Silat Cekak
Silat Cekak ialah salah satu daripada seni bela diri Melayu (silat) yang diamalkan di Malaysia. Ia didakwa berasal dari Kedah dan diamalkan oleh panglima Kesultanan Kedah pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin II. Silat ini berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSB) yang ditubuhkan pada Februari 1964, kemudiannya ia digagaskan oleh Ustaz Haji Hanafi Ahmad pada Disember 1965. Pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah ditubuhkan oleh Haji Hanafi.
Silat Cekak juga dikenali sebagai Silat Papan Sekeping[1].
Sejarah
suntingSilat Cekak berasal dari Kedah. Silat ini dipercayai muncul selepas kedatangan Islam di negeri tersebut. Silat ini dahulunya diajarkan hanya kepada para panglima di Kedah untuk menghalang pencerobohan luar ketika itu. Orang yang paling lama diketahui mempelajari silat ini adalah Panglima Ismail yang berkhidmat di bawah Sultan Ahmad Tajuddin. Panglima Ismail suatu ketika pernah mengalahkan seorang Batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) di Kubang Kerian, Perak.
Seterusnya, silat ini diajarkan kepada Panglima Tok Rashid yang ketika itu terpaksa berpindah ke Perak kerana di tempat tinggalnya di Kedah ketika itu diserang wabak taun. Akhirnya, Panglima Tok Rashid mengamanahkan silat ini kepada Yahya Said (Pak Ya Said). Selepas 40 tahun, Ustaz Haji Hanafi mewarisi ilmu persilatan ini daripada Yahya Said.
Silat ini mula dikembangkan di Kuala Lumpur dengan kelas pertama di Kampung Bumiputera dan Kampung Datok Keramat di bawah Persatuan Bawean Putera (1970-19 Ogos 1971) dan kemudian didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).
Perguruan silat
suntingDi Malaysia terdapat beberapa perguruan silat yang menggunakan nama "Silat Cekak", antaranya:
Pada asalnya, Silat cekak diasaskan dan dipimpin Ustaz Hanafi. Namun selepas kemangkatan Ustaz Hanafi, terdapat pergelutan sesama ahli menyebabkan silat cekak yang diasaskan olehnya Ustaz Hanafi berpecah kepada beberapa Persatuan:-
Silat Cekak Ustaz Hanafi (Silat Cekak Hanafi)
suntingPerguruan silat ini diasaskan pada 1994 oleh anakanda Ustaz Hanafi, Md. Radzi Haji Hanafi dengan nama Silat Cekak Ustaz Hanafi (Silat Cekak Hanafi).[2]
Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM)
suntingPersatuan Seni Silat Cekak Malaysia (atau PSSCM) ialah sebuah pertubuhan seni silat di Malaysia. Ia ditubuhkan pada 1965 oleh Ustaz Hanafi Ahmad, seorang tokoh penting mengembangkan seni silat di alam Melayu. Walau bagaiamanapun, ia didaftarkan secara rasmi pada 19 Ogos 1971. Persatuan ini mempunyai 104 pusat latihan (atau kelas latihan) termasuk di institusi pengajian tinggi di Malaysia.
Silat Cekak Pusaka Hanafi (SCPHM)
suntingSilat ini mula dikembangkan di Kuala Lumpur dengan kelas pertama di Kampung Bumiputera dan Kampung Datok Keramat di bawah Persatuan Bawean Putera (1970-19 Ogos 1971) dan kemudian didaftarkan sebagai Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM).
Kini Silat Cekak Pusaka Hanafi di gerakkan oleh YM Syeikh DR.Hj Md Radzi bin Hj Hanafi sebagai Guru Utama. YM Syeikh Dr. Hj. Md Radzi bin Hj Hanafi merupakan putera keempat kepada Pengasas dan Pemimpin Agung Silat Cekak, Allahyarham Ustaz Hanafi bin Hj. Ahmad.
Silat Cekak Pusaka Hanafi adalah salah satu seni bela diri tradisional yang unik dan menarik di Malaysia. Ia bukan hanya teknik pertahanan diri, tetapi juga merupakan sebahagian daripada warisan budaya negara ini.[3]
Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping (PSCSPSM)
suntingBerlaku sengketa di antara Chekak-Linchah angkara adu domba Mat 41 sekitar tahun 1972/1973. Pak Hussin bertanggungjawab supaya pasukan keselamatan membatalkan permit polis yang telah diluluskan bagi pertarungan/pertandingan kalah mati. Ini adalah bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama Melayu dan akan terjadi permusuhan Melayu Melayu yang berpanjangan sedangkan Tanah Melayu baru sahaja tenang dari sengketa kaum peristiwa 13 Mei 1969.
