Steppers mng Panic
  • Rokusteps mng Blazin' Squad

Tersingkir: Blazin' Squad

22 Jun: Magic sunting

Para kru mesti menerapkan pertunjukan silap mata dalam tarian mereka.

Juri undangan: Anselm Roy

Battle
  • HMC Phlow mng Panic
  • Rokusteps mng Bounce Stepperz


Joe Flizzow membuat permintaan supaya Panic dan Bounce Stepperz ber-battle lagi. Permintaan itu direstui oleh penonton di tempat acara dan kedua-dua kru terbabit perlu berentap sekali lagi.

Tersingkir: Panic

29 Jun: Show Me Whatcha Got sunting

Dalam minggu terakhir sebelum Final, empat kru yang tinggal dikehendaki membuat dua persembahan masing-masing iaitu secara tunggal dan secara kolaborasi (berduaan). Untuk kolaborasi, Bounce Stepperz berpasangan dengan Rokusteps, dan HMC Phlow pula dengan Elecoldxhot. Juri undangan: Pat Ibrahim

Di akhir rancangan, keempat-empat kru mendengar testimonial lisan tentang prestasi mereka sepanjang pertandingan daripada juri-juri tetap Showdown 2011. Maple Loo dan Joe Flizzow akhirnya memutuskan agar keempat-empat kru layak terus ke Final tanpa perlu ber-Battle. Ini bermakna segala undian yang dihantar dalam seminggu sebelum malam ini dibawa terus ke keputusan akhir minggu depan.

6 Julai: Final Showdown sunting

Malam penentuan Showdown 2011 terdiri daripada tiga pusingan, yang mana sebuah kru disingkirkan selepas akhir setiap pusingan berdasarkan undian penonton sahaja. Keempat-empat kru bergilir-gilir membuat tarian dalam pusingan pertama, beserta beberapa penari dan artis undangan untuk menyerikan persembahan mereka. Selepas akhir pusingan itu, Rokusteps disingkirkan daripada pertandingan dan undian yang diberikan dibawa ke pusingan kedua. Dalam pusingan kedua, tiga kru yang tinggal membuat satu lagi tarian. Di akhir pusingan itu, Bounce Stepperz terkeluar daripada perlumbaan merebut kejuaraan, dan jumlah undian dikosongkan dan penonton perlu mengundi dari mula lagi untuk menyokong kru-kru kegemaran mereka hingga akhir pertandingan.

Pusingan terakhir menyaksikan HMC Phlow dan Elecoldxhot berentap dalam Battle terakhir yang sengit dan memakan masa lima minit. Selepas akhir pusingan itu, keputusan akhir diperoleh dan Elecoldxhot dinobatkan sebagai Juara Showdown 2011.

Rujukan sunting

  1. ^ a b Ujibakat Showdown 2011 Bakal Bermula 8 Januari Ini, murai.com.my. Dicapai pada 8 April 2011.
  2. ^ TWENTY THREE CREWS HEADING FOR MELTDOWN AFTER TOUGH BATTLES, Rentak Sejuta (forum), 24 Jan 2011. Dicapai pada 8 April 2011.
  3. ^ Showdown 2011 Presents Top 12 Dance Crews, Maxis, 27 April 2011. Dicapai pada 5 Mei 2011.
  4. ^ Showdown mendapat tempat, Berita Harian, 5 Mei 2011. Dicapai pada 5 Mei 2011.

Pautan luar sunting