Pada sambutan perayaan 10 tahun Chekak 1975, beliau dikurniakan Pingat Bintang Berjasa, tetapi dinafikan kerana bukan matlamatnya mengukir nama.
Semasa kemelut Guru Utama PSSCM 1993, beliau telah mencadangkan kepada keluarga Almarhum Ustaz Hanafi dan pihak pengurusan yang diketuai oleh Amrudin Buang dan Nasir Arshad supaya menubuhkan persatuan lain untuk mengelakkan pergaduhan yang boleh mencetuskan pertumpahan darah dengan nama PSSCUHM.[4]
Silat Cekak Harimau
suntingSebuah perguruan silat yang berasal dari Pahang. Silat ini diasaskan oleh Osman bin Nok hasil gabungan dari aliran Silat Cekak dari Palembang, Silat Harimau dan Silat/Amalan Sabilulah. Beliau mempelajari Silat Cekak dari ayahnya, Silat Harimau dari Ahmad Laili dan amalan Sabilullah dari Yahya Dewa[5].
Silat Cekak Pahang
suntingNama asal silat ini ialah Silat Kapan. Ia diambil alih oleh guru Pendekar Awang sempena dengan nama guru. Silat ini telah bertapak di Lipat Kajang, Temerloh, Pahang. Kemudian, ia didaftarkan di Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dengan nama Seni Silat Cekak Pahang.
Peringkat
suntingSilat cekak juga telah ditetapkan kurikulum dengan beberapa peringkat. Maka, segala ilmu persilatan boleh diturunkan daripada guru kepada murid dan apa-apa penyembunyian ilmu oleh guru dapat dikesan.
'Kaedah asas' diajar iaitu cara-cara menangkis serangan tanpa membalas serang. Terdapat 4 kaedah asas dinamai kaedah A, B, C dan kaedah D.
- Peringkat asas - Pelajar akan diajar 20 'buah' atau teknik asas silat cekak berdasarkan 'kaedah asas'.
- Peringkat jatuh - Pelajar akan diajar sambungan kepada teknik asas untuk menjatuhkan dan mengunci pihak lawan.
- Peringkat potong - Pelajar diajar cara menangkis teknik silat cekak sendiri jika silat cekak digunakan oleh pihak lawan.
- Peringkat umum - Pelajar diajar mempraktikkan teknik silat bagi melawan seni bela diri yang lain
Teknik-teknik asas
suntingKeunikan silat cekak adalah sambil menyerang sambil menangkap. Buah-buah ini diajar dalam peringkat asas, jatuh dan potong
- Buah Pertama
- Buah Keputusan Gayung Patani
- Buah Keputusan Sendeng Atas
- Buah Kilas Belakang
- Buah Kilas Hadapan
- Buah Kidong Kiri
- Buah Kuntau Jatuh
- Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
- Buah Kuntau Kanan Gantung
- Buah Hentak @ Keputusan Silat Harimau
- Buah Ali Patah Atas
- Buah Ali Patah Sudah
- Buah Selendang
- Buah Gari & Gari Gunting
- Buah Paras
- Buah Keputusan Pasung Kemanga
- Buah Keputusan Terlak
- Buah Keputusan Lintau
- Buah Hempok
- Buah Luncur
- Buah Siku Potong
Terdapat beberapa buah yang telah dibuang daripada kurikulum kerana didapati boleh memudaratkan pengguna. Pelajar juga diajar cara menggunakan buah silat bagi menangkis serangan-serangan tongkat serta pisau. Dalam peringkat umum, terdapat buah 'kusyen' iaitu buah silat untuk digunakan semasa diserang dalam keadaan duduk.
Rujukan
sunting- ^ "Silat Cekak Silat Papan Sekeping...Ilham Pengasas PSSCM; Ustaz Hanafi Haji Ahmad, Mac 1975". PSSCM Putrajaya. 1 Mac 2011. Dicapai pada 31 Januari 2022.
- ^ Silat Cekak Ustaz Hanafi, 2022-01-31, dicapai pada 2025-05-15
- ^ siteadmin-Radzi (2023-10-21). "Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-05-15.
- ^ "TOK Garang - Berani Hidup, Berani Mati..." Dicapai pada 2025-05-15.
- ^ Majalah Pendekar, Disember 1992, m/s 18-21